- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (23 Jun 2020). The Nasrid Dynasty and the Birth of the Alhambra
Palace. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/nasrid-dynasty-0013890
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/nasrid-dynasty-0013890
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dinasti Nasriyah
merupakan dinasti Muslim terakhir di Semenanjung Iberia. Dinasti Nasriyah
memerintah Emiriyah Granada, yang ditubuhkan pada kurun ke-13 Maishi. Emiriyah
tersebut merupakan negara Muslim Al-Andalus (atau Andalusia) yang terakhir dan
hanya ditakluk oleh Kristian pada penghujung kurun ke-15. Emiriyah Granada
berupaya bertahan sebegitu lama lantaran para pemerintahnya merupakan penguasa
bawahan dan pembayar ufti kepada Kerajaan Castile-Kristian.
Tambahan pula,
dinasti ini tidak dianggap sebagai suatu ancaman yang serius buat Kristian
justeru ia dibiarkan untuk terus wujud.
Walaupun Dinasti Nasriyah kehilangan wilayah mereka di tangan Kristian
secara bertahap, ibu kota mereka iaitu Granada tetap kekal sebagai pusat
kebudayaan Islam yang penting sehinggalah saat ketumbangannya. Alhambra di
Granada adalah salah sebuah contoh pencapaian budaya Dinasti Nasriyah teragung
yang selamat sehingga ke hari ini.
![]() |
| Jatanegara Dinasti Nasriyah |
DINASTI NASRIYAH DI
AL-ANDALUS DAN PERANG YANG MENEWASKAN MEREKA
Dinasti Nasriyah mula
berkuasa pada tahun 1212 Masihi berikutan kekalahan Almuwahidun dalam
Pertempuran Las Navas de Tolosa, iaitu sebuah pertempuran besar dalam kempen
Reconquista. Dalam Pertempuran Alarcos yang meletus pada tahun 1195, Alfonso
VII dari Castile mengalami kekalahan yang besar di tangan Almuwahidun.
Rentetan
itu, Ketua Bishop Toledo yang bernama Rodrigo Jimenez de Rada mula menyebarkan
api kemarahan terhadap Muslim. Susulannya, sebuah proklamasi perang salib pun
diraih daripada paus dan proklamasi ini meraih sokongan beberapa orang bishop
Perancis. Pada musim bunga tahun 1212, beberapa buah kontinjen kesatria
Perancis dan Knights Templar tiba di Toledo. Perang salib ini turut disertai
oleh Aragon, Castile dan Portugal.
Tentera-tentera salib
memulakan kemaraan mereka ke selatan pada tanggal 21 Jun dan berjaya menakluki
dua buah kubu Muslim. Namun, semangat kebanyakan tentera salib bukan-Sepanyol
dilunturkan dek cuaca dan suasana hidup yang kasar sekaligus hal ini mendorong
mereka untuk pulang ke tanah air. Apapun, saki-baki pasukan yang tinggal
dibantu oleh sepasukan tentera tambahan dari Navarre.
Pada masa yang sama,
Almuwahidun membawa pasukan tentera mereka ke wilayah pergunungan di sekitar
Baeza. Khalifah Muhammad al-Nasir merancang untuk mencantas tentera salib di
dataran La Navas de Tolos. Pasukan salib tiba pada tanggal 12 Julai dan
berupaya menakluki Castroferral dengan harapan dapat menghambat pasukan Muslim
melalui laluan La Llosa.
Walau bagaimanapun, kemaraan ini bukanlah suatu yang
mudah bagi mereka lantaran laluan tersebut dikawal dengan ketat oleh pasukan
Muslim. Namun, tuah seakan-akan memihak tentera salib apabila seorang
penggembala tempatan bertindak menunjukkan laluan alternatif ke kem tentera
Muslim. Makanya, Almuwahidun yang diserang secara mengejut dengan mudah ditewaskan.
Kekalahan Almuwahidun
dalam Pertempuran Las Navas de Tolosa ini menandakan permulaan bagi pengakhiran
mereka. Pertelagahan dalam dinasti dan ketiadaan pemimpin cekap memburukkan
lagi masalah yang dihadapi oleh Almuwahidun. Mereka dengan pantas kehilangan
cengkam ke atas al-Andalus. Kekosongan kuasa yang ditinggalkan oleh Almuwahidun
ini segera diisi oleh para pemerintah Muslim tempatan yang menubuhkan taifa
masing-masing, yakni kerajaan merdeka.
Pada hakikatnya, ini bukanlah kali
pertama taifa-taifa sebegini dibentuk. Semasa Kekhalifahan Cordoba tumbang pada
tahun 1031, para pemimpin Muslim tempatan turut mengambil peluang untuk
mengisytiharkan kemerdekaan. Menurut beberapa anggaran, terdapat sebanyak 50
buah taifa yang muncul selepas ketumbangan autoriti pusat. Namun, anggaran lain
pula meletakkan bilangan tersebut sekitar 30 buah taifa.
