- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 Oktober 2019). The Ionian Revolt – Prelude to the Graeco-Persian
Wars. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/ionian-revolt-0012686
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/ionian-revolt-0012686
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pemberontakan Ionia
merupakan sebuah siri pemberontakan yang meletus di Asia Kecil pada awal kurun
ke-5 Sebelum Masihi. Pada masa itu, seluruh Asia Kecil berada di bawah
pemerintahan Empayar Achaemenid. Bahagian tengah bagi pantai barat rantau itu
dikenali sebagai Ionia.
Masyarakat Ionia
merupakan orang Yunani yang menghuni kawasan tersebut sekitar penghujung
milenium ke-2 atau awal milenium pertama Sebelum Masihi. Ionia dikuasai oleh
Achaemenid pada kurun ke-6 SM dan menjadi salah sebuah wilayah satrap empayar
itu.
Pada permulaan kurun
ke-5 SM, penduduk Ionia memberontak menentang pemerintahan Parsi. Pihak
penentang meraih bantuan daripada Athens dan Eretria, walau hakikatnya tidaklah
besar. Apapun, bantuan kecil yang diberikan oleh Yunani kepada Ionia ini
membangkitkan kemarahan Darius I, pemerintah Achaemenid pada waktu itu.
Tidak lama selepas
pemberontakan di Asia Kecil ini ditundukkan, Darius I bertindak menyerang
Greece. Lantaran itu, Pemberontakan Ionia boleh dianggap sebagai pembukaan
kepada Perang Yunani-Parsi yang berpanjangan sehingga pertengahan kurun ke-5
SM.
PENDUDUK IONIA
MENDIRIKAN PETEMPATAN
Sekitar kurun ke-11 SM,
kumpulan suku Ionia meninggalkan kampung halaman mereka di Greece untuk
menghuni pantai barat Asia Kecil. Walau bagaimanapun, orang Ionia ini bukanlah
satu-satunya kumpulan Yunani yang berhijrah ke sana, memandangkan orang Aeolia
dan Doria juga melakukan hal yang sama. Orang Ionia menetap di kawasan antara
Teluk Smyrna (kini Izmir) dan Teluk Mandalya (atau Teluk Gulluk).
![]() |
| Kolonisasi Yunani ke atas bahagian barat Asia Kecil |
Pada mulanya, terdapat
banyak petempatan kecil Ionia di kawasan tersebut. Namun menjelang kurun ke-8
SM, orang Ionia sudah pun menetap di sepanjang tepian pantai dan menyusun
masyarakat mereka sehingga membentuk 12 buah kota utama – iaitu Phocae,
Erythrae, Clazomenae, Teos, Lebedus, Colophon, Ephesus, Priene, Myus, Miletus,
Chios dan Samos.
10 buah kota awal
terletak di tanah besar, manakala dua kota yang lain pula berada di atas pulau.
Kota-kota Ionia bersifat merdeka antara satu sama lain. Apapun, lantaran mengenangkan
warisan budaya yang dikongsi bersama, mereka pun menubuhkan Panionium, iaitu
sebuah tempat suci yang didedikasikan kepada Poseidon Helikonias sebagai sebuah
tempat di mana mereka boleh saling bertemu.
Orang Ionia memberikan
sejumlah sumbangan penting dalam tamadun Yunani, di mana salah satunya adalah
melahirkan ahli falsafah dan sains Yunani awal. Kota Miletus dari Ionia ini
dianggap sebagai tempat lahirnya falsafah Barat, memandangkan di situlah ahli
falsafah pertama, iaitu Thales dari Miletus, hidup.
Thales, Anaximander dan
Anaximenes (yang pertama adalah murid Thales manakala yang kedua pula adalah
murid Anaximander) membentuk sekolah Milesia yang berkembang pesat pada kurun
ke-7 SM. Ahli-ahli falsafah lain dari Ionia termasuklah Xenophaenes dari
Colophon, Pythagoras dari Samos, dan Heraclitus dari Ephesus.
Selain menjadi pusat
aktiviti intelektual, Ionia juga berfungsi sebagai hab perdagangan yang maju.
Pada kurun ke-6 SM, Miletus dan Phocae menubuhkan koloni-koloni di sepanjang
pantai Laut Hitam, pantai Mediterranean di Perancis dan Sepanyol. Berkat
aktiviti perdagangan yang dijalankan ini, kota-kota Ionia meraih kekayaan yang
berlimpah-ruah.
