- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (23 Mac 2018). Cecil Chubb: The Man Who Bought Stonehenge. Ancient
Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/cecil-chubb-man-bought-stonehenge-009790
Penterjemah: Amir Zayyanid
Tanpa dapat dinafikan,
Stonehenge merupakan monumen prasejarah yang paling masyhur di England dan
bahkan mungkin di dunia. Pada hari ini, monumen purba ini berada di bawah
jagaan English Heritage, sebuah badan kebajikan berdaftar yang
menguruskan lebih 400 buah bangunan, monumen dan tapak bersejarah England.
Dahulu, keadaannya tidaklah sebegitu kerana sebelum ini Stonehenge berada dalam
pemilikan peribadi. Keadaan tersebut berubah apabila Sir Cecil Herbert Edward
Chubb membeli Stonehenge dan kemudian menyerahkannya kepada pemilikan awam.
Berikutan tindakan tersebut, Chubb dikurniakan gelaran 1st Baronet of
Stonehenge.
![]() |
| Sir Cecil Chubb pada Mei 1926 bergambar di atas RMS Aquitania |
Cecil Chubb dilahirkan
pada tahun 1876 di kampung Shrewton, tidak jauh dari Stonehenge. Ayah beliau
merupakan seorang penghasil pelana dan abah-abah di kampung itu. Bermula
daripada latar belakang keluarga yang sederhana, Chubb membawa diri mendaki
tangga sosial dan kemudian menjadi seorang peguam.
Pada waktu yang sama
itu jua, Stonehenge dimiliki oleh keluarga Antrobus sejak awal 1800an lagi.
Pada bulan-bulan pertama Perang Dunia Pertama, waris kepada wangsa Antrobus
terbunuh di Belgium. Memasuki tahun 1915 pula, Sir Edmund Antrobus yang
merupakan Baron Ke-4 merangkap seorang kolonel dalam pasukan Coldstream Guard
turut meninggal dunia. Memandangkan beliau tidak mempunyai zuriat lelaki, statu
baron diserahkan kepada adiknya. Baron baru ini seterusnya memasukkan hampir
kesemua estet Amesbury Abbey di Wiltshire milik keluarga ke dalam pasaran untuk
dijual, sama ada secara sepenuhnya mahupun mengikut lot. Salah satu lot yang
cuba dijual ialah Stonehenge yang turut merangkumi sebidang tanah yang
berkeluasan 30 ekar.
![]() |
| Pada tahun 1915, Stonehenge boleh menjadi milik anda dengan harga kurang dari $10 000 sahaja |
Pada tanggal 21
September 1915, acara lelongan diadakan di New Theatre, Salisbury. Dalam
katalog lelongan, Stonehenge dilabel sebagai ‘Lot 15’ dan diperincikan sebagai
sebuah ‘tempat keramat yang didedikasikan kepada pencerapan matahari’. Bidaan
terhadap Lot 15 bermula pada harga £5000 dan meningkat pantas kepada £6000 lalu bidaan dihentikan. Namun
kemudian, Lot 15 pada akhirnya dijual pada harga £6600 ($10 000, pada hari ini
jumlah tersebut dianggarkan bernilai £680 000 atau $962 000). Individu yang
membeli lot berkenaan tidak lain dan tidak bukan adalah Cecil Chubb, yang pada
waktu itu sudah pun mengumpulkan harta kekayaan melalui kariernya.
Menurut legenda
masyhur, Cecil Chubb dihantar oleh isterinya, Mary Chubb ke rumah bidaan itu
untuk membeli satu set langsir. Menurut beberapa catatan lain, barang yang mahu
dibeli oleh Cecil Chubb sebenarnya adalah kerusi. Walau apapun jua keadaannya,
Cecil membeli Stonehenge sebagai hadiah ulang tahun kelahiran isterinya. Cuma
malangnya, Mary tidak begitu menggemari hadiah suaminya itu. Selain didorong
oleh rasa cinta terhadap isterinya, Cecil juga dikatakan membeli Stonehenge
atas dasar semangat kenegaraan. Kononnya, beliau membeli monumen bersejarah itu
untuk mengelakkannya dari jatuh ke tangan si kaya Amerika yang dicanang-canang
sudah lama berhasrat mahu memiliki barangan antik di seantero.
![]() |
| Cecil dan Mary Chubb, pemilik Stonehenge terakhir |
Memasuki tanggal 26
Oktober 1918, iaitu sekitar dua minggu sebelum tamatnya Perang Dunia Pertama,
Cecil menghadiahkan monumen purba itu kepada pemilikan umum. Walau
bagaimanapun, terdapat dua syarat yang mengiringi sumbangan berkenaan. Syarat
pertama adalah warga setempat perlu diberi keizinan untuk memasuki tapak
tersebut secara percuma. Syarat kedua pula, yuran kemasukan yang dikenakan
hendaklah tidak melebihi satu syiling bagi setiap kunjungan. Pada hari ini,
warga setempat masih boleh memasuki tapak itu secara percuma, walaupun harga
tiket untuk orang dewasa hakikatnya mencecah £17.50 ($25).
![]() |
| Stonehenge, Dataran Salisbury UK, circa 1920 |
Kedermawanan Cecil ini
meraihkannya gelaran 1st Baronet of Stonehenge setahun kemudian. Satu . pingat
penghargaan berbentuk trilithon ditempa khas buat Cecil. Begitu juga dengan
motto ‘Saxis Condita’ (bermaksud ‘ditubuhkan di atas batu’). Kedua-duanya itu
merujuk kepada Stonehenge. Selepas Cecil meninggal dunia pada tahun 1934,
gelaran beliau diwarisi oleh anaknya, Sir John Cecil. Namun, Baronet ke-2 itu
meninggal dunia pada tahun 1957 tanpa meninggalkan pewaris sekaligus menamatkan
jalur gelaran baron tersebut.
SUMBER
- Anderson, J. 2015. The Man Who Bought His Wife Stonehenge.
- Elwes, A. 2018. Celebrating 100 years since Cecil Chubb donated Stonehenge to the nation.
- English Heritage. 2018. History of Stonehenge.
- English Heritage. 2018. Stonehenge.
- Fessenden, M. 2015. A Man Once Bought Stonehenge for his Wife, and She was not Pleased.
- Morris, S. 2015. Stonehenge under the hammer: stones sold 100 years ago for £6.600.
- Parkinson, J. 2015. The man who bought Stonehenge – and then gave it away.
- Get link
- X
- Other Apps




