- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Julai 2020). Chichen Itza: Ancient Maya City Built Above A
Gateway to the Underworld. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-americas/chichen-itza-0013932
Penterjemah: Amir Zayyanid
Chichen Itza adalah sebuah kota Maya purba yang terletak di bahagian utara Semenanjung Yucatan, Mexico. Diperkirakan bahawa kota ini ditubuhkan sekitar kurun ke-6 Masihi. Namun, namanya hanya mula mencapai puncak persada pada beberapa kurun kemudian. Pada fasa awal era pasca-klasik Maya yang berlangsung sekitar kurun ke-10 hingga kurun ke-13M, Chichen Itza mendominasi Semenanjung Yucatan.
Kegemilangan
kota berkenaan dapat dilihat menerusi monumen-monumen agung yang dibina oleh
para pemerintahnya. Sewaktu ketibaan penjajah Sepanyol pada kurun ke-16,
sebahagian besar Chichen Itza sudah pun ditinggalkan. Bermula pada kurun ke-19,
tapak ini diteroka dan diekskavasi oleh ahli-ahli arkeologi. Selain menjadi
tapak arkeologi yang agak aktif, Chichen Itza juga menempa nama sebagai salah
sebuah destinasi pelancongan terkemuka di Mexico.
ASAL-USUL NAMA CHICHEN
ITZA
Nama Chichen Itza
datang daripada kombina tiga perkataan Maya. Chi membawa maksud ‘mulut’
atau ‘muncung’. Chen bermaksud ‘perigi’ dan Itza pula adalah nama kumpulan
etnik Maya yang menetap di tapak berkenaan. Oleh kerana itu, nama kota purba
tersebut bolehlah dimengertikan sebagai ‘mulut perigi warga Itza’. Perkataan
Itza juga boleh diterjemahkan sebagai ‘ahli-ahli magis air’. Hal ini kerana
Itza itu sendiri merupakan gabungan perkataan itz yang bermaksud magis
dan a yang bermaksud air.
Chichen Itza ditubuhkan
pada kurun ke-6 Masihi oleh masyarakat Maya yang mendiami Semenanjung Yucatan
sejak zaman pasca-klasik (1500SM hingga 300M). Dijumpai bukti bahawa pada kurun
ke-10 Masihi, kota tersebut diserang oleh orang luar. Sekitar masa yang sama
itu jugalah kota-kota Maya di selatan ikut tumbang. Walau bagaimanapun,
identiti penyerang tersebut tidak dapat dipastikan. Sebahagian sejarahwan
menuding pada Itza. Ada pula yang menyebutkan bahawa masyarakat Maya yang
terpengaruh dengan Toltec dari Mexico Tengah yang bertanggungjawab ke atas
serangan-serangan itu. Bahkan ada juga yang menamakan Toltec itu sendiri.
![]() |
| Relif pada Gelanggang Bola Besar di Chichen Itza menunjukkan upacara korban dengan pemenggalan kepala |
Cuma apa yang
menariknya, di dalam Kitab Chilam Balam (‘Chilam Balam’ membawa maksud
‘Rahsia-Rahsia Ahli Nujum’) disebutkan bahawa sebelum ketibaan Itza, kota
Chichen Itza dikenali dengan nama lain. Namun, lantaran tiada ortografi piawai
tunggal bagi Yucatec Maya, maka nama asal bagi kota itu disebutkan dengan
bermacam variasi seperti Uuc Yabnal, Uuc Habnal, Uuc Hab Nal, atau Uc Abnal. Uuc
atau Uc membawa maksud ‘tujuh’, manakala yab dan ab masing-masing
boleh diertikan sebagai ‘banyak’ dan ‘sejenis buah’.
CENOTE KERAMAT: LUBANG
BENAM RITUAL MENJADI GUDANG KHAZANAH ARKEOLOGI
Salah satu faktor yang
mendorong kepada penubuhan petempatan di Chichen Itza adalah kewujudan beberapa
buah cenote di sana. Cenote merupakan lubang benam semula yang berfungsi
sebagai sumber air. Memandangkan di wilayah utara Yucatan agak gersang dan
kawasan pedalamannya pula tidak banyak sungai, cenote memainkan peranan penting
dalam kelangsungan hidup masyarakat yang menetap di sana. Cenote yang paling
masyhur di Chichen Itza adalah Cenote Sagrada atau Cenote Keramat, yang
terbentuk akibat runtuhan gua di batu kapur.
