- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (26 Disember 2018). The Norman Invansion: An Epic 11th Century
Battle for the English Throne. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/normans-0011225
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/normans-0011225
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tatkala Edward the
Confessor mangkat tanpa meninggalkan zuriat, bibit-bibit yang membawa kepada
serangan Norman ke atas England pada kurun ke-11 pun berputik. Walaupun
kedudukan raja digantikan oleh iparnya, Harold Godwinson, pewarisan takhta ini
kemudiannya dicabar oleh sepupu Edward, iaitu William II si Duke of Normandy.
Lantaran itu, William bertindak menyerang England, merebutnya dari tangan
Harold dan menabalkan dirinya sebagai William I of England. Penaklukan Norman
ke atas England meninggalkan kesan yang amat signifikan terhadap sejarah negara
itu.
Pada 5 Januari 1066,
Edward the Confessor, yang lazimnya dianggap sebagai raja terakhir Inggeris
dari Wangsa Wessex, meninggal dunia di London. Memandangkan beliau tidak
mempunyai zuriat, maka kedudukannya diambil-alih oleh ipar merangkap Earl of
Wessex, Harold Godwinson. Pewarisan takhta ini dibantah oleh dua orang penuntut
takhta yang lain, iaitu Harald Hardrada si Raja Norway dan William II si Duke
of Normandy.
Harald Hardrada mengembalikan dasar tuntutannya itu kepada
hubungan beliau dengan Harthacnut, seorang raja Inggeris dari Wangsa Denmar
yang mangkat tanpa zuriat. Harald lantas menyerang England pada tahun 1066,
namun ditewaskan dalam Pertempuran Stamford Bridge dan terkorban ketika
memerangi Inggeris.
![]() |
| Harold menemui Edward sejurus sebelum kemangkatannya, digambarkan dalam babak 25 Bayeux Tapestry |
WILLIAM SI PENAKLUK
MENUNTUT TAKHTA
Bagi William pula,
tuntutannya ke atas takhta Inggeris disandarkan kepada hakikat bahawa beliau
merupakan sepupu Edward. Ibu Edward, iaitu Emma of Normandy, merupakan saudara
perempuan kepada Richard II si Duke of Normandy. Sementara itu, Richard pula
adalah datuk kepada William. Tuntutan ini diperkuatkan lagi oleh hubungan yang
terjalin mesra antara Edward dan William. Pada tahun 1016, ayahanda Edward,
iaitu Aethelred, meninggal dunia. Pewarisnya, Edmund Ironside (saudara Edward)
juga mangkat pada tahun yang sama.
Lantaran itu, orang Denmark kembali memegang
kuasa di England dan Edward terpaksa hidup dalam buangan di Normandy sehingga
tahun 1401. Pada masa-masa inilah, Edward menemui William dan keberadaannya di
Normandy yang agak lama memutikkan perasaan yang mendalam antara beliau dan
warga Norman.
Pada tahun 1402,
William kembali ke England sebagai raja. Besar kemungkinan, William memberikan
sokongan kepada Edward semasa beliau kembali ke England, justeru mengharapkan
ganjaran atas jasanya itu. Sebaik usia Edward meningkat tanpa seorang pun
zuriat dilahirkan, William pun mula menyusun niat mahu merebut takhta Inggeris.
Raja sendiri menggalakkan cita-cita William itu. William mungkin pernah
mengunjungi England semasa Godwin si Earl of Wessex merangkap bapa mertua
Edward diusir pada tahun 1051 dan dalam kesempatan itu, dijanjikan takhta oleh
raja.
![]() |
| Potret William si Penakluk oleh artis yang tidak dikenali, sekitar 1620 |
Tambahan lagi, menurut
masyarakat Norman, Harold Godwinson si ipar Edward pernah dihantar oleh Edward
ke Normandy pada 1064 atau 1065 bagi mengesahkan penamaan William sebagai
pewaris Edward. Kononnya dalam perjalanan tersebut, Harold ditangkap oleh salah
seorang orang suruhan William namun ditebus oleh William sendiri. Beliau
kemudian membawa Harold untuk menyertai kempennya di Britanny, dan Godwinson
mengangkat sumpah kesetiaan di mana beliau sekali lagi mengesahkan penyerahan
takhta kepada William dan berjanji untuk menyokongnya. Walau bagaimanapun,
peristiwa ini tidak diyakini benar-benar berlaku memandangkan sumber-sumber
Inggeris langsung tidak menyebutkan perihal ini.
ORANG-ORANG NORMAN
DALAM PERTEMPURAN HASTINGS
Semasa sedang nazak,
Edward menamakan ipar beliau, Harold Godwinson, sebagai pewaris. Justeru,
Harold dimahkotakan sehari selepas kemangkatan Edward. Pemahkotaan Harold ini
dilihat oleh William sebagai satu pelanggaran sumpah setia, justeru orang-orang
Norman bersiap-sedia mahu menggempur England. Pada 27 September 1066, William
menyeberangi Selat dan berlabuh di Pevensey pada keesokan hari.
Pada 14 Oktober
1066, Pertempuran Hastings meletus, yakni hanya beberapa minggu selepas Harold
mengecapi kemenangan ke atas Harald Hardrada dalam Pertempuran Stamford Bridge.
Dalam pertempuran kali ini, pasukan Inggeris ditewaskan dan menurut Bayeux
Tapestry, raja mereka terbunuh akibat terkena bidikan panah di mata.
Kematian Harold ini menandakan berakhirnya pemerintahan Anglo-Saxon di Engalnd
sekaligus bermulanya era Norman-England yang berpanjangan sehingga tahun 1154.
![]() |
| Bayeux Tapestry Babak 57: Kemangkatan Harold |
SIGNIFIKASI PENAKLUKAN
NORMAN
Penaklukan Norman ke
atas England ini memberikan kesan yang signifikan dalam banyak hal. Misalnya,
bahasa Anglo-Norman yang berteraskan-Latin serta-merta menjadi bahasa yang
dipertuturkan oleh kelas pemerintah. Kedudukannya sebagai bahasa yang
berprestij ini berkekalan selama hampir tiga kurun, melangkaui era Norman itu
sendiri. Keadaan ini meninggalkan kesan yang besar buat bahasa Inggeris moden,
dan asal-usul kebanyakan perkataan Inggeris hari ini boleh dijejak kembali
sejarahnya pada era tersebut.
Satu lagi kesan lain
daripada penaklukan Norman ke atas England dapat dilihat menerusi hubungan
antara Anglo-Norman dan Perancis. Walaupun Raja England setaraf dengan Raja
Perancis, dalam masa yang sama beliau juga merupakan salah seorang orang
bawahannya. Paradoks ini berlanjutan dalam Plantagenets, dinasti para pewaris
William. Pada tahun 1204, tanah-tanah milik Raja Engalnd di Perancis dirampas
oleh raja Perancis, kecuali Gascony. Hal ini mendorong kepada meletusnya Perang
Seratus Tahun pada kurun ke-14 dan ke-15, di mana Plantagenet cuba merebut
semula tanah mereka di Perancis.
![]() |
| Kapal ekspedisi Norman digambarkan dalam kronikel ‘Le Canarien’ (1490) |
SUMBER
- Barlow, F. 2018. William I.
- Johnson, B. 2018. The Norman Conquest.
- New World Encyclopedia. 2018. Norman conquest of England.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Edward.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Norman Conquest.
- Royal UK. 2018. Edward III ‘the Confessor’ (r. 1042-1066).
- Royal UK. 2018. William I ‘The Conqueror’ (r. 1066-1087).
- Get link
- X
- Other Apps




