- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ashley Cowie. (19 Mei 2020). Remains of Legendary Lost English Samurai
Unearthed in Japan. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/english-samurai-0013732
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/english-samurai-0013732
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Rangka seorang samurai
Inggeris yang tiba di Jepun pada tahun 1600 Masihi dalam perjalanan menuju ke
Dunia Baru bersama konvoi Belanda yang bernasib malang, telah dikenal pasti
identitinya secara positif oleh ahli-ahli arkeologi.
Kisah aksi-pengembaraan
seorang pelaut Inggeris kurun ke-17, William Adams, ini diabadaikan dalam novel
James Clavell yang berjudul ‘Shogun’ dan siri TV 1980an dengan judul
sama yang dibintangi oleh Richard Chamberlain. Menurut artikel yang disiarkan
oleh Evening Independent pada 1980an, Clavell bahawa beliau memperoleh
inspirasi untuk menghasilkan novel tersebut setelah membaca sepotong ayat yang
terkandung di dalam buku teks milik anak perempuannya yang berbunyi, “Pada
tahun 1600, seorang lelaki Inggeris pergi ke Jepun dan menjadi seorang
samurai”.
Walaupun kisah hidup
Adams didokumentasikan dengan baik, tempat persemadian terakhirnya kekal
sebagai sebuah misteri arkeologi selama lebih empat kurun. Namun, pada tahun
lalu, sekumpulan ahli arkeologi yang melakukan ekskavasi ke atas sebuah tanah
perkuburan di Pulau Hirado, Wilayah Nagasaki, berjaya menemukan sebab untuk
meyakini bahawa jasad samurai Inggeris itu telah pun dijumpai.
SAMURAI INGGERIS
William Adams
dilahirkan pada tahun 1564 Masihi dan menjelang 1598 Masihi, beliau menyertai
perlayaran lima buah kapal Belanda di Rotterdam bagi tujuan mencari kekayaan di
Dunia Baru. Adams merupakan anak kapal bagi salah sebuah kapal yang terselamat
dari karam. Pun begitu, beliau ditahan di Istana Osaka oleh Tokugawa Ieyasu, shogun
atau ketua samurai yang memerintah Jepun pada waktu itu. Setelah lama
mendampingi tokoh Jepun itu, Adams sangat disenangi oleh Ieyasu hinggakan
beliau dilarang dari meninggalkan pulau. Di sana, Adams dikenali sebagai
‘samurai bermata-biru’.
![]() |
| Peta Jepun pada tahun 1707, bersama lukisan kecil yang menggambarkan samurai Inggeris, William Adams sedang bersama Tokugawa Ieyasu |
Keperibadian Adams
begitu dikagumi oleh shogun. Walaupun beliau sudah pun mempunyai seorang
isteri dan anak di England, Adams mengahwini seorang wanita Jepun yang bernama
Yuki dan dikurniakan dua orang anak bernama Joseph dan Susanna. Bahkan,
dicatatkan bahawa beliau turut dikurniakan status samurai dan “dihujani hadiah
yang banyak, termasuklah 90 orang hamba”, menurut sebuah laporan di Daily
Mail. Ketika shogun kemudiannya mengizinkan beliau untuk kembali ke
pangkuan keluarga dan kehidupan lalunya di England, Adams menolak tawaran
tersebut dan memutuskan untuk menghabiskan sisa hidupnya di Jepun.
BUKAN SATU, TETAPI
BANYAK BUKTI
Tulang-temulang beliau
yang setakat ini hanya 5% sahaja telah dijumpai, ditemukan di tanah perkuburan
Hirado yang pada asalnya telah pun diekskavasi pada tahun 1931. Pada waktu itu,
rangka tersebut ditemukan dalam sebuah “kubur bergaya-Barat” sebagaimana yang
diujarkan oleh ahli-ahli arkeologi di zaman itu. Hal ini membangkitkan khabar
angin bahawa Adams sememangnya disemadikan di situ.
Kemudian, sebuah batu nisan
ditemui di kawasan berhampiran di mana ia mengandungi nama Jepun Adams, iaitu
“Miura Anjin”. Baru-baru ini, ahli-ahli arkeologi di Universiti Tokyo memanfaatkan
alatan analisa moden untuk menjalankan ujian dan mendapati lelaki yang ditemui
itu meninggal dunia sekitar tahun 1590 hingga 1620 Masihi, iaitu tempoh yang
tepat Adams meninggal dunia.
![]() |
| Nisan samurai Inggeris, William Adams atau Miura Anjin di Hirado, Wilayah Nagasaki, Jepun |
Keterujaan saintis
semakin ketara apabila analisa utama yang mereka jalankan mendapati DNA rangka
tersebut adalah milik seorang lelaki dari Eropah utara yang meninggal dunia
pada usia antara 40 hingga 59 tahun. Kini, pada ulang tahun ke-400 kematian
Adams (1620 Masihi), pakar-pakar forensik baik di Jepun mahupun di Britain
mengumumkan bahawa mereka telah pun berjaya mengidentifikasikan jasad tersebut
sebagai Adams, kata sebuah artikel di The Telegraph.
Profesor Richard
Irving, salah seorang anggota Kelab William Adams yang berpangkalan di Tokyo
memaklumkan kepada Telegraph bahawa penemuan tersebut “konsisten dengan
ciri-ciri Adams yang telah pun diketahui, seperti jantinanya, asal-usul
kelahirannya, serta usia dan tahun kematiannya.”
KARYA YANG MENEKANKAN
PETUALANGAN ADAMS
Walaupun novel Clavell
yang berjudul ‘Shogun’ dianggap sebagai adaptasi terbaik kehidupan Adams
di Jepun, ia bukanlah adaptasi yang pertama memandangkan William Dalton telah
pun menghasilkan Will Adams, The First Englishman in Japan: A Romantic
Biography pada tahun 1861. Kemudian pada tahun 1932, Richard Blaker
menerbitkan The Needlewatcher, sebuah karya fiksyen-sejarah yang sangat
cermat dan berupaya menyah-mitoskan kehidupan Adams. Selanjutnya, beberapa
adaptasi yang dianggap kurang berjaya dihasilkan sepanjang 1960an hingga
1970an, sebelum Christopher Nicole menerbitkan Lord of the Golden Fan
pada tahun 1973, dua tahun sebelum Shogun dikeluarkan oleh Clavell.
Menurut Universiti
Columbia, karya yang terakhir ini merupakan sebuah karya ‘pornografi ringan’
yang mendedahkan sisi gelap Adams. Di mana, beliau digambarkan sebagai seorang
lelaki Inggeris yang tertekan dengan norma dan moral masyarakat pada waktu itu,
seterusnya berpetualangan bagi mencari kebebasan seksual di Timur. Bersama
dengan pemerincian tentang 90 orang hamba yang kebanyakannya merupakan gadis
yang “paras-paras cukup usia” (barley legal), karya ini dianggap sebagai
sebuah fiksyen-sejarah yang dihasilkan dengan cermat.
- Get link
- X
- Other Apps