![]() |
| Cenote Keramat dianggap sebagai salah sebuah simpanan khazanah terbesar di benua Amerika |
Sebagaimana yang dapat
kita lihat pada namanya, Cenote Keramat bukan sekadar membekalkan air, tetapi
ia juga mempunyai signifikasi dari sudut ritual. Menurut sumber-sumber bertulis
pada era Sepanyol, masyarakat Maya menyimpan barangan mewah dan mengorbankan
manusia di cenote sebagai cara memuja Chaac si dewa hujan Maya. Seiring
peredaran masa, perkara ini berjaya dibuktikan oleh para penyelidik apabila
banyak barangan mewah ditemui di dasar cenote. Sebagai maklumat tambahan,
Cenote Keramat dianggap sebagai salah sebuah simpanan harta karun paling besar
di benua Amerika pada era pra-Columbia.
Memasuki kurun ke-20,
cenote berkenaan mula diselidiki secara giat oleh ahli-ahli arkeologi. Misalnya
pada tempoh antara 1904 dan 1910, sebuah projek pengorekan yang agak
kontroversi di jalankan oleh ahli arkeologi dari Amerika, Edward Herbert
Thompson. Projek ini berjaya menemukan sejumlah besar artifak, termasuklah
tembikar, barangan emas, dan barangan jed. Selain itu, rangka manusia yang
mempunyai kesan korban ritual turut ditemui.
MENELUSURI SEJARAH KOTA
MENERUSI SENI BINA
Sebagaimana yang
disebut sebelum ini, Chichen Itza ditubuhkan pada kurun ke-6 Masihi namun
kemudiannya dikuasi oleh orang asing. Kesan perubahan penghuni kota ini tampak
secara fizikal pada struktur-struktur yang kekal hingga kini. Sebelum
kedatangan Itza, warga Chichen Itza membina bangunan-bangunan mereka dalam
suatu ciri seni bina yang dikenali sebagai Puuc. Gaya ini dinamakan bersempena
Perbukitan Puuc yang terletak di barat daya Chichen Itza dan beberapa cirinya
dapat dilihat dengan ketara. Sebagai contoh, bangunan-bangunan Puuc lazimnya
menghadap ke arah dataran kota dan berkelompok dalam paksi utara-selatan.
Selain itu, bangunan-bangunan Puuc dapat dicirikan menerusi terasnya yang
dibuat daripada batu dan plaster, lalu dilitupi oleh batu-batu yang ditempa
rapi.
![]() |
| Pemandangan udara Chichen Itza, tapak Warisan Dunia UNESCO |
Bangunan-bangunan di Chichen Itza yang dibina dengan gaya Puuc terletak di bahagian selatan plaza utama, tepatnya di kawasan yang kini dikenali sebagai Chichen Viejo (Chichen Lama). Struktur-struktur di Chichen Lama diandaikan sebagai yang tertua di tapak berkenaan. Antaranya seperti el Caracol, la Iglesia, dan Akabtzib. El Caracol yang bermaksud ‘siput’ meraih nama bersempena tangga batu berpusar yang ada di dalamnya. Struktur tersebut turut terdiri daripada bangunan bulat (yang menempatkan tangga itu tadi) pada platform berbentuk petak dan ia berfungsi sebagai balai cerap.
La Iglesia pula membawa maksud gereja dan ia merupakan
sebuah kuil kecil yang dihiasi dengan topeng-topeng Chaac. Sementara itu,
Akabtzib atau ‘Rumah Tulisan Gelap’ adalah kediaman pentadbir kota. Nama
Akabtzib diambil daripada ukiran glif yang ditemui di salah sebuah pintu yang
terdapat di struktur berkenaan. Pada masa dahulu, bangunan itu dikenali sebagai
‘Rumah Rata dengan Bilik-Bilik Yang Banyak’.
KUIL KUKULCAN: PIRAMID
BERTINGKAT MESOAMERIKA DI TENGAH-TENGAH CHICHEN ITZA
Walau bagaimanapun, monumen-monumen masyhur di Chichen Itza hanya dibina pada era ketibaan penjajah asing. Antaranya termasuklah El Castillo, Gelanggang Bola Besar, dan Kuil Pahlawan. El Castillo yang membawa maksud ‘istana’ tanpa dapat dinafikan merupakan monumen yang paling menonjol di Chichen Itza. Struktur yang turut dikenali sebagai Kuil Kukulcan ini terletak di tengah-tengah kota. Mercu kuil ini diperikan lagi apabila ia menjadi struktur paling tinggi di Chichen Itza.
Struktur piramid ini sendiri memiliki ketinggian mencecah 24m (78.7 kaki),
manakala kuil yang terletak di puncak platformnya pula mempunyai ukuran tinggi
6m (19.7 kaki). Maka, monumen ini secara keseluruhan memiliki ketinggian 30m
(98 kaki). Lebih daripada itu, Kuil Kukulcan juga merupakan kuil terbesar di
Chichen Itza, dengan setiap sisi tapaknya berukuran 53.3m (174.9 kaki).
