- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (31 Mei 2020). The Rosetta Stone: One of Archaeology’s Greatest
Treasures. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/rosetta-stone-0013790
https://www.ancient-origins.net/artifacts-ancient-writings/rosetta-stone-0013790
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Batu Rosetta merupakan
salah sebuah penemuan yang paling signifikan dalam sejarah arkeologi. Artifak
ini dihasilkan pada Zaman Ptolemaik dan ditemukan semula pada lewat kurun
ke-18. Berkat penemuan Batu Rosetta, hieroglif Mesir purba dapat difahami dan
diterjemahkan sekaligus mendedahkan banyak rahsia yang disimpan oleh tamadun
Mesir purba.
Walaupun kisah penemuan
dan penyelidikan ke atas batu ini melibatkan ilmuwan-ilmuwan lain, individu
yang diberi kredit utama ialah Jean-Francois Champillion dari Perancis sehingga
mereka yang lain dilupakan dan dibayangi oleh Champillion. Jika kita melihat
daripada sudut yang berbeza, kisah seputar Batu Rosetta juga mengandungi unsur
dramatik dek perseteruan Perancis-Belanda pada era Napoleon. Rentetan
perseteruan ini, artifak berkenaan pada akhirnya jatuh ke tangan Muzium British
walau ianya ditemui oleh Perancis.
APAKAH ITU BATU
ROSETTA?
Batu Rosetta merupakan
sebuah bongkah batu granodiorit berwarna hitam. Ia diandaikan sebagai sebuah
pecahan dari sebuah stele yang saiznya lebih besar, namun hancur pada zaman
silam. Walau bagaimanapun, pecahan-pecahan lain bagi stele berkenaan masih
belum ditemui sehingga kini. Batu Rosetta berukuran kira-kira satu meter tinggi
dan 0.75 meter lebar.
Batu ini mengandungi
tiga jenis tulisan yang berbeza – iaitu hieroglif Mesir purba (bahagian atas),
aksara demotik (bahagian tengah) dan bahasa Yunani (bahagian bawah).
Ketiga-tiga teks ini menceritakan kisah yang sama. Justeru, dengan memahami
satu tulisan memadai untuk menafsir tulisan yang lain. Berkat kewujudan tiga
jenis tulisan inilah makanya Champollion berjaya memecahkan rahsia hieroglif
Mesir purba.
![]() |
| Batu Rosetta (Muzium British) |
SIAPAKAH YANG MENEMUKAN
BATU ROSETTA?
Kisah penemuan semula
Batu Rosetta bermula pada tahun 1798, tahun di mana Napoleon Bonaparte
menyerang Mesir. Perancis berhasrat mahu menakluki Mesir yang pada masa itu
merupakan wilayah naungan Empayar Uthmaniyah (walau pada hakikatnya ia dikawal
oleh Mamluk). Hasrat sebenar Napoleon adalah untuk menggunakan Mesir sebagai
pangkalan bagi menjejaskan laluan British ke India.
Perancis dengan mudah
berjaya merebut Iskandariah dan Kaherah dari tangan Mamluk. Pada tahun
berikutnya, Perancis melancarkan ekspedisi ketenteraan ke Palestin dan Syria,
namun berakhir apabila mereka gagal menakluki Acre. Pada tahun inilah Batu
Rosetta ditemui.
Memasuki pertengahan
bulan Julai 1799, Perancis membaiki sebuah kubu usang (yang mereka namakan
semula sebagai Kubu Julien) yang terletak berhampiran kota pelabuhan Rashid,
pantai utara Mesir. Perancis memanggil kota tersebut sebagai Rosetta. Semasa
kerja pembinaan semula kubu tersebut dijalankan, seorang jurutera tentera yang
bernama Pierre-Francois Bouchard menyedari bahawa sebongkah batu yang ditemui
di kubu tersebut dipenuhi dengan tulisan.
