- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Kaya Johnson. (1 November 2017). 5 Important Egyptian Archaeological
Discoveries that Provided Leaps in Our Knowledge of the Past. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/5-important-egyptian-archaeological-discoveries-provided-leaps-our-021691
https://www.ancient-origins.net/artifacts-other-artifacts/5-important-egyptian-archaeological-discoveries-provided-leaps-our-021691
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Jika disebut tentang
penemuan-penemuan arkeologi, tiada negara yang boleh menandingi negara Mesir.
Mesir menyimpan khazanah sejarah yang amat besar, melibatkan banyak penemuan
penting lagi misteri; bermula daripada Batu Rosetta, hingga ke Lembah
Raja-Raja, hingga ke piramid-piramid gergasi di Giza. Makam-makam yang
berlimpahan dengan harta karun dari zaman silam serta pelbagai jenis kuil yang
menarik menjadi bukti kekayaan tamadun Mesir purba.
Walaupun kita masih belum
menemukan keajaiban dunia yang lain kecuali Piramid Giza, ahli-ahli arkeologi
terus berupaya menjumpai banyak artifak purba dan tapak arkeologi penting yang
usianya melangkaui Zaman Pertengahan. Penemuan lama dan penemuan baru ini
mengisyaratkan kepada kita bahawa Mesir masih menyimpan banyak khazanah
sejarah. Justeru, kami berhasrat mahu mengedepankan beberapa penemuan
mengagumkan dari tamadun agung ini.
![]() |
| Makam Tutankhamun menyimpan banyak artifak |
MAKAM TUTANKHAMUN
Tanpa dapat dinafikan,
Makam Tutankhamun merupakan ‘perigi’ yang menyimpan khazanah purba. Ia ditemui
pada tahun 1922 oleh Howard Carter dan pasukan arkeologinya. Sehingga ke hari
ini, makam tersebut masih memegang status sebagai khazanah sejarah paling
masyhur yang pernah dijumpai dari Mesir purba. Antara harta karun yang ditemui
dalam makam ini adalah topeng misteri milik firaun Tutankhamun, firaun yang era
pemerintahannya komited dalam menyebarkan agama politheisme dalam kalangan
rakyat. Artifak-artifak yang dijumpai dalam makam Tutankhamun ini berupaya
memberikan maklumat tambahan terhadap kebudayaan, agama, hasil seni dan bahkan
teknologi pada zaman beliau.
![]() |
| Topeng milik Tutankhamun ini diperbuat daripada emas dan disepuh dengan kaca berwarna dan batu permata |
BATU ROSETTA
Ditemui pada tahun
1799, Batu Rosetta merupakan sebuah artifak purba yang usianya boleh dijejak
kembali pada era Firaun Ptolemy V, firaun yang mula memerintah pada usia yang
sangat muda. Pada batu tersebut terukir satu pengisytiharan penyerahan mahkota
kepada Ptolemy V yang ketika itu baru sahaja berusia 13 tahun. Tambah menarik,
titah pengisytiharan ini ditulis dalam tiga bahasa berbeza dan ianya dihasilkan
oleh sebuah majlis kependetaan yang bertanggungjawab menjaga undang-undang
kerajaan.
Sebagai maklumat
tambahan, penterjemahan hieroglif Mesir berlaku pada kurun ke-19, di mana
petunjuk-petunjuk yang terkandung dalam Batu Rosetta banyak membantu dalam
usaha tersebut, Pada waktu itu, tidak ramai orang Mesir yang mampu membaca
tulisan hieroglif purba. Justeru, kehadiran Batu Rosetta memberikan banyak
kepingan maklumat yang hilang sekaligus mendorong kepada selesainya pelbagai
teka-teki yang menyelubungi tamadun Mesir purba, termasuklah ‘Teka-Teki
Sphinx’. Mungkin boleh dikatakan bahawa tanpa Batu Rosetta, penterjemahan penuh
hieroglif Mesir bakal mengambil masa yang lebih lama.
