- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (24 Oktober 2015). Exploring the Origins of the Vandals, The Great
Destroyers. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/exploring-origins-vandals-great-destroyers-004307
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/exploring-origins-vandals-great-destroyers-004307
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Perkataan vandal pada hari ini didefinisikan sebagai seorang
yang memusnahkan atau merosakkan harta benda awam. Berbicara daripada sudut
sejarah, seseorang yang disebut sebagai Vandal “merupakan anggota masyarakat
Jerman yang hidup di bahagian selatan Laut Baltik, tepatnya di antara Sungai
Vistula dan Sungai Oder, serta menguasai Gaul, Sepanyol dan Afrika Utara pada
kurun ke-4 dan kurun ke-5 Masihi sementara pada tahun 455 Masihi pula menjarah
kota Rome.”
Rentetan daripada peristiwa ‘penjarahan kota Rome’ pada tahun 455
Masihi inilah makanya perkataan ‘vandal’ digunakan bagi merujuk kepada
orang yang menghancurkan dan merosakkan harta benda.
ASAL-USUL VANDAL YANG
KABUR
Tidak banyak yang kita
ketahui tentang sejarah awal Vandal. Diandaikan bahawa Vandal berasal dari
Scandinavia (di wilayah tengah Sweden, terdapat sebuah pekan bernama Vendel
yang mungkin mempunyai kaitan dengan mereka) dan berpindah ke selatan lalu
memasuki wilayah Silesia lalu berinteraksi dengan tamadun Rom.
Karya pertama Rom yang
menyebut perihal Vandal adalah Natural History oleh Pliny the Elder’s. Menurut beliau, Vandal
atau disebut sebagai Vandili, merupakan satu dari lima kumpulan masyarakat
Jerman dan mereka ini terdiri daripada beberapa suku yang lebih kecil.
“Terdapat lima kumpulan
masyarakat Jerman; Vandili, Burgundiones, Varini, Carini, dan Gutones.”
Penulis-penulis lain
seperti Tacitus dan Ptolemy juga ada memerihalkan tentang Vandal, mereka lebih
cenderung menggunakan istilah Lugii dalam karya masing-masing. Namun, sama
seperti Pliny, catatan mengenai Vandal hanya dilakukan secara sepintas lalu.
Justeru, tidak banyak maklumat yang dapat kita peroleh daripada sumber-sumber
klasik.
![]() |
| Replika orang Vandal di Muzium Arkeologi Krakow, Poland |
ROM DAN VANDAL
MEMETERAI PERDAMAIAN SEMENTARA
Catatan penting
berkenaan Vandal yang selanjutnya boleh ditemui dalam Roman History oleh
Cassius Dio. Dalam karyanya itu, Dio menyebutkan bahawa semasa berlakunya
Perang Marcomannic (166-180M), satu suku yang dikenali sebagai Astingi
(dianggap sebagai Vandal oleh sebilangan ilmuwan) memasuki wilayah Dacia dan
menawarkan kesetiaan kepada Empayar Rom:
“Astingi yang dipimpin
oleh Raus dan Raptus datang ke wilayah Dacia bersama seluruh anggota keluarga
mereka, dengan harapan dapat meraih wang dan tanah sebagai ganti kepada curahan
bakti kesetiaan.”
Walau bagaimanapun,
tawaran mereka itu ditolak dan sesudah menakluki Costoboci, mereka mula
menjarah wilayah Dacia yang ketika itu merupakan naungan Rom. Pun begitu,
kejayaan mereka ini tidak bertahan lama. Setelah ditewaskan oleh Lacringi, suku
Astingi tidak lagi menyerang Rom. Malah, mereka mengusulkan satu permohonan
kepada maharaja.
“Susulan daripada
peristiwa ini, Astingi tidak lagi melakukan sebarang serangan ke atas Rom.
Namun, sebagai respon balas kepada bantuan yang diberikan kepada Marcus, mereka
menerima wang dan kebebasan untuk meminta tanah daripadanya.”
