- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (27 April 2018). Toltec Civilization. Ancient History
Encyclopedia.
https://ancient.eu/Toltec_Civilization/
https://ancient.eu/Toltec_Civilization/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tamadun Toltec
membangun pesat di wilayah tengah Mexico purba pada kurun ke-10 hingga
pertengahan kurun ke-12 M. Selain meneruskan warisan Mesoamerika yang
ditinggalkan oleh Olmec, Teotihuacan, Maya dan lain-lain tamadun yang membangun
lebih awal, Toltec juga membina sebuah ibu kota yang amat mengagumkan di Tollan
dan kemuncaknya, mewariskan legasi itu kepada tamadun-tamadun selanjutnya
seperti Aztec, yang memandang Toltec sebagai sebuah tamadun yang agung lagi
kaya, dan bahkan mendakwa diri sebagai keturunan langsung tamadun tersebut.
Kebanyakan maklumat
tentang Toltec datang daripada teks-teks zaman Aztec dan pasca-kolonial yang
mendokumentasikan tradisi-tradisi lisan yang usianya jauh lebih awal. Namun,
sumber-sumber ini tidaklah lengkap dan bahkan, maklumat tersebut terdedah
kepada pengubahsuaian sesuai dengan penghormatan yang diberikan oleh masyarakat
Aztec terhadap Toltec, di samping kecenderungan mereka untuk mencampuradukkan
antara mitos dan fakta demi mengesahkan kaitan antara tamadun mereka dan tamadun
Toltec. Apapun, perbandingan yang cermat terhadap teks-teks Maya yang lebih
awal serta rekod-rekod arkeologi membolehkan elemen-elemen utama tamadun Toltec
dikenal pasti.
ASAL-USUL &
PENYEBARAN
Susur galur Toltec
berakar daripada masyarakat Tolteca-Chichimeca yang berpindah dari kawasan gurun
di barat laut ke Culhuacan di Lembah Mexico pada kurun ke-9 M. Menurut
masyarakat Aztec, ketua Toltec yang pertama ialah Ce Tecpatl Mixcoatl (Naga
Awan Batu Api, atau Bima Sakti), dan puteranya yang bernama Ce Acatl Topiltzin
(Si Pengorban Rumput, dilahirkan pada 935 atau 947 M) kelak meraih kemasyhuran
terus-menerus sebagai pemerintah ulung sehingga meraihkannya gelaran dewa agung
Quetzalcoatl (‘Naga Berbulu’) daripada sekalian banyak gelarannya.
Masyarakat Toltec pada
mulanya menetap di Culhuacan. Namun, mereka kemudiannya menubuhkan ibu kota di
Tollan (atau Tula, bermaksud ‘tempat rumput’, yang merupakan sebuah frasa umum
Mesoamerika bagi merujuk kesemua jenis petempatan bersaiz besar). Kota ini
berkembang sehingga mencapai keluasan 14 kilometer persegi dan meraih populasi
sekitar 30 000 hingga 40 000 orang. Pusat bandar ini dibina dalam corak grid
dan ia memiripi bandar Chichen Itza dari tamadun Maya.
Tambah menarik, tamadun
Maya juga mempunyai wira bangsa yang dikenali sebagai ‘Naga Berbulu’, atau
disebut sebagai Kukulcan dan ia didakwa hidup sezaman dengan Toltec
Quetzalcoatl: kesamaan legenda dan seni bina ini mengisyaratkan wujudnya
perkaitan budaya yang rapat antara kedua-dua tamadun itu.
TOLLAN
Tollan meraih
kemasyhuran lantaran istana-istananya yang mewah dan bangunan-bangunannya yang
dibina daripada emas, jed, batu firus, dan bulu quetzal. Kota ini turut
dilimpahi kekayaan daripada hasil-mahsul produk buatan golongan artisan Toltec
yang mahir dalam penempaan logam dan tembikar – sangat mahir hinggakan artisan
tembikar mereka didakwa ‘mengajar tanah liat agar terhampar dengan sendirinya’
(Coe, 156) dan para artisan logam serta pengeluar perhiasan Aztec dikenali
sebagai tolteca.
Tamadun Toltec juga dikatakan mahir mengusahakan tanah
dan menghasilkan tuaian jagung, kapas merah, kuning, hijau dan biru secara
alami dalam kuantiti yang banyak. Berikutan penjarahan yang berlangsung
berkurun-kurun lamanya, tidaklah menghairankan jika tiada sebarang artifak yang
terselamat bagi membuktikan kemewahan ini melainkan petunjuk yang
mengisyaratkan bahawa tamadun Toltec sememangnya pernah memperdagangkan batu
obsidian (digunakan bagi menghasilkan bilah dan mata panah) yang dilombong dari
kawasan berhampiran Pachuca.
![]() |
Tiang-Tiang Pahlawan Toltec |
Tapak arkeologi Tollan
yang terletak di tanjung tinggi batu kapur memiliki sejumlah monumen yang
mengagumkan, walau tidaklah semegah yang dikhabarkan oleh legenda. Antaranya
termasuklah dua buah piramid besar, sebuah deretan jalan, sebuah bangunan
istana besar, dan dua buah gelanggang bola, di mana kesemuanya ini dikelilingi
oleh kawasan perumahan urban yang padat. Perumahan domestik disusun dalam
sejumlah kumpulan sehingga lima buah kediaman berbumbung-rata, dengan setiap kumpulan
berpusat pada perkarangan yang mempunyai sebuah altar dan kesemuanya ini
dikelilingi oleh tembok.
Antara seni bina patung
pada piramid yang masih bertahan sehingga kini termasuklah tiang-tiang besar,
yang setiap satunya mengandungi empat buah gendang dan diukir sebagai pahlawan
yang berdiri di atas lima batang tiang Piramid B setinggi 10 m.
