AKTIVITI PERLANUNAN DI MEDITERRANEAN PADA ZAMAN PURBA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Januari 2017). Piracy in the Ancient Mediterranean and the Notorious Cilicians. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/piracy-ancient-mediterranean-and-notorious-cilicians-007309

Penterjemah: Amir Zayyanid


Aktiviti perlanunan diperkirakan telah wujud sejak laut digunakan sebagai laluan perdagangan. Laut Mediterranean juga tidak terkecuali dari perkara ini, dan aktiviti perlanunan berlangsung pesat di rantau berkenaan semenjak zaman silam. Kisah-kisah lanun di Mediterraen banyak dicatatkan oleh penulis-penulis Rom, Yunani, dan Mesir purba.


LANUN-LANUN DI MESIR

Sebutan terawal berkenaan aktiviti perlanunan di Mediterranean boleh ditemui dalam Surat-Surat Amarna. Dalam salah sebuah dokumen berkenaan, yang dilabel sebagai EA38, raja wilayah Alashiya (Cyprus moden) melaporkan bahawa Lukki (mungkin Orang-Orang Laut dari Lukka) “tahun demi tahun telah menjarah kampung-kampung yang ada di dalam wilayahku” ketika membalas tuduhan Firaun Mesir yang mengatakan bahawa rakyat Alashiya bersubahat dengan lanun-lanun di Mediterranean.

Masalah perlanunan juga meruncing pada era firaun-firaun terkemudian. Misalnya, Ramses II dicatatkan pernah memerangi lanun-lanun yang juga dikenali sebagai Orang-Orang Laut, atau Sembilan Busur sebagaimana yangd ipanggil oleh masyarakat Mesir purba. Serangan-serangan lanun ke atas Delta Sungai Nil begitu teruk hingga memaksa Ramses menanganinya sendiri. Dokumentasi perihal pertempuran yang berlaku pada tahun 1190SM ini boleh ditemui pada dinding Medinet Habu, iaitu makam firaun di Thebes. Pertempuran yang melibatkan penggunakan pasukan pemanah dan pertarungan jarak dekat ini memperlihatkan Orang-Orang Laut ditewaskan oleh pasukan Mesir.

Relif yang menunjukkan armada Mesir memerangi Orang-Orang Laut pada era Ramses II


LANUN-LANUN DI GREECE PADA ZAMAN ARCHAIC

Aktiviti perlanunan juga merupakan suatu fenomena lazim pada zaman archaic di Greece. Perkataan ‘pirate’ itu sendiri diandaikan oleh ilmuwan diambil dari bahasa Yunani purba. Namun, perkataan itu pada asalnya digunakan bagi merujuk tentera-tentera upahan yang berpihak pada satu faksi politik atau negara-kota dalam memerangi faksi politik lain.

Hasil seni yang menggambarkan Dionysus di atas sebuah kapal. Mitos menceritakan bahawa lanun cuba menangkapnya, namun Dionysus mengubah mereka menjadi ikan dolphin dan menumbuhkan daun anggur pada tiang utama kapal untuk berfungsi sebagai layar


LANUN-LANUN CILICIA YANG MASYHUR

Menjelang separuh kedua kurun ke-2SM, Mediterranean dilanda masalah serangan lanun yang amat serius. Era ini memperlihatkan kebangkitan lanun-lanun Cilicia yang dianggap sebagai suatu komuniti yang menghuru-harakan Mediterranean. Dua faktor utama yang menyumbang kepada situasi ini adalah kemunduran Empayar Seleucid, empayar yang menaungi Mediterranean Timur pada 150SM. Kawalan pertahanan yang longgar ini membolehkan lanun-lanun Cilicia bertindak sewenang-wenangnya. Faktor kedua pula adalah permintaan terhadap hamba dalam kalangan elit Rom bagi mengusahakan ladang-ladang mereka di Itali, di mana lanun memainkan peranan dalam membekalkan hamba kepada mereka.

Kebiasaannya, lanun-lanun Cilicia menyasarkan kapal-kapal yang mengangkut bijirin kerana ia bergerak dengan perlahan sekaligus menjadikannya sasaran mudah. Anak kapal lazimnya akan ditangkap dan dijual kepada elit Rom sebagai hamba sahaya. Tahanan-tahanan yang kaya-raya pula kebiasaannya dikurung dan hanya dibebaskan setelah mereka menerima bayaran tebusan. Salah seorang tawanan lanun Cilicia yang paling masyhur ialah Julius Caesar. 

Pada tahun 79SM, beliau ditangkap oleh lanun Cilicia dan hanya dibebaskan setelah membayar tebusan sebanyak 25 talent (500g) perak. Beliau sekali lagi ditangkap empat tahun kemudian. Kali ini, Caesar bersumpah mahu menghukum lanun-lanun tersebut. Justeru, sesudah dibebaskan, beliau segera mendapatkan sejumlah kapal perang dan mengejar lanun-lanun berkenaan. Mereka ditewaskan dan disalib.

Julius Caesar menyelamatkan tawanan lanun. ‘Caesar’ oleh Adolphe Yvon


Kekuasaan lanun-lanun Cilicia berakhir pada tahun-tahun awal 60anSM. Masyarakat Rom yang sebelumnya tidak menghiraukan mereka, kini menganggap mereka sebagai satu ancaman besar dan bertekad mahu menghapuskan mereka. Tugasan ini diserahkan kepada Pompey yang berjaya menewaskan lanun-lanun tersebut, dan seterusnya, meluaskan pemerintahan Rom di Asia dan pada masa yang sama, beliau sendiri menjadi lelaki yang paling berkuasa di Rom selama hampir 20 tahun.


SUMBER