Lantaran menyedari signifikan yang
dimiliki oleh artifak berkenaan, maka beliau pun menghantar batu itu ke Institute
d’Egypte (Institusi Keilmuan Mesir) yang terletak di Kaherah. Dicatatkan
bahawa Napoleon sendiri turun bagi memeriksa Batu Rosetta sebelum beliau
kembali ke Perancis pada bulan Ogos tahun sama.
![]() |
| Gambaran stele penuh Rosetta (Muzium British) |
MENGAPA BATU ROSETTA
AKHIRNYA BERADA DI MUZIUM BRITISH?
Bagi Perancis, Batu
Rosetta dianggap sebagai trofi kemenangan mereka. Namun, artifak berharga itu
sama sekali tidak berkesempatan pulang ke Paris. Keberadaan Perancis di Mesir
tidak berlangsung lama, memandangkan mereka menyerah kalah kepada British dan
Uthmaniyah pada tahun 1801. Salah satu rampasan yang diambil oleh British ialah
Batu Rosetta.
Oleh kerana itu,
artifak berkenaan dibawa ke England. Tambahan, orang British meninggalkan
jejak, atau boleh juga kita sebut sebagai vandalisme, ke atas Batu Rosetta. Dua
tulisan berwarna putih boleh dilihat dengan jelas pada bahagian hujung Batu
Rosetta yang rosak, satunya di sebelah kiri dan satu lagi di sebelah kanan.
Tulisan yang di sebelah kiri berbunyi, “Captured in Egypt by the British
army in 1801” sementara tulisan yang lain pula berbunyi, “Presented by
King George III”.
![]() |
| Bahagian kiri dan kanan Batu Rosetta, mengandungi tulisan Inggeris yang berbunyi, (Kiri) ‘Captured in Egypt by the British Army in 1801’ dan (kanan) ‘Presented by King George III’ |
Pada akhirnya, Batu
Rosetta pun disimpan di Muzium British, Londok. Semenjak itu, artifak berkenaan
dipamerkan di sana, kecuali pada era Perang Dunia Pertama di mana ia
dipindahkan secara sementara ke kawasan bawah tanah untuk tujuan keselamatan.
Tidak lama kemudian, kapur putih digunakan bagi mewarnakan inskripsi pada batu
berkenaan untuk membuatkannya lebih mudah dibaca.
KESUKARAN DALAM MEMAHAMI
DAN MENTERJEMAH HIEROGLIF
Di samping itu, salinan
demi salinan dan transkripsi demi transkripsi prasasti purba itu dikeluarkan
supaya ia dapat dikaji oleh ilmuwan di seluruh dunia. Pada waktu itu, tulisan
hieroglif dan demotik pada Batu Rosetta masih belum difahami. Justeru, ramai
ilmuwan memilih untuk memulakan usaha dengan tulisan Yunani.
Pun begitu,
walaupun bahasa Yunani sudah pun dikuasai secara meluas dalam kalangan ilmuwan
Barat pada masa itu, usaha menterjemahkan teks merupakan satu cabaran yang
berbeza memandangkan bahasa Yunani yang digunakan pada Batu Rosetta merupakan
variasi yang kurang difahami oleh mereka. Apapun, terdapat beberapa orang
ilmuwan yang berhasil menterjemahkan teks Yunani pada Batu Rosetta sekaligus
mendorong kepada penterjemahan dua teks lain.
Walaupun Champoillion
diberi kredit atas penterjemahan hieroglif Mesir purba, usaha untuk memahami
dan menterjemah tulisan itu sudah pun bermula sebelum kurun ke-19. Seorang ahli
kaji Mesir purba di Institusi Arkeologi UCL, Okasha El Daly pernah
membentangkan sebuah kertas kajian tentang minat orang Arab pada zaman
pertengahan terhadap hieroglif serta usaha mereka dalam menterjemahkannya. Pada
waktu itu, hieroglif dan demotik sudah tidak lagi digunakan. Kedua-dua tulisan
ini digunakan buat kali terakhir pada kurun ke-5M. Inskrispi terakhir yang
diketahui menggunakan tulisan tersebut adalah dari Philae, sebuah pulau yang
terletak berhampiran sempadan selatan Mesir.