PERTUMBUHAN MASYARAKAT
IONIA
Penerokaan orang Ionia
ke atas daratan merentas laut tidak hanya dipacu oleh cita-cita perdagangan,
tetapi lantaran kekurangan sumber. Memandangkan kota-kota Ionia semakin
berkembang maju, maka lebih banyak tanah diperlukan untuk menampung pertumbuhan
populasi. Secara alami, orang Ionia berpindah jauh ke daratan pedalaman. Akan tetapi,
hal ini mendorong kepada konflik dengan kerajaan Lydia yang lebih berkuasa.
Kemuncaknya, kota-kota
Ionia di daratan besar tumbang satu demi satu ke tangan Lydia, dan penaklukan
ini disudahkan pada era pemerintahan Croesus. Namun, kerajaan Lydia tidak
berupaya menakluk kota-kota di kepulauan Ionia lantaran mereka tidak mempunyai
armada laut. Justeru, mereka terpaksa menjalinkan perdamaian dengan kota-kota
tersebut.
Penguasaan Lydia ke
atas Ionia tidak berpanjangan. Di sempadan barat Lydia berdiri megah Empayar
Achaemenid. Setelah menewaskan Medes pada tahun 550 SM, Achaemenid memalingkan
perhatian mereka ke barat. Croesus mengambil keputusan untuk menangani ancaman
ini dengan bertindak menyerang Achaemenid terlebih dahulu.
Pada tahun 547 SM,
beliau menyerang Cappadocia dan sebuah pertempuran yang tidak muktamad meletus
di Pteria. Croesus dipaksa kembali ke ibu kotanya, Sardis. Namun tanpa
pengetahuannya, pasukan beliau dikejar oleh Parsi. Akibatnya, Cyrus Agung
berjaya menghambat Croesus secara mengejut dan menakluki Sardis pada tahun 546
SM.
IONIA MENJADI
SEBAHAGIAN DARIPADA EMPAYAR ACHAEMENID
Kekalahan Croesus dan
kehancuran kerajaan Lydia membawa maksud Ionia kini menjadi sebahagian daripada
Empayar Achaemenid. Tambahan, orang Ionia sendiri tidak berupaya menentang
justeru mereka tidak mempunyai pilihan selain menerima takdir – wilayah mereka
diserap ke dalam Empayar Achaemenid.
Dalam dekad-dekad yang
menyusul, Ionia ditadbir sebagai sebuah wilayah satrap Empayar Achaemenid dan
dituntut agar membayar ufti. Menurut Herodotus, “orang-orang Ionia, Asia
Magnesia, Aeolia, Caria, Lycia, Milya dan Pamphylia ditaksir sebagai satu
kumpulan… 400 talent perak.”
![]() |
| Pembawa ufti Ionia di atas anak tangga Apadana |
Sejarahwan tidak dapat
mengemukakan secara jelas tentang sebab meletusnya Pemberontakan Ionia, justeru
sejumlah faktor dikemukakan. Salah satu faktor yang paling lazim dikemukakan
adalah orang Ionia semakin tidak berpuas hati dengan pemerintahan Achaemenid.
Mereka enggan lagi membayar ufti yang dikenakan ke atas mereka.
Faktor lain yang pula menyatakan
bahawa pemberontakan ini meletus sebagai susulan daripada tindakan tirani
Miletus, iaitu Aristogras yang mahu melepaskan diri dari hukuman Artahpernes,
pegawai satrap yang mentadbir Lydia, berikutan kegagalan beliau menakluk Naxos.
Pada tahun 499 SM, Aristagoras menerima kehadiran beberapa orang kaya dari
Naxos yang diusir oleh masyarakat mereka. Mereka ini berhajat mahu pulang dan
justeru, meminta bantuan daripada Aristagoras.
Aristagoras melihat
keadaan ini sebagai peluang untuk menakluki pulau yang kaya itu bagi pihak
Empayar Achaemenid. Setelah bersetuju untuk membantu pelarian-pelarian yang
kaya itu, Aristagoras pun meminta bantuan ketenteraan daripada Artaphernes.
