- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (7 Ogos 2018). Beni Hammad Fort: Ruins Attest the Dreams of a
Medieval Algerian Islamic Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-africa/beni-hammad-fort-0010507
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pada hari ini, hanya
puing-puing runtuhan sahaja yang dapat membuktikan signifikasi yang pernah
dipegang oleh Kubu Beni Hammad dalam sejarah Algeria. Kota ini mengecapi
kegemilangan sebagai sebuah kubu kuat merangkap ibu kota bagi sebuah dinasti
sebelum kemudiannya ia ditinggalkan oleh para penghuninya yang mencari
kehidupan di kota lain. Kota perkubuan yang pernah berdiri megah ini pada
akhirnya menerima nasib yang malang apabila sebahagian daripadanya dihancurkan.
PENGASAS KOTA PERKUBUAN
BENI HAMMAD
Tapak yang turut
dikenali sebagai al-Qal’a Beni Hammad ini merupakan sebuah kota perkubuan yang
terletak berhampiran dengan bandar Maadid, di belahan Maghreb, Algeria. Ia
berjarak kira-kira 225km (140 batu) arah tenggara dari Algiers, ibu kota
Algeria moden. Al-Qal’a Beni Hammad dan Algiers sememangnya berkongsi pertalian
sejarah. Pada separuh kedua kurun ke-10 Masihi, Algeria yang merupakan
sebahagian daripada Ifriqiyya pada waktu itu, berada di bawah kekuasaan
Kekhalifahan Fatimiyah.
Tatkala Fatimiyah
memindahkan ibu kota mereka dari Mahdia (di Tunisia) ke Kaherah, salah seorang
penyokong tempatan mereka, iaitu Bullugin ibn Ziri, dilantik sebagai wakil
pemerintah. Bulluggin inilah yang kelak menubuhkan kota Algiers dan mengasaskan
Dinasti Ziriyyah (Zirid).
![]() |
| Kota Perkubuan Beni Hammad, Algeria |
Selepas Bulluggin
meninggal dunia pada tahun 984 Masihi, kedudukannya diambil-alih oleh salah
puteranya yang bernama al-Mansur ibn Bullugin. Salah seorang adik-beradik
al-Mansur, iaitu Hammad ibn Bulluggin, diberikan jawatan sebagai gabenor di
Maghreb tengah. Hammad inilah yang bertanggungjawab menubuhkan Kota Perkubuan
Beni Hammad yang berperanan sebagai ibu kota pentadbirannya. Kemudian, dari
kota inilah Hammad meningkatkan pengaruhnya dengan melebarkan kekuasaannya ke
kawasan sekitar. Pada tahun 995 Masihi, al-Mansur meninggal dunia dan pucuk
kepimpinan diwariskan kepada Badis ibn Mansur, puteranya.
Pertumbuhan kuasa
Hammad di rantau Maghreb tengah mula menimbulkan kerisauan dalam hati anak
saudaranya, dan sememangnya kerisauan ini munasabah. Hal ini kerana pada tahun
1014 Masihi, Hammad memeluk agama Sunni-Islam sekaligus menjadi penyokong
Kekhalifahan Abbasiyah yang merupakan seteru kepada Fatimiyah. Dalam erti kata
lain, Hammad secara efektif menubuhkan dinastinya yang tersendiri. Sebagai
susulan, Ziriyyah pun mengisytiharkan perang ke atas Hammadiyyah dan menyerang
kota itu pada tahun 1017. Walau bagaimanapun, Hammadiyyah berupaya menangkis
kepungan yang dilakukan sekaligus meraih kemerdekaan daripada Ziriyyah.
