- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Tony Hoang. (23 Mac 2016). Kofun Period. Ancient History Encyclopedia.
https://www.ancient.eu/Kofun_Period/
https://www.ancient.eu/Kofun_Period/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Menyusuli Zaman Yayoi,
di mana teknik pertanian dan pertukangan logam mula diperkenalkan di Jepun dari
tanah besar Asia ialah Zaman Kofun (sekitar 250 Masihi - 538 Masihi), di mana kepercayaan Shinto lahir
daripada kepercayaan pada zaman lalu. Klan Yamato pula memegang tampuk kuasa
dan membentuk keluarga diraja. Zaman ini dinamakan bersempena nama gaya
gundukan pengebumian yang diamalkan pada masa itu.
GUNDUKAN PENGEBUMIAN
Zaman Kofun dicirikan
oleh penggunaan gundukan-gundukan pengebumian yang dibina untuk golongan
bangsawan, dengan saiz dan bentuk yang pelbagai. Bermula daripada gundukan
berbentuk petak atau bulat yang berukuran beberapa meter panjang, hinggalah
gundukan berbentuk lubang kunci yang sepanjang ratusan meter.
Makam-makam di
zaman awal agak ringkas, di mana ia hanya mengandungi keranda yang dikuburkan
di puncak gundukan atau di dalam sebuah kamar batu. Namun pada Zaman Kofun,
barang pengebumian turut dikuburkan di dalam makam. Antaranya seperti senjata,
perhiasan atau barangan peribadi lain, bergantung pada status pemilik makam
berkenaan. Individu yang berkuasa lazim dikuburkan bersama ribuan barangan di
dalam gundukan-gundukan yang terpisah yang khusus dibina bagi tujuan tersebut.
Sebahagian gundukan-gundukan pengebumian pada era awal dihasilkan daripada
bukit asli. Namun menjelang 400an Masihi, semakin banyak gundukan buatan yang
dibina di atas tanah rata dan dilengkapi dengan parit. Pada Zaman Kofun Lewat,
saiz gundukan-gundukan pengebumian semakin kecil dan digunakan secara lebih
meluas oleh individu-individu yang berstatus rendah, di mana gundukan-gundukan
sepanjang 15 meter dibina bagi membentuk tanah perkuburan.
Kofun yang paling
awal ditemui adalah di Honshu tengah, sekitar wilayah Kyoto, Nara dan Osaka
moden. Tanah-tanah perkuburan ini dibina pada awal kurun ke-4 Masihi. Pada
separuh kedua kurun yang sama, ia tersebar hingga ke Kyushu di selatan dan
kawasan-kawasan utara dan timur Honshu. Gundukan-gundukan pengebumian ini
menunjukkan ciri-ciri yang berbeza berdasarkan status dan agama si mati.
SENI PENGHASILAN TEMBIKAR
Salah satu kemajuan
yang paling mengagumkan dalam seni penghasilan tembikar pada Zaman Kofun adalah
kemunculan Haniwa, iaitu patung pengebumian yang lazimnya berbentuk
ukiran kuda, pahlawan-pahlawan yang lengkap bersenjata, bangsawan yang
berpakaian mewah, petani dan juga penari. Patung-patung ini kebiasaannya
diletakkan di dalam gundukan pengebumian dan makam-makam sebagai barang
pengebumian.
![]() |
| Barangan batu Sueki dari Zaman Kofun |
Tembikar-tembikar yang
mempunyai kegunaan secara harian dihasilkan dalam gaya Sueki, yang
memiliki banyak penambahbaikan berbanding gaya-gaya terdahulu yang digunakan di
Zaman Yayoi dan Jomon. Tembikar-tembikar ini diperbuat daripada tanah liat
berwarna biru-hijau, dihasilkan menggunakan roda tembikar, dan dibakar di dalam
tanur pada suhu sekitar 1000 hingga 1200 darjah Celsius, iaitu suhu yang sama
digunakan dalam penghasilan tembikar di zaman moden.
