BANDAR PELABUHAN BERSEJARAH LEVUKA – BEKAS KEDIAMAN RAJA-RAJA FIJI

Pautan ke artikel asal:
Michelle Freson. (4 Disember 2018). Fascinating Levuka Historical Port Town: Former Home to Fijian Cannibals and Kings. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-australia-oceania/levuka-historical-port-town-0011098

Penterjemah: Amir Zayyanid


Pulau Ovalau adalah simbol yang mewakili Fiji sebagaimana keadaannya di zaman dahulu – syurga yang tidak dicemari, dipenuhi dengan penduduk tempatan yang peramah, destinasi pelancongan yang memukau, dan lubuk yang kaya dengan sejarah. Bersama gaya hidupnya yang tidak tergesa-gesa, kebanyakan perkara dalam kehidupan seharian masih dilakukan ‘seperti di zaman Fiji’. Setiap orang mengenali antara satu sama lain di pulau tropika ini. Setiap seorang juga mempunyai masa untuk saling bersembang. Sebagai bekas ibu kota Fiji, bandar pelabuhan bersejarah Levuka sememangnya merupakan sebuah destinasi yang penting bagi mana-mana pengunjungi yang datang ke pulau berkenaan.

Pulau Ovalau merupakan pulau keenam terbesar di Fiji, berukuran 13 kilometer (8 batu) panjang, 10 kilometer (6 batu) lebar dan meliputi kawasan seluas 106.4 km persegi (66.1 batu persegi). Populasinya yang tidak lebih 10 000 orang ini dikelilingi oleh terumbu-terumbu karang yang besar, memandangkan Pulau Ovalau dan gugusan Kepulauan Lomaiviti itu sendiri merupakan puncak gunung berapi lautan-dalam yang terbentuk jutaan tahun dahulu.

Setidak-tidaknya, suku daripada populasi itu hidup di Levuka, iaitu sebuah bandar kecil yang terletak di pantai timur Pulau Ovalau. Bandar pelabuhan bersejarah Levuka dan Pulau Ovalau meraih status Warisan Dunia UNESCO pada Jun 2013.


SEJARAH LEVUKA, BANDAR PELABUHAN BERSEJARAH

Levuka dibangunkan oleh para pedagang dan pendatang sekitar tahun 1820 dan menjadi bandar pelabuhan merangkap pos perdagangan yang penting. Sekumpulan pedagang dan peniaga kacukan pada mulanya membentuk populasi Eropah di Levuka. Pulau ini mengalami perkembangan pesat, sekaligus menggamit para pengusaha kapas dan kelapa,pedagang kayu cendana dan Beche-de-Mer (timun laut) itu datang ke sana. Kemudian, kumpulan masyarakat lain pun turut datang mendirikan kedai, bar dan hotel. Menjelang tahun 1870, populasi bandar ini mencapai lebih 800 orang.

Ekspedisi Penerokaan Amerika Syarikat mengunjungi bandar ini pada tahun 1840 semasa menjalankan ekspedisi Lautan Pasifik dan wilayah sekitar. Ekspedisi ini mempunyai signifikasi tersendiri dalam mengembangkan ilmu pengetahuan di Amerika Syarikat dan banyak penemuan yang dilakukan oleh ekspedisi ini berupaya membentuk asas-asas koleksi di Institusi Smithsonian. Namun semasa kunjungan tersebut, konflik bersenjata antara penduduk pulau Pasifik dan pasukan ekspedisi seakan-akan menjadi sebuah kebiasaan dan ramai penduduk tempatan terkorban. Begitu juga dengan warga Amerika.


KOLONISASI FIJI

Ketika negara-bangsa Fiji ditubuhkan pada tahun 1871, Seru Epenisa Cakobau dimahkotakan sebagai raja di Levuka. Cakobau yang merupakan bekas kanibal memeluk agama Kristian ditangan seorang mubaligh. Beliau seterusnya mengharamkan kanibalisme pada tahun 1854.

Dengan mendakwa dirinya sebagai Raja Fiji, Cakobau terlibat dalam peperangan yang berlanjutan selama hampir dua dekad dalam usaha menyatukan kepulauan di bawah kekuasaannya. Tentunya, peperangan ini meletus lantaran dakwaannya itu tidak diterima oleh pembesar-pembesar lain. Dengan sokongan yang diraih daripada pendatang asing, Cakobau berupaya menyatukan Fiji pada tahun 1871 dan menjadikan Levuka sebagai ibu kotanya. Badan perundangan dan dewan kabinet masing-masing didominasi oleh orang asing.

Raja Seru Epenisa Cakobau


Pemahkotaan Cakobau diperakui oleh Amerika Syarikat, sebelum ia turut diperakui oleh pembesar-pembesar tempatan yang lain. Kerajaan Amerika kemudian menuntut pertanggungjawaban oleh Cakobau di atas serangan yang dilakukan terhadap rumah Konsul Amerika pada tahun 1849, iaitu sebelum Cakobau menjadi raja. Dalam kata-kata lain, Amerika menuntut bayaran ganti rugi. 

