- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Prapti Panda. (5 Disember 2016). Tairona Civilization. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/Tairona_Civilization/
https://ancient.eu/Tairona_Civilization/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tamadun Tairona – salah
satu suku penutur bahasa Chibcha – berkembang pesat di bahagian utara Colombia
pada tahun 200 hingga 1600 M. Sama seperti Muisca dan Cundinamarca, Tairona
dikenali menerusi kemahiran mereka dalam bidang pembuatan dan penempaan logam,
terutama penempaan emas. Mereka secara umumnya menghuni wilayah Sierra Nevada
de Santa Marta di Magdalena moden, dan meninggalkan banyak bukti arkeologi yang
memberikan gambaran terhadap gaya hidup mereka. Agak mengejutkan, gaya hidup
mereka agak maju walaupun kedudukannya agar terpinggir jika dibandingkan dengan
tamadun-tamadun lain yang lebih membangun.
TINJAUAN SEJARAH
Tidak hanya mahir dalam
sektor penempaan logam, tamadun Tairona juga menguasai sektor pertanian dengan
baik. Penemuan-penemuan arkeologi seawal 200 M mendapati bahawa mereka
mempunyai kepakaran dalam pertanian teres, pembinaan terusan dan pembinaan
tapak-tapak asas daripada batu. Namun, kemasyhuran mereka tidaklah disumbangkan
oleh faktor-faktor ini.
Sebaliknya, mereka lebih dikenang sebagai suku yang
gagah dalam medan tempur di mana hal ini menjadikan mereka sebagai salah satu
suku yang paling sukar ditundukkan oleh conquistador Sepanyol yang
sebelum itu telah pun berjaya menggulingkan empayar Inca, Aztec dan Maya tanpa
menghadapi banyak kesukaran. Peperangan antara Tairona dan conquistador
berlangsung selama lebih 75 tahun.
Justeru tidaklah
mengejutkan apabila ramai tentera Sepanyol yang mengagumi tamadun tersebut dan
mencatatkan perihal suku yang gagah lagi misteri ini. Ramai penghikayat yang
mencatatkan tentang gaya hidup masyarakat Tairona, sistem perdagangan mereka,
kepercayaan agama dan kekurangan minat mereka terhadap nilai wang ringgit pada
barangan logam berharga. Oleh hal yang demikian, tidaklah begitu mengejutkan
jika Tairona dipercayai mempunyai kaitan dengan suku Muisca, kerana kedua-dua
tamadun ini berkongsi sistem pembahagian kuasa dan idea signifikasi spiritual
emas yang sama.
TAPAK-TAPAK PENTING
Masyarakat Tairona
terpaksa meninggalkan petempatan mereka sekitar pertengahan kurun ke-17 M, dan
hutan belantara menyelimuti hampir kesemua kesan tinggalan mereka. Apapun,
sebahagian daripadanya masih kekal bagi memperingati kebudayaan mereka yang
mengagumkan.
![]() |
Suku-suku pra-Columbia di bahagian utara Amerika Selatan |
Salah satu petempatan
mereka yang paling masyhur ialah Ciudad Perdida (Kota Yang Hilang). Dikenali
dalam kalangan masyarakat tempatan sebagai Teyuna, petempatan ini ditubuhkan
pada sekitar 800 M, iaitu 600 tahun sebelum Machu Picchu dibangunkan. Ia
merupakan salah sebuah tapak arkeologi pra-Columbia yang paling penting di
Amerika Selatan. Petempatan ini boleh diakses melalui sebuah trek panjang di
sepanjang dedaunan hutan tebal dan melibatkan kira-kira 1200 buah anak tangga.
Menurut anggaran, Ciudad Perdia berupaya menampung penduduk seramai 2000 hingga
8000 orang. Sehingga kini, usaha ekskavasi yang dilakukan baru sekadar meliputi
sebahagian kecil daripada keseluruhan kota agung ini. Hasil penemuan setakat
ini cukup mengagumkan; kira-kira 250 buah teres lumpur dan batu dijumpai, di
mana ia berfungsi sebagai platform perumahan dan meliputi kawasan seluas 300
000 meter persegi di tanah yang ditumbuhi tumbuhan tebal. Ekskavasi-ekskavasi
yang lebih terkini turut menemukan sejumlah barangan menarik; perhiasan, emas,
tembikar, dan bahkan alat musik.
Sebuah lagi tapak lain
bagi tamadun ini, iaitu Pueblito, terletak berhampiran pantai Carribean.
Menurut hasil penyelidikan yang telah dijalankan, tapak tersebut mengandungi
setidak-tidaknya 254 buah teres dan menampung populasi kira-kira 3000 orang.
Pada masa dahulu, terdapat sejumlah kampung dan dusun di sepanjang lembah,
seterusnya membentuk rangkaian hubungan yang cukup besar sekaligus meningkatkan
aktiviti perdagangan dan aktiviti-aktiviti lain. Hakikatnya, Tairona bahkan terlibat
dalam sektor penghasilan garam, sebagaimana yang didapati di Chengue, sebuah
kampung nelayan kecil.