PEMERINCIAN SENI BINA KOTA
PERKUBUAN BENI HAMMAD
Sebagai ibu kota
Dinasti Hammadiyah, Kota Perkubuan Beni Hammad diperindahkan oleh para
pemerintahnya. Salah satu struktur paling menyerlah dalam kota ini adalah
Masjid Jamek. Masjid ini merupakan masjid kedua terbesar di Algeria (masjid
terbesar ialah Masjid Mansourah) dan kemasyhurannya dipacu lagi apabila ia
memiliki minaret kedua tertua di negara berkenaan (menara tertua ialah minaret
Masjid Sidi Boumerouane). Dewan solat Masjid Jamek ini mengandungi 13 buah
laluan dan 8 ruang di setiap satu laluan.
![]() |
| Panorama Masjid Jamek Kairouan di Tunisia. Masjid Jamek di Kota Perkubuan Beni Hammad mempunyai reka bentuk yang hampir serupa |
Satu lagi struktur yang
menonjol di kota itu adalah Dal al-Bahr (bermaksud ‘Tasik Istana’) yang
berfungsi sebagai kediaman pemerintah. Dal al-Bahr merupakan sebuah kompleks
kediaman yang dipisahkan oleh sejumlah astaka dan taman bunga. Nama istana ini
diambil bersempena kolam berbentuk empat segi yang terdapat dalam kompleks
berkenaan. Kolam yang berukuran 67 x 47 meter (220 x 154 kaki) ini mempunyai
satu tanjakan, di mana di tanjakan itu lazim diadakan persembahan teater dan
acara-acara sukan. Dal al-Bahr dan Masjid Jamek adalah bukti kegemilangan yang
pernah dikecapi oleh Dinasti Hammadiyah.
![]() |
| Model miniatur yang menggambarkan semula rupa bentuk kota |
HANCURNYA KOTA
PERKUBUAN BENI HAMMAD DAN PENGIKTIRAFAN KE ATASNYA
Namun, kegemilangan ini
menuju pengakhirannya pada tahun 1090. Menjelang 1045, emir Dinasti Ziriyyah,
iaitu al-Mu’izz menumpahkan kesetiaan kepada Abbasiyah setelah sebelumnya
berpihak kepada Fatimiyah. Sebagai tindak balas terhadap perkara itu, Fatimiyah
menghantar sepasukan tentera yang terdiri daripada suku Arab nomad, iaitu Bani
Hilal, bagi menyerang Ziriyyah.
Pada tahun 1090, Bani
Hilal ini menghadirkan ancaman terhadap Kota Perkubuan Beni Hammad sekaligus
mengakibatkan para penghuninya memilih untuk meninggalkan kota. Pada tahun
1152, pemerintah terakhir Dinasti Hammadiyah, iaitu Yahia, menyerah kepada
al-Muwahiddun yang berpangkalan di Maghribi. Para pemerintah al-Muwahiddun
kemudiannya bertindak menghancurkan sebahagian kota perkubuan tersebut.
Pada hari ini, runtuhan
Kota Perkubuan Beni Hammad dijadikan sebagai destinasi pelancongan. Tepat pada
tahun 1980, tapak tersebut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, yang
antara faktornya adalah kerana ia berdiri sebagai bukti “kegemilangan tamadun
Hammad; dan memperagakan sebuah seni bina yang asli di Afrika Utara.”
![]() |
| Runtuhan kota perkubuan |
SUMBER
- Ilahiane, H. 2006. Historical Dictionary of the Berbers (Imazighen). Lanham, Md: The Scarecrow Press, Inc.
- Saada, H. 2018. Tourism in Algeria: Qal’a of Beni Hammad (Beni Hammad Fort).
- Soudip, 2014. Beni Hammad Fort (Algeria) Historical Facts and Pictures.
- The Editors of Encycylopaedia Britannica. 2017. Zirid Dynasty.
- Tourist Spots Around the World. 2018. Al-Qal’a of Beni Hammad in Algiers – Algeria.
- UNESCO. 2018. Al-Qal’a of Beni Hammad.
- Waweru, N. 2017. Good Morning Africa from Algeria’s Beni Hammad Fort.
- Get link
- X
- Other Apps