Lantaran tidak mampu membayar hutang yang dilakukan oleh pembesar-pembesar lain dan lantaran khuatir terhadap serangan Amerika, Cakobau bertindak menyerahkan pulau-pulau yang berada di bawah kekuasaannya kepada Amerika Syarikat pada tahun 1874. Setelah menyerahkan gelaran tertinggi kepada Ratu Victoria, Cakobau mengekalkan kedudukannya sebagai pembesar kedua paling senior di Fiji sehinggalah kematiannya pada tahun 1883.

Setelah diserap menjadi koloni British, Levuka kekal sebagai ibu kota sehingga tahun 1877. Berikutan kekurangan ruang yang menghalang pembangunan lanjut, pentadbiran pusat dipindahkan ke bandar Suva yang terletak di Pulau Viti Levu, iaitu pulau terbesar di Republik Fiji. Ahli-ahli perniagaan dan masyarakat umum meninggalkan Levuka sekaligus ibu kota lama itu dilupakan.

Pada 1950an, Levuka tidak lagi berfungsi sebagai pelabuhan tempat kapal-kapal yang merentasi Pasifik berhenti. Hal ini sekaligus menjerumuskan bandar tersebut ke dalam krisis ekonomi. Namun, sebuah syarikat nelayan dan sebuah kilang pengetinan sempat dibuka di sana dan pada hari ini, ia merupakan kilang yang paling besar di Ovalau. Sektor pelancongan tidak memainkan peranan yang besar dalam ekonomi Ovalau, berikutan kedudukannya yang terpencil.


KEBAKARAN DAN ANCAMAN-ANCAMAN LAIN TERHADAPTAPAK WARISAN LEVUKA

Di bahagian hujung utara bandar Levuka moden terdapat kampung tradisional lagi asli. Ketua kampung tersebut merupakan keturunan langsung pembesar yang mengalu-alukan kemasukan pendatang Eropah pertama. Bagi memperingati nenek-moyang, maka beliau dipanggil sebagai ‘Bapa Orang Eropah’.

Kebanyakan warisan Levuka terletak pada seni bina kayunya. Rumah Masonik, yang tertua di Pasifik Selatan, didirikan di Levuka pada tahun 1875. Bangunan yang bergaya Eropah ini dibakar semasa peristiwa pemberontakan di Fiji pada tahun 2000. Peristiwa ini turut meranapkan artifak-artifak berharga dan rekod-rekod sejarah Levuka. Pada tahun 2008, Planta Simpanan Sejuk Levuka musnah akibat sebuah kebakaran yang tercetus semasa kerja-kerja penyelenggaraan. Rumah Tumpangan dan Gudang Awam Mavida, yang berusia lebih 100 tahun, turut hangus terbakar.

Sisa tinggalan Rumah Masonik


Sebuah mercu tanda dan legasi di Marist Fathers yang diangkat sebagai sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia ialah Gereja Hati Suci (Sacred Heart Church). Menara jam ini berfungsi sebagai rumah api yang menunjuk arah kepada kapal-kapal yang menuju ke pelabuhan melalui sebuah celahan di terumbu.

Kelab Ovalau, iaitu salah sebuah organisasi sosial tertua di Pasifik, dan Dewan Bandaraya Levuka yang menempatkan Majlis Perbandaran Levuka, dibina pada tahun 1898 bagi memperingati Jubli Berlian Ratu Victoria.


PENGINAPAN DAN PEMANDANGAN DI SEKITAR OVALAU

Levuka mempunyai infrastruktur yang baik dan kesemua penginapan dioperasikan sendiri oleh pemiliknya. Untuk menghabiskan masa seharian, pengunjung boleh mengambil angin di Caqalai atau Kepulauan Leleuvia. Kedua-dua tempat ini terkenal dengan keindahan, pasir pantainya yang putih dan aktiviti menyelam yang menjanjikan pemandangan yang mengasyikkan.

Lost Island pula terletak berhampiran Pulau Yanuca Lailai, di selatan Ovalau. Pulau tersebut merupakan sebuah gunung berapi berkeluasan 72 ekar dengan pesisirannya dipenuhi dengan bakau dan pantainya pula dikelilingi hutan. Pulau ini tidak termasuk dalam laluan pelancong, namun ia tetap dianggap sebagai tempat yang menarik untuk dikunjungi.

Pasir putih di pantai Fiji yang ikonik


Levuka dan pulau-pulau bersebelahannya tidaklah berada dalam senarai destinasi pelancongan utama… namun, penulis meyakini bahawa ia akan mencapai kedudukan tersebut kelak. Setakat ini, bandar pelabuhan bersejarah Levuka secara relatifnya belum dikenali secara meluas. Jika anda berkesempatan untuk mengunjunginya, jangan lepaskan peluang untuk tanyakan pada orang tempatan tentang jalan menuju ke ‘kolam rahsia’.


SUMBER