- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (14 Julai 2020). Aztec Palace Complex and Later Cortes Home
Unearthed in Mexico City. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/aztec-palace-complex-0013981
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/aztec-palace-complex-0013981
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ahli-ahli arkeologi
berjaya menemukan sebuah kompleks istana Aztec di tengah-tengah Mexico City.
Kompleks istana yang baru ditemui di ibu kota Mexico itu dibina khas untuk
maharaja Aztec, namun ia kemudiannya digunakan sebagai kediaman Hernan Cortes
si conquistador Sepanyol. Penemuan kompleks istana Aztec ini membantu
pasukan penyelidik untuk lebih memahami suasana dramatik di sekitar era
kejatuhan Empayar Aztec dan tahun-tahun awal kolonial Sepanyol di Mexico.
Penemuan ini dilakukan
oleh pakar-pakar dari Institusi Antropologi dan Sejarah Kebangsaan (INAH).
Menurut The Telegraph, usaha pencarian ini berjalan di bawah bangunan
Nacional Monte de Pieded, iaitu sebuah kedai pajak barang bersejarah yang
terletak di tengah-tengah dataran ibu kota. Kerja-kerja ini dilaporkan telah
berlangsung selama 20 tahun.
![]() |
| Bangunan National Mount of Piety di Mexico City, tempat di mana para penyelidik menemukan kompleks kuil Aztec |
Dengan memanfaatkan
teknik penyelidikan moden dan disokong oleh bukti-bukti dokumen sejarah,
pasukan penyelidik menyimpulkan bahawa istana Aztec yang mereka temui itu
merupakan kediaman atau istana asal Axayacatl. Axayacatl merupakan maharaja
ke-6 Empayar Aztec. Beliau dikenali sebagai seorang penakluk agung merangkap
ayahanda kepada tlatoanl (maharaja) merdeka terakhir Aztec, Moctezuma II
(atau Montezuma II). Istana Axayacatl menjadi medan di mana beberapa detik
terpenting dalam sejarah kejatuhan Empayar Aztec berlaku.
KOMPLEKS ISTANA AZTEC
MEMPUNYAI PERKARANGAN BATU BASALT YANG UNIK
Pasukan pakar melakukan
galian pada lubang-lubang uji yang terdapat di sebelah utara, timur dan barat
tapak istana ini. Penggalian ini membawa kepada penemuan sebuah tembok batu.
Tembok ini dipercayai dibina pada kurun ke-18M dan berfungsi sebagai tapak asas
dan platform lapisan terdalam bagi menyokong tiang-tiang bangunan.
![]() |
| Sudut tenggara sebuah bilik dalam rumah Hernan Cortes |
Penyelidikan lanjut
menemukan puing-puing runtuhan kompleks istana sekaligus membekalkan pasukan
pakar dengan pengetahuan baru berkaitan istana kurun ke-16 milik Axayacatl itu.
Raul Barrera dan rakan setugasnya, Jose Maria Garcia, yang mengetuai projek
ini, memaklumkan pada Cultura bahawa penemuan ini “membolehkan kami
mengandaikan bahawa perkarangan utama kompleks ini pada asalnya jauh lebih
besar.”
Turut ditemui dalam
penggalian ini adalah kepingan tebal batu basalt. Bahan ini dianggap sangat
berharga pada era Empayar Aztec. Menurut The Telegraph, pakar-pakar dari
INAH menyebutkan bahawa “kepingan-kepingan tebal batu basalt itu mungkin
merupakan sebahagian daripada ruangan terbuka Istana Axayacatl, atau lebih
tepat, sebuah patio”.
![]() |
| Pemandangan suatu sudut sebuah bilik dalam rumah Hernan Cortes, yang dibina di tapak Istana Axayacatl |
KOMPLEKS ISTANA AZTEC
DISERAHKAN KEPADA CORTES
Istana Axayacatl
kemudiannya diserahkan oleh Montezuma kepada Hernan Cortes dan pasukannya untuk
dijadikan sebagai kediaman mereka semasa berada di Tenochtitlan. Istana inilah
tempat berundurnya pasukan conquistador Sepanyol itu berundur setelah
mereka membunuh ramai warga Aztec dalam sebuah festival keagamaan yang
berlangsung pada Mei 1520. Semasa kepungan dilakukan ke atas istana tersebut,
Montezuma II terkorban. Pembunuhannya itu mencetuskan lebih banyak konflik
berdarah antara warga Aztec dan conquistador Sepanyol. Rentetan itu,
pihak Sepanyol pun melarikan diri dari istana itu, sebelum kembali dan
menyerang semula Aztec pada tahun berikutnya.
