- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (20 Jun 2020). The Star-Gazing Sultan and His Ulugh Beg
Observatory. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ulugh-beg-observatory-0013880
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ulugh-beg-observatory-0013880
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Balai Cerap Ulugh Beg
merupakan sebuah balai cerap yang terletak di sebuah bukit berhampiran
Samarkand, Uzbekistan moden. Balai cerap yang sering dianggap sebagai salah
sebuah balai cerap paling maju di zaman pertengahan Islam ini dibina pada kurun
ke-15, ketika Samarkand merupakan salah sebuah daripada dua buah kota paling
penting bagi Empayar Timurid (kota lain ialah Herat, di Afghanistan moden).
Balai cerap ini dibina
oleh Ulugh Beg, sultan Empayar Timurid. Balai Cerap Ulugh Beg dipercayai dibina
pada lewat 1420an, walaupun kajian-kajian serius dalam bidang astronomi mungkin
telah pun bermula di Samarkand dua dekad lebih awal. Hal ini sememangnya wajar,
lanatran Ulugh Beg bertugas sebagai gabenor Samarkand pada waktu itu.
ULUGH BEG: AHLI
ASTRONOMI
Pada usia awal, Ulugh
Beg meminati bidang astronomi. Ketika menjadi sultan, beliau lebih cenderung
menceburi bidang kesenian, kebudayaan dan pendidikan berbanding mentadbir
empayar. Bahkan, nama Ulugh Beg paling dikenang sebagai seorang ahli astronomi
dan matematik hinggakan namanya sebagai seorang raja kebiasaannya hanya
diletakkan sebagai nota kaki sahaja di dalam buku sejarah.
![]() |
Tugu Ulugh Beg |
Ulugh Beg dilahirkan
pada tahun 1394 di Sultaniyah, barat laut Iran. Beliau merupakan putera sulung
Shah Rukh dan cucu kepada Timur (atau dikenali sebagai Tamerlane), pengasas
Empayar Timurid. Ulugh Beg dilahirkan semasa datuknya sedang menjalankan kempen
ketenteraan ke atas Parsi. Beliau diberi nama Muhammad Taraghay ibn Shahrukh
ibn Timur. ‘Ulugh Beg’ secara harfiah boleh dimengertikan sebagai ‘Pemerintah Agung’.
Nama itu bukanlah nama sebenar beliau, sebaliknya sekadar nama timangannya.
Ketika masih kecil,
Ulugh Beg lazim menemani datuknya dalam pelbagai kempen ketenteraan sekaligus
membolehkannya untuk mengembara ke sejumlah tempat. Misalnya pada tahun 1398,
Timur sedang melancarkan ekspedisi di India utara bagi menakluk kota Delhi.
Pada tahun 1402 pula, beliau berada di Anatolia bagi menewaskan sultan
Utmaniyah, Beyazid I dalam Pertempuran Ankara.
![]() |
Ulugbek Medressa |
Sejak kanak-kanak,
Ulugh Beg lebih meminati bidang kesenian dan kebudayaan berbanding peperangan
dan penaklukan. Beliau secara khusus menggemari bidang astronomi, suatu minat
yang mungkin berputik setelah mengunjungi runtuhan Balai Cerap Maragheh. Balai
cerap yang bertarikh pada kurun ke-13 ini terletak di barat laut Iran, tidak
jauh dari tempat lahir Ulugh Beg. Balai Cerap Maragheh dibina di bawah naungan
Hulagu Khan, pengasas Ilkhanate merangkap cucu Genghis Khan. Ketua ahli
astronomi yang bertugas di balai cerap itu pula ialah seorang polimat (polymath)
dari Parsi, Nasir al-Din Tusi.