MASYARAKAT
Tairona mempunyai
sistem pemerintahan yang berteraskan agama. Para pemerintah mereka merupakan
sebahagian daripada elit Shaman yang kononnya berupaya mengawal semangat alam,
kosmos dan segala fikiran serta tindakan manusia. Salah satu kepercayaan utama
masyarakat Tairona adalah proses transformasi. Proses ini melibatkan satu
pertukaran kuasa perdukunan yang agak tipikal. Dengan mengosongkan minda dan
tubuh, tempoh puasa yang panjang, dan ritual tarian yang memenatkan, mereka
percaya bahawa jiwa seorang dukun boleh mencapai tahap yang melangkaui tahap
manusia biasa sekaligus meraih pengetahuan dari alam ghaib serta dari kosmos
yang tidak boleh dimasuki oleh orang awam.
Justeru, shaman atau dukun
dianggap sebagai ketua suku dan dilayan dengan penuh penghormatan. Dukun ini
bertanggungjawab menghimpunkan tentera, mengatur aktiviti pertanian, memantau
kebajikan masyarakat, dan bahkan menyelia rangkaian perdagangan barter.
Masyarakat Tairona juga percaya bahawa seseorang dukun boleh keluar dari tubuh
mereka dan memperoleh pengetahuan daripada makhluk-makhluk lain. Menerusi
kaedah inilah mereka meraih ilham dan kemahiran menempa logam.
Kebanyakan patung
perhiasan yang ditemui di kawasan petempatan mereka dipercayai sebagai manusia
yang berubah menjadi haiwan liar, sepertimana yang berlaku pada patung ‘Bat
Man’ yang masyhur, di mana ia menggambarkan seorang dukun berubah
perlahan-lahan menjadi kelawar.
AGAMA & SENI
Sama seperti kebanyakan
suku yang berkembang maju pada zaman itu, kepercayaan anutan masyarakat Tairona
banyak mempengaruhi hasil seni dan tempaan logam mereka. Persis ‘Bat Man’,
kebanyakan loket dan pelekap dada mereka memerincikan imej manusia yang berubah
menjadi makhluk menakutkan, terutama burung pemangsa, buaya, dan ular.
Perhiasan-perhiasan ini bukan sahaja mewakili status si pemakai, namun ia turut
menjadi simbol kuasa yang dimilikinya.
![]() |
Loceng-loceng tumbaga dari tamadun Tairona |
Transformasi adalah
satu konsep yang dipercayai oleh seluruh suku penutur bahasa Chibcha pada masa
itu, dan mereka berusaha seupaya mungkin untuk melaksanakannya. Memandangkan
kelawar dianggap sebagai salah satu haiwan yang paling berkuasa pada masa itu,
masyarakat Tairona berusaha seupaya mungkin untuk menyerupainya. Lantaran itu,
kostum yang dipakai sebagai simbol terhadap transformasi ini dapat ditemui di
makam-makam orang kehormat dari zaman Tairona.
Para penyelidik di Banco de la
Republica, Colombia berkata, “Perhiasan pada pelindung logam mereka adalah
kiasan kepada membran di dalam telinga kelawar; cincin hidung silinder
berfungsi mengangkat hidung untuk membuatkannya kelihatan seperti lubang hidung
spesis kelawar tertentu, dan perhiasan sub-bibir pula cuba memiripi daging
bibir bawah haiwan tersebut.
Tidak seperti yang
cenderung dipercayai oleh kebanyakan pihak, Colombia purba bukanlah semata-mata
sebuah hab penghasilan barangan emas. Akan tetapi, ia turut masyhur dengan
barangan seramik. Barang-barang seramik terawal yang ditemui di kawasan
penghunian masyarakat Tairona dianggarkan berusia sekitar 2500 SM, walaupun
mereka dipercayai hanya berkembang pesat setelah 200 M.
Satu lagi kesamaan
antara tamadun Tairona dan tamadun Muisca terletak pada kemiripan hasil seni
emas mereka. Kedua-dua suku penutur bahasa Chibcha ini mempunyai kepelbagaian
barang sembah korban buat dewa-dewi yang relatif sama dan bahkan mereka juga
mempunyai jenis-jenis tunjos yang sama. Tunjos adalah
patung-patung yang diperbuat daripada tumbaga, iaitu campuran antara emas,
tembaga dan perak. Patung-patung ini secara umum menggambarkan masyarakat yang
menjalani kehidupan seharian.
Aspek menarik dalam tamadun Tairona yang lain
adalah masyarakatnya mempunyai kebebasan untuk bercerai. Malah, amalan
keagamaan mereka amat mirip dengan suku Kogui di zaman moden, dan ianya
berlangsung selama berhari-hari dengan melibatkan perkumpulan, upacara
mengunyah coca, dan bermeditasi secara khusyuk.
SUMBER
- Banco de la Republica – Tairona.
- La Ciudad Perdida.
- Tairona Heritage Trust – History.
- Anonymous, Gold and Power in Ancient Costa Rica, Panama, and Colombia. Dumbarton Oaks Research Library and Collection. 2003.
- Carl Henrik Langebaek. The Pre-Hispanic Population of the Santa Marta Bays – de Santa Marta. University of Pittsburgh. 2005.
- John Alden Mason. Archaeology of Santa Marta, Colombia the Tairona culture. 2. Book on Demand. 1931.
- John Alden Mason. Archaeology of Santa Marta. Colombia: Field Museum of Natural History Chicago. 2016.
- Get link
- X
- Other Apps