- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (28 Januari 2019). The Five Good Emperors: Prosperity and Power
Before the Final Fall. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-europe/five-good-emperors-0011399
Penterjemah: Amir Zayyanid
Lima Maharaja Baik
merupakan suatu istilah yang merujuk kepada sekumpulan maharaja Rom yang
memerintah pada kurun pertama dan kedua Masihi. Era ini sering dianggap sebagai
era kemuncak Empayar Rom, memandangkan kemewahan dan kekuasaan yang dikecapi
oleh mereka berlangsung tanpa gugat selama lebih 80 tahun. Walau bagaimanapun,
pada era ini jugalah munculnya tanda-tanda kemunduran dalam empayar berkenaan,
yang kemudiannya menyumbang kepada kejatuhan Empayar Rom.
![]() |
| The Course of the Empire, lukisan kota Rome oleh Thomas Cole |
SIAPAKAH LIMA MAHARAJA
BAIK?
Maharaja-maharaja yang tergolong dalam kumpulan ini adalah Nerva, Trajan, Hadrian, Antoninus Pius, dan Marcus Aurelius. Lima Maharaja Baik juga kadangkala dikenali sebagai Dinasti Nerva-Antonine. Hanya Nerva seorang sahaja yang diangkat sebagai maharaja oleh para pembunuh Domitian. Empat maharaja yang lain masing-masing menaiki takhta setelah diambil sebagai anak angkat oleh para pendahulu mereka, justeru mereka bukanlah anak gahara dan tidak mempunyai sebarang hubungan darah kekerabatan.
‘Dinasti Nerva’ terdiri daripada Nerva, Trajan, dan Hadrian; manakala Dinasti
Antonine pula melibatkan Antoninus Pius dan Marcus Aurelius. Sebagai nota
tambahan, Dinasti Antonine ini juga merangkumi Lucius Verus, saudara angkat
kepada Marcus dan juga Commodus, anak kandung Marcus.
Maharaja pertama dalam kalangan Lima Maharaja Baik adalah Nerva, yang ditabalkan sebagai maharaja sesudah berlakunya pembunuhan Domitian pada tahun 96 Masihi. Ketika menaiki takhta, Nerva sudah pun berusia 66 tahun dan makanya beliau tidak dijangka akan memerintah lama. Pemerintahan singkat beliau yang berlangsung hanya selama 15 bulan memaksudkan bahawa beliau tidak mempunyai masa yang cukup untuk memberikan sumbangan signifikan terhadap empayar, tidak seperti Maharaja-Maharaja Baik yang lain.
Apapun, dengan sanggup menerima takhta
daripada Domitian, Nerva secara efektif menghindarkan empayar dari terjerumus
ke dalam kancah perang saudara sebagaimana yang pernah berlaku sebelumnya,
iaitu pada tahun 69M yakni ketika kemangkatan Nero. Keamanan yang dikecapi oleh
Nerva dilanjutkan lagi apabila beliau dengan bijak mengambil Trajan sebagai
anak angkat dan menamakannya sebagai pewaris.
PERLUASAN WILAYAH DAN
PENEGUHAN KUASA
Era Lima Maharaja Baik
memperlihatkan betapa Empayar Rom mengecapi kemuncak perluasan wilayah.
Pemerintahan Trajan yang berjalan selama 19 tahun, yakni pada tahun 98 hingga
117M, menyaksikan sejumlah kempen ketenteraan dilancarkan di Timur. Pada tahun
101M, Trajan menyerang Dacia buat kali pertama, sebelum kedua menyusul pada
tahun 105M. Rom meraih kemenangan dalam kempen tersebut dan kejayaan Trajan ini
diabadikan dalam sebatang tiang yang dikenali sebagai Tiang Trajan. Beliau
kemudian memerangi pula Parthia dan berjaya menjarah ibu kotanya, iaitu
Ctesiphon (al-Mada’in). Selain itu, pada era Trajan ini jugalah Rom menguasai
Kerajaan Nabataea, Armenia dan Mesopotamia.
