- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (23 Mac 2020). Did the Conquest of the New World Save the Spanish
Empire? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/spanish-empire-0013457
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/spanish-empire-0013457
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Empayar Sepanyol
merupakan salah satu empayar kolonial Eropah terawal (dan paling lama
bertahan). Ia ditubuhkan pada penghujung kurun ke-15, ketika Dunia Baru baru
sahaja ditemui. Empayar Sepanyol mencapai zaman kemuncaknya pada kurun ke-16
dan kurun ke-17.
Selain menjadi kuasa
besar utama Eropah, Sepanyol juga menguasai sebahagian besar Amerika Utara dan
Amerika Selatan. Keberuntungan nasib Empayar Sepanyol mula berbolak-balik pada
kurun berikutnya. Walaupun perjalanan sejarah Sepanyol tidak berlangsung baik
di Eropah, empayarnya yang terletak jauh merentas laut tetap menikmati
kemewahan.
Empayar Sepanyol
berupaya bangkit dari detik-detik pahit itu pada awal kurun ke-19, namun kurun
ke-19 hadir dengan membawa cabaran-cabaran baru buat mereka sekaligus membawa
kepada bermulanya kejatuhan empayar itu. Namun, Empayar Sepanyol berupaya
bertahan sehingga kurun ke-20. Pengunduran Sepanyol dari Sahara Sepanyol (kini
Sahara Barat) pada tahun 1975 menandakan berakhirnya kekuasaan empayar
berkenaan.
EMPAYAR SEPANYOL – PADA
ERA PERMULAAN
Sejarah Empayar
Sepanyol berakar pada kurun ke-15. Walaupun Sepanyol masih lagi terlibat dalam
kempen Reconquista pada waktu itu, kebanyakan Semenanjung Iberia sudah
pun berada dalam tangan Kristian. Satu-satunya negara Muslim yang tinggal di
semenanjung itu (hakikatnya, sejak tahun 1249 lagi) adalah Emiriyah Granada.
Walaupun Dinasti
Mariniyah dari Afrika Utara kerapkali melancarkan serangan demi serangan ke
atas wilayah selatan Semenanjung Iberia, mereka gagal untuk memperoleh
kemenangan kekal. Misalnya, serangan signifikan terakhir Mariniyah ke atas
Semenanjung Iberia berlaku pada tahun 1340. Namun, ia digagalkan oleh tentera
gabungan Castile-Portugal dalam Pertempuran Rio Salado. Kempen Reconquista
disudahkan pada tahun 1492, tahun di mana Granada tumbang ke tangan Isabella I
dari Castile dan Ferdinand II dari Aragon, yang juga dikenali sebagai Monarki
Katolik.
Tahun 1492 juga
dianggap sebagai tahun bermulanya kekuasaan Empayar Sepanyol. Tidak lama
selepas kejatuhan Granada, Monarki Katolik memberikan sokongan dan tajaan
kepada Christopher Columbus yang mengusulkan laluan barat dari Eropah ke Asia.
Sebelum itu, Columbus terlebih dahulu menyatakan rancangannya itu kepada raja
Portugal. Namun, permintaannya tidak diendahkan. Salah satu punca penolakan
tersebut adalah perbezaan pendapat antara pakar Portugis dan Columbus berkenaan
jarak perjalanan ke barat ini. Pihak Portugis meyakini bahawa perjalanan
tersebut jauh lebih panjang berbanding apa yang dikemukakan oleh Columbus,
justeru memustahilkan untuk perlayaran ini dilakukan.
Walaupun perkiraan yang
dilakukan oleh Portugis itu ternyata tepat (atau setidaknya, hampir tepat),
Columbus amat beruntung kerana tidak gagal sepenuhnya, sebaliknya tetap
menemukan benua Amerika. Sepanyol serta-merta menuntut hak kekuasaan ke atas
benua yang baru ditemui itu.
