- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (19 Ogos 2020). More Ancient Mysterious Stone Structures Found in
Saudi Arabia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/mysterious-stone-structures-0014141
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Sejarah Arab Saudi pada
zaman pra-Islam agak kurang diselidiki. Hanya pada tahun-tahun kebelakangan
barulah ahli-ahli arkeologi mula meneroka padang pasir di negara tersebut.
Dimaklumkan bahawa pihak pakar telah menemukan lebih 100 buah struktur batu
misteri yang sebahagiannya sangat langka, lebih berusia berbanding piramid.
Antara yang ditemukan adalah struktur-struktur batu gergasi yang dikenali
sebagai ‘layang-layang’, mungkin digunakan dalam aktiviti memburu haiwan secara
besar-besaran. Terdapat juga sejumlah geoglif batu, yang disifatkan oleh
masyarakat Badwi tempatan sebagai ‘hasil pertukangan batu masyarakat
purbakala’.
Namun, sejenis struktur
batu yang paling menggamit perhatian ilmuwan adalah ‘mustatil’, yang sehingga
kini masih terus dikaji. Secara keseluruhan, kesemua struktur batu misteri yang
ditemui di padang pasir ini memberikan maklumat yang baru kepada para
penyelidik, khususnya berkenaan kehidupan masyarakat di rantau berkenaan pada
zaman purba atau untuk lebih menjurus, semasa peralihan daripada kehidupan
nomad-penternak kepada kehidupan Neolitik.
STRUKTUR MISTERI
DITEMUI DENGAN BANTUAN IMEJ SATELIT
Kewujudan
struktur-struktur mustatil dikenal pasti buat pertama kali oleh sekumpulan
penyelidik yang terdiri daripada pakar dari Max Planck Society di Jerman,
pakar-pakar Arab Saudi, dan ilmuwan-ilmuwan antarabangsa. Mereka menggunakan
imej-imej satelit resolusi-tinggi dan data daripada Google Earth untuk
memetakan lokasi struktur-struktur berkenaan. Lokasi tumpuan bagi penyelidikan
mereka ini adalah Gurun Nefud, utara Arab Saudi.
Untuk menemukan
struktur-struktur misteri ini secara tepat, pihak penyelidik melensakan carian
pada ciri-ciri tertentu di samping menumpu pada kawasan yang hampir dengan
sumber-sumber alam, seperti air. Secara keseluruhan, kira-kira 104 buah mustatil
berjaya ditemui setakat ini.

Lokasi penemuan mustatil-mustatil di timur laut Arab Saudi
Menurut The Holocene,
“Mustatil-mustatil ini berbentuk segi empat tepat namun sedikit panjang, di
mana 102 daripada 104 mustatil tersebut mempunyai dua buah tembok panjang,
sambil dua yang lain mempunyai tiga tembok.” Secara purata, kesemua mustatil
ini berukuran 480 kaki panjang dan 420 kaki lebar (161 dan 142m). Ia dibina
daripada ribuan tan batu dan secara tipikalnya, platform mustatil-mustatil ini
agak rendah. Struktur sebegini juga hanya ditemui di kawasan berpermukaan
rendah dan berhampiran dengan sumber-sumber air, di timur laut Arab Saudi.
MUSTATIL-MUSTATIL INI
LEBIH TUA BERBANDING PIRAMID
Tidak banyak tinggalan
budaya yang ditemui semasa kajian lapangan dilakukan di tapak mustatil.
Sebahagian artifak yang ditemui kemudiannya dibawa menjalani ujian pentarikhan
karbon. Hasil ujian tersebut mendapati setidak-tidaknya satu artifaknya berusia
7000 tahun, sekaligus mengertikan bahawa mustatil-mustatil ini ada yang lebih
tua berbanding piramid. Para penyelidik merekodkan dalam The Holocane
bahawa “Besarnya skala mustatil ini menjadikannya sebagai salah satu contoh
seni bina monumental prasejarah yang paling mengagumkan, mungkin di seluruh
dunia.”
Mereka juga cuba
menyelidiki faktor mengapa struktur-struktur begini dibina. Kesimpulan yang
mereka raih setakat ini mengandaikan bahawa mustatil-mustatil tersebut dibina
sebagai tindak balas terhadap perubahan cuaca dan suasana sekitar. Memetik
laporan mereka dalam The Holocane, “Pada tempoh 10 000 hingga 6000 tahun
yang lalu, Semenanjung Arab mengalami era ‘Tanah Arab Menghijau’ yang paling
kebelakangan, di mana curahan hujan meningkat dan secara efektif mengubah
lanskap rantau yang gersang itu.” Perubahan lanskap ini besar kemungkinan
mendorong kepada munculnya era Neolitik di Tanah Arab, di mana
kebudayaan-kebudayan tempatan mengalami perubahan yang radikal.

