- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (6 Jun 2020). The Roman Bridge of Cordoba that Transported Armies,
and Spans Time. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/roman-bridge-cordoba-0013820
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/roman-bridge-cordoba-0013820
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Struktur-struktur purba
seringkali menceritakan kepada kita banyak perkara tentang sejarah sesebuah
rantau atau negara. Mereka mendedahkan kepada kita apakah bahan-bahan yang
terdapat di sana, budaya dan kepercayaan masyarakat setempat, dan jika ada,
bangsa manakah yang berpengaruh ke atas bangsa lain dan berdagang dengan
masyarakat di kawasan sekitar. Jambatan Rom di Cordoba, Sepanyol, merupakan
contoh utama bagi struktur seumpama ini. Jambatan ini memainkan peranan yang
penting dalam sejarah Sepanyol – bermula daripada zaman Dunia Purba, Zaman Pertengahan,
hinggalah ke hari ini.
SEJARAH JAMBATAN ROM
DAN PERUBAHAN BENTUKNYA
Cordoba pada asalnya
merupakan sebuah petempatan Iberia yang sangat dipengaruhi oleh penduduk
Carthage. Tentera-tentera Rom, terutama yang berada di bawah kepimpinan
panglima merangkap ahli politik yang bernama Metellus, menakluki kota tersebut
pada kurun pertama Sebelum Masihi. Maharaja Augustus menjadikan kota itu
sebagai ibu kota wilayah Hispania Ulterior (Sepanyol Jauh) dan ia mengalami
perkembangan pesat lantaran kekayaan sumber alamnya.
![]() |
| Tentera-tentera Rom dan panglima mereka |
Di bawah arahan
Augustus, orang-orang Rom menggantikan jambatan kayu di atas Sungai
Guadalquivir yang pada asalnya dibina oleh masyarakat Iberia. Jambatan batu
yang baru ini menjadi sebahagian daripada jalan utama yang dikenali sebagai
Laluan Augustus (Via Augustus). Struktur ini mempunyai signifikasi
strategik dan digunakan oleh pasukan-pasukan legion Rom dalam kebanyakan kempen
ketenteraan mereka ke atas penduduk asli Iberia.
Selepas ketumbangan Empayar
Rom Barat. Visigoth membangunkan sebuah kerajaan di Iberia. Pada kurun ke-8
Masihi, sebuah pasukan tentera gabungan Arab-Berber menyerang Iberia dan
Sepanyol moden diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Umayyah. Kemudian,
selepas tertubuhnya Empayar Abbasiyah, Cordoba berubah menjadi ibu kota
Emiriyah Umayyah dan seterusnya menjadi ibu kota Kekhalifahan Umayyah.
Cordoba
berfungsi sebagai ibu kota Muslim-Sepanyol selama beberapa kurun dan kota itu
berkembang menjadi kota yang paling besar di Eropah. Ia juga berperanan sebagai
pusat kebudayaan yang utama, di mana ilmuwan dan para penulis Muslim mahupun
Yahudi lahir dan berkembang di sana.
![]() |
| Menara Calahorra yang bersebelahan dengan Jambatan Rom, Cordoba |
Memandangkan jambatan
ini tidak diselenggara sepanjang kurun-kurun yang berlalu, maka ia pun menjadi
usang. Jambatan ini dibina semula pada 720an oleh Al-Samh ibn Malik
al-Khawlani, gabenor Umayyah.
Banyak unsur seni bina
Islami ditambahkan ke dalam struktur Rom yang asal. Sama seperti Rom, para pemerintah
Muslim seperti Abd al-Rahman III dan Al-Hakam II membawa pasukan tenteranya
merentasi jambatan ini dalam kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan ke atas
negara-negara Kristian di utara. Malah, musuh-musuh mereka juga sering disalib
di jambatan ini.