EMPAYAR SEPANYOL
MENUNTUT HAK KEKUASAAN KE ATAS DUNIA BARU
Penemuan Dunia Baru ini
membawa kepada pertelagahan antara Sepanyol dan Portugal, iaitu satu lagi kuasa
kolonial Eropah yang sedang membangun. Portugal mendakwa bahawa semua wilayah
selatan dari Kepulauan Canary harus diserahkan kepada mereka, berdasarkan
Perjanjian Alcacovas yang ditandatangani pada 1479 dan diratifikasi pada tahun
1481 oleh titah paus Aeterni regis pada tahun sama.
![]() |
| Penaklukan Kepulauan Canary oleh Empayar Sepanyol |
Justeru dakwa mereka,
Dunia Baru seharusnya menjadi milik Portugal. Sepanyol cuba menafikan dakwaan
Portugis ini dengan meminta titah paus yang lain. Memandangkan paus pada masa
itu, iaitu Alexander VI, merupakan warga Valencia dan rakan kepada Ferdinand,
maka Sepanyol dengan mudah meraih titah yang memihak mereka. Tentunya, Portugal
tidak bersenang hati dengan situasi sebegini.
Isu ini kemudian
diselesaikan pada tahun 1494 menerusi penandatanganan Perjanjian Tordesillas.
Perjanjian ini bertujuan untuk membahagikan dunia kepada dua hemisfera dari 370
buah gugusan kepulauan Cape Verde di sepanjang meridian utara-selatan.
Tanah-tanah yang terletak di timur dibahagikan kepada Portugis, manakala
tanah-tanah di barat pula diperuntukkan kepada Sepanyol.
Sebagai susulan
daripada Perjanjian Tordesillas ini, Sepanyol bebas menubuhkan koloni di Dunia
Baru dan seterusnya mendominasi rantau itu. Kebanyakan wilayah di Amerika
Selatan (kecuali Brazil) jatuh ke bawah kekuasaan Sepanyol. Namun, pada
beberapa dekad awal selepas Dunia Baru ditemui, Sepanyol tidak begitu meraih
hasil di benua yang baru diteroka itu.
Misalnya, sehingga
tahun 1510, Sepanyol langsung tidak berpeluang untuk menubuhkan sebarang
petempatan kekal di tanah besar. Pengaruh mereka hanya terhad di kepulauan
sahaja. Malah, koloni-koloni baru yang didirikan oleh Sepanyol juga tidak
begitu menguntungkan. Apapun, situasi ini berubah setelah Sepanyol mula
mendirikan koloni di tanah besar.
![]() |
| Empayar kolonial Sepanyol dan Portugis pada kurun ke-16 |
MASALAH-MASALAH DI
TANAH AIR SEPANYOL
Dalam pada itu,
pemerintahan pusat Sepanyol di Eropah terlibat dalam Perang-Perang Itali, iaitu
satu siri peperangan bagi merebut kekuasaan ke atas Itali. Perang Itali pertama
(juga dikenali sebagai Perang Charles VIII) meletus pada tahun 1494 apabila
raja Perancis, Charles VIII menyerang Itali dengan niat untuk menguasai
Kerajaan Naples.
Namun, kerajaan
tersebut merupakan sebahagian daripada Takhta Aragon. Justeru, Monarki Katolik
menumpahkan sokongan kepada raja Naples. Perang ini berakhir pada tahun
berikutnya, apabila Charles digiring keluar dari Itali oleh Liga Venice yang
terdiri daripada Pope, Sepanyol, Empayar Rom Suci, Milan dan Venice.
Apapun, sebanyak tujuh
lagi perang yang meletus antara Perancis dan musuh-musuhnya bagi merebut
dominasi ke atas Itali dan ia hanya berakhir pada tahun 1559. Lima perang
terakhir dikenali sebagai Perang Hapsburg-Valois, yang berlanjutan sepanjang
pemerintahan Charles V, raja yang dianggap sebagai pemerintah Empayar Sepanyol
yang paling cekap.
![]() |
| Charles V, Maharaja Rom Suci merangkap Raja Sepanyol (kiri) dan puteranya, Philip |
Charles V dilahirkan
pada tahun 1500 di Ghent, Flanders (Belgium moden) dan merupakan putera kepada
Philip I the Handsome dan Joanna the Mad. Philip pula merupakan putera kepada
Maximilian I si Maharaja Rom Suci dan Marcy Duchess dari Burgundy, manakala
Joanna pula adalah puteri kepada Monarki Katolik.