![]() |
| El Castillo, atau dikenali sebagai Kuil Kukulcan, di tengah-tengah kota Chichen Itza |
Kuil Kukulcan bukan hanya megah dari segi saiznya, tetapi juga kegeniusan matematik dalam seni binanya. Menurut legenda, Kukulcan (Quetzalcoatl versi Maya) akan mengunjungi kuil berkenaan sebanyak dua kali dalam setahun, tepatnya swaktu malam dan siang seimbang. Dewa tersebut kemudian akan menghadap para pengikutnya, memberi kurnia kepada mereka, dan terus membawa diri ke wadah mandian keramat. Usai mandi di sana, Kukulcan akan melanjutkan perjalanan ke Alam Kematian. Kuil Kukulan memang dibina dalam keadaan supaya apabila ekuinoks menjelma, mereka yang mengunjungi kuil akan dihidangkan dengan panorama cahaya dan bayang-bayang yang mengagumkan.
Pada hari-hari tertentu, tujuh bayang piramid akan muncul
bersebelahan anak tangga, bermula di bahagian atas lalu menurun ke bawah menuju
ke batu gergasi Kukulcan selama lima jam. Kemudian, bahagian puncak dan dasar
piramid seolah-olah terhubung dek bayang-bayang selama 45 minit, sebelum bayang
itu tadi menurun dan hilang secara perlahan-lahan. Bagi masyarakat Maya purba,
fenomena ini merupakan bukti yang mengesahkan legenda berkenaan. Tambah
menarik, pada era moden, fenomena ini dicipta semula pada setiap malam
sekaligus para pelancong tidak lagi perlu menunggu ekuinoks untuk
menyaksikannya.
GELANGGANG BOLA DAN
KUIL SERIBU PAHLAWAN
Di bahagian barat laut
Kuil Kukulcan, terletak suatu monumen yang dikenali sebagai Gelanggang Bola
Utama. Walaupun di Chichen Itza sahaja sudah ditemukan sebanyak tujuh buah
gelanggang bola, gelanggang bola yang satu ini dianggap sebagai gelanggang yang
paling mengagumkan. Ia memiliki ukuran 166m (544.6 kaki) kali 68m (223.1 kaki),
secara efektif menjadikannya gelanggang bola yang paling besar di Mesoamerika.
Tembok gelanggang ini berukuran 12m (39.4 kaki) tinggi dan di atasnya terdapat
gelung yang diiringi oleh ular berkembar. Tembok tersebut juga dihiasi dengan
relif-relif patung. Salah satu relif yang ada menggambarkan pemenang perlawanan
bola sedang memegang kepala milik salah seorang ahli pasukan yang kalah yang
telah dipenggal.
![]() |
| Gelanggang Bola Besar di Chichen Itza |
Berkenaan Kuil Seribu
Pahlawan pula, ia merupakan sebuah piramid bertingkat yang besar dan dilengkapi
dengan tiang-tiang berukiran pahlawan. Tiang-tiang tersebut terletak di hadapan
dan sisi kuil. Persamaan seni bina yang agak ketara di antara kuil ini dan Kuil
B di Tula, ibu kota Toltec, mencetuskan andaian bahawa berlakunya interaksi
budaya antara kedua-dua kota tersebut.
KEJATUHAN CHICHEN ITZA
DAN KEDATANGAN SEPANYOL
Sejarahwan meyakini
bahawa Chichen Itza mendominasi Semenanjung Yucatan pada kurun ke-19 hingga
kurun ke-13M. Menurut sumber-sumber bertulis, suatu pemberontakan dan perang
saudara meletus di Chichen Itza pada tahun 1221 sekaligus membawa kepada
kejatuhannya. Dakwaan ini diperkuatkan lagi oleh bukti arkeologi, apabila
didapati bahawa bumbung kayu Kuil Pahlawan dan Pasar Besar terbakar sekitar masa
itu. Namun pada tahun kebelakangan, ahli-ahli arkeologi berpendapat bahawa
Chichen Itza mengalami kejatuhan sekitar kurun ke-11, yakni 200 tahun lebih
awal berbanding tarikh yang diperkirakan sebelumnya.