Menjelang awal kurun
ke-14, Balai Cerap Maragheh tidak lagi berfungsi lantaran kehilangan naungan
kerajaan. Namun, ia tetap mengekalkan kemasyhurannya pada kurun-kurun
mendatang. Legasinya terbukti menerusi pelan binaan dan susunan instrumennya
yang mempengaruhi rekaan balai-balai cerap lain, antaranya seperti Balai Cerap
Ulugh Beg.
![]() |
Lukisan yang menggambarkan Al-Tusi dan rakan-rakan sejawatnya berusaha menyiapkan Zij-I Ilkhani di Balai Cerap Maragheh |
PEREBUTAN TAKHTA:
BAGAIMANA ULUGH BEG MENJADI SULTAN
Impian Timur adalah
untuk mengembalikan kegemilangan Empayar Monggol, di mana impian ini melibatkan
penyerangan dan penaklukan China. Monggol, di bawah Dinasti Yuan, pernah
memerintah China sehingga tahun 1368. Pada tahun tersebut, mereka kehilangan
cengkam ke atas China sekaligus digulingkan oleh Dinasti Ming. Oleh hal yang
demikian, pada lewat 1404, Timur bersiap sedia untuk menyerang China. Namun,
impian beliau untuk menghidupkan kembali Empayar Monggol tidak dapat dilaksana
dan beliau mangkat pada tahun berikutnya.
Ketika berkem di sisi
Syr Darya (juga dikenali sebagai Sungai Jaxartes), pasukan Timur diserang wabak
penyakit. Timur sendiri jatuh sakit dan mangkat pada pertengahan Februari di
Otrar (di Kazakhstan moden), perjalanan yang masih jauh sebelum sampai di
perbatasan barat China. Rentetan kemangkatan Timur, empayarnya berpecah-belah
akibat perebutan takhta. Antara calon utama yang terlibat adalah Miran Shah dan
Shah Rukh (dua orang putera Timur yang masih hidup), Pir Muhammad (putera
kepada Jahangir, putera kesayangan Timur merangkap calon pewaris) dan Khalil
Sultan (putera Miran Shah).
Kesemua calon
penyandang takhta Timurid ini mangkat menjelang tahun 1410, kecuali Shah Rukh.
Walaupun Shah Rukh tidak dianggap sebagai calon yang terkuat, beliau muncul
sebagai pengganti takhta Timur. Pada tempoh antara tahun 1406 dan 1417, Shah
Rukh menyerap sejumlah wilayah seteru-seterunya dan berjaya menyatukan semula
Empayar Timurid, kecuali wilayah Syria dan Khuzistan. Shah Rukh memerintah
Empayar Timurid sehingga detik kemangkatannya pada tahun 1447. Pemerintahannya
yang panjang itu berupaya membawa kepesatan pada ekonomi empayar sekaligus
memulihkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung akibat kempen ketenteraan
ayahandanya.
SAMARKAND: PUSAT
KEILMUAN BAGI DUNIA MUSLIM ZAMAN PERTENGAHAN
Shah Rukh memindahkan
ibu kota Empayar Timurid dari Samarkand ke Herat. Ibu kota lama, yang beliau
rebut daripada salah seorang seterunya, diserahkan kepada Ulugh Beg untuk
ditadbir. Di bawah pentadbiran Ulugh Beg, Samarkand berubah menjadi salah
sebuah pusat pendidikan yang paling penting dalam dunia Islam. Madrasa Ulugh
Beg yang terletak di tengah-tengah kota (dikenali sebagai Registan, bermaksud
‘tempat berpasir’) dibina pada tahun 1417 hingga 1420.
Madrasa adalah sebuah
pusat pendidikan yang menanam pengetahuan agama dan sekular pada para
pelajarnya. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai tempat pertemuan para
ilmuwan. Menurut Ghiyath al-Din Jamshid al-Kashi, ahli astronomi Parsi kurun
ke-14 hingga kurun ke-15, terdapat kira-kira 60 atau 70 orang ilmuwan di
madrasa tersebut yang mempunyai pengetahuan matematik yang cukup untuk terlibat
dalam usaha cerapan dan seminar astronomi. Ulugh Beg menubuhkan dua buah
madrasa semasa pemerintahannya – sebuah di Bukhara dan sebuah lagi di
Ghujdivan.