![]() |
| Maharaja Marcus Aurelius memberi belas kasih kepada suku-suku Jerman yang ditewaskan. Relif dari arka Marcus Aurelius, Rome |
PERSETERUAN ANTARA VANDAL
DAN GOTH
Selepas berlalunya
episod ini, sejarah Vandal sekali lagi menjadi kabur dan mereka hanya muncul
semula dalam The Origin and Deeds of the Goths oleh Jordanes. Dalam
karya kurun ke-6 Masihi itu, disebutkan bahawa Vandal berkonflik dengan Goth
pada era pemerintahan Maharaja Constantine. Selepas ditewaskan oleh Goth dalam
sebuah pertempuran, Vandal berpindah ke Pannonia:
“Kemudian, saki-baki
Vandal yang terselamat pun menghimpunkan seluruh anggota mereka dan beredar
meninggalkan negara mereka yang dirundung malang. Mereka seterusnya memohon
suaka Maharaja Constantine di Pannonia. Di sana, mereka berdiam selama hampir
60 tahun dan mentaati titah perintah maharaja seperti layaknya rakyat jelata.
Setelah lama masa berlalu, mereka digalang oleh Stilicho si Ketua Tentera dan
Bekas Konsul lalu merebut kekuasaan ke atas Gaul. Ketika berada di sana, mereka
menjarah wilayahwilayah jiran dan tidak memiliki tempat untuk menetap.”
![]() |
| Patung gangsa moden Maharaha Constantine di York, England. Vandal meminta izin Constantine untuk menetap di Pannonia setelah melarikan diri dari Goth |
Jordanes juga
melanjutkan penulisannya tentang pengembaraan Vandal ke Gaul dan Sepanyol pada
era Maharaja Honorius (393-423M).
“Kini, sebagaimana yang
telah kami sebutkan sebelum ini, Vandal dan Alani mendiami Pannonias dengan
izin maharaja-maharaja Rom. Namun lantaran khuatir diganggu oleh Goth, maka
mereka pun berkelana ke Gaul. Tidak lama selepas menguasai Gaul, mereka membawa
diri ke Sepanyol.”
VANDAL BERPINDAH KE
AFRIKA UTARA
Destinasi Vandal yang
selanjutnya ialah Afrika. Menurut Jordanes, raja Vandal yang bernama Gaiseric
dijemput ke Afrika Utara oleh Boniface, panglima dan gabenor Rom yang mentadbir
wilayah Dioecese di Afrika. Menurut Jordanes, tujuan Vandal dijemput adalah
kerana gabenor “sedang bertelagah dengan maharaja Valentinian dan satu-satunya
cara untuk melepaskan geram kepadanya adalah dengan berbuat khianat terhadap
empayar.”
![]() |
| Pergerakan Vandal ditunjukkan dalam anak panah berwarna biru |
Dilaporkan bahawa
Vandal melayan penganut Katolik dengan jauh lebih keras jika dibandingkan
dengan mana-mana suku Jerman yang lain, kononnya kerana mereka mengamalkan
Kristian-Arian. Namun, keadaan sebegini tidaklah berlaku dalam sepanjang
kekuasaan mereka. Sebagai contoh, pada era Gaiseric, beliau menjalinkan
hubungan baik dengan Rome dan Konstantinopel. Begitu juga halnya bagi Hneric
(pengganti Gaiseric) dan Gunthamund (pengganti Huneric).
Penguasaan Vandal ke
atas Afrika Utara hanya berakhir pada era Justinian Agung, iaitu kira-kira satu
abad kemudian.
TIBANYA VANDAL DATANG
KE ROME…
Peristiwa penjarahan
kota Rome pada tahun 455 Masihi yang masyhur itu berlaku pada era Gaiseric.
Jordanes mencatatkan tentang peristiwa ini secara ringkas:
“… Maharaja Valentinian
dibunuh oleh Maximus dan Maximus sendiri kemudiannya merampas pemerintahan
laksana seorang tirani. Khabar ini sampai ke pengetahuan Gaiseric si raja
Vandal. Lalu, beliau pun berangkat dari Afrika menuju ke Itali bersama
kapal-kapal perang, memasuki kota Rome dan membumihanguskannya. Maximus sempat
melarikan diri, sebelum dibunuh oleh seorang tentera Rom yang bernama Ursus.”
