- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (2 Jun 2020). Deciphering the Truth Behind the Moors in Spain.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/moors-spain-0013798
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/moors-spain-0013798
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Al-Andalus merupakan
nama yang diberikan kepada Semenanjung Iberia ketika ia berada di bawah
pemerintahan Muslim. Islam tiba di rantau itu bersama dengan kehadiran Orang
Moor pada kurun ke-8 Masihi, dan mereka berjaya menguasai hampir seluruh
semenanjung itu dalam tempoh kurang dari sedekad. Pemerintahan Orang Moor di
Sepanyol berpanjangan sehingga tahun 1492 Masihi, tahun di mana negara Muslim
terakhir di Semenanjung Iberia, iaitu Emiriyah Granada ditakluk oleh tentera
Kristian.
Pada tempoh permulaan
dan penghujung pemerintahan Orang Moor di Semenanjung Iberia, Al-Andalus
mengharungi pelbagai perubahan politik; mengubahnya dari sebuah wilayah
Kekhalifahan Umayyah kepada sebuah emiriyah merdeka dan kemudian, berpecah
menjadi kerajaan-kerajaan kecil yang disebut sebagai taifa.
Zaman
pemerintahan Muslim di Semenanjung Iberia sering disebut sebagai La
Convivencia (“Kehidupan Bersama), iaitu suatu tempoh di mana kaum Muslim,
Kristian dan Yahudi dapat hidup secara aman dan bersama. Namun tentunya,
keadaan sebenar jauh lebih rumit dan tidak seringkas itu.
CONQUISTA
ORANG MOOR YANG TERSENDIRI
Sebelum kedatangan
Islam, Al-Andalus dikenali dengan namanya dalam bahasa Rom, iaitu Hispania.
Pada awal kurun ke-5 Masihi, kebanyakan wilayah Semenanjung Iberia dikuasai
oleh Visigoth. Hanya wilayah di penghujung barat dan utara semenanjung itu
sahaja bebas daripada pemerintahan mereka. Menjelang awal kurun ke-8 Masihi,
Kerajaan Visigoth mengalami kemunduran dan melemah akibat perebutan takhta,
pemberontakan dan penentangan terhadap golongan bangsawan. Akibatnya, Visigoth
tidak berada dalam kondisinya yang terbaik untuk mempertahankan kerajaan mereka
dalam mendepani serangan tentera Umayyah pada tahun 711 Masihi.
Berbicara tentang
sumber primer yang dihasilkan tepat pada waktu serangan tersebut berlaku, tiada
catatan Muslim yang dapat ditemui. Sementara itu, sumber Kristian yang berjudul
Chronicle of 754 pula bersifat samar-samar terutama berkenaan peristiwa
yang diceritakan. Catatan pada kurun ke-9 yang dihasilkan oleh sejarahwan
Muslim, Ibn Abd al-Hakam, memberikan yang agak menarik terutama tentang punca
yang membawa kepada serangan Umayyah.
Menurut Ibn Abd
al-Hakam, seorang bangsawan Visigoth yang bernama Count Julian meminta bantuan
daripada Tariq ibn Ziyad, seorang komander Umayyah lantaran salah seorang
puterinya telah dirogol oleh Roderic, raja Visigoth. Memandangkan Julian tidak
berupaya untuk menghukum raja di atas jenayahnya, beliau memutuskan untuk
meminta bantuan Umayyah agar menyerang kerajaan Visigoth. Justeru, Julian pun
menyediakan kapal-kapal bagi mengangkut tentera Umayyah merentasi Selat
Gibraltar.
Gambaran Raja Roderic, raja terakhir Visigoth di Hispania |
Memandangkan Ibn Abd
al-Hakam membuat catatan tersebut lebih sekurun setelah berlakunya serangan
sebenar ke atas Semenanjung Iberia, cenderung wujud kemungkinan berlakunya
campur-aduk antara fakta dan legenda. Sebilangan sejarahwan menganggap bahawa
kisah dendam Count Julian ke atas Roderic ini sebagai legenda. Tambah mereka
lagi, kononnya terdapat beberapa legenda lain yang memerihalkan sebab serangan
Kekhalifahan Umayyah.
Antaran lain mereka mengatakan bahawa Umayyah menerima
bantuan daripada kaum Yahudi yang hidup di bawah pemerintahan Kerajaan
Visigoth. Lantaran dijanjikan kehidupan yang lebih bebas, kaum Yahudi di
beberapa buah kota Kristian bersetuju untuk membukakan gerbang kepada tentera
Muslim. Kisah ini kemudiannya digunakan oleh pihak Kristian untuk menjatuhkan
hukuman ke atas kaum Yahudi lantaran bersubahat dengan kaum Muslim.