Untuk tujuan itu, beliau dikurniakan armada sekuat 200 buah kapal yang dipimpin
oleh Megabates, sepupu Darius. Namun, armada ini tidak digerakkan terus ke
Naxos. Sebaliknya, komander-komander kapal membawa armada tersebut ke arah
bertentangan, iaitu menuju Hellespont dengan harapan dapat menyerang Naxos
secara mengejut.
Armada ini berhenti di
Chios selama sebulan sementara menunggu angin utara bertiup ke selatan. Pada
masa-masa ini, Megabates memerika kapal-kapal yang dipimpinnya dan mendapati
salah sebuah kapal mengabaikan arahan. Beliau lantas memerintahkan agar
komander kapal tersebut dijatuhi hukuman. Namun, Aristagoras campur tangan,
membebaskan komander tersebut dan mengingatkan Megabates bahawa beliau hanyalah
orang nombor dua sahaja dalam pasukan tentera.
Susulan daripada
peristiwa ini, hubungan antara mereka berdua menjadi renggang. Megabates
kemudian bertindak mensabotaj misi ketenteraan ini dengan menghantar amaran
kepada penduduk Naxos tentang serangan yang bakal tiba.
Penduduk Naxos lantas
melakukan persiapan yang sewajarnya, justeru berupaya menangkis serangan dan
pengepungan selama empat bulan yang dilakukan oleh Aristagoras. Pada akhirnya,
tirani Miletus itu terpaksa meninggalkan kempennya itu dan penduduk Naxos pula
menempati kubu-kubu di sekitar pulau.
Sekembalinya dari
kempen tersebut, Aristagoras khuatir kegagalannya itu akan membangkitkan
kemarahan orang-orang atasannya sekaligus dihukum dengan teruk oleh
Artaphernes. Sekitar masa yang sama, bekas tirani Miletus, iaitu Histiaeus
(pakcik kepada Aristagoras) menghantar sebuah pesanan kepada anak saudaranya
yang menggesa agar beliau memberontak.
BENIH-BENIH
PEMBERONTAKAN
Menurut Herodotus,
pesanan tersebut ditatukan oleh Histiaeus pada kulit kepala seorang hamba. Setelah
rambut hamba itu kembali tumbuh, beliau dihantar ke Miletus. Sebaik sahaja
kehadiran hamba itu disambut oleh Aristagoras, kepalanya dicukur sekaligus
mendedahkan pesanan rahsia yang dihantar oleh Histiaeus.
Herodotus juga
mencatatkan bahawa Histiaeus menginginkan agar pemberontakan meletus di Ionia
lantaran beliau sudah jemu dilayan seperti banduan (walau banduan yang
dihormati) di Susa, ibu kota Parsi. Histiaeus berharap agar apabila
pemberontakan meletus di Ionia, khususnya di kampung halamannya iaitu Miletus,
beliau akan dihantar pulang ke sana.
Setelah menerima
pesanan rahsia daripada Histiaeus itu, serta mempertimbangkan masalah-masalah
yang dihadapinya sendiri dengan Achaemenid, Aristagoras pun mengadakan sebuah
mesyuarat dengan para penyokongnya. Hasil mesyuarat ini memutuskan penentangan
terhadap Parsi. Salah seorang penyokong Aristagoras, iaitu Hecataeus mendesak
beliau agar tidak memberontak lantaran Parsi terlampau kuat. Apabila pujukannya
gagal, Hecataeus mencadangkan pula supaya mereka tidak memerangi Darius di
daratan. Sebaliknya, membawa medan pertempuran ke laut.
Beliau juga
mencadangkan agar Aristagoras merampas sebuah kawasan di Branchidae, iaitu
tempat di mana kesemua barangan berharga milik Croesus disimpan. Penguasaan ke
atas kawasan ini bakal memberikan sumber yang diperlukan untuk melangsungkan
pemberontakan, kata Hecataeus. Namun, cadangan ini juga ditolak oleh
Aristagoras.
BERMULANYA
PEMBERONTAKAN IONIA
Perkara pertama yang
dilakukan oleh Aristagoras adalah menghantar Iatragoras ke Myous, di mana
pasukan ini menghentikan aktivitinya sesudah tamat kempen menentang Naxos.
Tujuan pengutusan pasukan ini adalah untuk merampas armada di Myous. Iatragoras
berjaya dalam misinya itu, sekaligus membolehkan pasukan pemberontak Ionia
menguasai armada dan tentera-tenteranya.
