- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (18 Mei 2020). The Ayaz Kala Desert Fortresses: Spectacular Silk
Road Ruins. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ayaz-kala-0013726
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/ayaz-kala-0013726
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tatkala menyebut
tentang Ayaz Kala, antara perkara yang paling diingati tentunya kubu-kubu yang
pernah berdiri megah di sana. Pada hari ini, kubu-kubu yang menyimpan seribu
satu kisah itu hanya wujud dalam bentuk puing-puing runtuhan. Namun, bentuk
yang sedemikian rupa tetap memadai bagi mengenang detik-detik di mana ia berfungsi
sebagai benteng pertahanan dari serangan-serangan nomad di Jalan Sutera.
DI MANAKAH LETAKNYA AYAZ
KALA?
Ayaz Kala merupakan
sebuah tapak arkeologi yang terletak di daerah Ellikqala, Karakalpakstan.
Karakalpakstan pula merupakan sebuah republik autonomi di Uzbekistan yang
bertempat di sempadan barat laut negara itu. Dalam kata-kata lain, ia juga
membentuk sebahagian daripada wilayah Khwarezm. Memandangkan wilayah tersebut
terletak di sepanjang Jalan Sutera yang menghubungkan Timur dan Barat, maka ia merupakan
tempat yang amat strategik pada masa purba. Oleh kerana itu, tidak hairanlah
jika terdapat banyak petempatan atau kubu pertahanan dibina di sana.
Secara lebih
terperinci, tapak Ayaz Kala berlokasi di sebelah timur banjaran gunung
Sultan-Uizdag dan di sepanjang penghujung selatan Gurun Kyzylkum (Pasir Merah),
iaitu gurun ke-15 yang paling besar di dunia. Kubu-kubu di Ayaz Kala
dibangunkan dengan agak tinggi sekaligus membuatkannya mudah dilihat.
Ketinggian itu juga membolehkan pihak yang mengawal kubu ini mengesan kehadiran
musuh walau dari jauh. Sememangnya, kubu-kubu ini digunakan sebagai benteng
pertahanan terhadap nomad-nomad dari padang pasir yang lazim menyerang.
![]() |
| Kem Yurt di gurun Kyzylkum |
LEGENDA PEMBINAAN KUBU
DAN JANJI PALSU
Menurut legenda
tempatan, Ayaz Kala meraih namanya daripada seorang wira tempatan yang bernama
Ayaz. Dalam satu versi penceritaan, Ayaz diperincikan sebagai seorang
pengembala sementara versi yang lain pula menyebut beliau sebagai seorang
pahlawan sahaya. Apapun, dalam legenda berkenaan, diceritakan bahawa pemerintah
Khwarezm dikusutkan dengan serangan nomad-nomad dari padang pasir yang kerap
menceroboh sempadan utara kerajaannya. Oleh kerana itu, beliau menyatakan
hasrat mahu membangunkan sebuah kubu bagi mempertahankan sempadannya.
Beliau malah
melontarkan janji untuk mengahwinkan mana-mana lelaki yang berupaya
membangunkan sebuah kubu bagi kerajaannya dengan puterinya. Tatkala mendengar
khabar tentang janji tersebut, Ayaz pun mula membina sebuah kubu. Ketika melihat
Ayaz hampir berjaya menyiapkan pembinaan kubunya itu, si raja bertindak
mengingkari janjinya lantaran enggan bermenantukan seorang pengembala/sahaya.
Justeru, si raja menyerahkan puterinya kepada lelaki lain untuk dikahwini.
Selepas mendengar berita tersebut, Ayaz langsung sahaja berhenti membina kubu
itu.
![]() |
| Runtuhan kubu terbesar di Khorezm – Ayaz Kala, Uzbekistan |
SEJARAH SEBENAR AYAZ
KALA
Walau bagaimanapun,
sejarah sebenar Ayaz Kala tidak sepadan dengan legenda yang dinukilkan di atas.
