- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (12 Mac 2019). Orbelian’s Caravanserai: A Lasting Sanctuary for
Travelers Along the Silk Road. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/orbelians-caravanserai-0011607
Penterjemah: Amir Zayyanid
Karavanserai Orbelian
(sebelum ini dikenali sebagai Karavanserai Selim) merupakan sebuah karavanserai
yang terletak di Vayots Dzor, sebuah wilayah di tenggara Armenia. Menurut
sebuah inskripsi berbahasa Armenia, karavanserai ini dibangunkan pada kurun
ke-14 Masihi oleh seorang putera dari wangsa Orbelian. Seiring peredaran masa,
karavanserai ini tidak lagi digunakan sekali gus ia ditinggalkan secara
bertahap. Pada kurun ke-20, usaha-usaha pembaikpulihan mula dijalankan ke atas
bahagian-bahagian struktur yang rosak dan monumen bersejarah ini dianggap sebagai
karavanserai paling terpelihara di negara berkenaan.
LOKASI KARAVANSERAI
ORBELIAN
Fungsi utama sebuah
karavanserai adalah untuk memberikan tempat teduhan buat manusia, haiwan, dan
barang dagangan. Karavanserai Orbelian terletak di sebelah selatan Laluan
Pergunungan Vardenyats yang berdiri setinggi 2410 meter (7906 kaki) dari paras
laut. Laluan pergunungan ini dahulunya dipanggil sebagai Laluan Pergunungan
Selim, namun diubah namanya pada tahun 2014 oleh Edgar Ghazarian, gabenor
Vayots Dzor.
![]() |
| Lanskap gunung dan laluannya yang mencabar. Pemandangan dari puncak Vardenyats |
Pengubahan nama ini
dilakukan kerana Selim dikatakan sebagai “seorang gasar dari tanah asing… terkenal dengan kekejaman dan kehancuran yang
lazim dilakukannya,” justeru gabenor enggan kawasan tersebut dikaitkan dengan
figura sejarah itu. Pada masa yang sama, nama karavanserai diubah daripada
Karavanserai Selim kepada Karavanserai Orbelian. Apapun, sebagai maklumat
tambahan, laluan pergunungan ini membawa kepada Pergunungan Vardenis dan
menerusi laluan inilah seseorang dapat mengakses Tasik Sevan, salah sebuah
tasik air tawar yang paling besar di Eurasia.
![]() |
| Karavanserai Orbelian yang dahulunya dipanggil sebagai Karavanserai Selim – rumah tumpangan di puncak laluan pergunungan Vardenyats |
SEJARAH PEMBINAAN
KARAVANSERAI ORBELIAN
Sebuah inskripsi
berbahasa Armenia yang terdapat di bahagian timur tembok, betul-betul di
sebalik gerbang masuk, menyatakan bahawa karavanserai ini dibina oleh wangsa
Orbelian, atau secara khusus, Putera Chesar, isterinya Khorishah, dan
adik-beradiknya, iaitu Smbat dan Elikom pada tahun 1332 Masihi. Inskripsi turut
menyatakan bahawa karavanserai itu dibina “dengan dana kami sendiri bagi
menyelamatkan jiwa kami dan jiwa ibu bapa serta adik-beradik kami yang kekal
dalam Kristian. Begitu juga dengan saudara serta anak kami, Sargis, Hovhannnes
si paderi, Kurd, dan Vardan.” Kandungan inskripsi ini malah turut meminta
orang-orang yang lalu-lalang di hadapan karavanserai ini supaya mengingati
mereka sebagai penganut Kristian.
![]() |
| Karavanserai Orbelian, inskripsi berbahasa Armenia yang ditemui di bahagian timur tembok |
Walaupun Putera Chesar
dan keluarganya menjayakan projek ini dengan tujuan untuk memelihara tuntuan
kerohanian masing-masing, mereka juga tidak luput daripada melengkapkan
karavanserai dengan keperluan materi buat sesiapa yang berhenti dan berteduh di
situ. Pada Zaman Pertengahan, Armenia merupakan sebahagian daripada Empayar
Monggol. Inskripsi yang terdapat di karavanserai ini menyatakan bahawa pada
masa pembinaannya, kawasan tersebut diperintah oleh Busaid Khan dari Ilkhanate.