Langkah Aristagoras
yang berikutnya adalah melepaskan kedudukannya sebagai tirani, dan mengubah
Miletus menjadi sebuah negara demokrasi. Dengan tindakan sedemikian,
Aristagoras berharap agar penduduk Miletus menyertai pemberontakan ini secara
sukarela, demi melindungi kemerdekaan mereka.
![]() |
| Lokasi dan peristiwa penting sepanjang Pemberontakan Ionia |
Aristagoras selanjutnya
menggulingkan tirani-tirani lain di Ionia demi meraih sokongan penduduk Ionia
di wilayah-wilayah lain. Tambahan lagi, Aristagoras turut meminta bantuan
ketenteraan daripada Yunani, lantaran beliau menyedari bahawa tentera Ionia
tidak cukup kuat untuk memerangi Achaemenid sendirian.
Pertama sekali, beliau
pergi ke Sparta memandangkan ia merupakan negara yang paling kuat di Yunani
pada waktu itu. Malangnya, Aristagoras gagal memujuk raja mereka, Cleomenes,
untuk menghantar bantuan dan bahkan, Aristagoras turut diusir dari negara itu.
Kemudian, beliau membawa diri ke Athens pula, iaitu negara kedua paling kuat di
Yunani. Di sana, beliau menjelaskan keadaan Ionia kepada penduduk Athens.
PEMBERONTAKAN IONIA
MENERIMA SOKONGAN
Situasi ini sama sekali
berbeza dengan apa yang berlaku di Sparta, di mana Aristagoras hanya berpeluang
untuk mengemukakan padangannya kepada satu individu, iaitu Cleomenes.
Aristagoras jauh bernasib baik dengan Athens yang mengundi untuk menghantar 20
buah kapal bagi membantu Ionia. Herodotus menganggap armada kecil ini sebagai
“permulaan nasib malang buat Yunani dan bukan-Yunani.”
Aristagoras juga
berjaya mendapatkan lima buah kapal dari Eretria. Bantuan daripada Eretria ini
dianggap sebagai membalas jasa penduduk Miletus yang pernah membantu Erertia
semasa berperang melawan Chalcidians.
![]() |
| Gambaran semula model sebuah trireme, jenis kapal yang digunakan oleh pasukan Yunani mahupun Parsi |
Sekembalinya ke
Miletus, Aristagoras pun menghimpunkan kekuatannya dan melancarkan serangan ke
atas Sardis pada tahun 498 SM. Pasukan pemberontak ini berjaya mengejutkan
pasukan Parsi dan menewaskan mereka. Hampir seluruh kota Sardis dibakar. Namun,
pegawai satrapnya, iaitu Artaphernes berupaya mempertahankan citadel. Pasukan
Parsi kemudian melancarkan serangan balas dan memaksa pasukan pemberontak
berundur dari Sardis.
Pasukan Parsi terus
menghambat pasukan pemberontak yang berundur ke Ephesus dan menewaskan mereka
secara muktamad. Sesudah mengalami kekalahan ini, tentera-tentera Athens pula
ke kota mereka manakala tentera-tentera Eretria pula, yang kehilangan komander
mereka dalam sebuah pertempuran, berkemungkinan turut melakukan hal yang sama.
Serangan ke atas Sardis
merupakan satu-satunya serangan darat berskala besar yang dilancarkan oleh
Ionia sepanjang pemberontakan ini. Sesudah itu, mereka hanya menumpukan
peperangan tersebut di kawasan berhampiran pantai.
![]() |
| Pembakaran Sardis oleh Yunani semasa Pemberontakan Ionia pada tahun 498 SM |
PEMBERONTAKAN IONIA
BERKEMBANG
Pemberontakan Ionia
turut tersebar ke kawasan-kawasan jiran dan Byzantium, Caria, Caunus dan
kebanyakan penduduk Cyprus turut ikut memberontak. Pemberontakan di Cyprus yang
diketuai oleh Onesilus si raja Salamis inilah yang paling mencemaskan Darius.
Hal ini kerana jika Cyprus tumbang ke tangan pemberontak, jalan laut ke Mesir
akan dicantas sekaligus mendedahkan Phoenicia kepada serangan musuh.
