- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (22 Mei 2020). The Old Kingdom of Egypt – Dynasties That Changed
the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/old-kingdom-0013753
https://www.ancient-origins.net/history-ancient-traditions/old-kingdom-0013753
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kerajaan Lama merupakan
nama yang digunakan bagi merujuk kepada suatu zaman dalam sejarah Mesir purba
yan bermula dari kurun ke-27 hingga kurun ke-22 Sebelum Masihi. Zaman ini
dimulakan oleh Dinasti Ketiga dan berakhir pada era Dinasti Keenam. Namun,
Dinasti Ketujuh dan Kelapan kadangkala turut dianggap sebagai sebahagian
daripada Kerajaan Lama. Zaman ini didahului oleh Zaman Dinasti Awal dan
disusuli oleh Zaman Pertengahan Awal.
Zaman Kerajaan Lama
paling menonjol dengan piramid-piramid yang dibangunkan pada tempoh itu,
justeru turut meraihkannya nama lain, iaitu ‘Zaman Pembina-Pembina Piramid’.
Apapun, piramid bukanlah satu-satunya sumbangan Zaman Kerajaan Lama pada
sejarah Mesir purba. Banyak amalan dan konsep kehidupan mereka bertahan hingga
ke zaman-zaman yang lebih terkemudian.
KERAJAAN LAMA
Istilah ‘Kerajaan Lama’
tidak pernah digunakan oleh masyarakat Mesir purba sendiri. Pada hakikatnya,
istilah ini hanya diperkenalkan oleh sejarahwan pada kurun ke-19. Pengistilahan
ini mencerminkan pandangan yang diterima secara meluas dalam kalangan ilmuwan
pada masa itu, iaitu sejarah Mesir purba boleh dibahagikan mengikut zaman-zaman
yang berbeza. Pembahagian antara zaman Kerajaan Lama dan zaman Dinasti Awal
adalah berteraskan pada perbezaan seni bina dan impak yang diberikan oleh
binaan-binaan monumental kepada masyarakat dan ekonomi Mesir purba.
Jika dilihat daripada
sudut lain pula, kita dapat melihat bahawa firaun terakhir zaman Dinasti Awal
dan dua firaun pertama dari zaman Kerajaan Lama masing-masing mempunyai kaitan
dengan Ratu Nimaathap. Semasa era Khasekhemwy si raja terakhir zaman Dinasti
Awal, Ratu Nimaathap disebut sebagai ‘Ibu Bagi Anak Raja’, dan menyandang
gelaran ‘Ibu Bagi Raja Mesir Hulu dan Hilir’ pada era Djoser si raja pertama
zaman Kerajaan Lama. Dalam kata-kata lain, ratu ini mungkin merupakan isteri
kepada Khasekhemwu dan ibu kepada Djoser.
![]() |
| Tugu dan relif dari necropolis di Saqqara |
DJOSER DAN KELAHIRAN
PIRAMID-PIRAMID DI MESIR
Walaupun Djoser
tidaklah dianggap sebagai firaun pertama bagi Dinasti Ketiga, tanpa dapat
dinafikan beliau adalah firaun yang paling masyhur bagi dinasti tersebut.
Djoser (atau dikenali sebagai Netjerikhet di zamannya) memerintah Mesir pada
tahun 2667 hingga 2648 SM. Takhta Mesir itu mungkin diwarisi daripada Sanakht,
pemerintah pertama Dinasti Ketiga yang juga mungkin merupakan abang Djoser.
Kalau bukan kerana inovasi teknologi pada seni bina di zamannya, Djoser mungkin
akan hidup sebagai satu figura sejarah yang kabur, sama seperti
pemerintah-pemerintah Dinasti Ketiga yang lain.
Djoser bertanggungjawab
melaksanakan projek pembinaan struktur batu monumental terawal di Mesir – iaitu
kompleks permakaman Djoser di Saqqara. Kompleks ini dibina menggunakan batu dan
bukannya bata lumpur yang menjadi kelaziman pada era sebelum Djoser. Peralihan
daripada penggunaan bata lumpur kepada batu ini tidak seharusnya dikreditkan
kepada Djoser sahaja, tetapi juga kepada Imhotep si wazir firaun merangkap
seorang arkitek dan tabib yang cekap.
