- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Cartwright. (14 April 2017). Asuka Period. Ancient History Encyclopedia.
https://ancient.eu/Asuka_Period/
https://ancient.eu/Asuka_Period/
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Zaman Asuka (Asuka
Jidai) dalam sejarah Jepun purba meliputi tempoh yang bermula dari tahun
538 M hingga 710 M, menyusuli Zaman Kofun (sekitar 250-538 M) sekaligus
membentuk bahagian lewat bagi Zaman Yamato (sekitar 250-710 M). Bagi sebilangan
sejarahwan, tempoh ini didakwa bermula pada tahun 593 M, dan bagi sejarahwan
seni pula menyebutkan penamat Zaman Asuka adalah pada tahun 645 M.
Zaman ini
menyaksikan beberapa perkara seperti berlangsungnya interaksi antara Jepun dan
kuasa-kuasa serantau lain, era pemerintahan figura-figura masyhur seperti
Putera Shotoku, penubuhan pengaruh klan Fujiwara, dan penerapan ajaran
Buddhisme. Zaman ini kemudiannya disusuli oleh Zaman Nara (710-794 M).
TINJAUAN SEJARAH
Nama Zaman Asuka
diambil daripada nama ibu kota pada masa itu, iaitu Asuka, yang terletak di
bahagian utara wilayah Nara. Pada tahun 645 M, ibu kota dipindahkan ke Naniwa,
dan pada tempoh antara 694 dan 710 M, ia berpindah pula ke Fujiwarakyo. Pada
penghujung zaman ini, tepatnya pada tahun 710 M, ibu kota sekali lagi
dipindahkan, kali ini ke Heijokyo (atau Nara).
Zaman ini menyaksikan
penubuhan kuasa maharaja secara bersejarah buat kali pertama (berbeza dengan
pemerintah mitos atau legenda), iaitu Maharaja Kimmei yang merupakan maharaja
ke-29 dalam jalur keturunan diraja dan memerintah pada tahun 531 atau 539 M
hingga tahun 571 M. Namun, pemerintah yang paling signifikan dalam zaman ini
ialah Maharani Suiko dan pemangkunya, Putera Shotoku. Putera itu adalah putera
kedua Maharaja Yomei (memerintah 585-587 M), dan beliau memerintah bagi pihak
Suiko pada tahun 594 M sehinggalah tahun kemangkatannya, 622 M.
Shotoku, atau
juga dikenali sebagai Umayado no Miko, diberikan kredit atas jasanya
memperbaharui pentadbiran, mencantas korupsi, membasmi sistem pelantikan pegawai
yang hanya berteraskan pewarisan, dan menggalakkan hubungan yang lebih mesra
dengan China. Menurut Nihon Shoki (‘Hikayat Jepun’ atau juga dikenali
sebagai Nihongi), yang ditulis pada tahun 720 M, masyarakat Jepun dilanda
kesedihan yang besar tatkala kemangkatan putera itu:
“Matahari dan bulan
hilang sinarnya; langit dan bumi habis runtuh musnah: justeru, pada siapa lagi
patut kami letakkan kepercayaan? (Mason, 40)
Peristiwa politik
penting yang seterusnya dalam Zaman Asuka berlaku pada tahun 645 M, di mana
pengasas klan Fujiwara (Fujiwara-Shi), Fujiwara no Kamatari (ketika itu
dikenali sebagai Nakatomi), melakukan rampasan kuasa yang mengambil-alih
pemerintahan daripada klan Soga (Soga-Shi) yang berpengaruh pada waktu
itu . Klan Soga berasal-usul daripada Korea dan mereka mempengaruhi pentadbiran
sejak tahun 587 M lagi.
Pentadbiran baru kemudiannya disusun semula mengikut
model China terutama dalam sebuah siri reformasi yang dikenali sebagai
Reformasi Taika (Taika no Kaishin), di mana menerusi reformasi inilah
negara diteraskan sebagai negara-bangsa, cukai dibayar sebagai kebajikan dan
bukannya kerahan tenaga, kelas-kelas sosial dirombak semula, peperiksaan bagi
memasuki perkhidmatan awam diperkenalkan, kod perundangan digubal, dan autoriti
mutlak maharaja ditegakkan.