![]() |
| Pertempuran Granada antara Dinasti Nasriyah dan Kristian |
KEBANGKITAN DINASTI
NASRIYAH DAN EMIRIYAH GRANADA
Emiriyah Granada
merupakan salah sebuah taifa yang muncul sesudah ketumbangan Almuwahidun.
Walaupun kuasa Almuwahidun telah susut secara signifikan rentetan kekalahan di
tangan Kristian, mereka masih cukup kuat untuk menguasai Al-Andalus selama satu
atau dua dekad. Namun, Almuwahidun tetap jua kehilangan cengkam ke atas
Al-Andalus dan wilayah-wilayah kekuasaan mereka jatuh ke tangan taifa-taifa
ini. Apapun, taifa-taifa ini juga tidak bertahan lama lantaran mereka ditakluk
satu demi satu oleh kerajaan-kerajaan Kristian di Sepanyol.
Pada awal 1230an,
Muhammad ibn Yusuf ibn Nasr ibn al-Ahmar (juga dikenali sebagai Muhammad I dari
Granada, atau Muhammad I al-Ghalib) yang merupakan seorang ketua tentera dari
daerah Jaen, menubuhkan Emiriyah Granada. Pada tahun 1237, Muhammad mendirikan
ibu kotanya di Granada. Kota ini berfungsi sebagai ibu kota Dinasti Nasriyah
sehingga ke saat kejatuhannya. Selain Granada, Muhammad juga menguasai Jaen,
Almeria dan Malaga. Dalam kata-kata lain, Dinasti Nasriyah memerintah wilayah
di penghujung selatan Semenanjung Iberia.
Dinasti Nasriyah
menyedari ancaman yang diberikan oleh Kristian terhadap emiriyah mereka.
Justeru, mereka memilih untuk tunduk kepada kekuasaan Raja Castile. Bagi meraih
keamanan, Dinasti Nasriyah membayar ufti kepada Castile secara tahunan. Mereka
turut dituntut untuk menyumbang tenaga tentera kepada Castile. Muhammad sendiri
merupakan penguasa bawahan Ferdinand III. Kedudukan ini terus dilanjutkan
semasa era kekuasaan Alfonso X, pengganti Ferdinand. Bagi pihak Castile, mereka
sememangnya bersenang hati dengan keadaan sebegini lantaran mereka sejak mula
lagi tidak menganggap Dinasti Nasriyah sebagai negara Muslim yang kuat yang
berupaya mengancam kedudukan mereka.
Tidak seperti
taifa-taifa lain, Emiriyah Granada menikmati hubungan yang relatif aman dengan
negara-negara Kristian. Kesemua taifa lain ditakluk oleh Kristian semasa kempen
Reconquista. Ramai Muslim yang dipaksa melarikan diri dari tanah air mereka.
Ramai juga yang menuju ke wilayah selatan, khususnya Granada dan disambut baik
oleh Dinasti Nasriyah. Pelarian-pelarian ini datang dari kota Seville, Valencia
dan Murcia, yang dahulunya merupakan pusat kebudayaan Islam yang maju.
Mereka
ini turut membawa bersama kemahiran yang dimiliki sekaligus hal ini menyumbang
kepada kepesatan Granada sekaligus mengubah kota itu menjadi pusat kebudayaan
Islam yang baru di Semenanjung Iberia. Berkat kemajuan ini, Dinasti Nasriyah
berupaya melaksanakan projek pembinaan (atau lebih tepat, pengubahsuaian)
Alhambra yang merupakan pencapaian teragung mereka.
![]() |
| Salah sebuah taman di Istana Alhambra |
ALHAMBRA: LEGASI AGUNG
DINASTI NASRIYAH
Istana dan kompleks
kubu Alhambra yang secara harfiahnya bermaksud ‘Istana Merah’, terletak di
dataran Bukit Sabika yang berlokasi di bahagian barat bandar Granada. Dari
bukit ini, seluruh kota dan dataran Granada dapat dilihat. Bukit ini turut
dikelilingi oleh gunung-ganang, sementara bahagian tapaknya pula diairi oleh
Sungai Darro.
Lokasi Alhambra yang
strategik ini memudahkan sesiapa pun jua untuk mengawal kota dan kawasan
sekitarnya. Justeru, tidaklah menghairankan jika tapak itu sudah pun dihuni
jauh sebelum ketibaan Dinasti Nasriyah lagi. Diandaikan bahawa dahulunya pernah
beridir sebuah kubu Rom di Bukit Sabika. Rekod penulisan pertama yang
memerihalkan tentang Alhambra didapati bertarikh pada kurun ke-9 Masihi.