Bahagian penting bagi
kompleks permakaman Djoser ialah Piramid Bertingkat (atau turut dikenali sebagai
Piramid Djoser), piramid pertama Mesir. Piramid ini pada asalnya merupakan
sebuah makam mastaba, iaitu binaan yang lazim dibangunkan pada zaman Dinasti
Awal. Makam jenis ini merupakan berbentuk segi empat tepat dan berbumbung rata,
dengan setiap sisi cerunnya melengkung ke dalam. Dalam kata-kata lain, Piramid
Bertingkat merupakan enam mastaba berlainan saiz yang ditimbunkan ke atas satu
sama lain sehingga membentuk sebuah piramid yang setinggi 60 meter (196.9
kaki).
![]() |
| Piramid Bertingkat, yang dibina oleh firaun Djoser dan terletak di kompleks Saqqara |
Tidak seperti
mastaba-mastaba di zaman awal yang dibina menggunakan bata lumpur, Piramid
Bertingkat diperbuat daripada bongkah batu kapur. Namun, bongkah-bongkah ini
bersaiz kecil jika dibandingkan dengan bongkah yang digunakan pada era Dinasti
Keempat. Secara keseluruhan, sebanyak 2.3 juta bongkah batu digunakan untuk
membina Piramid Agung, dengan berat purata setiap bongkah adalah 2.5 tan.
Tenaga manusia dan sistem yang rapi bagi membina Piramid Bertingkat dan
kompleks permakaman besar ini mengisyaratkan bahawa pada era firaun Djoser,
Mesir menikmati tempoh aman dan kemewahan.
SNEFRU DAN TIGA BUAH
PIRAMIDNYA
Walaupun pembinaan
piramid Mesir purba dimulakan oleh Djoser, piramid dalam bentuknya yang sebenar
hanya wujud pada era Dinasti Keempat. Pemerintah pertama bagi dinasti ini ialah
Snefru, yang dipercayai meraih kuasa setelah berkahwin dengan puteri firaun.
Sama seperti Djoser, nama Snefru juga dikenang sebagai seorang pembina piramid.
Namun, bilangan piramid yang dibina oleh Snefru bukan sebuah, tetapi tiga buah
yang kesemuanya terletak di Dahshur.
Piramid pertama beliau
ialah Piramid Meidum, yang pada mulanya dibina sebagai sebuah piramid
bertingkat. Ketika piramid ini hampir siap, Snefru memerintahkan agar
tingkat-tingkat piramid itu dipadatkan dengan batu dan seluruh strukturnya pula
diselaputi dengan batu kapur, sekaligus membentuk piramid sebenar Mesir yang
pertama. Namun, Piramid Meidum tidak stabil dan laisan luarnya yang lebih berat
berbanding lapisan dalam mula menggelongsor jatuh. Struktur yang tinggal pada
hari ini hanyalah teras tiga tingkat berbentuk petak.
![]() |
| Piramid Meidum merupakan piramid sebenar pertama binaan Mesir, terletak sejauh 62 batu (100 km) arah selatan dari Kaherah |
Piramid seterusnya yang
dibina ialah Piramid Bengkok. Struktur ini dianggap sebagai piramid pertama
yang direka sebagai piramid sebenar sejak awal pembinaannya. Piramid ini
kelihatan bengkok akibat perubahan darjah sudut sisi-sisinya sewaktu ia dibina.
Pada mulanya, sisi-sisi Piramid Bengkok melengkung-condong pada sudut 60
darjah. Namun, darjah kecondongan ini dikurangkan kepada 55 darjah setelah
menyedari kesilapan pada ukuran asal.
Sebagai susulan, tapak piramid perlu
dibesarkan dan lapisan luar pula ditambah. Namun, perubahan ini masih belum
mencukupi. Ketika pembinaan piramid mencapai ketinggian 45 meter (147.6 meter),
jurubina sekali lagi menyedari kesilapan dalam membuat ukuran. Bagi mengelakkan
struktur ini runtuh, mereka pun terpaksa mengurangkan beban pada bahagian bawah
piramid di mana darjah kecondongan sekali lagi dikurangkan kepada 43 darjah.