TEKNOLOGI
Kebanyakan teknologi
yang digunakan pada zaman ini adalah sama seperti yang digunakan pada
zaman-zaman terdahulu, walaupun teknologi mengalami kemajuan yang agak ketara
pada Zaman Kofun. Penanaman padi mula dilakukan di kawasan-kawasan yang lebih
tinggi, sistem pengairan berkembang dengan lebih kompleks, dan pertukangan besi
pula semakin tersebar luas.
Besi kemudiannya menggantikan gangsa sebagai logam
pilihan bagi menghasilkan alat-alatan dan senjata lantaran timah yang
diperlukan dalam pertukangan gangsa semakin sukar ditemui menjelang zaman ini.
Sebaliknya, sumber besi lebih banyak dan menjadi lebih kukuh pada zaman-zaman
terkemudian.
SHINTO
Walaupun kepercayaan
Shinto dikatakan muncul pada zaman ini, perkembangannya sudah pun berakar sejak
era-era terdahulu seperti Yayoi, di mana amalan menyembah dewa-dewi muncul buat
kali pertama pada zaman tersebut. Perkataan Shinto boleh diterjemahkan sebagai
‘jalan para dewa’ dan kepercayaan ini menumpu pada aktiviti ritual yang
bertujuan untuk mengekalkan gaya hidup yang sempurna dan perhubungan dengan
dewa-dewi, atau Kami, sebagaimana yang disebutkan di dalam bahasa Jepun.
Kami ialah dewa-dewi atau semangat-semangat yang mewakili kuasa-kuasa
alam seperti laut, matahari, angin, ribut, bulan, serta perkara-perkara lain
seperti perang dan alam kematian. Walaupun kebanyakan Kami dikaitkan
dengan alam, sebahagiannya hadir dalam bentuk manusia, baik yang masih hidup
mahupun yang telah meninggal dunia, dan juga barang, lebih-lebih lagi jika
individu tersebut mempunyai sifat-sifat yang sempurna seperti maharaja,
pahlawan atau orang-orang besar.
Pada mulanya, tiada bangunan seperti kuil atau
tempat suci yang diperlukan untuk memuja Kami. Sebarang bentuk
penyembahan hanya dilakukan di tempat terbuka atau lokasi-lokasi keramat
seperti hutan dan penyembahan ini dilakukan oleh sesiapa sahaja yang berhajat.
Pada masa-masa terkemudian, Kami dipuja di kuil dan rumah-rumah suci.
Pemujaannya pula dilakukan oleh ketua-ketua kuil atau golongan sami.
Makam-makam Shinto ini lazimnya dicirikan oleh gerbang torii. Menurut
kepercayaan Shinto, Kami tidaklah tinggal di dalam rumah suci, kuil atau
lokasi keramat yang dinisbahkan kepada mereka. Sebaliknya, mereka hanya
mengunjungi tempat-tempat tersebut dan menghuni patung atau imej yang
menggambarkan mereka.
KEBANGKITAN YAMATO
Sebelum Yamato memegang
kuasa, klan-klan yang ada saling berkonflik antara satu sama lain bagi
berebutkan hegemoni. Mereka lazim berseteru dan kadangkala membentuk
persekutuan, menggunakan pelbagai taktik demi mencapai matlamat yang
diinginkan. Namun, tiada klan atau kumpulan klan yang berupaya meraih jumlah
kuasa yang seimbang.
Pada kurun ke-5 Masihi, sebuah klan sekeluarga muncul
dominan di Kepulauan Honshu dan Kyushu. Pangkalan asal klan ini ialah wilayah
Kyoto, Nara dan Osaka moden. Setiap klan dipimpin oleh seorang lelaki berusia
yang akan melaksanakan upacara keagamaan bagi memuliakan Kami dan
memelihara kebajikan klan serta wilayah kekuasaan mereka. Anggota klan ini
terdiri daripada golongan bangsawan, yang pada penghujung zaman ini membentuk
keluarga diraja.