Menurut catatan ini, seorang lelaki bernama Sawwar ben Hamdun mencari
perlindungan di Alcazaba di saat kaum Muslim dan Muladi (penduduk kacukan
Arab-Eropah) saling bergaduh. Alcazaba merupakan sebuah kubu dan dianggap
sebagai salah satu bahagian Alhambra yang paling tua.
Walaupun Sawwar ben
Hamdun dan beberapa orang Muslim lain yang mencari perlindungan di Alcazaba ini
mungkin telah memulakan pembinaan di sana, tapak tersebut tenggelam dari
pengetahuan sejarah pada kurun ke-10. Memasuki kurun ke-11, Dinasti Ziriyah
menubuhkan Taifa Granada dan mendiami Alcazaba Cadima di Albaicin.
Menurut
beberapa sumber, wazirnya yang merupakan seorang Yahudi bernama Samuel ibn
Naghralla berusaha untuk memelihara sebuah petempatan Yahudi yang penting di
Bukit Sabika. Maka, beliau pun membina semula runtuhan bangunan di bukit itu,
di samping turut membina sebuah istana baru bagi tuannya di sana. Sumber-sumber
lain pula mendakwa bahawa para pemerintah Granada hanya mendirikan kediaman
mereka di Bukit Sabika pada kurun ke-13, yakni ketika era pemerintahan Dinasti
Nasriyah.
Kebanyakan bahagian
Alhambra yang dapat dilihat pada hari ini sememangnya dibina oleh dinasti
berkenaan. Ketika emir Granada yang pertama, iaitu Muhammad, memegang kuasa,
beliau pada mulanya menetap di Albaicin sama seperti para penguasa Dinasti
Ziriyah sebelumnya. Menjelang waktu itu, bangunan-bangunan di Bukit Sabika
telah pun runtuh. Namun, keadaan ini menarik perhatian emir.
Justeru, Muhammad
pun memerintahkan agar runtuhan-runtuhan tersebut dibaik-pulih dan
bangunan-bangunan baru dibina di bukit berkenaan. Walaupun Muhammad
bertanggungjawab meletakkan batu-batu asas bagi pembinaan Alhambra, beberapa
penambahan lain turut dilakukan oleh penguasa sesudahnya dan Alhambra hanya
siap dibina pada kurun ke-14.
Pada mulanya,
kefungsian Alhambra lebih menjurus sebagai benteng pertahanan. Muhammad membina
tiga buah menara baru di Bukit Sabika dan turut memulihkan menara-menara yang
telah rosak. Beliau turut memulakan projek pembinaan istana dan kubu
bentengnya. Untuk membolehkan tempat itu didiami, Muhammad juga membina terusan
yang mengalirkan air dari Sungai Darro. Para penguasa sesudah Muhammad
melanjutkan usahanya itu, khususnya projek pembinaan Alhambra.
![]() |
| Keindahan dekorasi Alhambra |
Bahagian Alhambra yang
paling dikenali pada hari ini dibina pada era pemerintahan Yusuf I dan Muhammad
V yang kedua-duanya memerintah Granada pada kurun ke-14. Sumbangan Yusuf I
kepada Alhambra melibatkan pembinaan Ruang Mandi, Istana Comares, dan Gerbang
Keadilan. Sementara itu, penambahan yang dilakukan oleh Muhammad V pula antara
lain ialah Istana Singa. Salah satu elemen dekorasi yang paling mengagumkan di
Alhambra adalah hasil lepaannya yang meliputi hampir setiap permukaan dinding,
lengkungan, bilik kebal dan syiling istana-istana diraja. Hasil lepaan Alhambra
merangkumi kaligrafi, bentuk geometri, dan ukiran tumbuh-tumbuhan.
TUMBANGNYA DINASTI
NASRIYAH KE TANGAN KRISTIAN
Dinasti Nasriyah tidak
berupaya menjadi kuasa yang dominan di Sepanyol. Para pengganti Muhammad pula
kurang cekap. Namun, terdapat satu tempoh singkat di mana Dinasti Nasriyah
secara serius mendukung idea mahu menghidupkan kembali pemerintahan Islam di
Semenanjung Iberia. Walaupun mereka memperakui Castile sebagai penguasa atasan,
Dinasti Nasriyah bertindak membentuk pakatan dengan Dinasti Mariniyah dari
Barat Laut Afrika.
Pada tahun 1340, Dinasti Mariniyah merentasi Selat Gibraltar
dan menyerang Sepanyol dengan harapan dapat merebut semula wilayah-wilayah yang
hilang dari tangan Muslim dalam kempen Reconquista pada abad lalu. Namun,
pasukan Mariniyah dan Nasriyah ini ditewaskan oleh pasukan gabungan
Castile-Portugis dalam Pertempuran Rio Salado.
