- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal.
Ancient Origins. (11 Jun 2020). History of the Vikings: All You Need to Know.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/vikings-0013841
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/vikings-0013841
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Dengan kehadiran drama
bersiri seperti Vikings dan The Last Kingdom, masyarakat Norsemen
dari zaman purba ini berjaya menembusi minat generasi baru. Tentunya, terdapat
unsur-unsur dramatik yang diselitkan ke dalam fiksyen berkenaan. Di sinilah
penemuan arkeologi dan teks-teks sejarah memainkan peranannya. Berkat minat
yang meluas terhadap topik sebegini, maka sebarnag penemuan yang melibatkan
Viking lazimnya meraih tempat di muka hadapan media.
Namun, pertama-tama
sekali, siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan Viking? Adakah mereka ini
masyarakat penjajah, pedagang, petani atau peneroka? Secara esensinya, kesemua
label tersebut sememangnya kena dengan Viking kerana mereka merupakan sebuah
masyarakat yang mempunyai kebudayaan yang teratur lagi kaya, melibatkan
kepercayaan, tradisi, ambisi penaklukan dan visi ekonomi yang mapan. Justeru,
setiap kali menyebut istilah Viking, kita seharusnya menanggapi mereka sebagai
sebuah kumpulan masyarakat yang mempunyai tatanan hidup yang kompleks.
BILAKAH BERLANGSUNGNYA ZAMAN
VIKING?
Secara umum, Zaman
Viking dianggap bermula pada 800 Masihi. Namun, peletakan tarikh ini bergantung
kepada takrifan Viking yang dipegangi oleh seseorang individu. Dalam era
mereka, perkataan Viking membawa banyak maksud, sebagaimana yang
dijelaskan oleh Judith Jesch:
“Vikingr merupakan
seorang individu yang mengembara ke tanah asing dengan menggunakan laluan laut,
bersama sekumpulan vikingar (jamak) lain. Vikingr tidak merujuk kepada
mana-mana etnik khusus dan ia merupakan satu istilah yang bersifat neutral;
boleh digunakan bagi merujuk kelompok masyarakat sendiri mahupun masyarakat
lain. Justeru, aktiviti Viking juga tidak terhad pada satu-satu aktiviti
tertentu. Boleh sahaja ianya melibatkan serangan (dan penjarahan), namun sekali
lagi, ia tidak terhad sebatas itu sahaja.”
Walau bagaimanapun, perspektif
yang diterima secara umum adalah Zaman Viking bermula apabila orang Norse (Norsemen)
mula menyerang kawasan-kawasan di tanah asing. Justeru, ramai ilmuwan
berpendapat bahawa petualangan Viking bermula pada tahun 793M, tahun di mana
mereka menyerang biara Lindisfarne, England. Namun, jika kita menaksir vikingar
sebagai peneroka lautan, maka Zaman Viking boleh dikatakan bermula lebih awal
memandangkan masyarakat Norway sudah pun berlayar secara aman ke Ribe, Denmark,
pada tahun 725 Masihi.
Pengakhiran Zaman Viking pula secara rasmi diletakkan
pada tahun 1066, iaitu tahun di mana Raja Norway, Harald Hardrada terkorban
dalam Pertempuran Stamford Bridge (serangan Viking berskala besar yang terakhir
di Eropah).
![]() |
Pertempuran Stamford Bridge, 1066 oleh Peter Nicolai Arbo, 1870 |
VIKING-VIKING YANG MASYHUR
Orang-orang Viking
lazimnya mempunyai nama timangan yang tertentu, misalnya Sigurd Si Tegap dan
Thorfill Si Pembelah Tengkorak. Sifat atau perwatakan mereka juga kadangkala
dijadikan sebagai nama timangan, seperti Pencinta, Berhati Baik, Pendek, Bijak,
dan Tinggi. Kebiasaannya, Viking yang masyhur ditampilkan di dalam Saga-Saga
tempatan. Ramai juga yang muncul dalam siaran TV.
Harald ‘Blatand’
(Bluetooth) Gormsson misalnya, merupakan seorang Raja Denmark dan Norway yang
hidup pada kurun ke-10. Beliau bertanggungjawab ke atas penyatuan Denmark.
Walaupun kebanyakan rakyatnya berfahaman pagan, Harald berusaha seupaya mungkin
untuk menyebarkan agama Kristian di dalam kerajaannya. Menurut beberapa sejarahwan,
Harald meraih nama timangan ‘Bluetooth’ kerana beliau mempunyai sebatang gigi
yang mati, di mana gigi tersebut berwarna biru atau gelap.
