- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Jun 2020). Himeji Castle’s Fascinating Feudal History. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/himeji-castle-0013899
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/himeji-castle-0013899
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Himeji-jo, juga
dikenali sebagai Istana Himeji, terletak di Bandar Himeji, Wilayah Hyogo,
Jepun. Walaupun struktur yang berdiri pada hari ini datang dari kurun ke-17,
pada asalnya terdapat sebuah kubu yang berdiri tepat di tapak yang sama di mana
ia dibina pada kurun ke-14 M. Istana Himeji dianggap sebagai sebuah monumen
yang penting, lebih-lebih lagi kerana ia merupakan salah sebuah daripada 12
buah istana Jepun ‘binaan asal’. Ia juga diperakui sebagai contoh seni bina
istana feudal Jepun yang paling baik.
Istana ini bukan hanya
dikagumi lantaran keindahannya yang memukai, akan tetapi juga kerana fungsi
pertahanannya yang begitu ampuh. Tambahan lagi, istana ini turut mempunyai
hubungan dengan beberapa figura penting dalam sejarah Jepun. Signifikasi
kebudayaan yang dipegang oleh Istana Himeji terbukti apabila ia diiktiraf
sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan lima buah struktur di dalamnya pula
diwartakan sebagai Khazanah Negara.
Istana Himeji terletak
di puncak Bukit Himeyama yang berlokasi di bahagian tengah Dataran Harima.
Dlaam kata-kata lain, Istana Himeji merupakan sebuah istana perbukitan, iaitu
salah satu daripada tiga jenis istana Jepun. Dua jenis yang lain ialah istana
pergunungan dan istana dataran landai. Istana-istana perbukitan dibina semasa
era feudal Jepun dan ia meraih keutamaan khusus pada pertengahan zaman Sengoku
(Zaman Negara-Negara Berperang). Istana jenis ini tidak hanya memainkan fungsi
pertahanan, akan tetapi turut digunakan sebagai pusat politik.
Selain itu,
istana-istana perbukitan juga merupakan cerminan kepada hierarki sosial Jepun.
Puncak hierarki diduduki oleh daimyo atau raja feudal. Kedudukan ini disusuli
oleh samurai, di mana rumah kediaman mereka dibina di sekitar istana. Lebih
tinggi status seseorang samurai, lebih hampir kediamannya dengan istana. Di
sana juga terdapat kuarters yang dikhususkan untuk para pedagang dan artisan,
manakala bangunan kuil dan kawasan hiburan pula diletakkan di pinggir bandar
ataupun di luarnya.
![]() |
| Istana Himeji pada musim luruh, Bukit Himeyama, Bandar Himeji, Jepun |
KUBU PERTAMA YANG DIBINA
DI TAPAK ISTANA HIMEJI PADA 1333 M
Pada tahun 1333 Masihi,
sebuah kubu dibina oleh Akamatsu Norimura, seorang pahlawan samurai, tepat di
tempat berdirinya Istana Himeji pada hari ini. Klan Akamatsu memerintah Wilayah
Harima yang terletak di bahagian barat daya Wilayah Hyogo moden. Pada mulanya,
Norimura menumpahkan kesetiaan kepada Maharaja Go-Daigo dalam pemberontakan
yang dilakukan terhadap Keshogunan Kamakura dan klan Hojo. Namun, Norimura
kemudiannya menukar kesetiaan dan memihak Ashikaga Takauji sekaligus
mendorongnya untuk memerangi maharaja.
![]() |
| Pahlawan Akamatsu Norimura yang membina kubu pertama di tempat berdirinya Istana Himeji pada hari ini |
Semasa Keshogunan
Ashikaga ditubuhkan, Norimura diganjari jawatan menteri dalam pentadbiran baru
itu. Kubu Norimura diruntuhkan pada tahun 1346 untuk digantikan dengan sebuah
istana, iaitu Istana Himeji yang pertama, di mana ia dibina oleh puteranya
sendiri, Sadanori. Istana ini dibina bagi tujuan melindungi klan Amakatsu dari
serangan raja-raja seteru terutama di zaman ketidakstabilan politik.
Sepanjang dua kurun
setengah lamanya, sejarah Istana Himeji berlangsung relatif aman dan tiada
sebarang peristiwa penting berlaku. Namun, keadaan yang sama tidak berlaku pada
wilayah-wilayah lain. Tahun 1467 dianggap sebagai tahun bermulanya zaman Sengoku,
iaitu zaman yang dipenuhi dengan huru-hara dan perang saudara.