![]() |
| Grafiti demotik pada Kuil Philae |
Satu contoh yang
diutarakan oleh El Daly bagi menyokong dakwaannya itu adalah beberapa buah
masjid yang dibina di atas tapak kuil Mesir purba yang ditinggalkan, di mana
hal ini tentunya akan menimbulkan persoalan tentang maksud simbol-simbol yang
ada pada runtuhan purba itu dalam kalangan orang-orang Islam yang beribadah di
masjid berkenaan. Minat mereka terhadap hieroglif juga dapat dilihat menerusi
motif ukiran yang mereka hasilkan. Tambahan lagi, menurut El Daly, Mesir sejak
zaman purba lagi masyhur sebagai bumi ilmu. Oleh kerana itu, orang Islam yang
menguasai Mesir pada kurun ke-7 meyakini bahawa dengan memahami dan menterjemah
tulisan hieroglif, mereka akan dapat mengakses gudang keilmuan Mesir purba.
Keilmuan ini menggamit
minat khusus golongan ahli alkimia (alkemis). Dalam Kitab al-Aqalim
karya Abu al-Qasim al-Iraqi, sebagai contoh, kita dapat menemukan simbol-simbol
alkimia yang berinspirasikan tulisan hieroglif. Beberapa ahli alkimia lain
malah cuba menafsir hieroglif, seperti Jabir ibn Hayyan yang hidup pada kurun
ke-8 Masihi.
Menurut ilmuwan pada
zaman terkemudian, Jabir pernah menulis sebuah karya ensiklopedia tentang
penterjemahan pelbagai tulisan purba, termasuklah hieroglif. Cuma malangnya,
karya tersebut musnah. Ahli alkimia Muslim lain yang turut melakukan hal yang
sama ialah Ibnu Wahishiya, ilmuwan dari Iraq pada kurun ke-10. Memandangkan
buku beliau tentang penterjemahan hieroglif terselamat sehingga sekarang, maka
Ibnu Wahishiya dianggap sebagai ilmuwan pertama yang cuba menterjemah
hieroglif.
![]() |
| Terjemahan Ibnu Wahishiya ke atas alfabet hieroglif Mesir purba pada tahun 985 |
Menurut El Daly, karya
Ibnu Wahishiya menunjukkan betapa beliau memahami bahawa simbol-simbol
hieroglif mempunyai nilai fonetik dan bukan hanya sekadar gambar atau simbol
semata-mata. Walau bagaimanapun, pengetahuan ini sebenarnya telah pun diperoleh
oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim lain selain Ibnu Wahishiya. Apapun, beliau
memberikan sumbangan baru dengan mengemukakan bahawa beberapa simbol hieroglif
memainkan kefungsian yang lain, iaitu sebagai satu penegasan. Simbol-simbol sebegini lazimnya diletakkan di
penghujung perkataan dan digunakan bagi menegaskan maksud sebenar perkataan
tersebut.
Di Eropah sendiri,
usaha untuk menterjemah hieroglif Mesir purba jauh mendahului penemuan Batu
Rosetta. Misalnya, ahli kaji Mesir purba dari British, E.A. Wallis Budge
mendapati usaha menyelidiki hieroglif di era moden sudah pun bermula sejak
tahun 1556, tahun di mana Giovanni Piero Valeriano Bolzani menerbitkan Hieroglyphica,
iaitu sebuah karya rasmi tentang sistem tulisan Mesir purba dan bangsa-bangsa
lain. Pada kurun-kurun berikutnya, ramai ilmuwan cuba melanjutkan usaha
menterjemah tulisan purba itu, namun tiada yang berjaya.
Kegagalan mereka, yang
masing-masing sememangnya mempunyai latar belakang keilmuan yang tinggi, boleh
diandaikan berpunca daripada aksara-aksara hieroglif dan cara simbol-simbol
digunakan yang masih belum mereka fahami. Oleh kerana itu, penting bagi mereka
untuk memahami terlebih dahulu sifat tulisan hieroglif sebelum memulakan
sebarang usaha untuk menterjemahkannya.