Misalnya, kubu yang berada di tapak Ayaz Kala bukan cuma sebuah, tetapi tiga.
Tambahan lagi, kubu-kubu berkenaan tidaklah dibina pada masa yang sama atau
oleh dinasti yang sama. Sebaliknya, ia didirikan pada tempoh yang agak lama,
yakni antara kurun ke-4 SM sehingga kurun ke-7 M.
Tiga buah struktur ini
dibina oleh kuasa-kuasa yang berbeza yang pernah menguasai wilayah berkenaan.
Memandangkan ia terletak di Jalan Sutera, maka tidak hairanlah jika pihak-pihak
yang menguasai kawasan ini berhasrat mahu melindunginya. Justeru pada
hakikatnya, kubu-kubu Ayaz Kala hanya merupakan sebahagian daripada kubu-kubu
pertahanan yang terdapat di hujung Gurun Kyzylkum. Terdapat banyak lagi kubu
lain yang pernah berdiri megah di rantau Khwarezm, dan kerajaan Uzbekistan
sendiri kini berusaha untuk meraih pengiktirafan buat kubu-kubu berkenaan
(termasuklah kubu-kubu Ayaz Kala) sebagai Tapak Warisan Dunia.
![]() |
| Kubu Ayaz Kala 1 dan 2 di republik Karakalpakstan dan gurun Kyzylkum di Uzbekistan. Ayaz Kala 1 berada di puncak sementara Ayaz Kala 2 di kaki bukit. Ayaz Kala 3 pula berada di belakang |
Dengan kedudukannya
yang terletak di timur dan selatan Laut Aral dan di sepanjang Amu Darya (Sungai
Oxus), rantau Khwarezm secara efektif dianggap sebagai persimpangan antara
Timur dan Barat. Justeru, ia banyak meraih manfaat daripada aktiviti
perdagangan yang dijalankan di sana. Pada tempoh antara kurun ke-6 dan kurun
ke-4 SM, Khwarezm merupakan sebahagian daripada Empayar Achaemenid. Setelah
itu, ia didominasi oleh empayar-empayar yang bersilih ganti.
Pada kurun ke-11
Masihi, rantau ini mencapai zaman kemuncak apabila Empayar Khwarezmi
ditubuhkan. Empayar ini diasaskan oleh Anushtegin Gharchai, seorang bekas hamba
Turki dari Seljuk yang dilantik sebagai gabenor Khwarezm. Oleh kerana itu, para
pemerintah Empayar Khwarezmi dapatlah disebutkan sebagai pihak bawahan Seljuk.
Pun begitu, mereka pada akhirnya tetap jua meraih kebebasan dan kemerdekaan.
Pada kemuncak kuasanya, Empayar Khwarezmi tidak hanya menguasai Asia Tengah.
Akan tetapi, ia turut mendominasi Iran. Namun, menjelang kurun ke-13, empayar
tersebut tumbang akibat diserang oleh Monggol.
Wujud kemungkinan
bahawa raja yang diceritakan dalam legenda tempatan tadi merupakan pemerintah
Empayar Khwarezmi, memandangkan empayar tersebut merupakan empayar paling
masyhur yang pernah berdiri di rantau Khwarezmi. Walau bagaimanapun,
sebagaimana yang telah disebutkan di atas, kubu-kubu yang terdapat di gurun ini
dibina pada kurun ke-4SM hingga kurun ke-7M, iaitu jauh sebelum tertubuhnya
Empayar Khwarezmi.
SENI BINA KUBU AYAZ
KALA III
Kubu yang paling tua di
antara tiga kubu Ayaz Kala dikenali sebagai Ayaz Kala III. Pun begitu, bahagian
tertua yang dimaksudkan ini bukanlah struktur keseluruhannya. Bahagian ini,
yang disebut sebagai Ayaz Kala III (a), dipercayai dibina pada kurun ke-5
hingga kurun ke-4 SM. Ayaz Kala III (a) merupakan sebuah bangunan monumental
yang dibahagikan kepada empat bahagian utama, setiap satunya mempunyai sejumlah
bilik. Ayaz Kala III (a) terletak di penjuru timur laut struktur keseluruhan
Ayaz Kala III.