Pada tahun 1577,
Wilayah Harima ditawan oleh Oda Nobunaga, salah seorang daimyo paling terkemuka
pada zaman itu. Nobunaga menyerahkan Istana Himeji kepada salah seorang orang
kepercayaan, iaitu Toyotomi Hideyoshi. Hideyoshi kelak digelari sebagai
‘Penyatu Agung’ yang kedua dari tiga penyatu Jepun secara keseluruhan. Penyatu
yang pertama ialah rajanya sendiri, Nobunaga dan penyatu ktiga ialah Tokugawa
Ieyasu, seorang lagi orang bawahan Nobunaga.
![]() |
| Lukisan lama yang menggambarkan kompleks Istana Himeji pada zaman Edo |
Sepanjang mentadbirnya,
Hideyoshi melakukan sejumlah pengubahsuaian signifikan ke atas Istana Himeji,
antaranya melibatkan pembinaan kediaman utama setinggi tiga-tingkat sekaligus mengubahnya
menjadi sebuah kubu yang lebih ampuh. Terdapat sebuah kisah rakyat berkaitan
projek pembinaan ini, berjudul Ubagaishi atau ‘Batu Janda Tua’. Menurut
legenda ini, ketika Hideyoshi menjalankan pembinaan, beliau menyedari bahawa
bekalan batu yang diperlukan tidak mencukupi dan hal ini cukup menggusarkan
hatinya.
Di sekitar bandar itu, menetap seorang janda tua yang mencari rezeki
dengan menjual kek beras panggang. Tatkala mendengar khabar tentang dilemma
yang melanda Hideyoshi, janda tua ini pun datang ke istana dan menyerahkan alat
pengisarnya yang diperbuat daripada batu supaya dapat digunakan bagi membina
istana, walaupun kehidupannya benar-benar bergantung harap pada alat tersebut.
Hideyoshi amat tersentuh hati dengan pengorbanan itu dan beliau pun menggunakan
batu itu bagi menyambung pembinaannya. Tatkala kisah ini didengari oleh orang
lain, masing-masing lantas menyerahkan batu kepada Hideyoshi dan akhirnya,
istana itu dapat disiapkan.
![]() |
| Batu Ubagaishi pada tembok Istana Himeji |
Ubagaishi
bukanlah satu-satunya kisah rakyat yang mempunyai kaitan dengan Istana Himeji.
Istana ini turut dikaitkan dengan kisah hantu Okiku yang kononnya berlaku pada
kurun ke-15 Masihi. Terdapat sejumlah versi bagi kisah ini dan dalam versi yang
melibatkan Istana Himeji, Okiku diperincikan sebagai seorang pelayan Aoyama,
seorang pegawai yang sedang merancang muslihat ke atas rajanya. Tatkala Okiku
terdengar tentang rancangan jahat itu, beliau segera melapor pada kekasihnya
yang merupakan seorang pegawai yang setia. Hal ini sekaligus menggagalkan
rancangan Aoyama.
Sejurus mengetahui bahawa Okiku adalah punca kegagalannya,
Aoyama lantas berhasrat mahu membunuhnya. Beliau menuduh Okiku menghilangkan
satu dari sepuluh pinggan berharga miliknya. Sebagai hukuman, Okiku diseksa
sehingga mati dan jasadnya dihumban ke dalam salah sebuah perigi yang terdapat
di Istana Himeji. Perigi ini dipercayai dihantui oleh hantu Okiku. Kononnya
pada setiap malam, suara hantu Okiku mengira jumlah pinggan dapat didengari.
![]() |
| Perigi Okiku yang ‘berhantu’ di Istana Himeji |
ISTANA HIMEJI DAN
KEBANGKITAN KESHOGUNAN TOKUGAWA
Hideyoshi mangkat pada
tahun 1598 dan kedudukannya digantikan oleh putera beliau, Hideyori, sebagai
pemerintah de facto Jepun. Sejurus sebelum menghembuskan nafas terakhir,
Hideyoshi sempat membentuk Majlis Lima Pemimpin. Majlis ini dianggotai oleh
lima orang daimyo yang ditugaskan selaku pemangku Hideyori yang masih
kanak-kanak. Namun, para pemangku ini tidak menjalankan tugas mereka sebaliknya
bertelagah sesama sendiri bagi berebutkan kuasa.
Perebutan kuasa ini memuncak
dalam Pertempuran Sekigahara pada tahun 1600 yang memperlihatkan kekalahan
pasukan yang setia kepada Hideyori di tangan Ieyasu Tokugawa. Pada tahun
berikutnya, Istana Himeji diserahkan oleh Ieyasu kepada Ikeda Terumasa, salah
seorang penyokong merangkap menantunya, sebagai ganjaran. Terusama turut
diizinkan oleh Ieyasu untuk membina semula Istana Himeji. Dicatatkan bahawa
Terumasa berhasrat mahu menggayakan Istana Himeji mengikut model Istana Azuchi
milik Nobunaga. Pembinaan istana ini siap pada tahun 1609 dan istana inilah
yang berdiri pada hari ini.
