- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
April Holloway. (7 Julai 2015). Wat Tilok Aram: The 500-Year-Old Underwater
Temple of Thailand. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/wat-tilok-aram-500-year-old-underwater-temple-thailand-003377
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/wat-tilok-aram-500-year-old-underwater-temple-thailand-003377
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Di dasar sebuah tasik
buatan di wilayah utara Thailand terdapat sebuah kuil berusia 500 tahun yang
dikenali sebagai Wat Tilok Aram. Sebuah prasasti mencatatkan bahawa Raja
Tilokkarad memerintahkan Chao San Hua si pentadbir Muang Phayao agar mendirikan
kuil tersebut pada 1476-1486 sebagai dedikasinya. Kuil ini berdiri megah selama
hampir lima kurun, sebelum sebuah projek pembinaan yang dijalankan pada tahun
1939 mengakibatkan kuil ini tenggelam bersama 10 buah tapak purba lain.
TASIK BUATAN PHAYAO
Kuil Wat Tilok Aram
tenggelam ke dasar Tasik Phayao (Kwan Phayao), sebuah tasik air segar yang
terbentang seluas 1980 hektar dan dikelilingi oleh ladang sawah di sebelah
barat dan selatannya. Tasik buatan ini dibina bagi mengairi kawasan pertanian di
situ. Semenjak ia dibina, tasik tersebut menjadi habitat ikan air segar yang
paling besar di wilayah utara Thailand. Tasik Phayao juga diperakui sebagai
salah satu tanah lembap terbesar di negara berkenaan. Namun malangnya, tasik
yang sama ini jugalah yang mengorbankan sejumlah tapak bersejarah penting,
termasuk Wat Tilok Aram.
![]() |
| Tasik Phayao, Thailand |
PEMERINTAHAN RAJA
TILOKARAT
Kuil Wat Tilok Aram
dipercayai dibina pada era pemerintahan Raja Tilokarat, iaitu raja ke-10 bagi
Dinasti Mengrai yang memerintah kerajaan Lanna, sebuah kerajaan yang berpusat
di bahagian utara Thailand moden dari kurun ke-13 hingga kurun ke-18 Masihi.
Raja Tilokarat bertanggungjawab membawa kerajaannya meniti ‘zaman keemasan’ dan
perluasan wilayah pada tahap kemuncak. Beliau juga melaksanakan sejumlah
pembinaan kuil dan rumah suci berskala besar.
Salah satu kuil binaan
Raja Tilokarat yang masih boleh dikunjungi pada hari ini ialah Wat Chet Yot,
sebuah kuil Buddha yang terletak di Chiang Mai.
![]() |
| Kuil Wat Chet Yot, Chiang Mai, Thailand |
WAT TILOK ARAM
Kuil Wat Tilok Aram
merupakan satu sumbangan Raja Tilokarat. Ia dibina pada tahun 1476 hingga tahun
1488. Kuil ini dahulunya berdiri di tebing Sungai Ing, sebelum ia tenggelam
akibat projek pembinaan tasik pada tahun 1939. Kuil ini dipercayai selebar 15
meter (49 kaki) dan 35 meter (115 kaki) panjang. Pun begitu, perincian tentang
ciri binaan dan keadaannya di masa kini tidak diketahui.
Pada hari ini, terdapat
sebuah platform terapung serta sebuah patung Buddha berdiri tepat di atas tapak
Wat Tilok Aram. Pada setiap hari ke-3, ke-6 dan ke-8 bagi kalendar lunar,
sebuah perarakan lilin akan dilangsungkan di Tasik Phayao menjelang waktu
senja. Kebiasaannya, mereka akan membawa bunga-bungaan, setanggi dan lilin
dalam upacara berkenaan.
![]() |
| Platform yang didirikan di atas tapak Wat Tilok Aram |
BUDDHA DI ATAS TASIK
Terdapat sebuah legenda
tempatan yang memerihalkan tentang asal-usul patung Buddha yang kini berdiri di
atas platform terapung itu:
“Pada suatu masa
dahulu, terdapat seseorang sedang menangkap ikan di tasik dan hujan lebat
tiba-tiba sahaja mencurah. Lantaran takutkan hujan, maka dia pun mencari tempat
berlindung di bawah sebatang pokok besar. Namun, tiupan angin terlampau kencang
sehingga menumbangkan pokok tersebut. Dia sempat menyedari kelibat kepala
patung Buddha (di atas permukaan tasik). Lalu, dia pun menceritakan perkara itu
kepada penduduk kampung dan sebuah upacara menyeru Buddha lantas diadakan.
Upacara tersebut berlanjutan selama 7 hari sebelum patung Buddha akhirnya dapat
dikeluarkan dari tasik.”
Patung Buddha ini sudah
pun berada di dasar tasik selama 300 tahun, namun bahagian wajahnya masih
terpelihara dan tidak rosak. Pada suatu malam, seorang pegawai kerajaan
bermimpi didatangi patung itu yang menyatakan hasrat mahu kembali ke tasik
tempat ia berasal. Justeru, patung itu pun dibawa kembali ke tengah tasik.”
(Yin Teing)
![]() |
| Patung Buddha di Tasik Phayao |
USAHA MENAIKKAN WAT
TILOK ARAM
Sepanjang lima tahun
kebelakangan, perancangan demi perancangan diusulkan demi menaikkan semula kuil
Wat Tilok Aram dari dasar tasik. Ada yang mengusulkan supaya dibina sebuah
struktur bertembok di sekeliling kuil itu, lalu air tasik disusut supaya usaha
pembaikpulihan dapat dilakukan. Dengan demikian, kuil tersebut dapat dijadikan
sebagai tarikan pelancong di negara berkenaan.
Namun, usul ini
menerima sejumlah bantahan. Pengarah-urusan Jabatan Seni Halus, Arak Singhitkul
tidak bersetuju dengan usul tersebut. Menurutnya, tindakan menyusutkan air
tasik akan mengakibatkan hakisan teruk pada batu-batu kuil sekaligus
menambahkan lagi kerja-kerja pembaikpulihan yang perlu dilakukan.
Menteri Kebudayaan,
Khunying-Khaisri Sriaroon juga tidak bersetuju dengan usulan tersebut. Katanya,
menyusutkan Tasik Phayao akan memberi impak kepada masyarakat tempatan yang
banyak bergantung harap pada sektor perikanan sebagai mata pencarian. Di
samping itu, ia juga bakal mengancam ekosistem Tasik Phayao.
Jika kerja-kerja
pembaikpulihan ini dapat dilakukan dalam keadaan yang tidak terlalu memberi
impak kepada alam sekitar, maka hasrat untuk menaikkan semula Wat Tilok Aram
dari dasar lain sentiasa dialu-alukan supaya kuil purba itu dapat kembali
berdiri megah seperti dahulukala.
SUMBER
- Kwan Phayao (Phayao Lake). Tourism Authority of Thailand (TAT).
- Wat Tilok Aram. Visit Phayao.
- Oldest Underwater Temple in Kwan Phayao. Yin Teing.
- Ministry officials pour water on temple project. The Nation.
- Bt1-billion bid to restore 500-year-old temple runs into legal wall. The Nation.
- Kwan Phayao – Phayao lake. Northern Thailand.
- Wat Tiloke Aram. Encyclopedia Thai.
- Get link
- X
- Other Apps






