- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Natalia Klimczak. (7 Disember 2016). More than Battles of Armageddon: The
Forgotten Story of Megiddo, An Archaeological Paradise. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/more-battles-armageddon-forgotten-story-megiddo-archaeological-paradise-007148
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/more-battles-armageddon-forgotten-story-megiddo-archaeological-paradise-007148
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kota Megiddo
sememangnya masyhur dalam teks-teks purba. Namun, kewujudannya diabaikan
seiring peredaran masa. Merentas kurun, manusia sudah lupa dan bahkan
tertanya-tanya sama ada Megiddo ini benar-benar wujud atau hanya sekadar sebuah
legenda dari zaman silam.
MENJEJAK MEGIDDO
Megiddo terletak
berhampiran Kibbutz Megiddo, kira-kira 30km (18.64 batu) dari kota Haifa,
(negara haram) Israel. Masyarakat Yunani purba memanggilnya sebagai Armageddon.
Kota ini meraih kemajuan sebagai sebuah kota Kan’an pada Zaman Gangsa. Namun,
terdapat juga kisah hitam di sebalik kemasyhurannya di zaman moden.
![]() |
| Gerbang kota Zaman Gangsa Lewat di Megiddo |
Nama kota Megiddo lazim
dikenang sebagai medan bagi pertempuran-pertempuran yang pernah meletus di
sana. Kota ini setidak-tidaknya menjadi gelanggang bagi tiga buah pertempuran
yang sangat penting dalam sejarah manusia. Pertempuran pertama berlaku pada
kurun ke-15 SM, iaitu ketika Thutmose III memerangi sebuah tentera pakatan
Kan’an yang diterajui oleh kota Megiddo dan kota Kadesh.
Beberapa kurun
kemudian, iaitu pada tahun 609 SM, Firaun Necho II mengikuti jejak
nenek-moyangnya dengan bertempur di medan yang sama ketika memerangi Raja
Josiah dari Kerajaan Judah. Pertempuran ketiga yang lebih terkini berlaku pada
tahun 1918 dalam Perang Dunia I, iaitu apabila tentera Bersekutu berhadapan
dengan tentera Uthmaniyah. Menurut Bible dan ajaran Kristian, kota Megiddo ini
jua merupakan tempat pertarungan akhir antara Syaitan dan Jesus.
![]() |
| Pertempuran Megiddo, 609 SM |
EKSKAVASI DI MEGIDDO
Ahli-ahli arkeologi
telah menemukan sebanyak 26 lapisan runtuhan kota. Megiddo menjalani ekskavasi
buat kali pertama pada tahun 1903. Selama dua musim, ahli arkeologi Jerman yang
bernama Gottlieb Schumacher (dari Persatuan Jerman) bekerja di tapak berkenaan.
Malangnya, kebanyakan dokumentasi yang beliau lakukan telah hilang semasa
Perang Dunia I. Namun, kajian yang dijalankannya sendiri didapati jauh daripada
piawai ekskavasi tipikal.
Para penyelidik kembali
mengunjungi tapak itu pada tahun 1925 apabila J.D. Rockefeller Jr. menubuhkan Oriental Institute of the University of
Chicago. Universiti Ibrani (Hebrew University) terus menjalankan kajian di tapak itu pada tahun 1960. Antara pasukan
penyelidik lain yang turut melakukan ekskavasi di tapak itu termasuklah:
Universiti Tel Aviv, Universiti George Washington, Universiti Bucknell, dan
akhir sekali, Ekspedisi Megiddo. Pada tahun 2010, sekumpulan penyelidik dari
Projek Serantau Lembah Jezreel (Jezreel
Valley Regional Project) dengan
diketuai oleh Matthew J. Adams berjaya menemukan bahagian terawal kota, yang
usianya boleh dijejak kembali pada Zaman Gangsa Awal (3500-3100 SM).
Kekayaan sejarah yang
dimiliki oleh bandar ini bermula pada era Paleolitik, namun petempatan pertama
yang dibangunkan di sana adalah pada tahun 7000 SM. Beberapa penemuan paling
menarik yang melibatkan kota ini datangnya dari Zaman Gangsa. Kuil yang dibina
pada Zaman Gangsa Awal bersifat monumental – mungkin ia merupakan kuil paling
besar di Timur Dekat. Hal ini membawa maksud, Megiddo sudah pun menjadi kota
yang amat membangun pada masa itu.