![]() |
| Piramid Bengkok, yang dibina oleh firaun Snefru pada Zaman Kerajaan Lama, di mana ia berdiri megah di necropolis Dahshur di Kaherah, Mesir |
Pengalaman membina dua
buah piramid Snefru ini dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh jurubina Snefru dan
dalam projek yang ketiga, mereka berjaya melakukannya dengan tepat. Piramid
Merah, atau juga dikenali sebagai Piramid Utara, merupakan piramid ketiga yang
dibina oleh Snefru. Dengan ketinggiannya yang mencecah 105 meter (344.5 kaki),
Piramid Merah merupakan piramid yang paling tinggi binaan Snefru. Ia juga
merupakan piramid sebenar pertama yang dibina dengan jaya oleh masyarakat Mesir
purba.
Piramid Merah meraih
namanya daripada rona merah pada batu kapur yang digunakan bagi pembinaan
bahagian terasnya. Namun apabila piramid ini siap dibina, ia diselaputi dengan
batu kapur putih. Walaupun kebanyakan selongsongnya telah pun hilang,
sebahagian daripadanya masih terselamat dan kepingan-kepingan yang tinggal ini
berupaya memberikan maklumat lanjut berkenaan piramid tersebut. Beberapa batu
selongsong daripada piramid ini dihantar ke makmal untuk menjalani ujian
pentarikhan dan melalui hasil yang diraih, ahli-ahli arkeologi dapat
menganggarkan bahawa piramid ini disiapkan dalam tempoh kira-kira 17 tahun.
![]() |
| Piramid Merah adalah piramid tertinggi binaan Snefru dan ia bertempat di necropolis Dahshur di Kaherah |
Walaupun Piramid Merah
merupakan piramid tertinggi di antara ketiga-tiga piramid Snefru, ia hanyalah
piramid ketiga tertinggi di antara kesemua piramid Mesir purba. Tentunya,
keadaan ini banyak dipengaruhi oleh faktor kecondongannya, iaitu pada 43
darjah. Sebagai perbandingan, darjah kecondongan Piramid Agung yang merupakan piramid
tertinggi Mesir purba (147 meter) adalah 51 darjah.
KEMUNCAK PEMBINAAN
PIRAMID
Piramid Agung terletak
di kompleks piramid Giza dan ia dibina oleh Khufu, pemerintah yang menggantikan
Snefru merangkap firaun kedua bagi Dinasti Keempat. Tambah menarik, nama Khufu
ada disebutkan oleh Herodotus dalam The Histories. Menurut sejarahwan
Yunani itu, Khufu yang dikenali dalam kalangan masyarakat Yunani sebagai
Cheops, merupakan seorang pemerintah kuku besi. Dakwanya, Khufu “menutup
kesemua rumah perlindungan, menghalang masyarakat umum melakukan sembah korban,
dan memerintahkan agar seluruh rakyat Mesir mencurah khidmat padanya.”
![]() |
| Piramid Agung Giza atau Piramid Khufu (tengah), Piramid Khafre (kiri), Piramid Menkaure (kanan) dan Piramid Ratu-Ratu (paling hadapan) |
Dalam Papirus Westcar
(ditulis pada zaman Hyksos, namun ia hanya menyebut semula kisah yang mungkin
ditulis pada Zaman Kerajaan Tengah) pula, Khufu disifatkan secara lebih
positif. Lembaran ini memerincikan beliau sebagai seorang pemerintah yang bijak,
dermawan, dan gemar mencari ilmu.
Walau apa pun jua
keadaannya, Dinasti Keempat dianggap sebagai zaman kemuncak pembinaan piramid.
Selain tiga buah piramid Snefru dan Piramid Agung Khufu, piramid-piramid Khafre
dan Menkaure juga dibina pada zaman ini. Salah satu faktor yang menyumbang
kepada kepesatan ini adalah kukuhnya pemerintahan pusat pada waktu itu.
Firaun-firaun dari dinasti ini berusaha seupaya mungkin bagi meneguhkan
kedudukan mereka.