Pahlawan-pahlawan ini dahulunya menjunjung struktur bumbung. Mereka dipakaikan
dengan pakaian perang serta kelengkapan kepala dan perhiasan dada berbentuk
rama-rama. Setiap seorang daripada mereka memegang sebilah atlatl atau
pelempar-lembing di sisi.
Selain itu, terdapat juga tiang-tiang berbentuk naga-berbulu
yang masih terselamat dari gerbang asal. Tiang-tiang pahlawan ini bentuknya
hampir identikal antara satu sama lain dan hal ini mengisyaratkan keupayaan
pertukangan yang maju dalam penghasilan berskala besar.
Perhiasan dinding turut
terdapat di sepanjang piramid dan pada sebuah tembok berbentuk-L yang berdiri
setinggi 40 m (dikenali sebagai coatepantli dan merupakan sebuah inovasi
dari tamadun Toltec). Perhiasan dinding
ini mempamerkan lukisan haiwan-haiwan seperti harimau kumbang, serigala, dan
koyote (simbol yang lazim dikaitkan dengan masyarakat yang gemar berperang seperti
Toltec) serta bahan-bahan korban (terutama ular yang melilit tengkorak).
Terdapat juga imej makhluk berbulu (mungkin harimau kumbang) dan helang yang
menggerigit jantung pada mulut mereka.
Tollan juga memberikan
contoh terawal bagi binaan chacmool, iaitu patung pahlawan batu yang bersandar
sambil menggenggam sebuah bekas di perut mereka bagi menerima sembah korban
yang diberikan kepada para dewa. Binaan ini kemudiannya menjadi ciri lazim bagi
kuil-kuil di Mesoamerika. Di Tollan, binaan ini ditempatkan di sisi
takhta-bangku yang terletak di atas kuil piramid.
![]() |
Tollan (Tula) |
KEMUNDURAN
Faktor yang menamatkan
penguasaan serantau tamadun Toltec tidak diketahui secara jelas. Sebagai sebuah
masyarakat yang gemar berperang, tidak dinafikan bahawa tindakan menakluki
suku-suku di wilayah sekeliling dan mengenakan ufti ke atas mereka tanpa mempedulikan
usaha untuk menyatukan mereka ke dalam budaya politik atau keagamaan Toltec mengakibatkan
‘empayar’ ini melemah apabila mengalami tekanan dari bencana alam seperti
kemarau yang panjang.
Pertelagahan dalaman jua mungkin mendorong kepada
perpecahan struktur kuasa dan hal ini diisyaratkan dalam kisah-kisah legenda
pertempuran antara dewa Quetzalcoatl dan Tezcatlipoca, yang dicampuradukkan
dengan figura-figura sejarah. Apa yang lebih dapat kita pastikan adalah Tollan
sememangnya menunjukkan tanda-tanda kehancuran yang dahsyat pada pertengahan
kurun ke-12 M; kebanyakan tiang dan tugunya dibakar dan ditanam secara sengaja,
lalu tapak ini kemudiannya dijarah secara sistematik oleh tamadun Aztec. Dengan
diketuai oleh pemimpin Toltec yang terakhir, iaitu Huemac, saki-baki masyarakat
Toltec berpindah ke Chapultepec yang terletak di tebing barat Tasik Texcoco.
Perpindahan ini secara tradisinya dianggarkan berlaku pada tahun 1156 atau 1168
M.
LEGASI
Nama Toltec memikul
prestij yang tersendiri dan mereka dipandang hormat oleh tamadun Maya dan Aztec
secara khusus, yang menyerap banyak aspek amalan keagamaan dan kesenian Toltec.
Tamadun Aztec bahkan memandang era Toltec sebagai era keemasan di mana
kemajuan-kemajuan seperti tulisan, perubatan dan penempaan logam dicipta.
Kesemuanya ini mungkin dicipta lebih awal dan mungkin juga dicipta oleh tamadun
lain. Namun, apa yang pasti pengaruh Toltec pada seni bina dan pengukiran
begitu ketara.
Imej dewa-dewa di Tollan kemudiannya muncul dalam pantheon
Aztec, seperti Centeotl, Xochiquetzal, Tlahuizcalpantecuhtli dan ular berbulu
yang dikenali sebagai Quetzalcoatl. Ukiran-ukiran batu pada bekas yang terdapat
pada binaan cuauhxicalli dan chacmool yang digunakan dalam
upacara korban serta tzompantli (rak tengkorak) semuanya membuktikan
pengaruh Toltec terhadap tamadun-tamadun sesudahnya yang lebih masyhur.
Walau bagaimanapun,
apa pun jua legasi yang ditinggalkan oleh penduduk Tollan, bagi tamadun Aztec,
satu-satunya tamadun yang mereka dakwakan sebagai leluhur mereka ialah Toltec.
Darjah penghormatan yang diberikan oleh mereka terhadap Toltec terbukti dalam
istilah yang berbunyi Toltecayotl atau ‘memiliki hati Toltec’ yang
membawa maksud unggul dalam segala perkara.
SUMBER
- Almere Read, K. Mesoamerican Mythology. Oxford University Press, USA. 2002.
- Coe, M.D. Mexico. Thames & Hudson. 2013.
- Jones, D. Mythology of Aztec & Maya. Southwater, 2007.
- Miller, M.E. The Art of Mesoamerica. Thames & Hudson. 2012.
- Miller, M.E. The Gods and Symbols of Ancient Mexico and the Maya. Thames & Hudson. 1993.
- Soustelle, J. Daily Life of the Aztecs. Dover Publications. 2011.
- Townsend, R.F. The Aztecs. Thames & Hudson. London. 2009.
- Get link
- X
- Other Apps