- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (1 Disember 2015). The War of the Two Brothers: The Division and
Downfall of the Inca Empire. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/war-two-brothers-division-and-downfall-inca-empire-004745
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/war-two-brothers-division-and-downfall-inca-empire-004745
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Pada tanggal 26 Julai
1533, pemerintah terakhir Empayar Inca, iaitu Atahualpa, dihukum bunuh oleh
Sepanyol dengan menggunakan sebuah garrotte (alat untuk menggantung
seseorang). Peristiwa ini menandakan berakhirnya pemerintahan Empayar Inca dan
bermulanya penguasaan Sepanyol di rantau Amerika Selatan. Hanya setahun sebelum
berlakunya peristiwa itu, Atahualpa mengungguli perang saudara yang tercetus
demi menentukan penyandang gelaran Sapa Inca. Perang ini dikenali dengan
pelbagai nama seperti Perang Saudara Inca, Perang Dinasti Inca, Perang
Pewarisan Takhta Inca, dan Perang Dua Saudara.
KEMANGKATAN SAPA INCA
Episod Perang Dua
Saudara dimulakan oleh kemangkatan Sapa Inca Huayna Capac dan calon pewarisnya,
Ninan Cuyochi pada tahun 1527. Mereka berdua dicatatkan menjadi korban wabak
cacar, iaitu penyakit yang tersebar dalam kalangan masyarakat tempatan sejak
ketibaan orang Sepanyol di benua itu.
Mengikut tradisi,
seseorang Sapa Inca lazimnya akan menyerahkan takhtanya kepada putera sulung.
Namun bagi kes Huayna Capac, putera sulungnya yang bernama Ninan Cuycohi
dilaporkan telah meninggal dunia mendahului beliau. Tidak lama sesudah kematian
puteranya itu, Huayna Capac juga terlantar gering. Beliau kemudian mengambil
keputusan untuk memecah tradisi dengan membahagikan empayar kepada dua untuk
diperintah oleh dua orang puteranya – Huascar dan Atahualpa.
![]() |
| Sapa Inca ke-12, Huayna Capac |
PERPECAHAN EMPAYAR INCA
Antara dua beradik ini,
Huascar lebih tua dan beliau merupakan putera Huayna Capac dari isterinya yang
sah. Atahualpa pula merupakan putera dari salah seorang gundik. Oleh kerana
itu, Huascar diberikan seluruh Empayar Inca untuk diperintah, kecuali Quito dan
kawasan sekitarnya yang terletak di bahagian utara empayar. Dengan memerintah
Cuzco (Cusco), iaitu ibu kota Empayar Inca, Huasca dengan mudah meraih sokongan
hampir seluruh rakyat jelata.
Bagi Atahualpa pula,
beliau meraih kesetiaan pasukan tentera Inca yang ketika itu sedang ditempatkan
di utara bagi menundukkan suku-suku yang berada di sempadan empayar. Tambahan,
tiga orang panglima terkemuka – iaitu Chalcuchima, Quisquis, dan Ruminahul
masing-masing mencurahkan kesetiaan kepada Atahualpa. Terdapat dakwaan yang
mengatakan bahawa mereka bertiga berasal dari wilayah utara empayar, justeru tidak
hairanlah jika mereka lebih rapat dengan Atahualpa.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Panglima Ruminahui, (1925) oleh Jose Yepez. Istana Perbandaran Quito, Ecuador |
BERMULANYA PEPERANGAN
Mungkin, Huayna Capac
berharap agar kedua-dua orang puteranya itu dapat memerintah empayar secara
harmoni. Namun, keadaan tidak berlaku sedemikian. Hal ini kerana Huascar
memandang kepimpinan Atahualpa ke atas pasukan tentera empayar sebagai satu
ancaman terhadap kedudukannya sebagai Sapa Inca. Oleh kerana itu, Huascar mengambil
inisiatif untuk melancarkan serangan awal dan cuba menawan Quito.