![]() |
| Pemandangan kota Rome dengan Tugu Marcus Aurelius, Tiang Trajan dan Kuil |
Walau bagaimanapun,
tugas untuk memperteguhkan kekuasaan empayar diserahkan kepada pewaris Trajan,
iaitu Hadrian yang memerintah selama 21 tahun, iaitu dari tahun 117M hingga
138M. Menyedari kesukaran untuk mempertahankan wilayah-wilayah yang ditakluki
oleh Trajan, Hadrian mengambil keputusan untuk melepaskan Armenia dan
Mesopotamia. Dasar pentadbiran beliau juga berbeza dengan Trajan yang
meletakkan prestij Rom pada pencapaian ketenteraan. Hadrian lebih cenderung
membangunkan infrastruktur wilayah-wilayah naungan Rom. Tumpuan yang dicurahkan
oleh Hadrian terhadap wilayah kekuasaannya dapat dilihat dengan ketara apabila
beliau mengunjungi hampir setiap wilayah Rom semasa era pemerintahannya.
Pun begitu, sosok
Hadrian tidaklah begitu disenangi oleh Senat. Sesudah kemangkatannya, beliau
malah tidak dikurniakan darjah kebesaran sehingga penggantinya, iaitu Antoninus
Pius terpaksa memujuk Senat agar memberikan penghormatan dan gelaran ‘Pius’
kepada mendiang bapa angkatnya itu. Antoninus Pius memerintah selama 23 tahun,
iaitu dari 138M hingga 161M. Pemerintahannya berlangsung aman tanpa sebarang
peperangan mahupun pemberontakan besar berlaku.
![]() |
| Tugu Antonius Pius yang memakai baju pelindung |
BERAKHIRNYA ERA LIMA
MAHARAJA BAIK
Takhta Antoninus Pius diwarisi oleh anak-anak angkatnya, iaitu Marcus Aurelius dan Lucius Verus yang memerintah secara bersama. Setelah Verus mangkat pada tahun 169M, Marcus secara langsung diangkat sebagai pemerintah tunggal Empayar Rom. Berkurun-kurun sesudah kemangkatannya, Marcus terus dipandang tinggi dan beliau sering dianggap sebagai maharaja ideal. Sememangnya, Marcus merupakan seorang pentadbir yang cekap dan masyhur dengan pandangan falsafahnya.
Namun, era
pemerintahannya yang berlangsung selama 19 tahun, iaitu dari tahun 161M hingga
180M, menyaksikan berlakunya beberapa konflik. Misalnya pada tahun beliau
menaiki takhta, Parthia menyerang Syria. Walaupun peperangan tersebut berjaya
dimenangi oleh Rom, tentera-tentera mereka pulang dengan membawa wabak.
Pandemik yang dikenali sebagai Wabak Antonine itu secara efektif menjejaskan
empayar dari tahun 165M hingga 180M. Selain itu, Marcus juga terpaksa menangani
serangan suku-suku Jerman di sempadan Danube.
![]() |
| Lukisan yang menggambarkan ‘malaikat’ menyerang sebuah pintu semasa berlakunya serangan wabak di Rome |
Walau bagaimanapun,
kesilapan terbesar Marcus sebagai seorang maharaja adalah keputusannya untuk
mewariskan takhta kepada anak kandungnya sendiri, iaitu Commodus. Tidak seperti
Marcus dan Maharaja-Maharaja Baik yang lain, Commodus dikenang oleh sejarah
sebagai seorang tirani.
![]() |
| Maharaja Commodus sebagai Hercules dan Gladiator |
SUMBER
- Bowersock, G.W. 2019. Hadrian.
- Crook, J. A. 2018. Marcus Aurelius.
- Hammond, M. 2018. Trajan.
- Morey, W.C. 1901. Outlines of Roman History: The Five Good Emperors, - Nerva to Marcus Aurelius.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2017. Five Good Emperors.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2018. Antoninus Pius.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2019. Nerva.
- Unrv. 2018. Five Good Roman Emperors.
- Get link
- X
- Other Apps





