- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Miller. (21 April 2015). Taosi Confirmed as 4200-Year-Old Legendary
Capital of Chinese Hero Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/taosi-confirmed-4200-year-old-legendary-capital-chinese-hero-emperor-002934
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/taosi-confirmed-4200-year-old-legendary-capital-chinese-hero-emperor-002934
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Ahli-ahli arkeologi
China melaporkan bahawa mereka telah pun mengesahkan status ibu kota purba bagi
maharaja Yao Tangdi yang hidup pada 4200 tahun lalu. Maharaja ini disifatkan
sebagai pembawa keamanan buat “masyarakat sinar”. Bagi sebilangan pihak, Yao
dianggap sebagai figura mitos. Namun, kerajaan China sendiri menegaskan bahawa
pemerintah ulung ini benar-benar wujud dan bukan legenda semata. Tapak
arkeologi Taosi yang terletak di Shanxi, China, kini dikenal-pasti sebagai
sebuah ibu kota purba yang dikenali sebagai Pingyang.
“Lingkungan arkeologi
telah mencapai kata sepakat bahawa Taosi adalah ibu kota pada era pemerintahan
Yao,” ujar Wang Wei, ketua arkeologi Akademi Sains Sosial China (Chinese
Academy of Social Sciences). Kerja-kerja ekskavasi di sana telah pun
dimulakan sejak tahun 1978 lagi.
![]() |
| Taosi, kota purba yang ditubuhkan oleh Maharaja Yao Tangdi |
“Taosi merupakan
sebahagian daripada apa yang disebutkan oleh bahan-bahan sejarah sebagai
Pingyang, yakni ibu kota maharaja Yao,” kata He Nu, seorang pensyarah dari
akademi sama. “Era maharaja Yao, Shun dan Yu bukanlah legenda. Ia sejarah yang
benar-benar berlaku.”
Kuil dan makam Yao juga
terdapat di Taosi, yang juga dikenali sebagai Pingyang namun dinamakan pada
hari ini sebagai Kota Linfen.
Pemerintahan maharaja
Yao dicatatkan berlangsung terlalu harmoni hingga kononnya alam turut bersinar
cerah. Confucius memuji Yao secara berterus-terang, menyifatkan beliau sebagai
seorang budiman, penegak kebenaran dan dermawan. Britannica pula
menulis:
“Legenda menceritakan
bahawa sepanjang 70 tahun pemerintahan Yao, matahari dan bulan bersinar
bagaikan permata, lima buah planet bercahaya bagaikan lilitan mutiara,
burung-burung margasatua bersarang-semayam di perkarangan istana, mata air
kristal memancar dari bukit, rumput mutiara memenuhi wilayah pinggiran, hasil
tuaian padi berlimpah-ruah, dua ekor unikorn (yang menjadi simbol kemegahan)
muncul di ibu kota Pingyang, dan kekacang juga muncul lalu menghasilkan satu
lenggai pada setiap hari selama setengah bulan sebelum 15 lenggai layu satu
demi satu pada hari-hari berikutnya.”
![]() |
| Potret Maharaja Yao sebagaimana yang dibayangkan oleh pelukis Dinasti Song, Ma Lin |
Nama maharaja Yao juga
sering dikaitkan dengan penggantinya, Shun, yang merupakan seorang petani yang
diangkat oleh Yao sebagai maharaja sekaligus mengenepikan puteranya sendiri.
Yao turut mengahwinkan dua orang puterinya dengan Shun. Yao dan Shun
masing-masing dicatatkan dalam sejarah sebagai pemerintah yang budiman.
Fenomena alam yang menakjubkan juga kononnya berlaku pada era pemerintahan
Shun.
Seorang blogger
merangkap sejarahwan amatur dari Cloud Chronicler menyenaraikan tujuh
orang wira purba bagi masyarakat China, antaranya seperti Yao, Shun dan Yu. Dua
orang wira yang lebih awal ialah Fuxi yang mengajarkan masyarakat China cara
menternak haiwan dan mencipta lapan trigram bagi buku I Ching atau Kitab
Perubahan, serta Shen Nong atau Petani Kayangan yang mencipta bajak dan cangkul
serta mengajarkan manusia cara bercucuk tanam.
Selain itu, terdapat
pula dua orang maharaja yang mendahului Yao, Shun dan Yu. Salah seorangnya
ialah Huangdi atau Maharaja Kuning yang disifatkan oleh Cloud Chronicler
sebagai “pemerintah pengasas dan leluhur azali bagi masyarakat China”. Beliau
turut didakwa sebagai nenek-moyang kepada Yao. Pada eranya, berlaku huru-hara
di China sebelum Huangdi kemudiannya menghimpunkan pasukan tentera dan
menakluki raja-raja kecil sekaligus menguasai wilayah Sungai Kuning. Menurut
legenda, beliau bertanggungjawab mencipta tulisan, kapal, pedati, busur dan
panah, dan barang seramik, manakala isterinya pula menemukan kain sutera
pertama.
![]() |
| Murai dan Kelinci, dilukis oleh Cui Bai pada kurun ke-10M; menurut legenda, nenek-moyang Maharaja Yao bertanggungjawab menemukan kain sutera |
“Berkenaan pengganti
(Huangdi), iaitu Zhuan Xu, tidak banyak maklumat yang diperoleh melainkan
beliau menggagaskan institusi keluarga patriarki, melarang perkahwinan
saudara-rapat, dan mewariskan mantel pemerintahan kepada Yao,” tulis Cloud
Chronicler.
Sejarahwan China dari
zaman purba menyebutkan bahawa Yao hidup di Wilayah Hebei. Kemudian, beliau
berpindah ke selatan dan menubuhkan Pingyang atau Taosi sebagai ibu kota
pemerintahannya.
Xinhua,
agensi berita China, melaporkan bahawa ekskavasi-ekskavasi terkini mendapati
keluasan ibu kota Taosi mencecah 2.8 juta meter persegi (691 ekar) dan
mempunyai sistem pembahagian kawasan yang terancang rapi.
Blog Chinese
Archaeology pula menyebutkan bahawa ahli-ahli arkeologi yang bertugas di
Taosi menemui sebuah istana, balai pencerap dan kediaman golongan elit dan awam
serta kawasan perkuburan elit. Penemuan-penemuan di sana mendorong ilmuwan
untuk memperkenalkan nama Tamadun Taosi yang diletakkan tarikhnya sebagai 4300
hingga 3900 SM. Antara barangan lain yang turut ditemui adalah pinggan seramik
yang dihiasi lukisan naga, gendang seramik, gendang kulit buaya, kapak jed dan
batu, alatan upacara daripada kayu dan batu-batu peranggu.
- Get link
- X
- Other Apps