Sebagai sebahagian daripada Empayar Monggol, Armenia secara efektif berfungsi
sebagai antara titik henti dalam Laluan Sutera. Justeru, seperti
kawasan-kawasan lain yang turut menganggotai rangkaian perdagangan ini,
sejumlah karavanserai dibina di negara berkenaan.
![]() |
| Di atas lintel terdapat dua relif; haiwan bersayap di kiri dan kerbau di kanan |
Kebanyakan karavanserai
yang dibangunkan itu dicirikan oleh tembok berbentuk petak atau segi empat
tepat, dengan sebuah pintu yang cukup lebar untuk membolehkan haiwan
memasukinya. Begitu juga sebuah perkarangan terbuka. Di bahagian dalam
karavanserai, terdapat sejumlah ruang yang disediakan untuk menempatkan para
pengembara, haiwan, dan barang dagangan.
![]() |
| Karavanserai ini dibina pada 1332 oleh Chesar Orbelian dan dahulunya merupakan sebahagian dari Laluan Sutera |
Sama seperti
karavanserai-karavanserai yang lain, Karavanserai Orbelian hanya mempunyai
sebuah pintu masuk. Namun, struktur ini dilengkapi dengan sebuah dewan besar
dan dewan itu dibahagikan kepada tiga lorong oleh dua deretan tiang; empat
belas tiang secara keseluruhan. Ruangan yang dikhususkan untuk haiwan ini
berbumbung dan terdapat lubang-lubang kecil pada bumbung tersebut bagi membenarkan
udara dan cahaya masuk. Pada penghujung timur dewan ini terdapat sebuah biara
yang sejak sekian lama telah runtuh. Di bahagian barat pula terdapat
bilik-bilik kecil untuk dihuni oleh para pengembara.
SENI UKIRAN PADA
KARAVANSERAI ORBELIAN
Walaupun Karavanserai
Orbelian tidaklah begitu mewah, ia memiliki beberapa ukiran yang menggamit
perhatian. Misalnya pada pintu masuk, terdapat ukiran indah di sekliling lintel
separa-bulat. Di atas lintel itu pula terdapat dua relif; haiwan bersayap di
sebelah kiri dan kerbau di sebelah kanan. Selain itu, lubang-lubang yang
terdapat pada bumbung juga diperhias dengan seni ukiran yang unik.
![]() |
| Haiwan bersayap di sebelah kiri pintu masuk Karavanserai Orbelian |
Sebagai susulan
daripada aktiviti perdagangan yang semakin berkurangan akibat merudumnya
penggunaan Laluan Sutera, Karavanserai Orbelian tidak lagi memainkan fungsinya
sebagai pusat hentian justeru ia tidak lagi digunakan. Kerja-kerja
pembaikpulihan karavanserai ini hanya dilakukan pada kurun ke-20, tepatnya
antara 1956 dan 1959. Semenjak itu, tapak ini dijadikan sebagai destinasi
pelancongan.
SUMBER
- Armenian Monuments Awareness Project. 2011. Silk Road 7: Selim Pass / Caravanserai.
- Bradt Travel Guides. 2014. Selim Caravanserai.
- El Travel Club. 2015. Orbelian’s Caravanserai.
- Sindbad Armenia Voyages. 2019. Selim Caravanserai.
- Armeniapedia. 2019. Selim Caravanserai.
- Aysor. 2014. Vayots Dzor governor: Selim mountain pass was renamed.
- Considerat Caravanserai. 2018. What is a Caravanserai?
- Dangerous Roads. 2019. Vardenyats Pass.
- Get link
- X
- Other Apps