Putera Naka no Oe ditabalkan sebagai Maharaja
Tenjin, dan Kamatari dilantik sebagai menteri senior beliau dan diberikan nama
keluarga Fujiwara. Peristiwa ini merupakan permulaan bagi sejarah salah sebuah
klan paling berkuasa di Jepun yang kelak memonopoli pentadbiran pada Zaman
Heian (794-1185 M).
![]() |
| Patung Putera Shotoku |
Insiden Jinshin yang
berlaku pada 671-672 M merupakan sebuah pertelagahan dalaman yang pendek namun
cukup berdarah, melibatkan kelas-kelas memerintah yang saling berbalah tentang
hak pewarisan takhta berikutan kemangkatan Maharaja Tenjin. Susulannya,
maharaja Temmu (memerintah 672-686 M) mengambil peluang untuk mencantas
kebanyakan kerabat diraja lain supaya keluarga beliau dan isterinya, Jito
(memerintah 686-697 M) sahaja yang boleh menuntut sebarang hak ke atas takhta.
Pada tahun 685 M, Temmu juga memberikan jawatan-jawatan penting kepada para penyokongnya
sendiri, membentuk pasukan tentera kerahan, dan melarang rakyat daripada
memikul senjata. Fujiwarakyo dipilih sebagai ibu kota Jepun yang pertama
mempunyai istana bergaya China. Rangkaian jalan rayanya pula dibangunkan dalam
corak grid lazim. Penghujung zaman ini menyaksikan matawang pertama Jepun, Wado
kaiho diperkenalkan pada tahun 708 M.
HUBUNGAN DENGAN CHINA
& KOREA
Pada Zaman Asuka ini
juga, hubungan-hubungan kebudayaan yang signifikan dikekalkan terutama dengan
kerajaan Baekje (Paekche) di Korea, di mana interaksi dengan semenanjung Korea
sudah pun dilakukan sejak kurun ke-4 M lagi khususnya dengan konfederasi Gaya di
Korea. Kemajuan budaya Baekje dieksport melalui guru-guru, ilmuwan dan
pelukis-pelukis mereka yang mengembara ke Jepun. Mereka ini turut membawa elemen-elemen
kebudayaan China seperti teks-teks klasik Konfucian. Begitu juga dengan
elemen-elemen kebudayaan Korea, seperti yang dapat dilihat pada
bangunan-bangunan kayu yang dibina di sana oleh jurutera-jurutera Korea.
Keadaan sebenar hubungan antara Korea dan Jepun pada zaman ini agak
kontroversi. Namun, sejarahwan mendapati para pegawai dari Baekje berupaya
menyandang kedudukan yang penting dalam pentadbiran Yamato dan bahkan mungkin
bercampur-gaul dengan jalur keturunan diraja, khususnya klan Soga. Pengaruh
China juga dapat dilihat menerusi penggubalan sebuah konstitusi pada tahun 604 M,
iaitu Konstitusi Tujuh Belas Artikel (Jushichijo-kenpo) yang
bertanggungjawab memusatkan pentadbiran dan menekankan prinsip-prinsip
Buddhisme dan Konfucian terutama tentang kepentingan keharmonian (wa).
Putera Shotoku diberikan kredit sebagai penggubal konstitusi ini.
Mungkin hal yang paling
signifikan antara semua, dan tentunya pengaruh budaya luar yang paling
bertahan, adalah kemasukan Buddhisme ke Jepun sekitar kurun ke-6 M, atau sumber
tradisional lazim menyebutnya sebagai tahun 552 M. Ajaran ini diamalkan secara
rasmi oleh Maharaja Yomei dan disebarkan secara lebih meluas oleh Putera
Shotoku yang bertanggungjawab membina sejumlah kuil, membentuk sebuah badan
kesenian untuk menghasilkan imej-imej Buddha, dan beliau sendiri merupakan
pelajar ajaran ini.