Walaupun kekuatan
Emiriyah Granada menyusut secara signifikan selepas kekalahan ini, pihak Kristian
tidak menamatkan riwayat Dinasti Nasriyah. Raja Castile, iaitu Alfonso VI,
mangkat 10 tahun selepas tamatnya Pertempuran Rio Salado. Para penggantinya
pula tidak berminat untuk melanjutkan kempen Reconquista. Sebaliknya, mereka
lebih sibuk melibatkan diri dalam peperangan lain. Rentetan itu, Dinasti
Nasriyah berpeluang untuk mempertahankan emiriyah mereka selama sekurun
setengah. Apapun, kejatuhan mereka ini hanya sekadar ditangguhkan lantaran pada
akhrnya. Granada tetap jua tumbang ke tangan Kristian-Sepanyol.
Pada tahun 1469,
Kristian-Sepanyol membentuk semula kesatuan sebagai susulan perkahwinan antara
Ferdinand II dari Aragon dan Isabella I dari Castile. Sekitar masa yang sama,
Dinasti Nasriyah enggan membayar ufti kepada Castile dan hal ini mendorong
kepada meletusnya perang antara Emiriyah Granada dan Sepanyol. Situasi di pihak
Granada diburukkan lagi oleh perpecahan dalaman.
Menjelang musim bunga
tahun 1491, Dinasti Nasriyah kehilangan seluruh wilayahnya di tangan Kristian,
kecuali Granada. Pemerintah terakhir Granada, iaitu Muhammad XII (juga dikenali
sebagai Boabdil oleh orang Eropah) tidak berupaya memecahkan kepungan musuh ke
atas kotanya. Namun, beliau berjaya memeterai rundingan damai selama empat
bulan dengan pihak Sepanyol. Jika kotanya tidak menerima sebarang bantuan
menjelang akhir tempoh perdamaian, beliau memutuskan untuk menyerahkan kota
kepada Sepanyol. Cubaan Muhammad untuk mendapatkan bantuan daripada Mariniya
tidak berhasil. Lantaran itu, pada tanggal 2 Januari 1492, Granada diserahkan
kepada Sepanyol.
PENGAKHIRAN DINASTI
NASRIYAH DAN LEGASI UNIK MEREKA
Kejatuhan Granada ini
menandakan berakhirnya kekuasaan Dinasti Nasriyah secara khusus dan
pemerintahan Islam di Semenanjung Iberia secara umum. Pada hari ini, Dinasti
Nasriyah paling diingati sebagai negara Muslim terakhir di Semenanjung Iberia,
selain taifa yang paling lama bertahan. Lebih utama adalah legasi yang
ditinggalkan olehnya, terutama Alhambra.
Pada kurun-kurun
sesudah kejatuhan Granada, Alhambra menerima nasib yang jelek. Sejurus selepas
Dinasti Nasriyah digulingkan, kebanyakan ruang dalam Alhambra dirosakkan dan
perabotnya dihancurkan atau dibuang. Pada kurun ke-16, Charles V membina semula
sebahagian Alhambra mengikut gaya Renaisans dan meruntuhkan beberapa buah bahagian
lain agar membolehkannya membina sebuah istana mengikut gaya Itali.
Pada kurun
ke-19, sebahagian menara Alhambra diletupkan oleh Perancis semasa
berlangsungnya Perang Semenanjung. Kerosakan lanjut pula diakibatkan oleh
kejadian gempa bumi. Mujur buat Alhambra, pada kurun yang sama itu jugalah
keraj-kerja pembaikpulihan dan pembinaan semula dijalankan secara rapi.
Alhambra diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1984 dan usaha
pembaikpulihan serta pemeliharaannya masih berlanjutan sehingga ke hari ini.
SUMBER
- Borges, V. 2016. Nasrid plasterwork: symbolism, materials & techniques.
- History.com. 2018. Alhambra.
- New World Encyclopedia. 2020. Fall of Granada.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Nasrid Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Granada.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Granada.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Alhambra.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Battle of Rio Salado.
- The Metropolitan Museum of Art. 2002. The Art of the Nasrid Period (1232-1492).
- UNESCO. 2020. Alhambra, Generalife and Albayzin, Granada.
- Alhambra.org. 2020. History of the Alhambra of Granada.
- Alhambradegranada. 2020. The Alcazaba.
- Andalucia. 2020. Granada City – The Alhambra.
- Qantara-med. 2008. The Nasrid Dynasty (1232-1492).
- Spain Then and Now. 2009. Al-Andalus. 11th Century. Taifa Kingdoms.
- Get link
- X
- Other Apps