Pada hari ini, nama
timangan tersebut digunakan sebagai nama sebuah piawai teknologi tanpa wayar.
Pengasas teknologi berkenaan mengandaikan bahawa keupayaan Harald Bluetooth
dalam menyatukan rakyatnya secara aman merupakan suatu ciri yang sesuai dengan
teknologi telekomunikasi.
Sementara itu, Eric
Haraldsson dicatatkan sebagai seorang pemerintah Norway dan Northumbria pada
kurun ke-10. Walaupun kedua-dua monarki itu secara umumnya dianggap sebagai
individu yang sama, anggapan ini diselubungi keraguan lantaran sumber Norse dan
Anglo-Saxon lazimnya tidak sepadan. Eric dicatatkan sebagai putera kepada
Harald Fairhair si Raja Norway. Menurut saga, Eric merupakan putera kesayangan
Harald dan ketika beliau berusia 12 tahun, Eric diberikan lima buah kapal
panjang untuk memulakan kariernya sebagai seorang Viking.
Pada mulanya, beliau
berlayar ke timur dan menyerang pantai Denmark, Friesland dan Saxland.
Kemudian, beliau berlayar ke barat dan menyerang Scotland dan kawasan sekitar
Laut Ireland. Saga-saga tempatan juga mencatatkan bahawa Eric mengahwini
Gunnhild, yang disifatkan sebagai seorang ahli sihir jahat yang banyak mempengaruhi
suaminya.
![]() |
Viking lazim dikenang sebagai pahlawan |
Pada hari ini, Ragnar
Lothbrok (Lodbrok) mungkin merupakan nama Viking yang paling dikenali.
Dicatatkan bahawa beliau menjarah England dan Perancis serta menubuhkan Tentera
Heathen Besar. Namun, sama seperti Raja Arthur, sosok watak Ragnar diandaikan
sebagai gabungan sejumlah figura sejarah dan karakter kecil dalam legenda.
Apapun, beliau dipercayai merupakan seorang raja Denmark dan Sweden, di samping
dikreditkan sebagai orang Scandinavia pertama yang menyerang Britain. Beliau
hadir dalam beberapa buah saga, antara yang paling utama ialah The Saga of
Ragnar Lothbrok dan Gesta Danorum. Hikayat Anglo Saxon (Anglo
Saxon Chronicle) juga menyifatkan ‘Ragnall’ dan ‘Reginherus’ sebagai
seorang Viking yang sangat berpengaruh dari tahun 840M.
Legenda juga
menceritakan tentang Bjorn Ironside yang memerintah Sweden sebagai raja pertama
dari Wangsa Munso. Beliau hidup pada kurun ke-9M dan ayahandanya ialah Ragnar
Lothbrok sama yang diceritakan di atas. The Saga of Ragnar Lodbrok and His
Sons menceritakan bahawa Bjorn dan adik-beradiknya meneruskan
serangan-serangan bapanya di England, Normandy, Perancis dan Lombardy. Beliau
dan adik-beradiknya masing-masing memimpin Tentera Heathen Besar, iaitu sebuah
perikatan pahlawan-pahlawan Viking dari Denmark dan Scandinavia yang memerangi
kerajaan-kerajaan Anglo-Saxon pada separuh kedua kurun ke-9M.
PERDAGANGAN DAN EKONOMI
VIKING
Naratif seputar Viking
banyak berkisar seputar perdebatan sama ada mereka ini penjajah mahupun
pedagang. Namun, dikotomi penyerang-pedagang ini hakikatnya telah pun
diselesaikan dalam lingkungan akademik. Kebanyakan bukti tentang aktiviti
perdagangan Viking didapati daripada kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan pada
lewat 1970an dan 1980an.
Pada hari ini, kita
boleh membentangkan bukti betapa penerokaan laut oleh warga Scandinavia yang
kemudiannya membawa kepada penemuan Iceland dan Greenland mempunyai asas-asas
perdagangan dan bukan semata-mata bertujuankan serangan atau mendirikan koloni.
Koleksi artifak, kurasi, barang kemas, dan harta mudah-alih merupakan perkara
penting dalam masyarakat Viking. Raja-raja mereka kebiasaannya memakai pakaian
yang dihias secara terperinci, sambil dilengkapi sejumlah barang kemas.