Dengan keluasannya yang
mencecah 5 hektar (50000 meter persegi), Ayaz Kala III dianggap sebagai salah
sebuah kubu paling besar di Karakalpakstan. Kubu yang dikelilingi tembok ini
dibina pada kurun pertama atau kedua Masihi, iaitu pada era Kushan. Ia
berbentuk segi empat selari dan mempunyai sejumlah menara peninjau berbentuk
bulat.
Berdasarkan bukti arkeologi yang ditemui, sebahagian besar ruangan dalam
kubu ini kosong. Penemuan ini melahirkan andaian bahawa Ayaz Kala III mungkin
hanya berfungsi sebagai markas tentera. Terdapat juga kemungkinan yang ia
digunakan sebagai kediaman pemerintah atau tempat perlindungan bagi para petani
semasa berlakunya peperangan. Namun malangnya, pada hari ini kita hanya dapat
melihat kubu ini dalam rupa bentuknya yang kasar sahaja.
![]() |
| Runtuhan Kubu Ayaz Kala di Uzbekistan |
CELAHAN PEMANAH DAN
MENARA-MENARA PENINJAU: AYAZ KALA I
Jika dibandingkan
dengan Ayaz Kala III, keadaan dua buah kubu lain, iaitu Ayaz Kala I dan Ayaz
Kala II jauh lebih terpelihara. Ayaz Kala I terletak di puncak sebuah bukit
yang berpermukaan rata. Lokasi ini sekaligus membolehkannya memantau kawasan
sekitar. Menurut ahli-ahli arkeologi, Ayaz Kala I dibina sekitar kurun ke-4
atau kurun ke-3 SM.
Saiz kubu ini agak
kecil jika dibandingkan dengan Ayaz Kala III. Keluasannya hanya mencapai 2.7
hektar (27 000 meter persegi). Pelan binaan Ayaz Kala I berbentuk segi empat
tepat dan ia dibina di sepanjang paksi utara-selatan. Pada bahagian hujung
selatan kubu ini terdapat sebuah struktur petak tambahan, di mana ia boleh
diakses dari sebelah timur. Struktur tambahan ini dibina bagi tujuan
meningkatkan lagi pertahanan kubu tersebut, memandangkan ia menuntut pihak
penceroboh agar melepasi dua buah gerbang. Dalam proses tersebut, mereka
tentunya akan terdedah kepada serangan pasukan pemanah yang bertahan di dalam
kubu.
Tembok yang
mengelilingi Ayaz Kala I bukan hanya sebuah, tetapi dua buah siri tembok.
Tembok-tembok ini mencapai ketinggian 10 meter (32.8 kaki). Di celah-celah dua
tembok ini pula terdapat sebuah koridor yang bahagian atasnya ditutupi dengan
sambungan antara satu tembok dengan satu tembok yang lain.
![]() |
| Gerbang ke kubu Ayaz Kala |
Di bahagian dalam
tembok kedua (tembok luar) terdapat sejumlah lubang yang membolehkan para
pemanah yang bertahan di dalam kubu untuk membidik panah ke arah musuh dengan
selamat. Lubang atau celahan ini juga berfungsi sebagai saliran air hujan. Bagi
menambahkan lagi ciri pertahanan kubu Ayaz Kala I, sejumlah 45 buah menara
peninjau yang berbentuk separa lonjong dibina.
Kefungsian Ayaz Kala I
sebagai benteng pertahanan mula hilang selepas Ayaz Kala III dibina. Pada era
Kushan, kubu ini hanya berfungsi sebagai pos kawalan. Apapun, terdapat
kemungkinan bahawa masyarakat tempatan terus menggunakan Ayaz Kala I sebagai
tempat perlindungan hingga ke zaman pertengahan.
