- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Oktober 2018). Kublai Khan: Mongol Warrior, Horseman, Hunter
and Powerful Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/kublai-khan-mongol-warrior-horseman-hunter-and-powerful-emperor-006033
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/kublai-khan-mongol-warrior-horseman-hunter-and-powerful-emperor-006033
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Nama Kublai Khan
mungkin paling diingati menerusi penubuhan Dinasti Yuan. Bahkan, beliau juga
turut dianggap sebagai salah seorang maharaja China yang paling masyhur. Kublai
Khan merupakan cucu kepada Genghis Khan, pengasas Empayar Monggol. Pada
pandangan masyarakat China ketika itu, bangsa Monggol yang menjalani gaya hidup
yang amat berbeza dilihat sebagai bangsa gasar. Namun, Kublai Khan dikenang
dalam lipatan sejarah sebagai seorang pemerintah yang bijak. Masyarakat China
juga memandangnya secara positif, di mana salah satu faktor utamanya adalah
lantaran sikap beliau terhadap budaya China semasa memerintah sebagai maharaja.
KEHIDUPAN AWAL KUBLAI
KHAN
Dicatatkan bahawa
Kublai Khan dilahirkan di Monggolia pada tahun 1215. Bapa beliau ialah Tolui,
putera keempat Genghis Khan. Nama ibunya pula ialah Sorghaghtani Beki. Antara
adik-beradik Kublai ialah Mongke Khan si Khagan keempat (Khan Agung) merangkap
individu pertama dari keluarga Tolui yang memegang gelaran tersebut, Hulagu
Khan si pemerintah pertama Ilkhan, dan Ariq Boke yang kemudiannya diperangi
oleh Kubali demi mewarisi gelaran Khagan daripada Mongke. Ketiga-tiga beradik
ini masing-masing merupakan putera sulung, ketiga dan keempat Sorghaghtani.
Kublai dididik tentang
seni perang sejak usia kecil, sebagaimana yang menjadi kebiasaan masyarakat
nomad di steppe Monggolia. Oleh hal yang demikian, Kublai membesar menjadi
seorang pahlawan, penunggang kuda dan pemburu yang cekap. Beliau juga
didedahkan kepada budaya dan falsafah China sejak usia awal, sekaligus
membenihkan minat terhadapnya. Pendedahan ini banyak mempengaruhi keputusan
yang diambil oleh Kublai kelak.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Kublai Khan dalam sebuah ekspedisi perburuan, oleh pelukis istana China, Liu Guandao, sekitar 1280 |
Semasa abang Kublai,
iaitu Mongke, menjadi Khagan bagi Empayar Monggol pada tahun 1251, beliau
dilantik sebagai gabenor bagi wilayah-wilayah China, iaitu wilayah utara China.
Pada masa itu, wilayah selatan China diperintah oleh Dinasti Song Selatan.
Monggol sememangnya berhasrat mahu menakluknya, walau seringkali menemui
kegagalan. Dicatatkan bahawa Kublai menghormati adat-istiadat dan tradisi
masyarakat tempatan tempat beliau mentadbir. Selain itu, Kublai juga melantik
penasihat-penasihat berbangsa China bagi membantu beliau menjalankan
pembaharuan. Pendekatan sebegini mencerminkan betapa pentadbiran beliau
diterima baik oleh penduduk tempatan.
![]() |
| Menghadap Mongke Khan |
PERANG SAUDARA
Pada tahun 1259, Mongke
terkorban dalam sebuah kempen ketenteraan memerangi pasukan China. Lantas,
perang saudara pun tercetus antara Kublai dan adiknya, Ariq Boke. Kematian
Mongke ini juga menandakan bermulanya perpecahan Empayar Monggol. Memandangkan
Kublai dan saudaranya, Hulagu, sedang berada jauh dari ibu kota Monggol, iaitu
Karakorum, maka Ariq Boke mengambil kesempatan tersebut untuk menabalkan
dirinya sendiri sebagai Khagan.
![]() |
| Ariq Boke, Khagan Empayar Monggol |
Kublai pulang ke
Karakorum pada tahun 1260 dan serta-merta membantah tindakan Ariq Boke. Malah,
dengan sokongan daripada kumpulan-kumpulan pro-China, Kublai juga menabalkan
dirinya sendiri sebagai Khagan. Hal ini sekaligus mendorong kepada meletusnya
perang saudara yang berpanjangan sehingga tahun 1264, di mana Kublai tampil
memenangi peperangan ini.
PENAKLUKAN WILAYAH SELATAN
Kini, Kublai boleh
menumpukan perhatiannya ke selatan, khususnya menakluki Dinasti Song Selatan.
Kempen ini bakal menjadi suatu kempen yang panjang buatnya. Kempen ini juga
jauh lebih mencabar berbanding kempen sebelumnya, memandangkan rupa bumi dan
cuaca di sana meneutralkan keampuhan pasukan tentera Monggol, khususnya pasukan
kavalri mereka. Oleh hal yang demikian, Kublai terpaksa mengambil pendekatan
yang berbeza. Dalam kempen ini, beliau memanfaatkan teknologi pengepungan
daripada masyarakat di barat, selain membina sebuah armada perang.
Pendekatan pertama
membolehkan pasukan Monggol menakluki kota-kota bertembok China, terutamanya
Xiangyang. Pendekatan kedua pula membenarkan Monggol menyerang wilayah pantai
China selatan. Kekuatan armada Monggol inilah yang meraihkan mereka kemenangan
ke atas Dinasti Song Selatan dalam Pertempuran Yamen pada tahun 1279.
![]() |
| Tentera-tentera Monggol |
Penaklukan Dinasti Song
Selatan oleh Kublai Khan merupakan sebuah pencapaian yang mengagumkan. Hal ini
secara efektif mengangkat beliau sebagai maharaja asing pertama yang memerintah
China secara keseluruhan. Apapun, tidak dinafikan bahawa terdapat sejumlah
kempen ketenteraan Kublai Khan yang berakhir dengan kegagalan, terutama sekali
kempen memerangi Jepun dan Vietnam. Kublai mangkat pada tahun 1294 dan
kedudukannya diambil alih oleh cucu beliau, Temur Khan. Dinasti Yuan hanya
dapat bertahan kurang dari sekurun selepas kemangkatan Kublai Khan.
SUMBER
- Encyclopedia of World Biography. 2016. Kublai Khan Biography.
- Gracie, C. 2012. Kublai Khan: China’s favourite barbarian.
- Ministry of Culture, P.R. China. 2003. Kublai Khan.
- Biography. 2016. Kublai Khan.
- History. 2016. Kublai Khan.
- Get link
- X
- Other Apps