![]() |
Perkarangan dalam Madrasa Ulugh Beg |
Pembinaan Balai Cerap
Ulugh Beg dipercayai telah pun dimulakan pada tahun 1428, dengan mengikut
rekaan Balai Cerap Maragheh. Walaupun kebanyakan bahagian Balai Cerap Ulugh Beg
sudah runtuh, monumen ini dibina semula mengikut perincian-perincian yang
diberikan oleh individu yang pernah menyaksikan sendiri balai cerap tersebut. Antara
lain termasuklah karya Ghiyath al-Din Jamshid al-Kashi, Babur si pengasas
Empayar Mughal, dan Abd al-Razzak Samarkandi si sejarahwan kurun ke-15.
Balai Cerap Maragheh
tidak hanya mempengaruhi rekaan Balai Cerap Ulugh Beg, tetapi kesannya turut
dilihat pada balai-balai cerap lain dalam dunia Islam. Rekaan balai-balai cerap
ini seterusnya dijadikan sebagai rujukan tambahan berkenaan rekaan Balai Cerap
Ulugh Beg. Lebih daripada itu, usaha pembinaan semula Balai Cerap Ulugh Beg
turut dipacu oleh ekskavasi-ekskavasi arkeologi yang dilakukan di tapak
berkenaan.
BALAI CERAP ULUGH BEG
DAN SUMBANGANNYA KEPADA ASTRONOMI ISLAM
Pada masa kemuncaknya,
binaan ini terdiri daripada tiga buah instrumen astronomi gergasi. Instrumen
yang paling penting antara ketiga-tiganya itu ialah suds-i-fakhri, iaitu
sebuah lengkungan meridian bersaiz besar, atau sekstan (sextant) yang
memanjang di bahagian pusat balai cerap. Instrumen ini diletakkan pada paksi
utara-selatan dan ketinggiannya mencecah 40 meter (131 kaki). Instrumen kedua
pula ialah I’tidal, atau jam matahari, yang diperbuat daripada dinding
cekung. Instrumen ini dibina pada paksi timur-barat dan menghadap tegak suds-i
Fakhri. Dalam kata-kata lain, sekstan ini berfungsi sebagai jarum jam (gnomon).
Instrumen ketiga ialah ustuvan, iaitu sektor kuadran yang berputar.
![]() |
Gerbang Balai Cerap Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan yang masyhur sebagai salah sebuah balai cerap terunggul dalam dunia Islam |
Peletakan
instrumen-instrumen ini secara efektif menentukan struktur dan reka letak Balai
Cerap Ulugh Beg. Misalnya, suds-i fakhri membahagikan balai cerap kepada
dua – iaitu bahagian utara dan bahagian selatan. Bilik-bilik yang terletak di
separa utara berbentuk silang, manakala bilik-bilik di separuh selatan pula
berbentuk segi empat tepat. Melalui perincian-perincian berkenaan Balai Cerap
Ulugh Beg, para penyelidik dapat mengetahui bahawa binaan ini didekorasi oleh
mozek-mozek kaca. Bahagian luar dan dalam struktur pula dilitupi dengan
lukisan-lukisan yang menggambarkan kedudukan, orbit, dan ciri fizikal
jasad-jasad samawi.
Tanpa dapat dinafikan,
karya paling penting yang dihasilkan oleh Balai Cerap Ulugh Beg ialah Zij-I
Sultani yang diterbitkan pada tahun 1437. Menurut Encyclopaedia
Britannica, sebuah zij secara esensinya adalah sebuah “buku panduan jadual
astronomi, yang merangkumi jadual bagi menentukan kedudukan matahari, bulan dan
planet, serta arahan-arahan untuk menggunakan jadual berkenaan.”