![]() |
| Haniwa, Zaman Kofun |
Menerusi persekutuan
yang dibentuk dengan klan, suku, dan bahkan konfederasi lain, serta penggunaan
alatan besi secara meluas dan keupayaannya untuk menghimpunkan penyokong secara
efektf, Yamato berupaya menjadi sebuah kuasa ketenteraan yang berpengaruh.
Walaupun Yamato masyhur dengan keampuhan tenteranya, mereka seboleh mungkin
cuba menghindari perang dan sebaliknya berusaha menjalinkan persekutuan dengan
klan-klan menerusi penawaran jawatan dalam sistem politik mereka. Seandainya
usaha ini gagal, maka mereka kebiasaannya akan mengugut dan memaksa klan-klan
tersebut untuk memeterai perjanjian.
Klan-klan utama yang menyokong Yamato, seperti
Soga, Mononobe, Nakatomi, Kasuga, Ki, Otomo dan Haji, dipanggil secara kolektif
sebagai uji dan mereka ini diberikan pangkat atau gelaran berdasarkan
tahap kesetiaan atau perkhidmatan yang mereka curahkan. Menyusuli uji ialah
kumpulan-kumpulan yang dipanggil sebagai be, iaitu sekumpulan pekerja
yang terdiri daripada pembuat kertas, jurutulis, dan tukang besi.
Termasuk juga
di dalam uji dan be ini sebahagian imigran yang datang dari China
dan Korea yang memiliki kemahiran dalam profesion-profesion yang dimahukan oleh
Yamato, seperti pertukangan logam dan pembuatan kertas. Di bawah kedua kumpulan
ini adalah kumpulan hamba, yang mana anggota-anggotanya terdiri daripada
banduan perang mahupun mereka yang dilahirkan dalam kasta tersebut.
HUBUNGAN DENGAN CHINA
& KOREA
Dipercayai bahawa
Klan-Klan Yamato Jepun turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan
Paekche di Korea pada tahun 366 Masihi dan mempunyai pangkalan di selatan
semenanjung itu, di mana mereka mentadbirnya sehinggalah dikalahkan oleh Kerajaan
Silla pada tahun 562 Masihi.
Menurut beberapa buah rekod China, pada tempoh
antara 413 Masihi dan 478 Masihi, terdapat lima orang raja Jepun yang
menghantar sebanyak sembilan buah perutusan yang membawa ufti ke China demi
mendapatkan sokongan empayar itu di Semenanjung Korea.
China menerima ufti
daripada Jepun itu menerusi perantaraan Korea, dan Jepun sendiri menerima
imigran yang datang dari China dan Korea yang mereka ini membawa bersama
kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dimiliki, di mana kemasukan-kemasukan ini
amat dihargai oleh Jepun demi meningkatkan kebudayaan mereka.
PERALIHAN KE ZAMAN
ASUKA
Menjelang penghujung
Zaman Kofun, Yamato sudah pun mengembangkan kuasanya dan menjadi Dinasti Diraja
Jepun. Interaksi antara Jepun dengan China dan Korea semakin meningkat, dan
kepercayaan Shinto sudah pun muncul. Peralihan ke zaman seterusnya, iaitu Zaman
Asuka (538 – 710 Masihi) ditandai oleh kemasukan Buddhisme, penerapan
huruf-huruf China sebagai sistem penulisan (memandangkan masyarakat asli Jepun
tidak mempunyai sistem penulisan tersendiri) dan penerapan budaya-budaya
masyarakat China yang lain, memandangkan Jepun memandang China sebagai sebuah
masyarakat yang bertamadun dan maju, justeru berhajat untuk meneladaninya.
SUMBER
- History – Kofun Period.
- Kofun Period (ca. Third Century – 538)
- Tumulus Period.
- Collcutt, Martin, Jansen, Marius, Kumakura, Isao. Cultural Atlas of Japan. Phaidon Press Ltd.
- K. Henshall. A History of Japan. Palgrave Macmillan. 2012.
- Richard, Comp Tames. Traveller’s History of Japan. Interlink Publishing Group. 2008.
- Get link
- X
- Other Apps