Dua buah mustatil yang ditemui di Gurun Nefud
DARIPADA PADANG PASIR
YANG KERING KEPADA TANAH ARAB YANG MENGHIJAU
Sebelum fasa Tanah Arab
Menghijau yang terakhir, masyarakat nomad-penternak menghadapi kesukaran untuk
hidup di persekitaran yang mencabar di padang pasir ini. Walaupun curahan hujan
yang semakin meningkat banyak mengubah kawasan tersebut menjadi kawasan yang
subur, persekitarannya masih tetap mencabar. Situasi ini seterusnya mendorong
kepada peninggalan gaya hidup nomad secara bertahap dan membawa kepada
penubuhan entiti-entiti wilayah. Mustatil-mustatil ini berkemungkinan mempunyai
kaitan dengan perubahan sosial yang drastik ini.
Pihak penyelidik
seterusnya cuba mengenal pasti kefungsian mustatil-mustatil ini. Temboknya
terlalu rendah untuk dijadikan sebagai pertahanan. Ia juga sama sekali tidak
mungkin digunakan sebagai memenuhi kepentingan awam, seperti tempat penyimpanan
air. Apa yang dapat dikenal pasti, terdapat sejumlah tulang haiwan ditemui di
kebanyakan tapak mustatil. Turut ditemui ‘sebongkah batu berukir’ di ruangan
dalam sebuah mustatil. Imej-imej geometrik yang terdapat pada bongkah batu
berkenaan merupakan kunci bagi memahami sebab pembinaan mustatil-mustatil
tersebut. Para penyelidik menyimpulkan bahawa struktur misteri ini dibina bagi
tujuan simbolik mahupun ritual.
BINAAN MUSTATIL INI
MUNGKIN MEMPUNYAI HUBUNGAN DENGAN KEMUNCULAN NEOLITIK DI TANAH ARAB
Dr Huw Groucutt, salah
seorang ketua penyelidik dalam kajian ini, menyatakan bahawa, “Pemahaman kami
terhadap mustatil adalah ia merupakan sejenis tapak ritual, di mana
kumpulan-kumpulan masyarakat yang menetap di kawasan sekitar saling bertemu
untuk menjalankan suatu aktiviti sosial yang tidak lagi kita ketahui pada hari
ini.” Penemuan bongkah batu berukir di platform mustatil mungkin mengisyaratkan
bahawa ritual-ritual tersebut benar-benar berlaku. Groucutt juga dipetik oleh
Max Planck Institute, “Mungkin mustatil merupakan tapak bagi menjalankan
upacara korban atau jamuan haiwan.”

Corak geometrik ditemui pada sebongkah batu yang membentuk platform sebuah mustatil
Kebanyakan mustatil
dibina dengan agak rapat antara satu sama lain dan keadaan ini mengisyaratkan
bahawa ia dibina oleh sebuah masyarakat yang agak maju. Besar kemungkinan,
mustatil dibina bagi menggalakkan lagi kesatuan sosial dan meneguhkan identiti
masyarakat. Hal ini sekaligus mengisyaratkan bahawa kumpulan masyarakat
penternak yang menetap di kawasan ini hidup dalam sistem sosial yang agak
kompleks, mungkin sebagai tindak balas terhadap persekitaran yang semakin baik
dan semakin menghijau.
TUJUAN PEMBINAAN
MUSTATIL SEBAGAI SUATU MEKANISME SOSIAL
Walau bagaimanapun,
menjalani kehidupan dalam persekitaran yang kering lagi gersang tetap merupakan
suatu hal yang mencabar. Menurut Max Planck Institute, “Pasukan penyelidik ini
mengandaikan bahawa mustatil-mustatil tersebut dibina sebagai suatu mekanisme
sosial untuk hidup dalam persekitaran yang mencabar.” Lebih menjurus, ia
mungkin dibina bagi memastikan supaya komuniti yang hidup di situ dapat
bekerjasama demi melangsungkan kehidupan.
Walaupun struktur
mustatil yang sebegini bukanlah yang tertua di dunia, ia merupakan mustatil
yang paling tua di Tanah Arab dan antara yang paling tua pernah direkodkan.
Kewujudan struktur ini menunjukkan baaimana persekitaran setempat berupaya
mengubah dan membentuk gaya hidup sesebuah komuniti. Ia juga memperlihatkan
kepada kita betapa binaan yang dibangunkan atas tujuan sosial dan ritual
berupaya meneguhkan kesatuan komuniti dan mendorong mereka untuk bertahan
mengharungi persekitaran yang mencabar. Diharapkan padang pasir yang luas
terbentang di Arab Saudi dapat terus mendedahkan lebih banyak bukti arkeologi
di masa hadapan.
- Get link
- X
- Other Apps