![]() |
| Pakar menyelidiki Batu Rosetta semasa Kongres Orientalis Antarabangsa 1874 |
BERMULA DARIPADA TEKS
YUNANI KE DEMOTIK DAN SETERUSNYA KE HIEROGLIF MESIR
Berbalik semula pada
Batu Rosetta, sebaik sahaja teks Yunani selesai diterjemah, ilmuwan berupaya
mengusahakan penterjemahan teks hieroglif dan demotik. Salah seorang ilmuwan
yang menyelidiki teks pada artifak tersebut ialah Silvestre de Sacy, orientalis
Perancis. Beliau berusaha menterjemah teks demotik dengan merujuk pada teks
Yunani pada tahun-tahun awal kurun ke-19.
De Sacy cuba mengenal pasti nilai
fonetik yang terkandung dalam setiap simbol. Namun, selain daripada mengenal
pasti beberapa nama Yunani yang ada pada teks berkenaan, beliau sama sekali
tidak berhasil melakukan sebarang progres. Sesudah melihat usahanya itu tidak
membawanya ke mana-mana, de Sacy pun akhirnya berputus asa.
Ilmuwan pertama yang
benar-benar berjaya menemukan sesuatu tentang Batu Rosetta adalah polimath dari
British, Thomas Young. Pada tahun 1814, Young memulakan penyelidikan ke atas
Batu Rosetta. Walaupun beliau menumpu pada teks demotik, Young juga cuba
menyelidiki teks hieroglif.
Empat tahun kemudian,
beliau menerbitkan artikel-artikel tentang penemuannya itu di dalam Encyclopaedia
Britannica. Sewaktu Young menjalankan kajian, tersebar andaian yang
mengatakan bahawa simbol-simbol hieroglif yang ditutup dalam cartouche
(satu bujur yang disertai garis melintang pada satu hujung simbol) pada
hakikatnya merupakan ejaan fonetik bagi nama-nama kerabat diraja. Young
menerapkan hipotesis ini dalam kajiannya dan menyedari bahawa ia berhasil.
Selain itu, dengan melihat hala pandangan haiwan dan burung dalam teks berkenaan,
Young menemui arah pembacaan yang betul.
![]() |
| Thomas Young dan surat yang ditulis olehnya pada 1818 tentang hieroglif |
Pun begitu, walau
dengan segala penemuan signifikan ini, hieroglif pada Batu Rosetta masih tidak
berhasil diterjemahkan. Sebahagian kegagalan ini berpunca daripada keraguan
Young berkenaan nilai fonetik pada simbol-simbol hieroglif. Walaupun beliau
tahu yang simbol bagi nama-nama asing mempunyai nilai fonetik, beliau enggan
menerapkan kaedah tersebut pada keseluruhan teks.
Pandangannya ini
dibantah oleh Jean-Francois Champollion yang memulakan kajian terhadap Batu
Rosetta pada 1820an. Pada tahun 1822 hingga 1824, Champollion mengemukakan
bahawa beberapa simbol hieroglif sememangnya mempunyai nilai fonetik, sementara
simbol lain mempunyai nilai ideografik dan simbol yang lain lagi berfungsi
sebagai penegasan. Champollion juga mengutarakan bahawa teks hieroglif itu
merupakan terjemahan kepada teks Yunani dan bukannya sebaliknya.
Walaupun penterjemahan
teks hieroglif kini mencapai keberhasilan, ia masih belum memadai lantaran
banyak teks yang perlu dikaji dengan lebih lanjut sebelum hipotesis Champollion
itu boleh diterima. Penyelidikan lanjut ini berlangsung sepanjang dekad-dekad
berikutnya, dan akhirnya meraihkan Champollion gelaran ‘Bapa Egyptologi’.