Selain berfungsi sebagai
dandanan diri, barang kemas masyarakat Norse juga lazim digunakan sebagai
matawang dalam aktiviti perdagangan. Mungkin kerana inilah makanya mereka lebih
cenderung menggunakan logam-logam berharga ketika menghasilkan barang kemas.
Tanduk rusa juga dianggap penting bagi mereka lantaran ia digunakan bagi
membuat sikat, jarum dan alatan lain.
Seandainya sesebuah
barang kemas itu saiznya terlalu besar untuk dijadikan sebagai matawang
transaksi, maka ia akan dipecahkan menjadi bentuk yang lebih kecil sesuai dengan
nilai barangan yang diambil. Kalau boleh diumpamakan, bagi masyarakat Viking,
barang kemas mereka saling tidak tumpah seperti dompet di zaman sekarang.
PERSENJATAAN DAN KEMPEN
SERANGAN VIKING
Ahli-ahli arkeologi
mengusulkan hipotesis bahawa perubahan cuaca menyumbang kepada meningkatnya
aktiviti peranian dan seterusnya, meningkatkan populasi secara mendadak.
Keadaan ini seterusnya menuntut masyarakat Viking untuk mencari tanah baru
untuk didiami. Ada juga ilmuwan yang berpendapat bahawa pembesar-pembesar
tempatan membiayai ekspedisi serangan ke atas tanah asing bagi menambahkan lagi
kekayaan, kekuasaan dan pengaruh mereka.
Sehingga ke hari ini, lingkungan
akademik masih belum menyudahkan perdebatan tentang bilangan purata wanita
Viking yang terlibat dalam peperangan. Viking terus menyerang dan menubuhkan
koloni di Eropah, dan bahkan di Russia. Menjelang pertengahan kurun ke-11,
kekuasaan Norse melebar hingga ke Britain, Iceland, Greenland dan Kanada.
Mereka juga menyerang pelabuhan-pelabuhan Itali, Sepanyol dan Konstantinopel.
Pada tempoh 795 hingga
836 Masihi, berlaku banyak kejadian ‘serang dan lari’ oleh orang Norse dan
orang Denmark di Ireland. Biara-biara Kristian di Ireland dijadikan sebagai
sasaran utama Viking lantaran kawalan pertahanannya yang longgar dan simpanan
harta mudah-alih yang banyak. Bagi sebilangan Viking, mereka lebih gemar
mendiami tanah Kristian yang jauh lebih kaya berbanding Scandinavia yang
kekurangan sumber.
Salah satu serangan
Viking yang paling masyhur dalam sejarah berlaku di Luni. Dalam serangan
tersebut, Bjorn (atau Hastein) mengutuskan beberapa orang tenteranya ke biskop
tempatan bagi mengadukan tentang kematian palsunya. Kononnya, ketika sedang
bertarung nyawa, Bjorn (atau Hastein) memeluk Kristian dan hajat terakhirnya adalah
supaya disemadikan di tanah perkuburan penganut Kristian. Usai mendengarkan
aduan tersebut, biskop pun membenarkan orang-orang Viking itu untuk
mengebumikan raja mereka di dalam kota Luni. Sebaik sahaja mereka memasuki
Luni, Bjorn bingkat menerpa keluar dari kerandanya dan menggempur kota
berkenaan.
![]() |
Pertempuran Viking |
Apapun, berlaku
kesilapan faham yang meluas tentang penggunaan perisai dalam kalangan Viking. Mereka
lazim digambarkan menggunakan perisai untuk membentuk formasi yang tertutup
dalam pertempuran. Hakikatnya, perisai Viking agak kecil dan ringan secara
relatif. Malahan, ia turut digunakan sebagai senjata. Viking juga mengamalkan
variasi teknik dalam pertarungan. Antara lain disebut sebagai svinfylking
(Jajaran Khinzir atau Muncung Babi Hutan), iaitu satu formasi yang digunakan
bagi menyerang dan menembusi perisai musuh dengan menggunakan kapak sebagai
senjata utama.
Kapak Denmark merupakan
senjata dua-tangan dan digunakan secara eksklusif dalam pertempuran. Senjata
ini meraih kemasyhuran terutama apabila ia digunakan pasukan huscarl Raja
Harold II dalam Pertempuran Hasting pada tahun 1066M, selain imejnya turut
hadir pada Permaidani Bayeux. Satu lagi jenis kapak yang digunakan oleh Viking
adalah kapak sebelah-tangan yang boleh berfungsi bagi mencangkuk senjata atau
perisai musuh. Di luar medan tempur, kapak jenis ini lazim digunakan bagi
memotong kayu.
