- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (19 April 2015). Ferdinand Magellan: Defying all Odds in a Voyage
around the World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/ferdinand-magellan-defying-all-odds-voyage-around-world-002924
https://www.ancient-origins.net/history/ferdinand-magellan-defying-all-odds-voyage-around-world-002924
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ferdinand Magellan
merupakan seorang peneroka dari Portugal yang meraih kemasyhuran lantaran
kejayaan ekspedisinya mengelilingi dunia buat kali pertama sekaligus
membuktikan bahawa bumi itu bulat. Walau bagaimanapun, perlayaran beliau ini
dilanda nasib malang, badai ribut dan pemberontakan. Magellan sendiri tidak
berpeluang menyempurnakan ekspedisinya ini.
Pada tahun 1453,
Empayar Byzantine menemui pengakhiran apabila ibu kotanya, Konstantinopel,
tumbang ke tangan Turki-Uthmaniyah di bawah kepimpinan Sultan Muhammad
al-Fateh. Salah satu kesan susulan daripada kebangkitan Empayar Uthmaniyah ini
adalah aktiviti perdagangan merentas darat oleh Eropah ke Asia kini semakin
terhad. Malahan, barang eksotik dari Timur dimonopoli oleh pedagang-pedagang
Arab dan ia dijual kepada orang Eropah dengan harga yang sangat tinggi. Hal ini
mendorong kepada bermulanya Zaman Penemuan (atau Penjelajahan) oleh Dunia
Eropah, di mana salah satu matlamat penerokaan laut ini adalah untuk menemukan
laluan alternatif ke Timur.
Pada tahun 1488,
peneroka Portugis yang bernama Bartolomeu Diaz berjaya sampai ke Lautan Hindi
dari Lautan Atlantik dengan berlayar di sepanjang penghujung selatan Afrika.
Kira-kira 10 tahun kemudian, rakan sewarganya, iaitu Vasco da Gama pula tiba di
India setelah mengikuti laluan yang dirintis oleh Diaz.
Selain Portugis,
orang-orang Sepanyol juga mula menjelajahi lautan. Christopher Columbus si
peneroka Itali yang berkhidmat untuk Sepanyol, misalnya, mempercayai bahawa
Timur boleh diakses dengan berlayar ke barat. Walaupun Columbus kemudiannya
hanya ‘menemukan’ Dunia Baru – hakikatnya, terdapat orang lain yang sampai di
sana lebih awal berbanding beliau – beliau bertegas mengatakan bahawa tanah
tersebut adalah sebahagian dari benua Asia.
Idea yang dipegangi Columbus bahawa
Timur boleh diakses dengan berlayar ke barat ini dilihat tidak masuk akal bagi
sesetengah masyarakat di zamannya. Namun, terdapat juga sebilangan pihak yang
meraih motivasi daripada idea tersebut. Salah seorang daripada mereka ini ialah
Ferdinand Magellan yang cuba untuk sampai ke Asia dengan berlayar ke barat, 13
tahun selepas kematian Columbus.
![]() |
| Potret Ferdinand Magellan |
Pada mulanya, Magellan
menumpahkan khidmat kepada raja Portugal. Namun, beliau kemudian meninggalkan
Portugal dan bertukar kesetiaan pada Sepanyol. Pada tanggal 22 Mac 1519, beliau
berjaya memujuk raja Sepanyol supaya menaja perlayarannya ke Kepulauan Rempah.
Magellan dibekalkan dengan lima buah kapal bagi melaksanakan perlayaran
tersebut – iaitu kapal Trinidad, San Antonio, Conception, Victoria dan Santiago.
Selain itu, Magellan juga diberikan hak ke atas satu perlima daripada
keuntungan yang diperoleh hasil aktiviti penjarahan dan rampasan yang dilakukan
sepanjang perlayaran tersebut.
![]() |
| Nao Victoria, replika kapal Magellan di Punta Arenas, Chile |
Menurut catatan-catatan
yang ditinggalkan oleh Antonio Pigafetta, Magellan mula berangkat dari Seville
pada 10 Ogos tahun yang sama. Namun, beliau hanya berlayar dari Sanlucar de
Barrameda, Sepanyol dan memasuki Lautan Atlantik pada bulan September. Dari
sana, Magellan berlayar menuju ke Brazil yang pada waktu itu merupakan koloni
Portugal. Seterusnya, beliau memasuki Rio de Janeiro (sungai dan bukannya
bandar, di mana bandarnya hanya ditubuhkan pada 1565) pada tanggal 13 Disember.