Tindakan ini pada
mulanya meraih kejayaan dan pasukan tentera Huascar berhasil menewaskan
Atahualpa dan menangkap beliau di kawasan berhampiran Tomebamba. Namun,
Atahualpa berupaya meloloskan diri dan kembali ke Quito bagi menggalang
pasukannya. Huascar tetap cuba menakluk ibu kota Atahualpa, namun ditewaskan
dan digiring kembali ke selatan. Atahualpa kemudian menghantar sepasukan
tentera di bawah pimpinan Chalcuchima dan Quisquis bagi memerangi Huascar,
sementara Ruminahui pula ditugaskan untuk mempertahankan Quito.
KISAH-KISAH FITNAH YANG
MENYELUBUNGI HUASCAR
Diceritakan bahawa
Huascar kononnya semakin hari semakin dibenci. Antara lain, beliau dikatakan
bertindak membunuh penguasa-penguasa yang pernah mengiringi jasad mendiang
bapanya, Huayna Capac. Mereka merupakan bangsawan berstatus tinggi dari Wilayah
Atas Cuzco. Kelas bangsawan semakin naik berang apabila Huascar mengancam mahu
membakar makam-makam kerabat dan merampas harta dan tanah mereka.
Selain itu, diceritakan
juga Huascar pernah membunuh utusan-utusan yang dihantar oleh Atahualpa.
Kononnya, utusan-utusan Atahualpa yang datang membawakan hadiah buat Huascar
habis dipotong hidungnya dan dihantar pulang dalam keadaan pakaiannya
koyak-rabak. Tinggi kemungkinan bahawa penceritaan tentang kekejaman Huascar
ini diambil dari pihak yang menang, iaitu Atahualpa dan para penyokongnya.
Mungkin juga kisah diri pihak Huascar telah hilang dari lipatan sejarah.
BERAKHIRNYA PERANG
SAUDARA… DAN SETERUSNYA EMPAYAR
Pada tahun 1532,
pasukan tentera Atahualpa pada akhirnya berjaya menewaskan pasukan Huascar
dalam sebuah pertempuran penentuan di luar Cuzco dan Sapa Inca itu dijadikan
sebagai tawanan perang. Berita kemenangan ini dengan pantas sampai ke
pengetahuan Atahualpa yang ketika itu sedang berada di kota Cajamarca.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan Huascar ditangkap oleh tentera Atahualpa, oleh Felipe Guaman Poma de Ayala |
Pada masa yang sama,
Atahualpa juga menerima laporan tentang penampakan lelaki-lelaki berkulit putih
yang memiliki ‘bulu pada wajah mereka’ (orang Sepanyol). Tanpa pengetahuan
Atahualpa, pemerintahannya itu bakal berlangsung singkat dan orang-orang asing
itu kelak akan menakluki empayarnya sekaligus menjadi penyebab kematiannya.
Tidak lama selepas
meraih kemenangan ke atas Huascar, Atahualpa pula menerima nasib menjadi
tawanan. Dalam kata-kata lain, Perang Dua Saudara ini tidak berakhir dengan
penyatuan semula Empayar di bawah pemerintahan tunggal, sebaliknya disudahkan
dengan penaklukannya di tangan Sepanyol.
![]() |
| Lukisan tentang penangkapan Atahualpa di Cajamarca |
SUMBER
- Hidden Inca Tours. 2015. The Inca Civil War: Not Civil at All.
- Minster, C. 2015. Biography of Atahualpa, Last King of the Inca.
- Minster, C. 2015. Huascar and Atahualpa: An Inca Civil War.
- Rodriguez, J. 2014. 10 Broken Lines of Succession that Changed the World.
- Spanish Wars. 2012. The Conquest of the Inca Empire.
- HistoryWorld. 2015. History of the Incas.
- Sjusd. 2015. Civil War.
- Get link
- X
- Other Apps