Bahkan sehingga kini,
sejarahwan mengandaikan bahawa punca atau senario serangan Umayyah ke atas
Semenanjung Iberia pada tahun 711 Masihi masih belum diketahui sepenuhnya dan
kebanyakan daripada mereka mengemukakan sejumlah hipotesis. Hipotesis pertama
mengandaikan bahawa Umayyah menghantar pasukan tentera ke Semenanjung Iberia bagi
membantu salah satu pihak yang terlibat dalam perang saudara Visigoth dengan
harapan dapat meraih rampasan perang dan menjalinkan persekutuan di masa
hadapan.
Hipotesis kedua berpendapat Umayyah meniatkan serangan tersebut bagi
menguji kekuatan tentera Visigoth. Pendapat ketiga pula mengatakan bahawa
pasukan yang melakukan serangan tersebut tidak diberikan tugas dan strategi
yang khusus. Manakala hipotesis terakhir menyatakan bahawa serangan tersebut
merupakan gelombang pertama yang membawa kepada serangan berskala-penuh.
Apapun keadaannya,
ketika Tariq ibn Ziyad berangkat dari Afrika Utara dan memasuki Semenanjung
Iberia, beliau membawa bersama kira-kira 10 000 hingga 15 000 orang tentera –
jumlah yang tidaklah besar. Menurut Ibn Abd al-Hakam, pihak Visigoth sama
sekali tidak memberikan perhatian kepada pasukan Umayyah ini lantaran mereka
mengandaikan kapal-kapal tersebut sebagai kapal-kapal dagang. Pada tahun 711
atau 712 Masihi, pasukan Umayyah ini menimpakan kekalahan yang besar ke atas
tentera Visigoth dalam Pertempuran Guadalete.
Raja Roderic berucap di hadapan tentera-tenteranya sebelum berlaku Pertempuran Guadalete, menentang pasukan Moor di Sepanyol |
Selain Roderic, ramai
bangsawan Visigoth terkorban dalam pertempuran ini. Akibatnya, Kerajaan Visigoth
kehilangan pemimpin sekaligus menjejaskan pentadbiran mahupun ketenteraannya.
Keadaan ini sangat membantu pasukan Umayyah dalam menakluki Semenanjung Iberia.
Walaupun tahun 711/712 lazim dianggap sebagai tahun ketumbangan Semenanjung
Iberia ke tangan Orang Moor, sejarahwan berpendapat bahawa penaklukan tersebut
mengambil masa selama beberapa tahun untuk diselesaikan.
PENEGUHAN KUASA DAN
PERLUASAN WILAYAH
Apapun, menjelang tahun
718 Masihi, seluruh Semenanjung Iberia tumbang ke kekuasaan Orang Moor kecuali
wilayahnya yang paling utara. Pada titik waktu ini, Al-Andalus dijadikan
sebagai sebuah wilayah naungan Kekhalifahan Umayyah, justeru ia berada di bawah
pentadbiran gabenor-gabenornya. Sejarahwan mencatatkan bahawa hampir kesemua
gabenor yang mentadbir ini memegang jawatan mereka tidak lebih dua tahun.
Walaupun gabenor-gabenor ini dilantik sendiri oleh Gabenor Ifriqiyya atau
Khalifah di Damsyik, autoriti mereka pada hakikatnya dijejaskan oleh kehadiran
pemerintah tempatan yang kebanyakannya merupakan keturunan penakluk awal.
Penguasa-penguasa tempatan ini meluaskan pengaruh mereka ke wilayah-wilayah
sekitar dan seterusnya hal ini membolehkan mereka untuk menghimpunkan kekayaan.
Oleh hal yang demikian, mereka mempunyai sumber yang ampuh untuk menentang
gabenor jika keadaan menuntut.
Walaupun
gabenor-gabenor Umayyah kurang berjaya dalam meneguhkan autoriti mereka
mengatasi penguasa-penguasa tempatan Al-Andalus, mereka berupaya meluaskan
pengaruh Moor di luar semenanjung. Misalnya pada tahun 719 Masihi, Al-Samh ibn
Malik merentasi Pyrenees dan menakluki Septimania (di Perancis moden). Orang
Moor kekal berada di rantau itu sehingga tahun 759 Masihi.
