- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (22 Ogos 2020). The Mighty Red Fort of New Delhi, a Symbol of Mughal
Power and Wealth. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/red-fort-delhi-0014152
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sudah menjadi satu
kelaziman untuk sesebuah bangunan kebudayaan diangkat sebagai simbol negara.
Misalnya Menara Eiffel di Perancis, piramid di Mesir, dan Kubu Merah di New
Delhi, India. Kubu Merah yang turut dikenali sebagai Lal Qal’ah merupakan pusat
pentadbiran India selama berkururun-kurun dan ia masih dijadikan sebagai sebuah
simbol kekuasaan. Tapak Warisan Dunia UNESCO yang satu ini kaya dengan sejarah
dan menyimpan banyak khazanah arkeologi. Ia amat masyhur baik dalam kalangan
warga tempatan mahupun pelancong asing.
![]() |
| Kubu Merah di Delhi Lama, India |
SEJARAH KUBU MERAH YANG
DRAMATIK
Pada kurun ke-12
Masihi, buat pertama kalinya sebuah kubu didirikan di tapak tersebut. Namun,
Kubu Merah hanya dibangunkan pada 1630an atas perintah Maharaja Mughal, Shah
Jahan dan seni binanya direka oleh Ustad Ahmad Lahori, iaitu jurutera sama yang
menghasilkan rekaan Taj Mahal. Kubu ini kemudiannya dijadikan sebagai pusat
bagi Delhi Lama.
Kubu ini dilengkapi
dengan istana dan kediaman peribadi maharaja, di mana ia dihuni oleh keluarga
diraja dan para pegawai Mughal. Perbendaharaan empayar jua disimpan di sini,
termasuklah hasil-hasil seni, simpanan emas dan batu-batu permata. Pada era
Mulhi-ud-Din Muhammad atau lebih masyhur sebagai Aurangzeb, saiz Kubu Merah
diperluaskan lagi.
Sesudah memasuki tahun
1700M, Empayar Mughal mula mengalami kemunduran. Pada tahun 1739, Nadir Shah
yang merupakan Shah Iran, menyerang Delhi dan menjarah istana serta merompak
Takhta Burung Merak. Selepas berlakunya Pertempuran Panipat Ketiga, Marathas
menakluki kota. Pun begitu, New Delhi tetap dikuasai oleh Maharaja Mughal walau
hanya pada nama. Kemudian berikutan meletusnya Perang Maratha, British
mengambil-alih New Delhi dan menggunakan kubu ini sebagai pusat pentadbiran
mereka di rantau berkenaan.
![]() |
| Seni bina yang terperinci di ruangan dalam Kubu Merah |
Semasa berlakunya
Pemberontakan India (1857-1859), pihak pemberontak berjaya menguasai kota ini
dan maharaja Mughal terakhir yang mendiami kota tersebut diangkat sebagai
simbol pemberontakan. Namun, kota berkenaan berjaya direbut semula oleh British
dan wangsa terakhir Mughal kemudiannya dibuang negeri. Kubu Merah dijadikan
sebagai simbol kekuasaan British Raj, dan beberapa bahagian bangunannya yang
mengalami kerosakan akibat pemberontakan dibaik-pulih.
Beberapa perbicaraan
politik yang penting juga pernah dilangsungkan di kubu ini, antaranya
termasuklah perbicaraan yang melibatkan anggota Tentera Diraja India yang
memihak Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1947, Jawaharal Nehru
mengisytiharkan kemerdekaan India. Kubu Merah terus digunakan sebagai kubu oleh
Tentera India sehingga tahun 2003. Pada setiap ulang tahun kemerdekaan, Perdana
Menteri akan memberikan ucapan rasmi di kubu ini.
PERINCIAN SENI BINA
KUBU MERAH
Seni bina Kubu Merah
mempunyai percampuran budaya antara Parsi, Timurid, dan Hindu. Tembok batunya
yang berwarna merah dibina setinggi 75 kaki (22m) dan ia terbentang sejauh satu
batu setengah (2.3 km). Tembok ini turut dilengkapi dengan sejumlah menara yang
berbeza-beza ketinggian.
![]() |
| Pemandangan Tembok Kubu Merah dari udara |
Pelan kubu ini
berbentuk oktagon dan satu sisinya melintang di sepanjang Sungai Yamuna.
Gerbang Lahore yang berfungsi sebagai utama dan meraih nama kerana menghadap ke
arah kota Lahore di Pakistan, digunakan oleh khalayak awam. Di sinilah juga
tempat Nehru mengisytiharkan kemerdekaan India. Gerbang Delhi yang terletak di
tembok selatan pula berdiri setinggi tiga tingkat dan diapit oleh dua buah
patung gajah.
Bersebelahan dengan
Gerbang Lahore adalah bazaar Chhatta Chow. Di belakangnya pula terletak Naubat
Khana atau dewan menunggu, iaitu tempat di mana orang berkumpul sebelum
memasuki balairung istana. Di situ jugalah permainan muzik dan keraian sering
diadakan. Struktur yang paling masyhur dalam kompleks ini, iaitu Diwan-i-Aam,
merupakan dewan menghadap. Di sini, Shah Jahan dan maharaja-maharaja yang
menyusulinya akan mencemar duli menghadap rakyat. Bumbung dewan ini disokong
oleh enam puluh batang tiang berwarna merah.
![]() |
| Tiang-tiang dan ruangan dalam di Diwan-i-Khas |
Terdapat juga sebuah
astaka yang diberi nama Diwan-i-Khas. Di dewan ini, maharaja-maharaja Mughal
menerima perutusan rasmi dan di sini jugalah persidangan-persidangan tertutup
diadakan sambil maharaja bersemayam di Takhta Burung Merak. Berhampirannya pula
terletak perigi-bertingkat, kamar mandi dan sebuah masjid yang dibina oleh
Aurangzeb.
Satu lagi struktur
signifikan di sini ialah Hira Maal (Istana Berlian), iaitu astaka yang dibina
oleh maharaja terakhir Mughal. Kini, bilik membaca yang dinamakan sebagai
Menara Maharaja sedang menjalani proses pembaikpulihan. Antara
struktur-struktur lain yang boleh disaksikan di kompleks bersejarah ini adalah
kuarters wanita dan kuarters putera. Terdapat juga sebuah kubu lama binaan
Dinasti Suri pada tahun 1546, dan monumen-monumen lain yang turut terangkum
dalam kompleks Kubu Merah.
MENGUNJUNGI KUBU MERAH
DI NEW DELHI
Kubu Merah terletak di
tengah-tengah New Delhi dan ia dibuka kepada seluruh orang awam. Terdapat
bayaran yang dikenakan untuk memasukinya dan perkhidmatan pemandu pelancong
juga turut tersedia. Bagi menikmati kesemua mercu tanda yang terdapat di sana,
pengunjung amat disarankan untuk mengambil pakej lawatan tiga-jam.
SUMBER
- Asher, C. (1992). Architecture of Mughal India (Vol. 4) Cambridge University Press.
- Leasor, J. (2014). The Red Fort. James Leasor Publishing.
- Sharma, K. (2011). A Symbol of State Power: Use of the Red Fort in Indian Political Trials. In Ethics, Evil, Law and the State: State Power and Political Evil (pp. 29-37). Brill.
- Get link
- X
- Other Apps




