KUBU GOLUBAC – KUBU ZAMAN PERTENGAHAN EROPAH YANG PALING TERPELIHARA

Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (29 Februari 2016). Golubac Fortress: The Best Preserved Medieval Fortress in Europe. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/golubac-fortress-best-preserved-medieval-fortress-europe-005437

Penterjemah: Amir Zayyanid


Kubu Golubac merupakan sebuah kota berkubu zaman pertengahan yang terletak di wilayah timur laut Serbia moden. Kedudukan kubu ini tepat berada di bahagian terluas Sungai Danube, di mulut Gaung Djerdap, yang turut dikenali sebagai Gerbang Besi
Kubu ini berdiri di bahagian selatan sungai dan berjarak kira-kira 4 km (2.48 batu) dari bandar Golubac moden. Kubu Golubac merupakan salah sebuah kota berkubu zaman pertengahan yang paling terpelihara keadaannya di Serbia. Memandangkan Kubu Golubac berada di lokasi yang strategik, maka banyak pihak yang saling berperang demi berebutkannya. Antara yang pernah menguasai kubu ini ialah Hungary, Serb, Austria dan Turk.


SEPULUH BUAH MENARA

Ciri Kubu Golubac yang paling menonjol adalah sepuluh buah menaranya yang dihubungkan melalui tembok. Pada asalnya, kubu ini hanya memiliki sembilan buah menara. Namun, ketika Turk menguasai kubu ini, mereka menambah menara yang kesepuluh. Menara yang diperkirakan sebagai menara paling tua dari kalangan sepuluh menara itu dipanggil sebagai ‘Menara Topi’. Penamaan sebegini merujuk kepada tapaknya yang berbentuk oktagon dan struktur atasnya yang berbentuk silinder. Selain memegang status sebagai menara paling tua, ia juga merupakan menara yang paling kukuh dan berfungsi sebagai citadel kubu ini.

Gerbang belakang dan menara 5 di sebelah kanan, sementara menara 10 di sebelah kiri


Menara-menara lain pula berbentuk petak. Sebilangan pihak menafsirkan bentuk tersebut sebagai petanda bahawa ketika ia dibina, senjata-senjata yang dominan masih lagi pedang dan lembing. Dalam kata-kata lain, menara-menara ini dibina sebelum serbuk api diperkenalkan.

Tersebarnya penggunaan serbuk api pada masa-masa terkemudian membawa maksud kubu ini perlu menjalani penambahbaikan. Beberapa buah pengubahsuaian dilakukan terhadap tembok kubu agar laras-laras meriam dapat dimuatkan ke dalamnya. Pengubahsuaian ini juga dilakukan supaya tentera yang berlindung di kubu ini dapat membidik musuh dalam keadaan dilindungi oleh tembok.

Lakaran topografi Kubu Golubac sebelum tahun 1972


KUASA-KUASA YANG PERNAH MENDUDUKI KUBU GOLUBAC

Keberadaan manusia di tapak berdirinya Kubu Golubac mendahului pembinaan bandar berkubu itu sendiri. Tapak itu juga pernah menjadi petempatan bangsa Rom. Kubu Golubac, atau setidak-tidaknya sebahagian besar daripadanya, secara umum dipercayai dibangunkan sekitar awal kurun ke-14. Dalam sebuah dokumen sejarah bertarikh 1335, dicatatkan bahawa kubu ini diduduki oleh tentera Hungary.

Gerbang utama dan perkarangan hadapan Kubu Golubac


Kubu Golubac meraih signifikasi sekitar pertengahan kurun ke-14 berikutan meningkatnya ancaman dari Turk-Uthmaniyah. Pada tempoh tersebut, kubu ini diduduki oleh bangsa Serb. Tidak lama sesudah berlakunya Pertempuran Kosovo pada tahun 1389, kubu ini jatuh ke tangan Uthmaniyah. Pada tahun 1391, kubu ini ditakluki oleh bangsa Hungary. Namun, penguasaan mereka ke atas kubu ini berlangsung singkat lantaran Turk berupaya merebut kembali Kubu Golubac pada tahun sama.

Pertempuran Kosovo, oleh Adam Stefanovic (1870)


Pada suatu masa sebelum tahun 1403, Kubu Golubac kembali jatuh ke tangan Hungary. Pada tahun tersebut, dicatatkan bahawa Sigismund si Raja Hungary bertindak menyerahkan kubu ini kepada Penguasa Serbia, Stefan Lazarevic, sebagai wilayah pentadbirannya setelah Lazarevic menumpahkan kesetiaan kepada Hungary.
Berikutan kematian Lazarevic pada tahun 1427, pemilikan Kubu Golubac kembali semula ke tangan Sigismund. Sebagai pertukaran bagi mendapatkan kubu itu, Sigismund melantik anak saudara Lazarevic yang bernama George Brankovic sebagai pewaris sah Penguasa Serbia.

Namun, komander yang memimpin kubu ini, iaitu Voivode Jeremija menuntut pampasan sebanyak 12 000 ducat. Setelah raja Hungary menyatakan keengganannya untuk membayar pampasan tersebut, Jeremija bertindak menyerahkan kubu itu kepada Uthmaniyah sekaligus kubu itu diubah menjadi kediaman pasha. Dengan menguasai kubu ini, Uthmaniyah serta-merta bersempadan dengan Hungary di Danube. 

Keadaan ini, yang ditambah pula dengan serangan-serangan Uthmaniyah di wilayah Hungary yang lain pada 1420, begitu mencemaskan Sigismund. Justeru pada dekad itu sahaja, sebanyak 14 buah istana baru dibina oleh Hungary di kawasan antara Belgrade dan Tumu Severin (di Romania moden).

Sigismund, berusia kira-kira 50 tahun, dalam sebuah lukisan yang secara tradisi dikaitkan dengan Pisanello


Sepanjang baki kurun ke-15, kekuasaan ke atas Kubu Golubac saling bersilih-ganti antara Hungary dan Uthmaniyah. Menjelang penghujung kurun ini, Uthmaniyah menguasai Serbia sekaligus Kubu Golubac pun dengan teguh berada dalam genggaman mereka. Kubu ini hanya jatuh ke tangan Monarki Habsburg beberapa kali pada kurun ke-17 dan ke-18. Dalam tahun-tahun terakhir kurun ke-18 dan awal kurun berikutnya, kubu ini dikuasai oleh pihak pemberontak Serbia.

Uthmaniyah kemudiannya berjaya merebut semula Kubu Golubac, walau pada tahun 1867, ia terpaksa diserahkan semula kepada Mihailo Obrenovic III si Knez (putera) Serbia. Semenjak itu, Kubu Golubac tidak lagi memainkan fungsi pertahanan dan pada hari ini, kubu tersebut merupakan satu destinasi pelancongan yang amat masyhur.


SUMBER