Penting bagi Terumasa
untuk membina sebuah istana yang berbenteng ampuh lantaran daerah
pemerintahannya, iaitu Harima, Bizan dan Awaji, dipenuhi dengan penyokong Toyotomi.
Dari Istana Himeji, beliau berupaya meneguhkan kekuasaannya ke atas
wilayah-wilayah berkenaan. Bagi tujuan membina istana baru ini, banyak bekalan
batu yang diperlukan dan keperluan ini ditampung menerusi perobohan kubu-kubu
lama Hideyoshi. Situasi yang sama dengan legenda Ubagaishi turut
berlaku, di mana jurubina mendapati bekalan batu yang diperlukan masih tidak
mencukupi. Justeru, mereka terpaksa membongkar batu-batu kubur dan bahkan
keranda batu. Sebahagian batu-batu ganti ini masih boleh dilihat pada dinding
istana.
Secara keseluruhan,
Istana Himeji mempunyai 82 buah bangunan yang meliputi kawasan seluas 107
hektar (264 ekar). Selain kediaman utama yang setinggi lima-tingkat, istana ini
turut merangkumi gerbang, benteng dan dinding batu. Struktur-struktur ini
memperagakan keampuhan pertahanan Istana Himeji. Misalnya, sejumlah gerbang
khusus dibina bagi memperlahankan kemaraan pihak penceroboh untuk sampai ke
perkarangan utama istana. Selain itu, sejumlah lubang juga diletakkan pada
gerbang dan tembok istana bagi memudahkan pasukan bertahan untuk membidik pihak
penceroboh dari kedudukan yang selamat. Kebanyakan struktur istana ini masih
mengekalkan keasliannya dari kurun ke-17.
![]() |
| Kediaman utama di Istana Himeji |
Ciri yang paling
menonjol bagi Istana Himeji binaan Terumasa ini adalah warna putih pada
bahagian luar bangunannya. Hal ini membuatkan istana tersebut turut digelari
sebagai Shirasaga-jo yang bermaksud ‘Istana Burung Pucung Putih’ (White
Heron Castle). Gelaran ini merujuk kepada kediaman utama lima-tingkat yang
kononnya kelihatan seperti sekawanan burung pucung jika dilihat dari jauh.
Bahagian luar istana diwarnakan dengan putih dan dilitupi dengan lepa.
Berikutan ketibaan Portuis di Jepun pada tahun 1543, senjata api mula
diperkenalkan ke negara itu. Hal ini turut membawa maksud rekaan istana juga
perlu disesuaikan demi menangkis serangan senjata baru ini. Lepa dianggap
sebagai kalis api, justeru bahan ini digunakan untuk melitupi bahagian luar
istana.
Walaupun dilengkapi
dengan segala ciri pertahanan ini, Istana Himeji sama sekali tidak pernah
diserang memandangkan zaman Keshogunan Tokugawa berlangsung relatif aman.
Keperluan dan kefungsian istana mula hilang pada era ini, sebagaimana yang
terbukti dalam titah shogun pada tahun 1615 yang dikenali sebagai Buke
shohatto atau ‘Undang-Undang Perumahan Tentera’.
Salah satu artikel yang
terdapat dalam titah ini menyatakan bahawa setiap wilayah hanya dibenarkan
memiliki sebuah istana sahaja. Lantaran itu, banyak istana di seluruh Jepun
dihancurkan dan Istana Himeji adalah salah sebuah istana yang terselamat dari
kira-kira 170 istana lain secara keseluruhan. Apapun, Istana Himeji sangat
penting bagi tujuan politik keshogunan. Melalui istana ini, shogun berupaya
mengawal raja-raja feudalnya di bahagian barat Jepun.
Keadaan ini memerlukan
penguasa Istana Himeji bersikap cekap dalam memerintah, cukup usia dan sihat
tubuh badan, serta memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada shogun.
Sepanjang era Keshogunan Tokugawa, seramai 31 raja feudal pernah mendiami
Istana Himeji. Istana ini tidak berada dalam tangan klan Ikeda buat tempoh yang
lama. Selepas kematian Terumasa, kedudukannya sebagai raja Istana Himeji
digantikan oleh putera beliau yang bernama Toshitaka. Beberapa tahun kemudian,
Toshitaka pula meninggal dunia dan kepimpinan istana diserahkan kepada klan
Honda pada tahun 1617.
Raja Honda pertama di istana ini, iaitu Honda Tadamasa,
menambahkan beberapa buah bangunan ke dalam istana. Selain Honda, terdapat juga
beberapa klan lain yang pernah mentadbir Istana Himeji, seperti klan Okudaira,
Matsudaira, Sakakibara dan Sakai. Memandangkan besarnya peranan politik yang
dimainkan oleh Istana Himeji, maka klan-klan ini menjalankan usaha
pembaikpulihan secara berkala sekaligus menyumbang kepada kondisi istana ini
yang amat baik lagi terpelihara.