Pada waktu
penerbitannya, zij hasilan Ulugh Beg merupakan zij yang paling
tepat. Selain itu, karya ini juga berharga lantaran “nilai-nilai terkini bagi
menentukan parameter astronomi dan prosedur pengiraan yang baru,” jelas UNESCO
Portal to the Heritage of Astronomy. Tambahan lagi, karya ini merekodkan
kedudukan kira-kira 1018 buah bintang, di mana sebahagiannya adalah rekod asli
memandangkan ia ditentukan daripada cerapan yang dilakukan di Balai Cerap Ulugh
Beg.
Malang buat Ulugh Beg
dan ahli-ahli astronomi di bawah naungannya, usaha mereka tidak memberi impak
astronomi ‘moden’ sebagaimana seharusnya. Data yang dihasulkan di Balai Cerap
Ulugh Beg hanya sampai ke Eropah beberapa kurun selepas kemangkatan sultan.
Menjelang waktu itu, ahli-ahli astronomi lain telah pun menemukan hasil yang
sama.
TAKDIR TRAGIK ULUGH BEG
Ulugh Beg sendiri menanggung
nasib yang tragik. Ketika Shah Rukh mangkat pada tahun 1447, Ulugh Beg menjadi
pemerintah Empayar Timurid yang baru. Walaupun beliau merupakan seorang ilmuwan
yang berpengetahuan tinggi, Ulugh Beg kekurangan pengalaman dan ketrampilan
bagi mentadbir sebuah empayar. Malahan, terdapat ahli kerabat Timurid lain yang
menginginkan takhta walaupun pada hakikatnya beliau merupakan satu-satunya
putera Shah Rukh yang masih hidup.
Justeru, tugas pertama Ulugh Beg sebagai
sultan adalah memperteguhkan kedudukannya. Mungkin lantaran kekurangan
ketrampilan dan bakat kepimpinan, beliau gagal berbuat demikian. Ulugh Beg
memerangi seteru-seterunya untuk meraih kekuasaan penuh ke atas Empayar
Timurid, namun tidak berjaya dalam usahanya itu.
![]() |
Tugu Ulugh Beg di Samarkand, Uzbekistan |
Pemerintahan Ulugh Beg
berakhir sesudah berlalu tempoh singkat, dua tahun. Menjelang tahun 1449,
beliau ditewaskan dalam beberapa buah pertempuran. Tambahan pula pada tahun
itu, beliau perlu menangani sebuah pemberontakan baru. ‘Abd al-Latif, putera
sulung Ulugh Beg diberikan autoriti untuk mentadbir Balkh. Namun, hubungan
antara mereka berdua merenggang. Akibatnya, ‘Abd al-Latif melancarkan
pemberontakan pada tahun 1449. Ulugh Beg ditewaskan oleh puteranya, dan
terpaksa menyerah diri. ‘Abd al-Latif menjatuhkan pendakwaan ke atas bapanya
yang kononnya tidak cekap memerintah.
Sebagai hukuman, Ulugh Beg dipaksa
menunaikan haji ke Mekah. Namun, sebaik sahaja berada di luar Samarkand, beliau
dipancung oleh sepasukan pembunuh. Lantaran tinggi kecenderungan bahawa pasukan
pembunuh ini diupah oleh putera Ulugh Beg, maka ‘Abd al-Latif digelari
‘Padarkush’ yang bermaksud ‘pembunuh bapa sendiri’. Berikutan kemangkatan Ulugh
Beg, Empayar Timurid terbahagi kepada dua.
Sama seperti nasib yang
menimpa Balai Cerap Maragheh, ketiadaan naungan diraja mengakibatkan kefungsian
Balai Cerap Ulugh Beg terhenti. Ia lantas dihancurkan dan ahli-ahli astronomi
yang bertugas di sana dihalau. Balai Cerap Ulugh Beg secara bertahap tetapi
pasti dilupakan dan seiring peredaran waktu, lokasi tepatnya tidak lagi
diketahui. Pada tahun 1908, tapak Balai Cerap Ulugh Beg ditemukan semula oleh
ahli arkeologi Russia yang bernama Vassily Vyatkin.