Bersebelahan dengan
perkarangan istana ini ditemui sebuah bilik yang diperbuat daripada batu basalt
dan batu tenzontle, iaitu sejenis batu volkanik. Batu-batu ini berukuran 15
kaki kali 12 kaki dan berdiri di atas kepingan-kepingan batu tebal. Menurut
pasukan penyelidik, “analisa-analisa lanjut membawa kami kepada kesimpulan
bahawa bangunan tersebut dijadikan sebagai rumah Hernan Cortes sejurus selepas
kejatuhan Mexico-Tenochtitlan pada 1521”.
HANCURNYA TENOCHTITLAN
DAN KEBUDAYAAN AZTEC
Cortes tiba di Mexico
dari Cuba pada tahun 1581. Pada mulanya, dia cuma berhasrat mahu meneroka
kawasan tersebut dan mencari emas. Namun, setelah berkonflik dengan suku-suku
tempatan, Cortes pun mula menakluki wilayah-wilayah di sana.
Walau bagaimanapun,
dalam peristiwa La Noche Triste (Malam Duka) yang berlaku pada 1 Julai
1520, conquistador-conquistador Sepanyol itu diusir dari ibu kota Aztec
dengan menanggung kasualti yang tinggi.
Setelah dihalau dari Tenochtitlan,
Cortes menghimpunkan sebuah pasukan yang besar saiznya, terdiri dari tentera
Sepanyol dan sekutu-sekutu tempatan. Kemudian, dia pun kembali ke Tenochtitlan
pada tahun 1521 dan mengepungnya. Kemenangan yang diraihnya secara efektif
menumbangkan Empayar Aztec. Setelah Tenochtitlan tumbang, Cortes dan
orang-orang Sepanyol merampas kompleks istana, menjalankan pengubahsuaian dan
menambahkan binaan sebuah biara di dalamnya.
![]() |
| Perincian dari tapak ini menunjukkan bahawa batu dan relif Aztec digunakan oleh orang Sepanyol untuk membina tembok baru |
Bukti-bukti sejarah
mengisyaratkan bahawa pihak Sepanyol berhasrat mahu mencantas sisa-sisa kuasa
dan agama warga Aztec. Masyarakat tempatan dipaksa menghancukan monumen dan
kuil-kuil mereka dengan tangan sendiri. Cultura memetik Barrera dan
Garcia yang menyebutkan bahawa “sama seperti kebanyakan struktur yang dahulunya
berdiri di Presin Keramat Tenochtitlan, kesemua premis itu habis dimusnahkan
oleh orang Sepanyol dan sekutu tempatan mereka – musnah total hingga ke tapak
asas binaan”.
Berdasarkan
penemuan-penemuan terkini, didapati bahawa orang Sepanyol menggunakan
bahan-bahan binaan dari struktur Aztec yang asal untuk membina rumah dan
bangunan yang baru, termasuklah Rumah Cortes. Pasukan penyelidik menemui
batu-batu pra-penaklukan yang dihiasi relif-relif ukiran di Rumah Cortes, di
mana batu-batu ini melampirkan imej Quetzalcoatl, dewa naga berbulu, dan juga
beberapa glif Aztec yang lain.
Pasukan penyelidik
memaklumkan kepada Cultura bahawa tinggalan-tinggalan dari era Aztec
mendedahkan bahawa kemusnahan Tenochtitlan di tangan Sepanyol “mempunyai tujuan
yang simbolik dan praktikal. Mereka bukan sahaja mahu menakluki ibu kota Aztec.
Akan tetapi, mereka juga mahu menghapuskan akar-akar kebudayaan mereka.”
MEXICO CITY MENJADI IBU
KOTA DAN PUSAT PENTADBIRAN NEW SPAIN
Puing-puing runtuhan
yang ditemui di Rumah Cortes bersifat dan bergaya agak sederhana. Namun,
pasukan penyelidik memaklumkan bahawa “lantai-lantai pra-Hispanic ini merupakan
lantai sama yang digunakan oleh conquistador Sepanyol semasa mereka baru
tiba (dan mendiami kompleks itu) pada 8 November 1519”. Setelah menguasai
kompleks ini, pihak conquistador membangunkan sebuah wilayah New Spain
dan dari wilayah ini, mereka memerintah koloni-koloni mereka di Amerika Tengah
dan Amerika Selatan.
Kompleks istana
Axayacatl ini berada dalam pemilikan keluarga Cortes sehingga tahun 1566. Pada
tahun tersebut, anak lelaki Cortes terlibat dalam sebuah komplot menentang kerajaan.
Justeru, dia diusir dari New Spain. Dijangkakan hasil penemuan-penemuan baru
ini akan dipamerkan di kompleks istana itu sendiri.
- Get link
- X
- Other Apps




