- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (7 Oktober 2017). 5 Pyramids of the Ancient World that You May
Not Have Heard About. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/5-pyramids-ancient-world-you-may-not-have-heard-about-008922
https://www.ancient-origins.net/ancient-places/5-pyramids-ancient-world-you-may-not-have-heard-about-008922
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Tanpa dapat dinafikan,
Piramid Agung Giza merupakans alah sebuah ikon yang paling masyhur dari dunia
purba. Namun hakikatnya, terdapat ribuan piramid lain yang wujud bukan sahaja
di Mesir, tetapi di seluruh dunia, termasuklah Eropah, Asia, Oceania dan
Amerika. Sehingga ke hari ini, kita belum berupaya menjelaskan mengapa begitu
banyak tamadun purba membina piramid pada sekitar waktu yang sama walaupun
kebanyakannya tidak pernah pun berinteraksi antara satu sama lain. Apapun,
kebanyakan binaan monumental ini bertahan sehingga ke hari ini sebagai legasi
tinggalan tamadun-tamadun purba. Dalam artikel ini, kita akan meninjau lima
buah piramid yang agak kurang dikenali.
PIRAMID DI TENGAH KOTA
ROME, ITALI
Rome sememangnya
masyhur dengan binaan-binaannya yang unik seperti Colosseum, Pantheon, Pasar
Trajan dan Forum Rom. Namun, terdapat satu binaan yang seringkali tidak
disebut, iaitu piramid. Tepat di tengah-tengah kota Rome berdiri sebuah piramid
berusia 2000 tahun, dengan ukurannya 30 meter di setiap sisi dan 35 meter
tinggi. Ketinggiannya ini tentu sekali tidak akan membuatkannya terlepas dari
pandangan mata, namun tetap jua tidak ramai yang pernah mendengar nama Piramid
Cestius.
Piramid Cestius dibina
di Laluan Ostiensis, iaitu sebuah jalan yang penting di zaman Rome purba,
sekitar kurun ke-18 hingga kurun ke-12SM. Tidak seperti piramid-piramid Mesir
yang fungsinya sebagai makam diragui, Piramid Cestius sememangnya dibina dengan
tujuan khusus sebagai sebuah makam. Di dalam piramid ini terdapat sebuah ruang
pengebumian yang menurut prasasti yang terdapat di bahagian timur dan barat
piramid, menempatkan jasad seorang ahli politik Rom yang bernama Gaius Cestius
Epulo, seorang tribune, praetor dan ahli majlis paderi. Prasasti
kedua pula mencatatkan bahawa pembinaan piramid ini siap dalam tempoh 330 hari.
![]() |
| Piramid Cestius |
PIRAMID-PIRAMID
TENERIFE, KEPULAUAN CANARY
Tenerife yang bertempat
di Kepulauan Canary agak masyhur sebagai sebuah destinasti pelancongan utama.
Namun, ramai pelancong yang mengunjungi pulau berkenaan tidak menyedari
kewujudan piramid-piramid di sana. Siapakah yang membina piramid itu, bila ia
dibina dan mengapa ia dibina?
Piramid-piramid ini berdiri
di Guimar, sebuah bandar di bahagian selatan Tenerifa. Dibina dengan
menggunakan batu lava tanpa penggunaan sebarang lepa (atau adunan simen),
kewujudan piramid-piramid ini mencetuskan banyak kontroversi dalam kalangan
ahli akademi. Satu kajian meletakkan usia piramid-piramid ini pada kurun
ke-19M, berdasarkan ujian pentarikhan yang dilakukan ke atas barangan tembikar
yang ditemui berhampiran tapak piramid berkenaan.
Kajian ini juga mengandaikan
bahawa piramid-piramid ini tidak lain hanyalah sebuah timbunan batu volkanik
yang ditimbunkan oleh para petani ketika membersihkan kawasan tersebut. Namun, andaian
ini dibantah. Seorang peneroka dari Norway yang bernama Thor Heyerdhal
menyatakan bahawa piramid-piramid ini dibina oleh suku Guanche, masyarakat
Berber asli yang menghuni Kepulauan Canary setelah berpindah ke kepualaun itu
sekitar 1000SM.
Hayerdahl mengemukakan bahawa piramid-piramid ini direka supaya
mempunyai tingkat-tingkat yang bertangga, di samping kesejajarannya dengan
kedudukan jasad samawi mempunyai tujuan-tujuan khusus, misalnya bagi mengadakan
upacara tahunan pada Solstis Musim Panas. Pada tahun 1991, Juan Antonio
Belmonte Avilles, Antonio Aparicio Juan, dan Cesar Esteban Lopes, yang
masing-masing merupakan pakar dari Institusi Astrofizik Canary, menyatakan
bahawa sisi-sisi teres yang panjang yang mengelilingi piramid-piramid Guimar
merupakan tanda arah solstis musim sejuk dan musim panas.
Heyerdahl
mengandaikan bahawa piramid-piramid Canary ini membentuk sebuah titik
perhentian geografik di antara tamadun Mesir purba dan Maya, sekaligus
melahirkan kontroversi yang menggamit minat seluruh sejarahwan, ahli arkeologi,
ahli astronomi dan masyarakat umum yang meminati bidang tersebut.