Mereka menetap di sana sehingga 26 Disember sebelum melanjutkan perlayaran.
Dari Brazil, Magellan dan angkatannya berlayar ke selatan di sepanjang pantai
Amerika Selatan demi mencari laluan yang dapat membawa mereka ke Asia.
![]() |
| Potret yang lazim dikaitkan dengan Antonio Pigafetta |
Pada Mac 1520, Magellan
terpaksa melabuhkan sauh di Pelabuhan San Julian, pantai Patagonia di Argentina
selatan lantaran musim sejuk. Pada masa-masa inilah berlakunya pemberontakan.
Namun, Magellan berupaya menangani kemelut tersebut dengan menjatuhkan hukuman
ke atas kapten pemberontak. Seorang lagi kapten pemberotan lain ditinggalkan di
sebuah pulau terbiar. Sekitar masa yang sama, Santiago dihantar untuk
meninjau laluan. Namun, ia karam akibat dibadai ribut. Anak-anak kapal yang
masih hidup sempat diselamatkan dan dimasukkan ke dalam kapal-kapal lain yang
masih teguh. Setelah lima bulan berdiam di Pelabuhan San Julian, Magellan
menyambung perlayarannya.
Pada 21 Oktober 1520,
laluan untuk ke Timur akhirnya ditemui dan Magellan mengambil masa selama 38
hari untuk meredahnya sebelum benar-benar keluar dari Lautan Atlantik dan
memasuki Lautan Pasifik. Pada hari-hari awal meredah laluan tersebut, anak-anak
kapal San Antonio menggesa kapalnya agar mengabaikan ekspedisi dan berpatah
balik ke Sepanyol.
Laluan ini pada asalnya
dinamakan sebagai Straits of All Saints (atau Selat Orang-Orang Kudus),
memandangkan kapal-kapal Magellan memasuki selat ini pada tanggal 1 November,
iaitu hari yang dianggap sebagai ‘Hari Orang-Orang Kudus’ (All Saints’ Day)
dalam agama Kristian. Kemudian, laluan ini dinamakan sebagai Selat Magellan
bersempena nama individu yang menemukannya.
![]() |
| Peta yang menunjukkan Selat Magellan |
Dalam penggal yang
berikutnya, Magellan tiba di Pulau Guam. Di sana, beliau mengisi semula bekalan
makanan. Magellan kemudian berlabuh di Filipina, tempat di mana belau terkorban
dalam Pertempuran Mactan yang meletus pada 21 April 1521. Lapu-Lapu, seorang
pembesar di Pulau Mactan, diberikan kredit lantaran berjasa memerangi dan
menewaskan penceroboh dari Eropah itu.
Selepas kematian
Magellan, dua orang ketua ekspedisi yang baru dilantik turut menemui nasib yang
sama apabila mereka dibunuh dalam sebuah jamuan oleh seorang raja tempatan.
Susulannya, tugas kepimpinan jatuh ke bahu Juan Sebastian Elcano di mana tugas
utama beliau adalah membawa anak-anak kapalnya pulang semula ke Sepanyol
melalui Lautan Hindi. Lantaran kekurangan tenaga manusia, Elcano memutuskan
untuk membakar Conception agar
tidak jatuh ke tangan penduduk tempatan.
Dalam perlayaran pulang, Trinidad dirampas oleh Portugis. Satu-satunya kapal yang berjaya sampai ke
Sepanyol adalah Victoria. Ketika tiba di Sepanyol pada tanggal 6
September 1522, hanya 18 orang sahaja yang terselamat dari keseluruhan 270
orang anak kapal. Apapun, sejarah akan tetap mengenang ekspedisi perlayaran
pasukan Magellan yang mengelilingi dunia ini.
![]() |
| Perlayaran Magellan-Elcano. Victoria, salah sebuah dari lima buah kapal asal, berjaya mengelilingi bumi selepas kematian Magellan |
SUMBER
- Briney, A. 2015. Ferdinand Magellan.
- Pigafetta, A. The First Voyage Round the World, by Magellan. [Lord Stanley of Alderley (trans). 1874. Pigafetta’s The First Voyage Round the World, by Magellan].
- Szalay, J. 2014. Biography, Ferdinand Magellan: Facts.
- BBC. 2014. Ferdinand Magellan (1480-1521).
- Biography. 2015. Ferdinand Magellan Biography.
- Elizabethan-Era. 2015. Ferdinand Magellan.
- History. 2015. Ferdinand Magellan.
- Get link
- X
- Other Apps