Antara pendekatan yang
diambil adalah pemberian estes atau pemilikan tanah kepada para pegawai tinggi
di seluruh Mesir. Tindakan ini bertujuan untuk mengelak dari terbentuknya
pengaruh penguasa-penguasa tempatan. Pada masa yang sama, pengeksploitasian
tanah secara intensif turut dapat digalakkan. Selain faktor ini, Mesir juga
sedang menikmati tempoh kestabilan dan keamanan politik yang agak panjang pada
waktu itu. Mereka sama sekali tidak menerima ancaman serius oleh kuasa-kuasa
luar. Firaun-firaun yang memerintah pula memegang kuasa mutlak. Dalam kata-kata
lain, keadaan ini membolehkan sumber kekayaan mahupun tenaga manusia dikerahkan
bagi melaksanakan projek pembinaan piramid.
Tujuan pembinaan
sesebuah piramid itu sendiri tidak sekadar terhenti di situ (meneguhkan
kedudukan firaun). Secara umum, piramid turut berfungsi sebagai pusat kultus
bagi firaun-firaun yang telah meninggal dunia. Tradisi penyemadian kerabat
diraja menuntut agar si mati dibekalkan dengan barang-barang keperluan bagi
menempuh kehidupan sesudah mati, dan tradisi ini perlu dilakukan secara terus-menerus.
Sebagai contoh, kultus penyemadian Khufu terus diamalkan sehingga era Dinasti
Ke-26. Secara tidak langsung, kultus atau tradisi sebegini turut menjadi mata
pencarian buat sesetengah pihak, khususnya yang terlibat dalam tradisi
berkenaan.
Kebanyakan barang
ritual dan sembah korban yang diberikan tidak ditinggalkan begitu sahaja di
altar atau meja korban. Sebaliknya, ia digunakan oleh para pendeta yang
melaksanakan upacara tersebut atau jika tidak, diagihkan secara lebih meluas.
Walaupun pembinaan piramid tidak lagi menjadi satu agenda penting selepas
berakhirnya Zaman Kerajaan Lama, konsep dan tradisi penyemadian kerabat diraja
ini masih terus dipertahankan. Amalannya terus berlanjutan sehingga ke
zaman-zaman terkemudian.
DINASTI KELIMA DAN PERUBAHAN
SIGNIFIKAN DALAM TRADISI PEMBINAAN PIRAMID
Kemewahan dan
kesenangan pada era Dinasti Keempat tidak berpanjangan. Era ini berakhir
sekitar 2494SM dan digantikan oleh Dinasti Kelima. Beberapa perubahan ketara
dapat dikesan sesudah memasuki era Dinasti Kelima ini. Sebagai contoh,
piramid-piramid yang dibina pada era ini jauh lebih kecil dan tidak kukuh jika
dibandingkan dengan piramid-piramid binaan Dinasti Keempat.
Piramid Userkaf
(pengasas Dinasti Kelima) di Saqqara, misalnya, hanya memiliki ketinggian
kira-kira 48 meter (157.5 kaki) dan pada hari ini, kebanyakan strukturnya hanya
tinggal puing-puing runtuhan sahaja. Salah satu faktor perubahan ini adalah
kekayaan pemerintah yang menyusut dengan ketara. Keadaan ini mungkin boleh
dikaitkan dengan menyusutnya kuasa mutlak yang dipegang oleh firaun, di mana
hal ini merupakan satu lagi perbezaan signifikan antara era Dinasti Keempat dan
Dinasti Kelima. Firaun-firaun Dinasti Kelima perlu bersaing dengan dewa Ra
(atau lebih tepat, pendeta-pendeta yang berkhidmat untuk dewa Ra).
![]() |
| Piramid Userkaf di Saqqara, yang saiznya jelas sekali jauh lebih kecil berbanding piramid-piramid yang dibina pada dinasti-dinasti awal |
Ra muncul sebagai dewa
penting pada era Dinasti Keempat. Sejak era Djedefra si pengganti Khufu, firaun-firaun
Dinasti Keempat mula memakai gelaran ‘Putera Ra’. Walau bagaimanapun, hanya
pada era Dinasti Kelima barulah kultus dewa Ra mencapai kemuncaknya.
Firaun-firaun dari dinasti ini membina banyak kuil matahari untuk dewa
berkenaan, yang sebahagiannya dihiasi dengan begitu mewah. Lantaran itu,
pendeta-pendeta Ra pun meraih pengaruh yang besar di Mesir.