![]() |
| Tugu Archangel Raphael di Jambatan Rom, Cordoba |
Menara Calahorra yang
merupakan sebuah gerbang berkubu, kemudiannya ditambahkan oleh Dinasti
Berber-Almuwahhidun pada kurun ke-12 demi memperkuatkan lagi pertahanan
jambatan. Tentera Kristian seterusnya menakluki Cordoba dan jambatan tersebut
digunakan oleh pasukan tentera mereka dalam kempen-kempen memerangi Muslim.
Pada kurun ke-16, masjlis perbandaran tempatan mendirikan sebuah gerbang
Renaisans yang dinamakan sebagai Puerta del Puente.
Pada kurun ke-17 pula,
pihak berkuasa tempatan mendirikan patung St. Raphael, si penaung Cordoba,
sebagai usaha memadam kesan-kesan peninggalan Muslim pada jambatan itu. Tugu
tersebut diletakkan di tengah-tengah jambatan dan menjadi tempat suci di mana
ramai penganut agama Kristian meletakkan lilin dan sembah korban.
Jambatan ini menjalani
pembinaan semula dan pembaikpulihan sebanyak beberapa kali dan pada hari ini,
ia menjadi destinasi perlancongan utama. Ia juga pernah digunakan sebagai
lokasi penggambaran bagi sebuah episod dalam siri Games of Thrones,
Musim ke-5.
SALAH SATU JAMBATAN
TERULUNG DUNIA
Jambatan ini berukuran
820 kaki panjang (247m) dan 29 kaki lebar (9m). Daripada 17 buah lengkungan
asal yang dibina, hanya 16 buah sahaja yang tinggal lantaran sebuah daripadanya
dibuang semasa era Islam. Kebanyakan struktur ini merupakan tinggalan dari era
Moor dan kebanyakan rekaan jambatan ini mengambil inspirasi Islami. Pada kurun
ke-19, majlis perbandaran tempatan meletakkan batu-batu buntar di sepanjang jambatan.
Menara Calahorra yang
telah melindungi jambatan ini bertahun-tahun lamanya, dibina mengikut gaya
Islami. Menara ini terdiri daripada dua buah menara yang disambung oleh sebuah
menara silinder di tengah-tengahnya, dan ketinggian hampir mencecah 100 kaki
(30m). Pada tahun 1369, ia dibaiki oleh Raja Enrique II of Castile demi
mempertahankan kota dari serangan saudaranya, Pedro I si Kejam.
![]() |
| Puerta del Puente, jambatan Rom pada waktu malam bersama Masjid Katedral Cordoba |
Puerta del Puente yang
menjadi mercu kebanggaan bandar pula berdiri di penghujung berlawanan jambatan dan ia menawarkan
pemandangan sekitar yang cukup memukau jika pengunjung berdiri di balkoninya.
MENGUNJUNGI JAMBATAN
CORDOBA
Mudah untuk diakses,
jambatan ini terletak tepat di tengah-tengah bandar bersejarah Cordoba, bandar
yang banyak menyimpan bangunan serta monumen orang Moor dan zaman pertengahan.
Tiada bayaran dikenakan untuk melalui jambatan tersebut. Namun, sejumlah
bayaran dikenakan untuk memasuki muzium yang kini menempatkan Menara Calahorra.
Bayaran kecil juga dikenakan untuk memasuki bilik pameran yang terdapat di
dalam Puerta del Puente. Walaupun suasana di jambatan ini mungkin sesak pada
musim panas, pengalaman mengunjunginya merupakan suatu perkara yang tidak boleh
dilepaskan.
SUMBER
- Hillenbrand, R. (1992). The ornament of the world: medieval Cordoba as a cultural centre. The Legacy of Muslim Spain, 1, 112-35.
- Knapp, R.C. (1983). Roman Cordoba (Vol. 30). Univ of California Press.
- Marias, F. (2018). Local antiquities in Spain: From Tarragona to Cordoba. In Local antiquities, local identities. Manchester University Press.
Amir Zayyanid
Ancient Origins
Eropah
Lokasi Bersejarah & Menarik
Rom
Tarikh al-Islami
Teratak Tarjim
- Get link
- X
- Other Apps