KAPAL PANJANG VIKING
Kapal dan laut memegang
signifikasi spiritual yang penting dalam masyarakat Norse sejak Zaman Gangsa
Nordik. Ramai sejarahwan mengusulkan bahawa kapal Viking merupakan salah satu
pencapaian teknikal dan artistik terulung Eropah di Zaman gelap. Kapal-kapal
ini mempunyai ketahanan bagi mengharungi lautan. Draf atau kedalaman kapal
Viking yang hanya berukuran sekitar 50cm (20 inci) membolehkannya melalui
lautan cetek.
![]() |
Kapal panjang Viking |
Bentuk kapal ini secara
umumnya kurus dan fleksibel, dengan bahagian hujungnya bersimetri dan mempunyai
lunas kapal yang jati. Sebahagian kapal dihiasi dengan imej kepala naga. Teknologi
kapal Viking ini membolehkan mereka meneroka lautan dan seterusnya menjalankan
perdagangan, penjarahan dan penerokaan. Kapal-kapal panjang ini amat penting
bagi masyarakat Viking, bukan hanya sebagai alat pengangkutan, akan tetapi juga
prestij yang diberikan kepada pemiliknya.
Oleh kerana itu, jika seseorang
Viking berkelas tinggi tidak meninggal dunia di lautan, dia akan tetap
disemadikan bersama senjata dan barangan tembikar di darat dengan bermakamkan
sebuah kapal. Kubur-kubur sebegini banyak dijumpai pada kurun ke-20, antaranya
seperti kapal Gokstad (dari tahun 890M) dan kapal Oseberg (dari awal kurun
ke-9M). Menurut kepercayaan mereka, menyemadikan si mati di dalam kapal bakal
membawa mereka ke haluan yang selamat di alam kematian.
KEHIDUPAN SEHARIAN VIKING
Keupayaan artisan dan
pembina kapal Viking sering dibayangi oleh stereotaip yang diletakkan pada
mereka, di mana Viking sering dilihat sebagai masyarakat penjajah, penjarah dan
peneroka yang ganas. Namun hakikatnya, aspek kehidupan mereka jauh lebih luas
dan kompleks. Misalnya dalam pekerjaan seharian, masyarakat mereka terdiri
daripada golongan petani, pembina kapal, pedagang, penukang senjata, pembuat
barang kemas, penempa logam, tukang masa, pengeluar pakaian dan artisan yang
berpengalaman. Legasi kesemua ketrampilan ini masih boleh dilihat pada generasi
mereka masa kini.
![]() |
Setem yang menunjukkan suasana kehidupan seharian di zaman Viking |
Antara barang kemas
yang dihasilkan oleh masyarakat Norse termasuklah gelang, cincin, kalung dan
lain-lain yang diperbuat daripada gangsa, besi, emas, perak, ambar dan damar.
Pada awal era Viking, barang-barang kemas ini hanya dihasilkan dalam bentuk
yang ringkas. Namun seiring peredaran masa, penampilannya menjadi semakin
terperinci dan sofistikated.
Kediaman Viking juga
tidaklah bebas dari politik. Di sinilah pentas utama hierarki sosial mereka, di
mana sebahagian individu diperhambakan dan dibiarkan hidup di dalam kandang
bersama haiwan-haiwan ternakan, sambil yang lain pula bersimpuh megah di rumah
yang mewah. Isi rumah Viking yang lengkap lazimnya terdiri dari pasangan suami
isteri, gundik, orang suruhan, pekerja ladang, pahlawan, penjaga ternakan,
pelayan musafir, tetamu dan anak-anak. Walaupun mereka hidup di bawah satu
bumbung, tugasan harian dan seni bina rumah itu sendiri bersifat terpisah
antara satu kumpulan dan satu kumpulan lain.
![]() |
Rumah panjang Viking |
Dinding rumah panjang
Viking kebiasaannya diperbuat daripada tiang-tiang kayu yang dilengkapi dengan wattle
dan sepuhan daub. Sebahagian rumah panjang malah mempunyai bengkel
tempaan logam. Namun kebiasaannya, bengkel ini ditempatkan di dalam bangunan
lain. Bumbung rumah mereka pula lazimnya diperbuat daripada jerami.