![]() |
| Lubang-lubang panah di kubu Ayaz Kala |
AYAZ KALA II – KUBU PALING
TERKINI
Ayaz Kala II merupakan
kubu yang paling lewat dibina jika dibandingkan dengan dua kubu lain, iaitu
pada kurun ke-7/8 Masihi. Pada waktu itu, wilayah Khwarezm diperintah oleh
sebuah dinasti tempatan yang dikenali sebagai Afrighiyah. Kebanyakan maklumat
yang kita miliki tentang dinasti in datangnya dari karya-karya seorang polimath
kurun ke-10/11, Abu Rayhan al-Biruni.
Sebagai seorang yang
berasal dari Khwarezm, al-Biruni menyebutkan bahawa Dinasti Afrighiyah sudah
pun memerintah kawasan tersebut sejak tahun 305 Masihi lagi. Tambahnya lagi,
dinasti tersebut mempunyai 22 orang pemerintah secara keseluruhan, di mana
setiap seorang daripadanya merupakan putera kepada pendahulunya. Dinasti
Afrighiyah memerintah Khwarezm selama 690 tahun. Walau bagaimanapun, tidak
banyak yang kita ketahui tentang empat kurun terawal pemerintahan mereka. Maklumat
berkenaan dinasti ini hanya hadir setelah Islam tiba di rantau tersebut dan
pemerintah-pemerintah Afrighiyah mula memeluk agama itu pada kurun ke-8 dan
kurun ke-9 Masihi.
Apapun, al-Biruni
mencatatkan bahawa Dinasti Afrighiyah ditubuhkan oleh seorang lelaki bernama
Afrig. Tambah menarik, beliau juga menyebutkan bahawa Afrig pernah membina
sebuah kubu besar bernama Fila atau Fir di lokasi berhampiran ibu kotanya, Kath
(Beruniy pada era moden), yang terletak di tebing Amu Darya dan tidak terlalu
jauh dari tapak Ayaz Kala.
Menurut al-Biruni, bangunan kubu ini dijejaskan oleh
aliran sungai yang berubah. Akibatnya, ia disapu habis oleh Amu Darya pada
kurun ke-19. Semasa era al-Biruni, apa yang tinggal hanyalah kesan tinggalannya
sahaja. Apapun, Ayaz Kala II dibina pada tarikh yang lebih terkemudian dan ia
mampu bertahan sehingga ke hari ini.
Ayaz Kala II dibina
pada sebuah bukit kecil berbentuk kon yang berada di selatan bukit utama tempat
Ayaz Kala I dibina. Saiz Ayaz Kala II jauh lebih kecil berbanding dua kubu
lain. Kubu ini terdiri daripada dua bahagian – bangunan utamanya berbentuk
bujur dan ia dapat diakses melalui gerbang yang berada barat daya.
Gerbang ini pula
dihubungkan dengan sebuah terowong sepanjang 50 meter (164.04 kaki) yang
terbentang di kaki bukit. Ayaz Kala II mungkin terus digunakan sehingga kurun
ke-13. Apa menarik bagi kubu ini adalah sebahagian filem tentang biografi
Genghis Khan dirakam di Ayaz Kala II. Malahan, terdapat kemungkinan bahawa kru
filem berkenaan ‘membaiki’ sebahagian tembok dan ‘membina semula’ gerbang masuk
kubu ini. Walaupun kesemua usaha ini sama sekali tidak direkodkan, pengubahan
di era moden dapat dikesan dengan jelas pada struktur berkenaan memandangkan
saiz bata lumpur yang digunakan bagi membaikinya agak kecil jika dibandingkan
dengan batu lumpur asal.
![]() |
| Runtuhan Kubu Ayaz Kala |
BANGUNAN AGAM
Walaupun ketiga-tiga
buah kubu ini merupakan mercu tanda paling utama bagi Ayaz Kala, kita tidak
seharusnya melupakan struktur-struktur lain yang turut terdapat di sana.
