- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (13 Ogos 2018). Hammurabi and his God Given Code of Laws. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/hammurabi-001569
https://www.ancient-origins.net/myths-legends/hammurabi-001569
Penterjemah:
Amir Zayyanid
“Pada masa itu, bagi
memelihara kebajikan manusia, dewa Anu dan Enlil menamakan aku dengan namaku
ini: Hammurabi, si putera taat, yang memuliakan para dewa, demi menyebarkan
keadilan di bumi, demi menghapuskan kejahatan, demi menghalang yang kuat dari
menindas yang lemah…” (Kod Undang-Undang Hammurabi, Prolog)
Walaupun Kod
Undang-Undang Hammurabi adalah salah satu koleksi perundangan yang paling
masyhur dari dunia purba, ia bukanlah yang paling tua. Hakikatnya, ia didahului
oleh setidak-tidaknya dua buah kod undang-undang lain, iaitu Kod Undang-Undang
Ur-Namma (c. 2100 SM, Ur) dan Kod Undang-Undang Lipit-Ishtar (c. 1930 SM,
Isin).
Teks-teks Mesopotamia purba ini mungkin tidak memenuhi takrifan moden
tentang kod perundangan, iaitu koleksi undang-undang bertulis yang disusun
mengikut subjek-subjek khusus. Sebaliknya, teks-teks purba ini hanyalah
kompilasi undang-undang yang diukir pada batu. Walaupun dua kod undang-undang
itu tadi usianya mendahului Kod Hammurabi, ia tidaklah bermakna Hammurabi
mengambil secara langsung dari undang-undang sebelumnya. Hal ini kerana kod ini
masing-masing datang dari entiti politik yang merdeka dan tidak tertakluk
antara satu sama lain.
HAMMURABI, PEMERINTAH
DINASTI PERTAMA
Siapakah Hammurabi?
Hammurabi (memerintah pada 1792 hingga 1750 SM) merupakan pemerintah keenam
bagi Dinasti Pertama Babylon. Dalam tempoh pemerintahannya yang panjang,
Hammurabi sempat meluaskan empayarnya dan menakluki negara-kota Elam, Larsa,
Eshnunna dan Mari. Dasar perluasan kuasa ini dianggap oleh beliau sebagai misi
suci bagi menyebarkan peradaban ke semua bangsa. Dengan menundukkan raja
Assyria, iaitu Ishme-Dagan I, dan mengerahkan puteranya agar membayar ufti kepada
beliau, Hammurabi berupaya meletakkan Babylon sebagai sebuah kuasa besar di
Mesopotamia.
Hammurabi juga
memperkemaskan pentadbiran, menaja sejumlah projek pembinaan berskala besar,
meningkatkan sektor pertanian, membaiki dan membina semula infrastruktur,
memperbesar dan meninggikan tembok kota, dan membina kuil-kuil mewah yang
didedikasikan kepada para dewa. Tumpuannya juga dicurahkan pada bidang
ketenteraan dan usaha penaklukan. Namun, menurut tulisan-tulisannya sendiri,
matlamat utama beliau dalam berperang adalah untuk meningkatkan taraf kehidupan
masyarakat yang hidup di bawah pemerintahannya.
Menjelang waktu
kematian Hammurabi, Babylon sudah pun menguasai seluruh Mesopotamia. Walau
bagaimanapun, para penggantinya tidak berupaya mengekalkan kekuasaan tersebut.
Hal ini mungkin berpunca daripada bureukrasi yang tidak efektif, di mana ianya
merupakan kesan langsung daripada penglibatan Hammurabi secara aktif dalam
peperangan serantau sehingga hal itu mengehadkan tumpuannya untuk menubuhkan
suatu sistem pentadbiran yang dapat menjamin kelangsungan empayar sesudah
kematiannya.
![]() |
| Gambaran terhadap Hammurabi |
JENAYAH-JENAYAH DAN
HUKUMAN-HUKUMAN
Walaupun empayarnya
mengalami kemunduran dengan pantas, Kod Undang-Undang Hammurabi tetap gagah
mengharungi peredaran zaman. Namun, hanya pada kurun ke-20 barulah ia ditemukan
semula oleh ahli arkeologi. Undang-undang ini memerincikan pelbagai jenis
jenayah dan bentuk hukuman yang dikenakan ke atasnya. Sebagai contoh:
“Jika kebakaran melanda
sebuah rumah, dan hadir seseorang yang membantu memadamkannya lalu orang itu
menginginkan barang milik tuan rumah, maka orang itu perlu dicampak ke dalam
api kebakaran tersebut.” (Kod Undang-Undang Hammurabi, Undang-Undang, 25)
Selain hukuman yang
berbentuk ‘mata dibalas mata’, Kod Undang-Undang Hammurabi juga membenarkan
bentuk hukuman lain dikenakan ke atas individu dari kelas sosial yang
berbeza-beza. Hal ini dapat dilihat menerusi contoh berikut:
“Jika seorang awilu
(individu kelas atasan) membutakan mata seorang awilu lain, maka matanya
perlu dibutakan. Jika dia mematahkan tulang awilu lain, maka tulangnya
harus dipatahkan. Jika dia membutakan mata seorang orang awam atau mematahkan
tulangnya, awilu itu tadi perlu memberikan 60 shekel perak. Jika dia
membutakan mata hamba milik seorang awilu atau mematahkan tulangnya, dia
perlu membayar separuh harga hamba itu (dalam bentuk perak).” (Kod
Undang-Undang Hammurabi, Undang-Undang, 196-199)
Melalui contoh ini,
dapat dilihat bahawa dalam kes-kes tertentu, hukuman yang dikenakan ke atas si
pelaku salah adalah bergantung kepada status sosial mangsanya. Walaupun
beberapa bentuk hukuman kelihatan agak kasar dalam kacamata moden – contohnya
‘jika seorang anak memukul bapanya, maka jarinya harus dipotong’ – ia
sebenarnya bertujuan untuk menghindarkan mangsa bertindak balas dengan cara
yang jauh lebih buruk.
LEGASI YANG BERPANJANGAN
Hammurabi dipuja
sebagai dewa oleh rakyatnya. Beliau juga diberikan penghormatan tinggi di
seluruh kerajaannya. Jasa-jasa beliau yang diingati secara mendasarnya
melibatkan tiga pencapaian utama; iaitu memenangi peperangan, menyebarkan
keamanan, dan memperjuangkan keadilan. Namun sesudah beliau mangkat, kenangan
terhadap pencapaian ketenteraannya serba-sedikit tenggelam dan beliau lebih
diingati sebagai seorang raja yang berbelas kasih terhadap rakyat dan seorang
penggubal undang-undang yang cekap.
SUMBER
- Andrews, E. 2013. 8 Things You May Not Know About Hammurabi’s Code.
- Darling, L. T. 2013. A History of Social Justice and Political Power in the Middle East: The Circle of Justice from Mesopotamia to Globalisation. London, New York: Routledge.
- Encyclopaedia Britannica. 2014. Hammurabi.
- Hammurabi, Hammurabi’s Code of Laws. [Roth, M.T. (trans). 1995. Law Collections from Mesopotamia and Asia Minor. Atlanta: Scholars Press].
- The Free Dictionary. 2014. Code.
- Wright, D. 2009. Inventing God’s Law: How the Covenant Code of the Bible Used and Revised the Laws of Hammurabi. Oxford: Oxford University Press.
- Yaron, R. 1969. The Laws of Eshnunna. Jerusalem: The Magnes Press, The Hebrew University.
- Get link
- X
- Other Apps