Sesudah mengalami
kejatuhan, kedudukan Chichen Itza sebagai kuasa dominan di Semenanjung Yucatan
diambil-alih oleh Mayapan, jirannya di barat. Selama beberapa tempoh, Chichen
Itza bergabung dengan Mayapan dan Uxmal untuk menubuhkan sebuah konfederasi
politik yang dikenali sebagai Liga Mayapan. Liga ini berakhirsekitar tahun
1450, turut lenyap bersama dominasi Mayapan. Sekitar kurun ke-16, Sepanyol tiba
di Semenanjung Yucatan dan memulakan kempen penaklukan mereka ke atas Maya.
Chichen Itza dikuasai oleh Francisco de Montejo pada tahun 1531. Walaupun pada
mulanya de Montejo berhasrat mahu menjadikan Chichen Itza sebagai ibu kota
Yucatan-Sepanyol, niatnya itu tidak kesampaian lantaran Sepanyol diusir dek
pemberontakan Maya beberapa bulan kemudian.
![]() |
| Cuplikan halaman buku Incidents of Travel in Yucutan oleh John Lloyd Stephens |
RUNTUHAN MAYA MENGGAMIT
PERHATIAN DUNIA
Apapun, di saat
ketibaan Montejo, sebahagian besar Chichen Itza sememangnya sudah pun
ditinggalkan, di mana para penghuninya berpindah ke bandar-bandar yang lebih
kecil. Keadaan sedemikian berterusan hingga ke kurun-kurun berikutnya, dan kota
itu secara bertahap tetapi pasti diselimuti oleh belantara. Walaupun Chichen
Itza kekal sebagai tempat keramat buat Maya, ia perlahan-perlahan lenyap dari
ingatan dunia. Walau bagaimanapun, kota purba itu berdikit-dikit memasuki
memori sejarah pada kurun ke-19. Tepat pada tahun 1843, Incidents of Travel
in Yucatan diterbitkan oleh seorang peneroka Amerika, John Lloyd Stephens;
memerihalkan tentang pengembaraannya di Semenanjung Yucatan. Susulan daripada
itu, ramai peneroka mula berbondong-bondong mengunjungi Chichen Itza.
Pada dekad-dekad yang
menyusul, sejumlah ekskavasi arkeologi dijalankan di tapak berkenaan. Hasil
penyelidikan ini berjaya memetakan semula runtuhan tapak tersebut dan beberapa
buah monumen berjaya dipulihkan. Kerja-kerja ekskavasi di tapak berkenaan juga
memberikan kefahaman yang lebih lanjut tentang Chichen Itza. Sehingga kini,
ahli-ahli arkeologi terus membanting tulang di Chichen Itza demi memburu penemuan-penemuan
baru. Pada tahun 2019 sebagai misal, mereka berusaha mencari perigi keramat
yang kononnya terletak di bawah kota. Namun, di kala Balamku atau sistem gua
‘Dewa Harimau Kumbang’ yang dicari, lain pula yang mereka temui. Iaitulah makam
yang menyimpan 150 buah barangan ritual.
Chichen Itza berkembang
menjadi sebuah tarikan pelancong yang amat masyhur. Buku karangan Stephens
bukan hanya menggamit minat ahli-ahli arkeologi untuk meneroka tapak berkenaan,
namun jua para pelancong dari segenap pelusuk dunia. Misalnya pada 1920an,
badan pelancongan rasmi Yucatan yang pertama mula ditubuhkan. Pada tahun-tahun
kebelakangan pula, dianggarkan sehingga dua juta orang pelancong mengunjungi
Chichen Itza secara tahunan, sekaligus menjadikannya salah sebuah tapak
arkeologi yang paling kerap dikunjungi di Mexico. Tambahan lagi, Chichen Itza
sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Pada tahun 2007, ia
dicalonkan sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Dunia Baru dalam sebuah
tinjauan yang melibatkan lebih 100 juta orang responden.
SUMBER
- Doyle, J. 2018. Into the Centipede’s Jaws: Sumptuous Offerings from the Sacred Cenote at Chichen Itza.
- History on the Net. 2020. The Mayan Post-Classic Era.
- History. 2018. Chichen Itza.
- ISBER/MesoAmerican Research Center. 2020. Posclassic Period.
- Jarus, O. 2012. Chichen Itza: Maya Temples in the Yucatan.
- Morlet, A.V. 2020. Puuc Style.
- National Geographic. 2010. Chichen Itza.
- New World Encyclopedia 2017. Chichen Itza.
- Steffens, G. 2019. Maya ritual cave ‘untouched’ for 1000 years stuns archaeologists.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Books of Chilam Balam.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2020. Chichen Itza.
- UNESCO. 2020. Pre-Hispanic City of Chichen-Itza.
- Webpages.Uidaho.edu. 2020. Puuc Style.
- Get link
- X
- Other Apps