![]() |
| Siliqua Raja Gaiseric dari Vandal, sekitar 400 M |
Procopius, seorang lagi
sejarahwan purba menulis bahawa tujuan Vandal datang ke Rome adalah bagi memenuhi
permintaan Eudoxia, balu Valentinian:
“Kemudian, Maximus
membunuh maharaja dan merampas takhta tanpa menghadapi sebarang masalah. Beliau
juga mengahwini Eudoxia secara paksa… Eudoxia menghantar utusan ke Carthage dan
merayu kepada Gizeric (Gaiseric) agar menuntut bela atas kematian Valentinian
yang dibunuh oleh lelaki keji dengan cara yang tidak layak bagi seorang
maharaja. Beliau juga merayu agar Gizeric menyelamatkannya lantaran beliau
dilayan dengan amat buruk oleh Maximus.”
Namun, Gaiseric disifatkan
hanya berminat terhadap penjarahan, “Dan Gizeric, tanpa dorongan lain selain
harta kekayaan yang bakal mengalir ke perbendaharaannya, pun bertindak berlayar
ke Itali dengan membawa armada yang besar saiznya.” Berkenaan penjarahan ke
atas Rome, Procopius menulis:
“… meletakkan emas dan
perbendaharaan diraja lain yang tidak terhitung banyaknya ke dalam kapal-kapal
mereka dan mereka pun berlayar pulang ke Carthage, tanpa meninggalkan sebarang
gangsa mahupun apa jua harta di istana Rome. Mereka juga menjarah kuil Jupiter
Capitolinus dan meruntuhkan separuh bumbungnya. Bumbung tersebut diperbuat
daripada gangsa yang tinggi kualitinya. Begitu juga dengan emas tebal yang
ditatahkan padanya.”
CAMPUR TANGAN OLEH PAUS
LEO
Turut didakwa bahawa
kononnya penjarahan kota Rome di tangan Vandal ini mungkin jauh lebih dahsyat
andai Paus Leo tidak campur tangan. Menurut beberapa sumber, sebaik sahaja
Gaiseric tiba di tembok kota Rome, Paus diutus supaya bertemu dengan Gaiseric
dan meminta belas kasihan daripadanya. Diceritakan bahawa Leo memberi kebebasan
kepada Gaiseric untuk menjarah kota. Namun, beliau merayu supaya bangunan dan
penduduknya tidak diapa-apakan. Permintaan ini dipenuhi oleh Gaiseric.
![]() |
| Paus Leo merayu kepada Gaiseric agar memberi belas kasih |
Terdapat pendapat yang
mengemukakan bahawa Gaiseric akur kepada permintaan Paus lantaran beliau tidak
mahu memanjangkan tempoh pengepungan memandangkan pada waktu itu Itali sedang
dilanda kebuluran. Tembok kota Rome pula ampuh dan sukar ditembusi.
Walau bagaimanapun,
sejauh mana kebenaran kisah ini masih belum dapat dipastikan. Keadaan ini
seterusnya membuatkan reputasi buruk yang dipalitkan pada Vandal dipersoalkan
dan ia terus menjadi bahan perdebatan sehingga ke hari ini.
SUMBER
- Adam, B. 2015. History of the Vandals.
- Cassius Dio, Roman History. [Cary, E. (trans). 1914-27. Cassius Dio’s Roman History].
- Jarus, O. 2014. Who Were the Vandals?
- Jordanes, The Origins and Deeds of the Goths. [Mierow, C.C. (trans). 1908. Jordanes’ The Origins and Deeds of the Goths].
- Loffler, K. 1912. Vandals.
- Merriam-Webster, 2015. Vandal.
- Pliny the Elder, Natural History. [Bostock, J., Riley, H.T. (trans). 1917-32. Pliny the Elder’s Natural History].
- Procopius, History of the Wars, Books III and IV (of 8): The Vandalic War. [Dewing, H.B. (trans). 1916. Procopius’ History of the Wars, Books III and IV (of 8): The Vandalic War].
- Get link
- X
- Other Apps






