- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (5 Januari 2016). A Forgotten Empire: The Ancient Kingdom of
Mitanni. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/forgotten-empire-ancient-kingdom-mitanni-005103
Penterjemah: Amir Zayyanid
Mitanni merupakan sebuah empayar yang wujud pada kurun ke-16 hingga kurun ke-13 SM. Wilayah empayar ini merangkumi tanah Hurrian. Secara khusus, ia terletak di lembangan utara Tigris-Furat dan pada peta moden, bolehlah dikatakan bahawa lokasinya sejajar dengan utara Iraq, Syria dan tenggara Turki moden. Pada kemuncak kuasanya, wilayah yang dinaungi oleh Mitanni terbentang hingga ke pantai Mediterranean di sempadan baratnya dan memasuki Assyria-Mesopotamia di sempadan tenggaranya.
Kekuatan dan pengaruh Mitanni amat besar hinggakan pada suatu
ketika, ia menjadi sebahagian daripada ‘Kuasa Besar’ bersama Mesir, Assyria,
Babylonia dan Kerajaan Hatti. Namun pada hari ini, empayar tersebut luput dari
memori dan hanya diingati tidak lebih dari sekadar sebuah nama dan suatu hipotesis
arkeologi-lingustik. Namanya juga tidak lagi menyapa telinga kebanyakan
daripada kita pada hari ini, sekaligus menjadikannya sebuah empayar purba yang
dilupakan.
KEBANGKITAN KUASA
MITANNI
Diandaikan bahawa
kebangkitan kuasa Mitanni berlaku pada era kejatuhan Empayar Babylon Lama.
Keruduman yang dialami oleh empayar agung itu membuka peluang buat Mitanni
untuk meluaskan sempadannya. Ada juga sejarahwan yang berpendapat serangan
bangsa Het (Hittite) ke atas Alep (Aleppo) dan penjarahan ke atas
Babylon mendorong kepada kemunculan negara-negara baru di rantau itu, antaranya
termasuklah Mitanni. Walau apapun, tidak banyak yang dapat kita ketahui perihal
raja-raja awal mereka. Hal ini kerana kebanyakan jejak budaya dan rekod sejarah
Mitanni dihapuskan oleh bangsa Assyria. Namun, berkat interaksi Mitanni dengan
kuasa-kuasa lain yang sezaman dengannya, maka nama para penguasa awal Mitanni
terpelihara dalam rekod-rekod mereka.
![]() |
| Peta Mitanni purba |
KONFLIK DENGAN MESIR
Sekitar penghujung
kurun ke-16SM, Mitanni (yang pada masa itu diperintah oleh Parattarna)
menguasai Alep, sebuah kota penting di Syria yang terletak di tengah-tengah
antara Laut Mediterranean dan Sungai Furat. Kehadiran Mitanni di Syria ini
tentunya menggamit konflik dengan satu lagi adikuasa purba, iaitu Mesir. Hal
ini kerana firaun-firaunnya, terutama Thutmose III juga memasang hajat untuk
menguasai rantau berkenaan. Justeru pada pertengahan kurun ke-15SM (mungkin
1457SM), Mitanni diheret ke kancah Pertempuran Megiddo. Dalam pertempuran ini,
Mitanni menumpahkan sokongan kepada raja Kadesh. Namun, mereka ditewaskan oleh
pasukan tentera yang dipimpin oleh Thutmose III.
![]() |
| Pertempuran Megiddo |
Kemenangan Thutmose di
Megiddo membolehkan pasukan Mesir menyerang sempadan barat Mitanni. Sebaik
sahaja kemaraan mereka sampai ke Furat, pasukan Mesir membina kapal-kapal
perang dan menjarah bandar-bandar milik Mitanni yang ada di tebing Sungai,
seperti Carchemish dan Emar. Walaupun perluasan kuasa Mitanni ke Syria terhenti
buat beberapa tempoh, pasukan Mesir tidak berupaya mendominasi wilayah
pedalaman Syria. Kempen ketenteraan Thutmose juga tidak membuahkan hasil yang
kekal, terutama apabila Mitanni tetap melebarkan kuasanya di timur.
PERSEKUTUAN ANTARA
SHAUSHTATAR DAN THUTMOSE IV
Menjelang lewat kurun
ke-15SM, Shaushtatar si raja Mitanni menjarah ibu kota Assyria di Assur dan
memalukan warganya dengan mengambil gerbang-gerbang kuil masyhur di sana lalu
dihantar ke Wassukanni, ibu kota Mitanni. Tidak lama selepas itu, hubungan
mesra dijalinkan oleh penguasa Mitanni dengan Mesir. Suatu bentuk persekutuan
dibentuk antara Artatama I (pengganti Shaushtatar) dan firaun Thutmose IV (cucu
Thutmose III).
![]() |
| Patung Thutmosis IV yang mengenakan khepresh, Musee du Louvre |
SURAT-SURAT AMARNA
Pada pertengahan kurun
ke-14SM, Mitanni mencapai kemuncak kuasanya. Hubungan baik dengan Mesir juga
terus dikekalkan. Kesan perhubungan ini dapat dilihat menerusi salah sebuah
Surat Amarna yang dihantar dari raja Mitanni kepada firaun Mesir. Misalnya
dalam EA 17, kita dapat menyaksikan bagaimana Tushratta si raja Mitanni
mengahwinkan puterinya, Tadu-Heba (juga disebut sebagai Tadukhipa) dengan
Amenhotep III. Selepas Amenhotep mangkat, Tadu-Heba dikahwinkan pula dengan
puteranya, Amenhotep IV yang lebih dikenali sebagai Akhenaten. Keadaan ini
menggamit sebilangan sejarahwan mengandaikan bahawa Tadu-Heba dan Nefertiti
adalah individu yang sama.
![]() |
| Tablet kuneiform yang mengandung surat dari Tushratta kepada Amenhotep III |
TAMATNYA RIWAYAT
KERAJAAN MITANNI
Hubungan mesra antara
dua kuasa itu tidak kekal lama. Mitanni dan Mesir mula merenggang apabila
berlaku pergelutan kuasa di Mitanni di zaman Tushratta. Dalam konflik politik
yang berlangsung ini, Tushratta didokong oleh Mesir, manakala seterunya, iaitu
Artatama II (kerabat kepada Shuttarna si raja lama) pula meraih sokongan bangsa
Het (Hittite). Dengan bantuan Mesir, Tushratta menjangka dapat meraih
kemenangan mudah.
Namun, warga Mesir
mengakui kekuasaan yang dimiliki oleh bangsa Het justeru memutuskan untuk
menggugurkan sokongan mereka. Keputusan ini secara efektif membenarkan
Suppiluliuma si raja Het untuk melakukan sewenang-wenangnya ke atas Mitanni
tanpa perlu khuatir dengan reaksi balas Mesir. Maka, pasukan tentera Het pun
menggempur dan menjarah Wassukani, manakala Tushratta pula dibunuh oleh
puteranya sendiri. Bangsa Het mengangkat Artatama II sebagai raja bawahan
mereka (vassal) dan memerintah Mitanni sehingga ia tumbang ke tangan
Assyria.
![]() |
| Meterai Silinder Mitanni dengan Dua Wira dan Sebatang Pohon |
SUMBER
- Dollinger, A. 2016. The Amarna Letters.
- Eduljee, K.E. 2014. Mitanni.
- Lendering, J. 2015. Mitanni.
- Historyfiles. 2015. Hurrian Empire of Mitanni (Naharina/Hanigalbat).
- Touregypt. Mesopotamia: The Mitanni (Naharin) Empire.
- Get link
- X
- Other Apps