![]() |
| Daimyo Honda Tadamasa |
ISTANA HIMEJI SESUDAH
KETUMBANGAN TOKUGAWA PADA 1868
Keshogunan Tokugawa
berakhir pada tahun 1868 dan digantikan oleh sebuah pentadbiran baru. Istana
Himeji turut hilang kepentingan politiknya berikutan pemansuhan sistem feudal.
Peranannya diubah kepada tujuan ketenteraan. Rumah-rumah samurai diruntuhkan
dan banyak struktur ketenteraan dibina. Tambah menarik, istana ini pernah
dilelong oleh kerajaan Meiji. Bidaan berjaya dilakukan oleh Encik Kanbe dari
Himeji, di mana beliau pada mulanya berhasrat untuk membangunkan tapak tanah
istana berkenaan. Tatkala menyedari bahawa kos meruntuhkan istana itu terlampau
tinggi, beliau pun melupakan sahaja hasratnya itu.
Istana Himeji juga
hampir pernah dirobohkan lantaran polisi baru kerajaan. Banyak istana di Jepun
diruntuhkan. Namun, berkat campur tangan pegawai-pegawai tentera terutama
Kolonel Nakamura Shigeto, Timbalan Pengarah Kementerian Ketenteraan, istana ini
dibiar tidak berusik. Kolonel berjaya memujuk Ketua Angkatan Tentera, Yamagata
Aritomo, agar mengekalkan Istana Himeji supaya dapat dijadikan sebagai contoh
binaan istana feudal Jepun. Lantaran itu, Istana Himeji pun terselamat dan
sebuah monumen didirikan di dalam Gerbang Berlian bagi mengenang jasa kolonel.
Semasa meletusnya
Perang Dunia Kedua, Istana Himeji sangat beruntung kerana terselamat daripada
pengeboman yang dilakukan oleh pasukan perikatan. Selain sejumlah perobohan
yang dilakukan pada era Meiji, satu-satunya kerosakan yang dialami oleh Istana
Himeji adalah kehancuran kuarters kediaman daimyo akibat kebakaran yang berlaku
pada tahun 1882. Beberapa tempoh kemudian, kompleks ini dibaik pulih. Selepas
perang berakhir pada tahun 1945, struktur-struktur ketenteraan di bahagian dalam
dan luar istana diruntuhkan dan digantikan dengan bangunan-bangunan awam untuk
kegunaan rasmi. Apapun, struktur-struktur asal dari kurun ke-17 dibiarkan tidak
berusik.
Pada hari ini, Istana
Himeji dianggap sebagai sebuah tapak kebudayaan Jepun yang penting di samping
merupakan tapak pelancongan yang masyhur. Status ini diperakui apabila ia
diwartakan oleh Kerajaan Jepun sebagai Tapak Bersejarah pada tahun 1929. Dua
tahun kemudian, ia meraih status sebagai Khazanah Negara. Selain Istana Himeji,
terdapat empat buah istana Jepun lain yang turut diberikan status sama, iaitu
Istana Matsumoto, Istana Hikone, Istana Inuyama, dan Istana Matsue.
Pada tahun
1993, Istana Himeji dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Penamaan ini
bukan sahaja merupakan suatu pengiktirafan yang besar buat Istana Himeji, ia
turut menjadi batu loncatan yang penting bagi negara Jepun memandangkan istana
itu merupakan salah satu Tapak Warisan Dunia pertama negara berkenaan.
SUMBER
- Doyouknowjapan.c, 2020. Castles of Japan.
- Fiederer, L. 2017. AD Classics: Himeji Castle / Ikeda Terumasa.
- Frederic, L. 2002. Japan Encyclopedia: Cambridge, Mass: Belknap Press.
- Himeji Rojyo Lions Club. 2000. Himeji Castle.
- Ken. 2014. Explanation on three types of Japanese castles.
- Military History Matters. 2011. Timeline of the Sengoku Period: Japan’s Age of War.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Himeji.
- UNESCO World Heritage Centre. 1992. Himeji-jo 661.
- UNESCO. 2020. Himeji-jo.
- Wanczura, D. 2018. The Japanese Ghost Story of Okiku.
- Castlesandmanorhouses. 2014. Japanese Castles.
- Columbia.edu. 2020. Himeji Castle.
- Japan-guide. 2020. Himeji Castle.
- Orientalarchitecture. 2020. Himeji Castle, Himeji, Japan.
- Memenet.or.jp. 2020. The Legend of Ubagaishi or Old Widow’s Stone.
- Get link
- X
- Other Apps