Oleh kerana itu,
Charles mempunyai hak ke atas sejumlah takhta di seluruh Eropah. Pada tahun
1506, berikutan kematian ayahandanya, Charles diangkat sebagai Pangeran
Burgundy (Duke of Burgundy) dan meraih kekuasaan ke atas Negara-Negara
Bawah. Pada tahun 1516 pula, datuk sebelah ibu Charles meninggal dunia, justeru
beliau serta-merta ditabalkan sebagai Raja Sepanyol (Castile dan Aragon) dan
memerintah secara bersama dengan ibunya, sehingga Joanna meninggal dunia pada
tahun 1555.
Sebagai pengetahuan
tambahan, Isabella meninggal dunia pada 1504 dan Joanna mewarisi takhta ibunya
itu pada tahun sama. Pada tahun 1519, Charles mewarisi elaran Archduchy of
Austria setelah datuk sebelah bapanya meninggal dunia. Pada tahun sama, Charles
ditabalkan sebagai Maharaja Rom Suci sekaligus mengenepikan dua calon lain,
iaitu Francis I si Raja Perancis dan Henry VIII si Raja England.
BAGAIMANA DUNIA BARU
MEMBANTU EMPAYAR SEPANYOL
Oleh kerana itu,
menjelang tahun 1519, kebanyakan wilayah di Eropah jatuh ke bawah pemerintahan
Charles. Begitu juga halnya Dunia Baru yang dikuasai oleh Sepanyol. Pada tahun
sama di mana Charles ditabalkan sebagai Maharaja Rom Suci, seorang conquistador
Sepanyol yang bernama Hernan Cortes memulakan interaksi rasmi pertamanya dengan
Empayar Aztec yang mendominasi Mexico tengah. Menjelang tahun 1521, kaum Aztec,
yang menguasai empayar terkuat di Mesoamerika, tumbang ke tangan Sepanyol.
Sekitar sedekad
kemudian, Empayar Inca, yang merupakan empayar pra-Columbia paling besar di
benua Amerika, ditakluk oleh sekumpulan conquistador Sepanyol pimpinan
Francisco Pizarro. Semasa Sepanyol bertembung dengan mereka, Empayar Inca
berpusat di banjaran gunung Andean dan ia menguasai sebahagian besar wilayah
barat Amerika Selatan. Walaupun ibu kota Inca, iaitu Cusco, tumbang pada tahun
1536, kaum Inca tetap meneruskan penentangan mereka selama beberapa dekad.
![]() |
| Ketua Inca terakhir, Tupac Amaru dibunuh pada tahun 1572 di bawah perintah Francisco de Toledo si wakil pemerintah Empayar Sepanyol |
Penaklukan Empayar
Aztec dan Empayar Inca ini menyumbang kepada kekayaan Sepanyol, memandangkan
khazanah dari Dunia Baru mengalir masuk ke perbendaharaan Empayar Sepanyol.
Emas dan perak dari benua Amerika inilah yang digunakan oleh Charles untuk
membiayai peperangannya di Eropah.
Walaupun Sepanyol dan
Perancis sudah pun berdamai setelah berakhirnya Perang Liga Cambrai (Perang
Itali ketiga) pada tahun 1516, perdamaian ini tidak bertahan lama. Penabalan
Charles sebagai Maharaja Rom Suci pada tahun 1519 melahirkan perseteruan yang
tegang antara beliau dan Francis. Raja Perancis naik berang kerana beliau
diketepikan, justeru bertekad mahu menuntut kekuasaan ke atas Itali.
Di pihak Charles pula,
beliau melihat dirinya sebagai pemimpin dunia Kristian justeru beliau bercita-cita
mahu menubuhkan monarki sejagat yang membolehkannya memegang autoriti sekular
ke atas seluruh Eropah. Sebagai susulan, Perang Hapsburg-Valois Pertama pun
meletus pada tahun 1521. Charles dan Francis terus memerangi antara satu sama
lain dalam empat buah peperangan berikutnya.