Kuasa firaun semakin
dihakis oleh para pegawai tinggi. Berbeza dengan era Dinasti Keempat, para
pegawai tinggi pada zaman Dinasti Kelima bukanlah daripada kerabat firaun
sendiri. Dalam kata-kata lain, kuasa pemerintahan secara bertahap hilang dari
tangan keluarga firaun dan jatuh ke tangan para nomarki, iaitu gabenor-gabenor
wilayah.
BERAKHIRNYA ZAMAN
KERAJAAN LAMA DAN LEGASINYA
Firaun terakhir bagi
Zaman Kerajaan Lama yang dianggap signifikan ialah Pepi II, iaitu pemerintah
kedua terakhir bagi Dinasti Keenam. Beliau menaiki takhta pada usia enam tahun,
sekitar tahun 2278SM dan menurut sumber tradisi, memerintah selama 94 tahun. Piramid
Pepi di Saqqara merupakan piramid Dinasti Kelima dan Dinasti Keenam yang paling
besar, walau saiznya agak kerdil jika dibandingkan dengan piramid-piramid dari
Dinasti Keempat. Piramid Pepi juga merupakan projek pembinaan monumental
terakhir di Zaman Kerajaan Lama.
Walaupun pemerintahan
Pepi berlangsung panjang, jelas sekali Mesir mengalami era kemunduran. Kerajaan
Lama tumbang tidak lama sesudah kemangkatan Pepi. Firaun terakhir bagi Dinasti
Keenam ialah Nitiqret, sementara nama kebanyakan firaun bagi Dinasti Ketujuh
dan Kelapan hilang dari sejarah. Kejatuhan Kerajaan Lama berpunca daripada
beberapa faktor, termasuklah akibat hilangnya kuasa pusat, meningkatnya
pengaruh nomarki, dan meningkatnya tekanan dan serangan kaum Nubia di selatan.
Tanpa dapat dinafikan,
Kerajaan Lama merupakan zaman yang cukup mengagumkan dalam sejarah Mesir purba.
Nama ‘Zaman Pembina-Pembina Piramid’ yang turut diberikan kepadanya juga dikira
amat sesuai. Walau bagaimanapun, jatuhnya Kerajaan Lama ini bukanlah penamat
bagi tamadun Mesir Purba. Walaupun Zaman Pertengahan Awal yang menyusuli Zaman
Kerajaan Lama sering dianggap sebagai zaman kemunduran, ia tetap mempunyai
pencapaian yang tersendiri. Tambahan lagi, sejumlah tradisi dan idea dari
Kerajaan Lama tidak luput dari sejarah, sebaliknya terus dikekalkan oleh para
pemerintah dari dinasti-dinasti terkemudian.
SUMBER
- Baines, J.R. et al. 2020. The Old Kingdom (c. 2575-c.2130 BCE) And the First Intermediate Period (c. 2130-1938 BCE).
- Dunn, J. 2020. The Pyramid of Snefru (Bent Pyramid) at Dahshur.
- Dunn, J. 2020. The Pyramid of Snefru (Red Pyramid) at Dahshur.
- Gill, N.S. 2018. Old Kingdom: Ancient Egypt’s Old Kingdom Period.
- Herodotus, The Histories. [Waterfield, R. (trans). 1998. Herodotus’ The Histories. Oxford: Oxford University Press].
- Hill, J. 2020. Westcar Papyrus.
- History.com. 2019. Egyptian Pyramids.
- History.com. 2020. Ancient Egypt.
- Jarus, O. 2012. Step Pyramid of Djoser: Egypt’s First Pyramid.
- Malek, J. 2000. The Old Kingdom (c. 2686-2160 BC). In: I. Shaw, ed. The Oxford History of Ancient Egypt. Oxford: Oxford University Press, pp. 83-107.
- Millmore, M. 2020. Egyptian Old Kingdom Dynasties.
- Prakash, T. 2019. Egypt in the Old Kingdom (ca. 2649-2130 B.C).
- The BBC. 2014. Khufu (2609 BC – 2584 BC).
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014. Pepi II.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2015. Djoser.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2015. Snefru.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Khufu.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Pyramids of Giza.
- Tyldesley, J. 2011. Development of Pyramids Gallery. Meidum Pyramid.
- Cemml.colostate.edu. 2020. Old Kingdom (2,700-2,200 BC) and First Intermediate Period (2,181-2,055 BC).
- Get link
- X
- Other Apps