![]() |
| Perincian dua daripada tiga bahasa yang terdapat pada Batu Rosetta |
PAPIRUS OXYRHYNCHUS
Dalam tempoh sebelas
tahun bermula dari tahun 1896, lebih setengah juta lembaran papirus ditemui di
celah-celah runtuhan Oxyrhynchus dijumpai oleh dua orang ahli arkeologi
terkemuka, iaitu Arthur Hunt dan Bernard Grenfell. Penyelidikan lanjut yang
dijalankan ke atas papirus-papirus berkenaan mendedahkan bahawa bahan penulisan
tersebut mula diperkenalkan sekitar 1800 tahun lalu. Dipercayai bahawa cuaca
kering di bandar Oxyrhynchus merupakan faktor yang menyumbang kepada daya tahan
papirus-papirus berkenaan. Dokumen-dokumen rasmi yang telah ditranskrip dan
dihimpun dari Oxyrhynchus setakat ini meliputi:
- Pelbagai kaedah rawatan buasir, katarak dan mabuk.
- Kontrak seorang ahli gusti yang bersetuju untuk kalah dalam perlawanannya demi meraih bayaran tertentu.
- Maklumat berkenaan aktiviti pengagihan bijirin, suatu aktiviti yang juga pernah berlaku di kota Rome.
Maklumat-maklumat kecil
sebegini menyumbang kepada pengetahuan lanjut tentang kehidupan seharian
masyarakat Mesir di zaman purba.
![]() |
| Papirus Oxyrhyncus 29 |
BARANG KEMAS METEORIK
Berusia dari tahun
3200SM, Barang Kemas Meteorik ditemui pada tahun 1911 dari dua buah makam
berbeza yang bertempat di sebuah tanah perkuburan yang sama. Manik-manik logam
yang diperakui sebagai artifak besi terua di bumi ini diperbuat daripada logam
meteorit yang dipalu sehingga kecil. Manik-manik ini secara umumnya digunakan
bagi menghasilkan rantai leher, bersama bahan-bahan lain seperti emas dan batu
akik.
WABAK CYPRIA
Penemuan yang
mengerikan ini dijumpai sekitar masa yang sama kota agung Luxor diekskavasi.
Kejadian ini berlaku pada tahun 1997 hingga 2012 di sebuah tapak pengebumian
yang berlokasi di Thebes. ‘Wabak Cypria’ merupakan nama yang diberikan kepada
sebuah pandemik, mungkin melibatkan penyakit cacar, yang menyerang Empayar Rom
pada tahun 250M dan berlanjutan sehingga era Krisis Kurun Ketiga.
Menurut ujian yang
dijalankan ke atas tembikar-tembikar yang ada, kompleks ini didapati dibina
semasa Empayar Rom diserang wabak misteri tersebut, yang meragut nyawa seramai
5000 orang di Rom. Menukil kata-kata Pontius dari Carthage, wabak yang
mengerikan ini membawa kemusnahan yang besar dan ia menyerang hampir setiap
rumah. Penemuan wabak ini adalah asas yang mendorong kepada kajian-kajian
lanjut berkenaan penyakit demam berdarah seperti Ebola sekaligus menyumbang
kepada bidang perubatan dunia.
![]() |
| Gerbang ke Kuil Luxor di Mesir |
Kesemua penemuan yang
disebutkan di atas ini memberi impak yang besar pada dunia, di samping
menyumbang dan memajukan bidang pendidikan dan keilmuan masyarakat moden.
SUMBER
- Billock, Jennifer. See the Most Northerly Active Sand Dunes in the World.
- David Crossland. Howard Carter ‘stole from tomb of Tutankhamen’.
- Ptolemy V Ephiphanes. Encyclopaedia Britannica.
- Grenfell, Bernard P. (Bernard Pyne). 1869-1926: Hunt, Arthur S. (Arthur Surridge). 1871-1939. Full text of ‘The Oxyrhynchus papyri”.
- Get link
- X
- Other Apps