Namun, Perancis
bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi oleh Charles. Secara umum,
Reformasi Protestan dianggap dimulakan pada tahun 1517 oleh Martin Luther.
Sebagai seorang penganut Katolik yang taat, Charles berusaha untuk
mempertahankan Katolik dari reformis. Dewan Worms ditubuhkan pada 1521 bagi
menentukan takdir Luther.
![]() |
| Luther di Dewan Worms |
Agak menghairankan,
Luther dipanggil menghadap autoriti politik dan bukannya Paus atau sidang
gereja Katolik. Walau apa pun keadaannya, Luther enggan menggugurkan
pendiriannya dan Charles lantas mengeluarkan Titah Worms yang mengharamkan
karya-karya Luther dan mengisytiharkan beliau sebagai seorang yang telah
menyeleweng dan musuh negara.
Walau bagaimanapun,
keputusan ini bukan hanya gagal menyelesaikan masalah. Ia malah memburukkan
lagi keadaan, hinggakan Katolik dan Protestan terus berperang. Perang agama ini
terus-menerus menyelubungi Eropah walau sesudah kematian Charles.
Para pemerintah
Habsburg yang mewarisi Charles juga meneruskan idea mahu menubuhkan hegemoni
Sepanyol ke atas Eropah. Oleh kerana itu, sejumlah peperangan dilancarkan oleh
Sepanyol ke atas negara-negara Eropah dan Protestan. Dalam peperangan ini,
politik dan agama seringkali terkait antara satu sama lain.
Misalnya, peperangan
antara Sepanyol dan Perancis pada tahun-tahun akhir kurun ke-16 merupakan
sebahagian daripada Perang Agama Perancis. Sokongan yang diberikan oleh
Sepanyol kepada Katolik Perancis dalam memerangi Protestan kononnya merupakan
alasan bagi melancarkan serangan ke atas Perancis.
Empayar Sepanyol juga
perlu menangani pemberontakan-pemberontakan dalaman. Perang Lapan Puluh Tahun
(juga dikenali sebagai Dutch War of Independence) merupakan sebuah
pemberontakan yang dilancarkan oleh Tujuh Belas Wilayah dan ia mengakibatkan
Sepanyol kehilangan kuasa ke atas kebanyakan wilayahnya di Negara-Negara Bawah.
Peperangan demi
peperangan ini banyak menyusutkan perbendaharaan Sepanyol dan mereka beberapa
kali mengalami muflis. Selain masalah kewangan, musuh-musuh Sepanyol di Eropah
juga semakin berkuasa. Pertempuran Rocroi pada 1643 sering dianggap sebagai
tanda berakhirnya dominasi Sepanyol di Eropah.
![]() |
| Pertempuran Rocroi adalah penamat dominasi Empayar Sepanyol di Eropah |
Pertempuran ini
merupakan sebahagian daripada Perang Tiga Puluh Tahun (satu lagi konflik di
mana agama dan politik saling berkaitan) dan memperlihatkan kekalahan Tentera
Flanders dari Sepanyol di tangan Peracnis. Apapun, Sepanyol masih tetap
memegang signifikasi di Eropah.
Hanya pada tahun 1713,
dengan termeterainya Perjanjian Utreth yang menamatkan Perang Pewarisan Takhta
Sepanyol, barulah Empayar Sepanyol akur pada kekuasaan negara-negara Eropah
lain. Susulan daripada perjanjian ini, mereka kehilangan banyak wilayah di
benua itu.
Sepanyol Belanda,
Naples, Milan dan Sardinia terpaksa diserahkan kepada Austria, sementara Sicily
dan sebahagian Duchy of Milan pula jatuh ke tangan Duchy of Savoy. Gibraltar
dan Minorca dikuasai oleh Great Britain. Apapun, Sepanyol tetap dibenarkan
untuk menguasai koloni-koloni mereka di Amerika dan wilayah-wilayah inilah yang
menyumbang kepada pemulihan Sepanyol pada dekad-dekad berikutnya.