Menjelang waktu itu,
runtuhan yang ditemui hanyalah tapak asas dan serpihan suds-i Fakhri
(lebih spesifik, bahagian bawah tanah instrumen berkenaan). Menambahkan lagi
tarikan pada kisah ini, Vyatkin dikatakan disemadikan di tapak berkenaan,
sesuai dengan wasiatnya. Satu lagi ekskavasi berskala besar yang diketuai oleh
ahli arkeologi Soviet yang bernama Boris Zasypkin dilakukan di tapak berkenaan
apda tahun 1941. Ekskavasi ini membolehkan pembinaan semula balai cerap itu
dilakukan.
![]() |
Ahli astronomi Islam merangkap sultan Ulugh Beg pada stem USSR tahun 1987 |
LEGASI ULUGH BEG
Ulugh Beg mungkin tidak
berhasil menghidupi maksud nama timangan yang diberikan kepadanya. Namun,
beliau tetap dipandang sebagai tokoh bangsa di Uzbekistan. Tentunya, hal ini
berikutan sumbangan dan pencapaian beliau dalam lapangan astronomi dan
matematik. Pada tahun 1970, sebuah muzium kecil dibina di tapak Muzium Ulugh
Beg bagi memperingati jasa pengasasnya. Antara barangan yang dipamerkan di
dalam muzium ini adalah salinan carta-carta bintang Ulugh Beg dan Zij-I
Sultani, sebuah miniature Balai Cerap Ulugh Beg, dan instrumen-instrumen
astronomi.
Pengiktirafan terhadap
Ulugh Beg sebagai seorang ahli astronomi dapat dilihat menerusi penamaan
objek-objek dan ciri-ciri astronomi. Misalnya, ahli astronomi Jerman yang
bernama Johann Heinrich von Madler menamakan kawah pada bulan bersempena nama
beliau, iaitu Kawah Ulugh Beigh. Nama ini dimasukkan ke dalam peta bulan tahun
1830 miliknya. Pada tarikh yang lebih terkini, nama Ulugh Beg turut diletakkan
pada sebuah asteroid. Pada 21 Ogos 1977, ahli astronomi Soviet yang bernama
Nikolai Chernykh menemukan sebuah lingkaran-utama asteroid dan menamakannya
2439 Ulugbek. Menerusi keadaan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa legasi Ulugh
Beg masih hidup sehingga ke hari ini walaupun balai cerapnya sudah pun hancur.
![]() |
Imej satelit yang menunjukkan kawah Ulugh Beigh pada bulan |
SUMBER
- Archnet.org. 2020. Madrasah-i Ulugh Beg (Samarkand).
- Archnet.org. 2020. Rasdkhanah-i Ulugh Beg.
- Asia Adventures. 2020. Ulugh Beg observatory.
- Carter, J. 2018. The Tragic Story of the Man Who Unlocked the Universe.
- Editorial Team. 2013. Ulugh Beg.
- Friedlander, M.W. & Evans, J. 2019. Astronomy: India, the Islamic world, medieval Europe, and China.
- Hughes, M. 2016. Ulugh Beg.
- Krisciunas, K. 2020. The Legacy of Ulugh Beg.
- New World Encyclopedia. 2020. Timur.
- New World Encyclopedia. 2020. Timurid Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Timurid Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Ulugh Beg.
- Trevor. 2020. Ulugh Beg Observatory.
- UNESCO. 2020. Maragheh observatory, Iran.
- UNESCO. 2020. Ulugh Beg’s observatory, Uzbekistan.
- Waugh, D.C. 2002. Ulugh Beg and His Observatory.
- Get link
- X
- Other Apps