![]() |
| Salah sebuah piramid di Guimar |
PIRAMID AGUNG CHOLULA,
MEXICO
Walaupun piramid ini
diperakui oleh Guinness Book of Records sebagai piramid terbesar di
dunia dari segi isipadu, tidak ramai yang pernah mendengar nama Piramid Agung
Cholula. Lokasinya terletak benar-benar di luar bandar Puebita. Piramid ini
dibina khas untuk kultus Quetzalcoatl, salah satu dewa utama dalam pantheon
Mesoamerika. Pada era pra-Colombia, Cholula merupakan sebuah bandar besar dan
berfungsi sebagai pusat keagamaan di tanah tinggi Mesico.
Pembinaan
piramid-kuil ini dimulakan pada kurun ke-2SM dan menjalani beberapa peringkat
pengubahsuaian sebelum mencapai bentuknya yang terakhir. Sekitar tahun 1100M,
bandar ini jatuh ke tangan Toltec-Chichimeca dan piramid ini serta-merta
ditinggalkan lantaran piramid-piramid kuil yang baru sudah pun dibina. Seiring
peredaran masa, piramid ini pun ditutupi oleh rupa bumi dan belantara. Hanya
pada tahun 1910, iaitu tahun di mana kerajaan Mexico memulakan projek pembinaan
sebuah pusat rawatan mental, barulah piramid purba ini ditemui.
![]() |
| Satu sudut dari runtuhan Piramid Agung Cholula, Puebla, Mexico |
PIRAMID PUTIH XIAN,
CHINA YANG SETINGGI 1000 KAKI
Di dataran rata lagi
terpencil yang terletak di Wilayah Shaanxi, berhampiran ibu kota purba Xi’an,
terdapat belasan piramid yang kurang dikenali oleh masyarakat luar. Kewujudan
makam-makam di kawasan ini bercampur-aduk dengan legenda berkenaan sebuah
piramid setinggi 1000 kaki yang kononnya lebih megah berbanding Piramdi Agung
Giza. Walaupun sebilangan pihak meyakini Piramid Putih Xi’an sebagai binaan
yang sama dengan Permakaman Maoling (makam Maharaja Wu Han) jika dilihat dari
udadra, terdapat juga pihak yang mengandaikan bahawa piramid legenda itu masih
belum ditemui.
Laporan tentang
penampakan sebuah piramid putih gergasi di China hadir lebih kurang sekurun
yang lalu di dalam entri-entri diari seorang pedagang merangkap ejen
pelancongan dari Amerika, iaitu Fred Meyer Schroder. Beliau kononnya ternampak
sebuah piramid gergasi dari jauh ketika sedang berjalan dengan seorang sami
Buddha di Wilayah Shaanxi pada tahun 1912. Schroder menganggarkan bahawa
piramid tersebut setidak-tidaknya berukuran 300 meter tinggi dan setiap sisinya
pula sepanjang 500 meter. Ukuran sebegini secara tidak langsung mengandaikan
bahawa isipadu piramid tersebut sepuluh kali ganda lebih besar berbanding
Piramid Agung Mesir.
Bogdo, si sami Buddha dari Monggolia yang berjalan bersama
Schroder memaklumkan bahawa usia piramid itu setidak-tidaknya mencecah 3000
tahun dan pengetahuan tentang kewujudan piramid itu terkandung dalam
dokumen-dokumen monastik purba. Menurutnya lagi, piramid itu agak masyhur dalam
legenda tempatan.
Selain itu, terdapat
dua peristiwa lain yang melibatkan penampakan piramid putih ini.
Penampakan
pada 1940an ini dilaporkan oleh juruterbang
yang penerangan masing-masing mengukuhkan lagi dakwaan Schroder
berkenaan saiz dan ciri piramid berkenaan. Sebilangan pihak berpendapat bahawa
piramid itu mungkin berdiri di Pergunungan Qin Ling. Kedudukannya yang berada
di celahan gunung-ganang yang tinggi dan jurang-jurang yang dalam menyukarkan
usaha untuk menemukannya. Ramai penyelidik dan peneroka cuba mencari Piramid
Putih Xi’an, namun tiada yang meraih keberhasilan.
PIRAMID BANDAR CARAL,
PERU YANG BERUSIA 5000 TAHUN
Tamadun Norte Chico
dari Supe, Peru merupakan tamadun pertama yang diketahui di Amerika. Ibu kota
tamadun ini ialah Kota Keramat Caral, sebuah metropolis berusia 5000 tahun yang
lengkap dengan amalan pertanian yang kompleks, adat-istiadat yang kaya, dan
seni bina monumental yang agung, termasuklah binaan batu dan tanah, kuil,
amfiteater, plaza-plaza berbentuk bulat, kawasan perumahan dan piramid enam
tingkat.
Kota purba ini ditemui buat pertama kali pada tahun 1905 oleh Max
Uhle, seorang ahli arkeologi dari Jerman. Pun begitu, hanya pada tahun 1970an
barulah ahli-ahli arkeologi menyedari bahawa bukit-bukit yang dahulunya
dianggap sebagai bukit semula jadi pada hakikatnya adalah piramid bertingkat.
Memasuki 1990an, keluasan penuh bandar Caral dan enam buah piramid di dalamnya
berjaya diteroka setelah ia terselindung selama lima ribu tahun lamanya.
![]() |
| Runtuhan Piramid Agung Caral |
Walaupun pada hari ini
kita sudah pun menyedari kewujudan ribuan piramid di seluruh dunia, ilmuwan
mengandaikan bahawa masih terdapat ratusan piramid lagi yang belum ditemui.
- Get link
- X
- Other Apps