Di dalam atau di
kawasan berhampiran pintu rumah, ahli-ahli arkeologi pernah menemukan barangan
seperti periuk, pisau dan cincin besi. Mereka mengandaikan bahawa barangan ini
ditanam bagi tujuan melindungi rumah dari gangguan. Penemuan artifak sebegini
secara langsung mengisyaratkan kaitan antara aktiviti kehidupan seharian Viking
dan seni bina rumah mereka. Viking juga mempunyai suatu tradisi yang agak aneh,
iaitu menanam rumah sendiri.
KEPERCAYAAN DAN MITOS
VIKING
Masyarakat Norse tidak
menyimpan banyak rekod bertulis, justeru sumber utama kita tentang kepercayaan
mereka datangnya dari saga-saga Iceland dan Edda, iaitu teks-teks yang
ditulis oleh penganut Kristian. Namun, tahap kesahihan teks jenis kedua ini
lazimnya perlu diambil kira. Antara Edda yang masyhur adalah Edda Prosa
yang ditulis seorang ahli politik Iceland kurun ke-13 yang bernama Snorri
Sturluson.
Agama pagan lama
mempunyai pantheon dewa-dewi yang tersendiri, di mana dewa utama merangkap
penguasa Asgard adalah Odin dan Frigga. Tambahan lagi, dunia mitologi mereka
turut dihuni oleh makhluk-makhluk seperti pari-pari, orang kerdil, gergasi dan
troll. Kepercayaan mereka juga melibatkan legenda perwia yang membunuh naga
besar dan kisah kehancuran dunia (kiamat). Tidak ketinggalan juga mitos Pokok
Dunia (Yggdrasil) dan tulisan rune yang magis.
![]() |
Yggdrasil, Pokok Kehidupan Norse purba |
Walau bagaimanapun,
struktur mitologi Norse mula berubah apabila unsur-unsur Kristian dimasukkan ke
dalam kepercayaan lama dan seterusnya, menjadi dominan. Raja Scandinavia
pertama yang memeluk agama Kristian adalah Harald Klak (dibaptis pada 826M).
Antara titik pengubah paling signifikan dalam sejarah Kristianisasi Scandinavia
adalah pembaptisan Harald Bluetooth pada 960an.
AMALAN PENGEBUMIAN DAN
KEPERCAYAN TERHADAP KEHIDUPAN SESUDAH MATI
Masyarakat Viking
menaruh kepercayaan pada kehidupan selepas mati. Menerusi sumber arkeologi dan
dokumen-dokumen bertulis, kita dapat menelusuri budaya pengebumian mereka.
Salah satu catatan masyhur yang memerihalkan tentang pengebumian orang Viking
boleh ditemui dalam karya Ahmad ibn Fadlan, seorang duta Abbasiyah yang diutus
ke Volga Bulgaria. Dalam catatan tersebut, beliau memerihalkan tentang seorang
hamba perempuan yang dikorbankan semasa upacara pengebumian seorang pembesar
Viking. Namun, ritual sebegini sebenarnya jarang berlaku. Memandangkan Viking percaya
bahawa harta dunia dapat dibawa ke alam kematian, maka mereka turut
mengebumikan harta-benda bersama si mati.
Mereka juga percaya
bahawa pahlawan-pahlawan yang gugur dalam pertempuran akan memasuki Valhalla,
iaitu sebuah dewan besar yang bertempat di alam Asgard. Di sana,
pahlawan-pahlawan tersebut kononnya akan dijamu dengan kenikmatan dan malah
bertelingkah sehingga hadirnya Ragnarok. Justeru, penting untuk mereka
melengkapkan si mati dengan alatan perang bagi mengharungi perjalanan ke
Valhalla. Selain Valhalla, Viking turut percaya akan kewujudan alam kematian
yang lain seperti Folkvangr (juga tempat buat pahlawan), Helgafjell (tempat
orang-orang baik), dan Helheim (tempat orang-orang jahat).
![]() |
‘Helgi Hundingsbane kembali ke Valhalla’ |
Menurut kepercayaan
Viking, seandainya roh si mati tidak tenteram, mereka akan kembali ke dunia
sebagai draugr (atau roh jahat)
dan seterusnya menghantui mereka yang masih hidup. Roh jahat ini kononnya nanti
mengakibatkan pelbagai macam kesusahan seperti kerosakan hasil tuaian,
kekalahan dalam perang dan wabak penyakit. Seandainya didapati ada draugr
yang menghanti mereka, masyarakat Viking akan menggali semula kubur orang yang
baru meninggal dunia dan memerhatikan lagi kalau-kalau gangguan draugr
masih berterusan.