![]() |
| Darius Agung dicemaskan oleh Pemberontakan Ionia |
Justeru pada tahun 497
SM, Parsi menghimpunkan sebuah armada untuk merebut kembali Cyprus dari tangan
pemberontak. Walaupun dibantu oleh armada Ionia, Cyprus tetap juga jatuh ke
tangan Achaemenid terutama lantaran Onesilus terkorban dalam medan tempur.
Pemberontakan oleh
penduduk Caria juga mempunyai signifikasi yang tersendiri dalam episod
Pemberontakan Ionia. Pada tahun 496 SM, pasukan Parsi yang dipimpin oleh
Dariuses si menantu Darius berjaya menewaskan pasukan Caria dalam Pertempuran
Marsyas dan Pertempuran Labraunda. Pasukan Caria yang telah kehilangan banyak
tentera bertekad mahu melanjut peperangan dan enggan mengalah.
Untuk tujuan itu,
mereka memasang perangkap ke atas Daurises dalam perjalanannya ke Pedasus Dalam
Pertempuran Pedasus, Daurises dan ramai tentera Parsi yang lain terbunuh.
Pasukan mereka habis dihancurkan. Oleh yang demikian, Darius pun menghentikan
sementara kempen ketenteraan ke atas Ionia dan tahun 495 SM berlalu secara
relatif aman.
PARSI MENGHANCURKAN
PEMBERONTAKAN IONIA
Namun pada tahun 494
SM, Parsi sekali lagi bersiaga mahu melancarkan serangan berskala besar ke atas
Ionia. Sasaran kempen kali ini adalah untuk menakluk Miletus, pusat
pemberontakan. Penting untuk dinotakan di sini bahawa pada waktu ini, pihak
pemberontak secara efektif tidak mempunyai sebarang ketua lantaran Aristagoras
telah pun meninggal dunia pada tahun 497 atau 496 SM.
![]() |
| Puing-puing runtuhan Miletus, pusat Pemberontakan Ionia |
Memandangkan serangan
balas Achaemenid selepas mereka mengalami kekalahan di Sardis tampak membuahkan
hasil, Aristagoras mengambil keputusan untuk melepaskan kedudukannya sebagai
ketua pemberontak dan bertindak membawa diri ke Thrace. Beliau terbunuh di sana
semasa kempen memerangi Thracia. Pada tahun 494 SM, Parsi menewaskan armada
Ionia dalam Pertempuran Lade yang meletus setelah Miletus dikepung dan
ditakluki. Menjelang tahun 493 SM, Parsi menyudahkan kempen penaklukan mereka
ke atas Ionia dan Pemberontakan Ionia pun berakhir secara efektif.
Walaupun Ionia sekali
lagi berjaya diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Achaemenid, Darius
sama sekali tidak melupakan bantuan ketenteraan yang diberikan oleh Athens dan
Eretria kepada pihak pemberontak. Justeru, Darius berniat mahu menghukum Yunani
atas perbuatan mereka.
Pada tahun 492 SM,
iaitu setahun selepas berakhirnya Pemberontakan Ionia, Darius melancarkan
kempen ketenteraan bagi memerangi tanah besar Yunani. Oleh yang demikian,
Pemberontakan Ionia ini bolehlah dianggap sebagai titik permulaan Perang
Yunani-Parsi yang berpanjangan selama hampir setengah abad.
SUMBER
- About History. 2018. Ionian Revolt 499-493 BC.
- Badian, E. 2012. Ionian Revolt. Encyclopaedia Iranica.
- Dzhak, Y. 2016. The Ionian Revolt and the Battle of Marathon – First Greek-Persian War.
- Gill, N. 2018. The Beginning of the Ionian Revolt.
- McKirahan, R. 2010. Philosophy Before Socrates. Hackett Publishing Company, Inc.
- Nielsen, L. nd. The Ionian Revolt. OSU.edu.
- Rickard, J. 2015. Ionian Revolt, 499-493 BC.
- Rickard, J. 2015. Siege of Naxos, 499 BC.
- Sansal, B. nd. Ionian civilization.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2012. Ionia.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Ionian Revolt.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Croesus.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Greco-Persian Wars.
- Waterfield, R. 1998. Herodotus, The Histories (translated). Oxford University Press.
- Get link
- X
- Other Apps