![]() |
| Jean-Francois Champollion dan perbandingan yang beliau lakukan terhadap penterjemahannya dan penterjemahan Young tentang surat bermohor Ptolemy |
KANDUNGAN BATU ROSETTA
Berkenaan kandungan
pada teks Batu Rosetta, ia secara asas bercerita tentang pengisytiharan yang
mengesahkan pemerintahan Ptolemy V. Berdasarkan teks berkenaan, ahli-ahli kaji
Mesir purba berupaya meletakkan usia teks itu pada 196SM, iaitu ulang tahun
pertama pemahkotaan firaun Ptolemy V yang mewarisi takhta Mesir pada tahun 205M
ketika berusia enam tahun.
Pun begitu, beliau
hanya dimahkotakan setelah berkuasa selama beberapa tahun lantaran berlaku
sejumlah pemberontakan di seluruh kerajaannya. Apapun, pengisytiharan yang
dikeluarkan pendeta-pendeta Mesir (mungkin dari Memphis) itu bertujuan sebagai
simbol pemahkotaan firaun dan penyerahan status dewa kepada Ptolemy. Sebagai
ganjaran, mereka diberikan sejumlah kurniaan seperti pelepasan cukai dan
kebenaran untuk berhimpun secara tahunan di Memphis, bukannya Iskandariah seperti
kebiasaan.
![]() |
| Syiling yang dikeluarkan oleh Ptolemy V Epiphanes |
KISAH BATU ROSETTA
MASIH BERTERUSAN…
Kisah Batu Rosetta
mungkin hanya bermula pada kurun ke-2SM. Namun, kisahnya masih terus
berlanjutan dan mengandungi banyak babak. Bermula daripada tujuan asal
penghasilannya sebagai pemasyhuran Ptolemy V (dan kurniaan firaun kepada kelas
pendeta), babak penceritaan berpindah kepada kisah penemuan semula batu
berkenaan sekaligus memerikan perseteruan antara Britain dan Perancis pada era
Napoleon, serta peranan yang ia mainkan dalam usaha penterjemahan hieroglif
Mesir purba. Pada hari ini, kisah seputar Batu Rosetta masih berlanjutan dan
memasuki babak yang baru.
Walaupun pada masa kini
ia ditempatkan di Muzium British, kerajaan Mesir menyuarakan tuntutannya ke
atas artifak tersebut. Batu Rosetta dianggap sebagai artifak yang dicuri, namun
menurut konvensyen moden, anggapan tersebut tidak terpakai pada awal kurun
ke-19.
Akan tetapi, kerajaan
Mesir tetap jua bertegas dan berkeras mahu Batu Rosetta (dan artifak-artifak
lain dari negara terbabit) dipulangkan semula kepada mereka. Muzium British
juga menunjukkan kebulatan tekad dalam mengekalkan artifak berharga itu di
dalam simpanannya. Konflik ini masih berlanjutan sehingga kini dan hanya masa
sahaja yang dapat menentukan hala tuju penceritaannya.
SUMBER
- El Daly, O. 2007. Deciphering Egyptian Hieroglyphs in Muslim Heritage.
- Gill, N.S. 2017. What You Should Know About the Rosetta Stone.
- HowStuffWorks. 2007. How the Rosetta Stone Works.
- Jarus, O. 2017. Rosetta Stone: Key to Ancient Egyptian Writing.
- MacGregor, N. 2012. A History of the World in 100 Objects. London: Penguin Books.
- New World Encyclopedia. 2020. Egyptian hieroglyphs.
- New World Encyclopedia. 2020. Rosetta Stone.
- Nix, E. 2019. What is the Rosetta Stone?
- Rickard, J. 2006. French Invansion of Egypt, 1798-1801.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Rosetta Stone.
- University College London. 2004. Hieroglyphics Cracked 1000 Years Earlier than Thought.
- Wallis Budge, E.A. 1989. The Rosetta Stone. New York: Dover Publications, Inc.
- Get link
- X
- Other Apps