Serangan Muslim ke atas
Eropah Barat berlangsung sehingga tahun 732 Masihi, di mana pada tahun itu,
sepasukan tentera Muslim yang dipimpin oleh Abd al-Rahman al-Ghafiqi ditewaskan
oleh pasukan Franks pimpinan Charles Martel dalam Pertempuran Tours. Walau
bagaimanapun, kemaraan Muslim ke Perancis lebih banyak dijejaskan oleh
pemberontakan besar-besaran kaum Berber di Afrika Utara pada tahun 739 Masihi
yang kemudiannya turut tersebar ke Al-Andalus.
Gambaran Pertempuran Tours |
KETUMBANGAN DINASTI
UMAYYAH DAN KEBANGKITAN AL-RAHMAN DI IBERIA
Pada tahun 756 Masihi,
status Al-Andalus berubah daripada sebuah wilayah kekhalifahan kepada sebuah
emiriyah yang merdeka. Hal ini merupakan rentetan daripada ketumbangan
Kekhalifahan Umayyah pada tahun 750 Masihi. Setahun sebelum itu, Abu al-Abbas
as-Saffah diangkat menjadi khalifah oleh para penyokongnya sebagai penentangan
terhadap kekuasaan khalifah Umayyah, Marwan II. Dalam Pertempuran Sungai Zab
yang meletus pada tahun 750 Masihi, Marwan ditewaskan sekaligus Kekhalifahan
Abbasiyah pun ditubuhkan.
Folio dari sebuah Tarikhnama (kitab sejarah) oleh Balami, menunjukkan pengisytiharan Abu al-Abbas al-Saffah sebagai khalifah |
Abbasiyah dengan kejam
memburu dan membunuh ahli-ahli keluarga Dinasti Umayyah yang masih hidup.
Namun, salah seorang daripada mereka, iaitu Abd al-Rahman berjaya melarikan
diri ke Al-Andalus. Ketika Abd al-Rahman tiba di sana, wilayah yang sebelumnya
dikuasai oleh Umayyah sudah pun terbahagi kepada dua pecahan yang saling
berseteru, iaitu Qays dan Yaman. Keadaan ini dilihat oleh Abd al-Rahman sebagai
sebuah peluang untuk dimanfaatkan olehnya.
Abd al-Rahman dengan
penuh cekap mengemudi politik Al-Andalus, mengubah persekutuannya dari satu
pihak ke satu pihak. Selain itu, beliau turut meneguhkan kedudukannya dengan
mengupah pasukan tentera yang sanggup berjuang untuknya. Menjelang tahun 755
Masihi, Abd al-Rahman merasakan bahawa kedudukannya sudah cukup kuat lantas
bertindak menyerang Gabenor Al-Andalus. Tindakannya itu meraih keberhasilan,
justeru beliau menjadikan Cordoba sebagai ibu kotanya dan menubuhkan Emiriyah
Cordoba.
Potret Abd al-Rahman I, salah seorang tokoh Muslim paling signifikan di Sepanyol pada zaman pertengahan |
Abd al-Rahman
memerintah selama hampir tiga dekad dan sepanjang tempoh itu, beliau perlu
mendepani ancaman-ancaman daripada luar seperti pasukan tentera yang dihantar
oleh Abbasiyah dan Franks, di samping ancaman dalaman seperti pemberontakan.
Apapun, Abd al-Rahman merupakan seorang pemimpin yang cekap dan berupaya
mempertahankan kerajaannya.
Para pengganti Abd
al-Rahman meneruskan legasi beliau, dan Emiriyah Cordoba mencapai kemuncaknya
pada kurun ke-10 Masihi. Pada tahun 929 Masihi, Abd al-Rahman III yang dianggap
sebagai pemerintah terhebat Andalus, mengambil gelaran ‘Khalifah’ sekaligus
mengubah status Emiriyah Cordoba menjadi Kekhalifahan Cordoba. Abd al-Rahman
mewarisi datuknya, Abd Allah sebagai emir pada tahun 912 Masihi ketika beliau
baru sahaja berusia 21 tahun.
MUSLIM BERTELAGAH,
SEMENTARA KRISTIAN MEREBUT PELUANG
Pada masa-masa
tertentu, Emiriyah Cordoba hanya merupakan pemerintah kecil di Al-Andalus dan
banyak bergantung pada kesetiaan para penguasa Muslim tempatan. Lantaran itu,
kerapkali berlaku penentangan terhadap hegemoni Cordoba. Abd al-Rahman
merupakan seorang ketua tentera yang cekap dan berupaya menjalankan kempen
cemerlang ke atas seorang ketua pemberontak, iaitu Umar ibn Hafsun yang
dianggap sebagai seteru terbesarnya. Pemberontakan ini tumbang secara ketara
sesudah kematian Umar ibn Hafsun pada tahun 917 Masihi. Apapun, ibu kotanya
yang terletak di Bobastro hanya tumbang ke tangan Abd al-Rahman pada tahun 928 Masihi.