Menjelang akhir kurun
tersebut, reformasi-reformasi yang diperkenalkan oleh dinastu baru Sepanyol,
iaitu Dinasti Bourbon, ternyata membuahkan hasil dan ekonomi empayar semakin
pulih. Sepanyol juga menikmati beberapa kemenangan di medan perang pada tempoh
ini.
![]() |
| Keluarga Philip V, Wangsa Bourbon, para pemerintah baru Empayar Sepanyol |
Misalnya, Sepanyol
berupaya menakluki pangkalan tentera laut British di Bahamas dalam Perang
Revolusi Amerika. Naples dan Sicily juga berjaya direbut dari Austria dalam
Perang Pewarisan Takhta Poland. Namun, kejayaan-kejayaan ini tidak bertahan
lama memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran baru sebaik
memasuki kurun ke-19.
Dalam Perang Napoleon,
wilayah Sepanyol diduduki oleh Perancis. Raja Sepanyol ketika itu, iaitu
Charles V, dipaksa menyerahkan takhta kepada puteranya, Ferdinand VII, pada
tahun 1808. Pada tahun yang sama, Ferdinand juga dipaksa menyerahkan takhta
kepada abang Napoleon, iaitu Joseph Bonaparte sekaligus beliau menjadi
pemerintah Sepanyol yang baru. Namun, keadaan ini hanya bertahan sehingga tahun
1813, tahun di mana Dinasti Bourbon kembali meneguhkan kuasa.
Apapun, masalah yang
lebih besar yang perlu dihadapi oleh Empayar Sepanyol adalah gerakan-gerakan
separatis di Amerika Sepanyol. Pada tempoh antara 1810 dan 1825, Sepanyol
kehilangan banyak koloninya di Amerika, termasuklah Paraguay (1811), Argentina
(1816), Peru dan Mexico (1821), Venezuela, Colombia, Ecuador dan Bolivia moden
(1825).
Walaupun Sepanyol
bukanlah kuasa besar di Afrika, ia tetap mempunyai sejumlah koloni di benua
itu, khususnya di bahagian barat Afrika Utara. Sahara Sepanyol yang dikuasai
pada 1884 merupakan koloni terakhir Sepanyol. Mereka mengundurkan kekuatannya
dari kawasan tersebut pada tahun 1975.
Empayar Sepanyol
meninggalkan pengaruh yang berpanjangan di dunia. Pada era kemuncaknya,
Sepanyol sebagai sebuah adikuasa benar-benar mempengaruhi lanskap politik
Eropah dan meninggalkan kesan yang mendalam pada sejarah benua itu. Namun,
legasi Empayar Sepanyol lebih tampak di wilayah-wilayah koloninya di Amerika
Tengah dan Amerika Selatan. Pengaruh Sepanyol di sana masih boleh dirasai sehingga
ke hari ini, menerusi Katolikisme Rom dan bahasa Sepanyol yang masih bernyawa
di rantau berkenaan.
SUMBER
- Carr, R., Smith, C., O’Callaghan, J., Koenigsberger, H., Viguera, M., Harrison, R., Rodriguez, V., Richardson, J., Shubert, A., Gines, J., and The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Spain.
- De Ferdinandy, M. 2020. Charles V.
- Field, J. 2019. Battle of Rocroi.
- Minster, C. 2019. The Conquest of the Aztec Empire.
- New World Encyclopedia. 2020. Christopher Columbus.
- New World Encyclopedia. 2018. Inca Civilization.
- New World Encyclopedia. 2015. Reconquista.
- New World Encyclopedia. 2019. Spanish Empire.
- New World Encyclopedia. 2015. Treaty of Tordesillas.
- New World Encyclopedia. 2015. Treaty of Utrecht.
- Rickard, J. 2014. The Italian Wars. 1494-1559.
- The BBC. 2019. Spain profile – Timeline.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2013. Catholic Monarchs.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Diet of Worms.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Italian Wars.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Reconquista.
- HistoryWorld. 2020. History of the Spanish Empire.
- Get link
- X
- Other Apps