Jika jasad tersebut sepadan dengan gangguan draugr
yang menimpa, mereka kemudiannya akan menyemadikan semula jasad tersebut
bersama barang-barang pengebumian yang lebih baik, kononnya kerana individu itu
berstatus tinggi semasa hidupnya. Dalam beberapa keadaan lain, mereka
menancapkan pancang kayu pada jasad tersebut dan kepalanya pula dipenggal bagi
tujuan membunuh makhluk draugr itu.
Saga-saga tempatan juga
dipenuhi dengan kisah orang hidup menerima ramalam dari orang yang telah mati,
si mati bernyanyi di tanah perkuburannya dan menghantui rumah yang dahulunya
mereka diami. Sepanjang milenium pertama sejarah Viking, tulang-tulang manusia
kadangkala ditanam di dalam rumah. Ada pula rangka bayi yang ditanam di dalam
ketuhar tanah dan tiang-tiang rumah. Amalan ini seakan-akan mengisyaratkan
signifikasi menanam jasad si mati di bawah bendul atau di lubang tempat
berdirinya tiang rumah mereka.
LELUHUR DAN LEGASI
VIKING
Zaman Viking
berlangsung agak singkat, namun pengaruh yang ditinggalkan olehnya pada
generasi mendatang sangat signifikan. Mereka banyak mempengaruhi bahasa
Inggeris, di mana perkataan-perkataan seperti ransack, window, market,
outlaw, husband dan honeymoon merupakan variasi dari bahasa ibunda
Viking. Mereka juga memperkenalkan daging ayam kepada orang Ireland yang
seterusnya menjadi makanan ruji mereka. Malahan, Viking turut membawa masuk
barangan yang diperoleh daripada Parsi, Byzantium dan Asia. Pada kurun-kurun
yang menyusuli sejarah mereka, pengaruh Scandinavia diabadikan di dalam karya sastera,
hasil seni, patung ukiran dan budaya pemakanan bangsa-bangsa bukan Scandinavia.
Menerusi pengetahuan
sains moden dan ujian penjejakan DNA yang semakin hari semakin maju, didapati
bahawa ramai penduduk UK dan Ireland mempunyai darah Viking, khususnya bagi
mereka yang mempunyai akhiran –‘son’ atau –‘sen’ dalam nama keluarga. Malahan,
warisan Viking terus mekar di layar perak apabila banyak siri TV yang
memaparkan sejarah mereka.
SUMBER
- Abram, C. (2011). Myths of the Pagan North: the Gods of the Norsemen. Continuum International Publishing Group: London, UK.
- Batey, C. et al. (1994). Cultural Atlas of the Viking World. Oxford Limited: Oxford, UK.
- DuBois, T.A. (1999). Nordic Religions in the Viking Age. University of Pennsylvania Press: Philadelphia, USA.
- Gilbert, E. et al. (2017). The Irish DNA Atlas: Revealing Fine-Scale Population Structure and History within Ireland. Scientific Reports.
- Hadley, D.M. & Richards, J.D. 2016. The Winter Camp of the Viking Great Army, AD 872-3. Torksey, Lincolnshire. The Antiquaries Journal.
- Hedenstierna-Jonson, C. et al. (2017). A female Viking warrior confirmed by genomics. American Journal of Physical Anthropology.
- Hem Eriksen, M. (2015). Commemorating Dwelling: The Death and Burial of Houses in Iron and Viking Age Scandinavia. European Journal of Archaeology.
- Hem Eriksen, M. (2017). Don’t all mothers love their children? Deposited infants as animate objects in the Scandinavian Iron Age. World Achaeology.
- Kellogg, R. (2001). The Sagas of Icelanders. Penguin Classics Deluxe: USA.
- Price, N. et al. (2019). Viking warrior women? Reassessing Birka chamber grave Bj. 581. Antiquity.
- Price Persson, C. (2015). The Viking age began in Denmark. ScienceNordic.
- Sturluson, S. (trans. L.M. Hollander) (2001). The Poetic Edda. University of Texas Press: Austin. USA.
- Tunstall, P. (trans). 2005. The Saga of Ragnar Lodbrok and His Sons.
- Get link
- X
- Other Apps