Sebelum memasuki tahun
929 Masihi, Dinasti Umayyah di Al-Andalus sememangnya memperakui autoriti
khalifah Abbasiyah sebagai ketua umat Muslim yang sah. Justeru, tatkala Abd
al-Rahman menabalkan dirinya sebagai khalifah, ia dianggap sebagai pengisytiharan
kemerdekaan dari autoriti Abbasiyah. Pada masa yang sama, pengisytiharan ini
juga merupakan susulan daripada tindakan Fatimiyyah, di mana pemerintahnya juga
mengangkat diri sebagai ‘Khalifah’. Walaupun Abbasiyah memahami keadaan ini
sebagai satu cabaran terbuka ke atas pemerintahannya, mereka tidak mampu
melakukan sebarang tindak-balas.
Akan tetapi,
Kekhalifahan Fatimiyyah yang menguasai pantai Afrika Barat dianggap oleh Abd
al-Rahman sebagai ancaman terbesar buatnya lantaran mereka menjejaskan pengaruh
Umayyah di barat laut Afrika. Abd al-Rahman tidak berupaya meruntuhkan
Fatimiyyah, justeru pergelutan antara dua kekhalifahan ini berlanjutan
sepanjang kurun ke-10.
Pemerintahan
Kekhalifahan Umayyah di Al-Andalus berakhir pada tahun 1031, apabila kekhalifahan
itu terbahagi menjadi sejumlah kerajaan kecil atau disebut sebagai taifa.
Pada tempoh tersebut, taifa demi taifa memerangi antara satu sama
lain dan saling melemahkan kekuatan masing-masing. Negara-negara Kristian di
utara menyedari situasi yang berlaku di Al-Andalus ini, justeru mengambil
peluang untuk memperkuatkan kedudukan. Sebahagian taifa kehilangan
wilayah di tangan pasukan tentera Kristian-Sepanyol, sambil ada pula yang
dipaksa membayar ufti tahunan.
Pada tahun 1085,
penaklukan Toledo yang merupakan kunci masuk ke Al-Andalus oleh pasukan tentera
Castile menerbitkan rasa cemas dalam kalangan pemerintah taifa-taifa di
sana. Mereka lantas meminta bantuan Al-Murabitun yang berkuasa di barat laut
Afrika. Al-Murabitun berupaya menghentikan kemaraan pasukan Kristian, namun
mereka bertindak berpaling pihak dari taifa-taifa ini sekaligus
menggulingkan para pemerintahnya. Al-Andalus kemudian disatukan di bawah
pemerintahan mereka.
Gambaran penaklukan Alfonso VI ke atas Toledo pada 25 Mei, 1085, di Plaza de Espana di Seville |
Namun, Al-Murabitun
digulingkan oleh sebuah lagi kuasa baru di barat laut Afrika, iaitu
al-Muwahhidun sekitar tahun 1145. Al-Muwahhidun kemudiannya menyerang
Al-Andalus dan berjaya menguasai wilayah tersebut. Walaupun beberapa buah taifa
terbentuk sebagai susulan kejatuhan Al-Murabitun, taifa-taifa ini juga
jatuh ke tangan Al-Muwahhidun. Satu-satunya ancaman terbesar buat Al-Muwahhidun
adalah negara-negara Kristian yang semakin hari semakin meningkat kekuatannya.
Pada separuh pertama
kurun ke-13 Masihi, Al-Muwahhidun secara bertahap tetapi pasti diasak ke
selatan semenanjung. Beja tumbang ke tangan Portugal pada tahun 1234, Cordoba
jatuh ke tangan Castile pada tahun 1236 dan Seville, ibu kota Al-Muwahhidun
dikuasai pada tahun 1248. Seperti kebiasaannya, beberapa orang penguasa
tempatan Moor melihat nasib malang yang menimpa Al-Muwahhidun ini sebagai
peluang untuk mereka menubuhkan taifa tersendiri. Walau bagaimanapun,
mereka juga tidak berupaya melepaskan diri dari kekuasaan Kristian.