Buddhisme secara umum diterima oleh elit Jepun (kecuali
penentangan awal oleh klan Mononobe dan Nakatomi yang pro-Shinto) memandangkan
ia membantu dalam mengangkat kedudukan tamadun Jepun sebagai bangsa yang
membangun di mata jiran-jiran mereka, iaitu Korea dan China. Shotoku juga
sempat menghantar perutusan-perutusan rasmi ke istana Sui di China sekitar
tahun 607 M dan sepanjang kurun ke-7 M.
![]() |
| Jubin bumbung Zaman Asuka |
Hubungan Jepun dengan
jiran-jirannya tidaklah sentiasa berlangsung mesra dan lancar. Kerajaan Silla,
iaitu seteru lama Baekje di semenanjung Korea pada akhirnya berjaya memenangi
pergelutan pada tahun 660 M dengan bantuan armada China-Tang. Pasukan penentang
Baekje berupaya menghasut Jepun agar menghantar 800 buah kapal yang dipimpin
oleh Abe no Hirafu demi membantu Baekje merebut semula kerajaan mereka.
Namun,
pasukan tentera gabungan ini ditewaskan dalam Pertempuran Baekgang (Hakusonko) yang
berlangsung di mulut Sungai Geum/Paekchon pada tahun 663 M. Kemenangan Kerajaan
Silla Bersatu ini mendorong kepada wujudnya gelombong imigran baru yang
memasuki Jepun dari kerajaan Baekje dan Goguryeo yang telah tumbang.
KESENIAN & SENI
BINA
Bidang kesenian
mengalami kepesatan pada Zaman Asuka sekaligus melahirkan nama lain bagi zaman
tersebut, iaitu Zaman Suiko (552-645 M) yang diambil bersempena nama Maharani
Suiko (memerintah 592-628 M). Kesusasteraan dan seni muzik yang mengikut model
China dipromosikan secara aktif oleh pegawai istana dan golongan artis
diberikan pelepasan cukai. Pengukir-pengukir patung pula menghasilkan sejumlah
besar figura Buddha dengan menggunakan kayu dan gangsa bersepuh. Puisi-puisi
dikarang dan dihimpun ke dalam Manyoshu atau ‘Koleksi 10 000 Daun’, yang
disusun sekitar 760 M sekaligus menjadikannya antologi puisi terawal dalam
kesusasteraan Jepun.
Semasa era pemerintahan
Shotoku, sebanyak 46 buah biara dan kuil Buddha dibina. Antara kuil yang paling
penting ialah Shitennoji (593 M), Hokoji (596 M), dan Horyuji. Kuil terakhir
ini siap dibina pada tahun 607 M, namun terbakar pada tahun 670 M lalu dibina
semula: ia merupakan satu-satunya kuil dari Zaman Asuka yang terselamat dalam
bentuknya yang asli. Kompleks ini terdiri daripada 48 buah bangunan,
termasuklah sebuah pagoda lima tingkat dan ia menyimpan bangunan-bangunan kayu
paling tua di Jepun.
SUMBER
- Ashkenazi, M. Handbook of Japanese Mythology. Oxford University Press. 2008.
- Beasley, W.G. The Japanese Experience A Short History of Japan. University of California. 1999.
- Dougill, J. Japan’s World Heritage Sites. Tuttle Publishing. 2014.
- Ebrey, P.B. Pre-Modern East Asia. Cengage Learning. 2013.
- Henshall, K. Historical Dictionary of Japan to 1945. Scarecrow Press. 2013.
- Mason, R.H.P. A History of Japan. Tuttle Publishing. 1997.
- Sansom, G. A History of Japan to 1334. Stanford University Press. 1958.
- Tsuda, N. A History of Japanese Art. Tuttle Publishing. 2009.
- Whitney Hall, J. The Cambridge History of Japan, Vol. 2. Cambridge University Press. 1999.
- Get link
- X
- Other Apps