Sebahagiannya telah pun digali dan ditemui, sementara ada pula yang masih
terkubur menanti masa untuk dijumpai. Antara struktur paling menonjol adalah
binaan yang berdiri di kaki bukit. Binaan tersebut dikenali sebagai ‘bangunan
agam’ dan ia dihubungkan dengan Ayaz Kala II melalui sebuah terowong.
Tidak banyak yang dapat
kita lihat dari binaan tersebut, walau ia diandaikan sebagai bangunan yang
paling indah di Asia Tengah pada zaman pertengahan awal. Ekskavasi-ekskavasi
lanjut telah pun dijalankan di situ dan antara penemuan yang paling signifikan
ialah syiling-syiling Dinasti Afrighiyah. Bangunan ini dipercayai dibina pada
kurun ke-4 Masihi dan mengalami kerosakan akibat dua buah kebakaran. Pada kurun
ke-6/7 Masihi, bangunan agam ini digunakan sebagai tempat perlindungan sebelum
akhirnya ia ditinggalkan secara mutlak.
MEMPERAKUI NILAI TAPAK
ARKEOLOGI AYAZ KALA
Sejurus selepas
kefungsiannya sebagai benteng pertahanan hilang, kubu-kubu Ayaz Kala sirna dari
ingatan dunia. Namun pada 1940an, kubu-kubu tersebut ditemukan semula oleh
seorang ahli arkeologi Soviet, iaitu Sergey Tolstov, yang mengusahakan
Ekspedisi Chorasmian.
Walau bagaimanapun,
sejak ianya ditemui, kubu-kubu tersebut tidak dijaga dengan rapi sekaligus ia
terdedah kepada cuaca. Memandangkan struktur-struktur ini dibina daripada batu
lumpur, maka ia mudah terhakis akibat pelbagai faktor, seperti hujan, tumbuh-tumbuhan,
dan para pelancong yang datang melawat tapak-tapak berkenaan.
![]() |
| Runtuhan kubu terbesar di Khorezm – Ayaz Kala, Uzbekistan |
Pun begitu, signifikasi
kubu-kubu Ayaz Kala sudah pun diperakui. Pelbagai usaha juga dilakukan bagi
memastikan ia dapat terus berdiri megah untuk tatapan generasi akan datang.
Sebagai contoh, pada tahun 2005, Ayaz Kala dirangkumkan sebagai sebahagian
daripada CentralAsianEarth, iaitu sebuah “bengkel latihan praktikal tentang
pemuliharaan struktur-struktur tanah di Asia Tengah dan Afghanistan” yang
dilaksanakan oleh UNESCO.
Tambahan pula, pada
tahun 2008, kerajaan Uzbekistan menyerahkan penyertaan kubu-kubu Ayaz Kala
kepada UNESCO supaya ia dapat diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia dengan
label ‘Istana-Istana Padang Pasir dari Khorezm Purba’. Walau bagaimanapun,
masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan demi melindungi kubu-kubu purba
ini.
SUMBER
- Asia Adventures. 2020. Ayaz-kala fortresses.
- Bosworth, C.E. 2011. AL-E AFRIG.
- Digital Silk Road Project. 2020. History of Khorezm.
- Pike, J. 2020. Khwarezmid Empire / Khwarezmian Empire / Kharismian Empire / Kharzem Shah State – 1097-1231 AD.
- Shahina Biznes Travel Ltd. 2020. Ayaz-Kala.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2010. Khwarezm-Shah Dynasty.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2012. Khwarezm.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Kyzylkum Desert.
- UNESCO. 2006. Central Asian Earth: Ayaz Kala, Uzbekistan; practical training workshop on conservation of earthen structures in Central Asia and Afghanistan, preventive conversvation work.
- UNESCO. 2020. Desert Castles of Ancient Khorezm.
- World Monuments Fund. 2008. Ayaz Kala.
- Get link
- X
- Other Apps