Masjid-Katedral Cordoba yang sebelum ini merupakan Masjid Jamek Cordoba. Masjid asal (742), yang lebih besar, dibina di atas tapak ‘Saint Vincent basilica’ (600) |
KEJATUHAN MOOR-MUSLIM
DI SEPANYOL DAN LEGASI MEREKA
Kubu kuat Muslim yang
terakhir di Al-Andalus adalah Emiriyah Granada yang diperintah oleh Dinasti
Nasri. Emiriyah ini ditubuhkan oleh Muhammad ibn al-Ahmar pada tahun 1238.
Memandangkan pihak Kristian tidak memandang Dinasti Nasri sebagai ancaman
serius, mereka hanya sekadar mengutip ufti tahunan sahaja daripada mereka dan
kadangkala, melakukan serangan ke atas mereka dari semasa ke semasa. Walaupun
Muhammad ibn al-Ahmar merupakan pemerintah bawahan Castile, Dinasti Nasri
menjalinkan pakatan dengan Dinasti Marini di barat laut Afrika untuk memerangi
Kristian pada kurun ke-14.
Pakatan ini mengalami
kekalahan besar di tangan tentera Castile dan Portugis dalam Pertempuran Rio
Salado yang berlaku pada tahun 1340. Namun, pasukan tentera Kristian tidak
melanjutkan kemaraan mereka lantaran kematian Alfonso XI of Castile pada tahun
1350. Dinasti Nasri mengekalkan kuasanya sehingga tahun 1492, iaitu tahun di
mana Granada ditakluk oleh Ferdinand II of Aragon dan Isabella I of Castile.
Peristiwa ini menandakan pengakhiran buat Al-Andalus.
Potret Ferdinand II of Aragon dan Isabella I of Castile yang menakluki Granada |
Pada hari ini, tempoh
pemerintahan Orang Moor di Semenanjung Iberia dikenang sebagai La
Convivencia, iaitu tempoh di mana kaum Muslim, Kristian dan Yahudi dapat hidup
bersama secara harmoni sekaligus menyumbang kepada kemasyhuran Al-Andalus
sebagai salah sebuah kawasan yang paling maju di Eropah. Di bawah pemerintahan
Orang Moor, kaum Kristian dan Yahudi tidak dipaksa untuk menukar agama.
Sebaliknya, mereka dibenarkan untuk terus menganuti agama masing-masing. Selain
itu, mereka juga tidak diperhambakan dan dibenarkan untuk bekerja di sektor
awam. Mereka juga tidak dipisahkan dalam kawasan perumahan khusus lagi
terpencil yang sesak.
Namun, pada masa yang
sama toleransi ini juga mempunyai batas-batas yang tertentu. Sebagai contoh,
kaum Yahudi dan Kristian secara langsung mahupun tidak langsung dilayan sebagai
warga kelas-kedua. Menyampaikan agama mereka kepada kaum Muslim juga tidak
dibenarkan, dan undang-undang yang ketat dikenakan ke atas bangunan-bangunan
sinagog dan gereja.
Toleransi yang disebutkan ini juga tidak berlangsung
konsisten sepanjang pemerintahan Muslim di sana. Al-Muwahhidun berpegang kepada
fahaman fundamental, justeru ramai bukan-Muslim yang berpindah setelah Cordoba
dikuasai oleh mereka pada tahun 1148. Apapun, jika dibandingkan dengan layanan
yang diberikan kepada kaum Muslim dan Yahudi oleh pemerintah Kristian sesudah Reconquista,
pemerintahan Muslim di Sepanyol dilihat jauh lebih baik dan toleran.
SUMBER
- About-History. 2017. The Brutal History of the Visigoth Kingdom of Spain.
- Afsaruddin, A. 2020. Umayyad dynasty.
- Archnet.org. 2020. Umayyad in Spain.
- Khalidi, T. 2020. ‘Abd al-Rahman III.
- New World Encyclopedia. 2020. Umayyad conquest of Hispania.
- Pike, J. 2011. Umayyad Caliphate of Cordoba 929-1031.
- Rothstein, E. 2003. Was the Islam of Old Spain Truly Tolerant?
- Shubert, A. et al. 2020. Spain: Muslim Spain.
- Spain Then and Now. 2009. Al-Andalus: 10th Century. Abd al-Rahman III.
- The BBC. 2009. Muslim Spain (711-1492).
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Nasrid dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. ‘Abd al-Rahman I.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Al-Andalus.
- The Metropolitan Museum of Art. 2020. The Spanish Umayyads (711-1031).
- History World. 2020. History of the Arabs.
- Laconvivencia. 2020. A City of Three Cultures: Toledo, Spain.
- Get link
- X
- Other Apps