![]() |
| Kuil umpama-altar bulat dari Zaman Gangsa Awal, Megiddo |
Kota ini mencapai zaman
kemuncaknya pada Zaman Pertengahan Awal. Pada masa itu, keluasan kota ini
mencapai 10-12 hektar (kira-kira saiz keseluruhan 10-12 padang ragbi
antarabangsa). Pada Zaman Gangsa Lewat, kota ini diserang oleh raja Mesir,
Thutmose III dan dijarah oleh beliau. Namun, kota ini masih tetap dihuni sesudah
serangan tersebut. Megiddo sekali lagi dihancurkan pada tahun 1150 SM, kali ini
atas sebab yang tidak diketahui. Kebanyakan penyelidik mengandaikan bahawa ia
diserang oleh kaum Aram (Aramaean). Namun, ia dibina semula dan terus
dihuni selama beberapa kurun. Pada akhirnya, Megiddo ditinggalkan pada tahun
586 SM.
![]() |
| Model yang menggambarkan rupa bentuk Megiddo pada 1457 SM |
MEGIDDO DALAM SURAT
AMARNA
Surat-surat pada era
pemerintahan firaun Akhenaten merupakan sebahagian daripada sumber paling
penting tentang politik kurun ke-14 SM. Teks-teks ini ditulis dalam kuneiform
bahasa Akkadia – bahasa diplomatik pada masa itu. Ia mengandungi banyak
maklumat tentang hal-ehwal politik dan kehidupan seharian masyarakat. Salah
satu surat berkenaan melibatkan teks daripada seorang gabenor Megiddo yang
bernama Biridiya, di mana beliau cuba menerangkan kepada firaun tentang keadaan
wilayahnya. Biridiya menulis:
“Katakan kepada raja,
hai tuanku sang matahariku: ini adalah sebuah kiriman pesanan daripada
Biridiya, hamba yang setia kepada raja. Di kaki tuanku sang matahariku, aku
bersujud tujuh kali dan tujuh kali. Moga raja tuanku pertimbangkan keadaan
hamba dan kota hamba. Hakikatnya, aku sendirian mengusahakannya: ah-ri-shu di
Shunamma dan aku mengendalikan buruh sendirian. Namun, saksikanlah
pembesar-pembesar yang ada di sisiku. Mereka tidak berbuat seperti yang
kuperintah. Mereka tidak mengusahakan tanah di Shunamma, mereka tidak
melengkapkan buruh. Aku sendirian ia-hu-du-un-ni aku sendirian melengkapkan
buruh. Mereka itu datang dari Jaffa dari sekalian lelaki yang ada dan juga dari
Nuribta. Moga raja tuanku mempertimbangkan keadaan kotanya.” (melalui Muzium
Louvre)
![]() |
| Surat dari Biridiya, putera Megiddo, kepada raja Mesir. Teks ini berbicara tentang tuaian oleh pekerja di kota Nuribta |
Surat ini merupakan
satu dokumen yang langka yang meluahkan isi hati seorang insan yang hidup di
zaman pemerintahan Akhenaten. Gabenor Megiddo dapat dikenali menerusi
surat-suratnya kepada firaun. Satu suratnya membincangkan tentang kota Jaffa
dan satu surat lain tentang Shunamma. Namun, surat yang mengandungi kiriman
pesanannya tentang keadaan tanah firaun ini dikira amat unik.
TAPAK ARKEOLOGI MEGIDDO
Pada hari ini, Megiddo
merupakan Taman Kebangsaan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tapak ini telah pun
diterokai menerusi usaha-usaha ekskavasi arkeologi yang berterusan dan ia
sememangnya berupaya menarik perhatian pelancong. Antara tempat paling
mengagumkan yang ada di dalam kota purba ini ialah kuil berusia 5000 tahun dari
Zaman Gangsa Awal, runtuhan rumah-rumah, dan kandang-kandang kuda. Selain itu,
ahli-ahli arkeologi juga telah menemukan ukiran gading dan banyak perhiasan
indah dari zaman yang berbeza-beza. Pada masa lalu, Megiddo dianggap sebagai
medan tempur yang menakutkan. Namun pada hari ini, ia dipandang sebagai sebuah
syurga arkeologi.
![]() |
| Patung wanita dari Zaman Gangsa Lewat |
SUMBER
- Amarna Letter: to the pharaoh from the governor of Megiddo.
- El-Amarna tablets.
- Megiddo.
- The Megiddo Expedition: Archaeology and the Bible by Jennifer Westpfahl.
- Get link
- X
- Other Apps






