- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (25 Oktober 2018). The Pax Mongolica: When the Mongols Brought
Peace to Europe and Asia. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/pax-mongolica-0010888
Penterjemah: Amir Zayyanid
Pax Mongolica (bahasa
Latin bagi ‘Keamanan Monggol’) merujuk kepada suatu zaman dalam sejarah dunia
di mana sebahagian besar Eropah dan Asia berada di bawah kekuasaan Monggol
setelah berlangsungnya kempen-kempen ketenteraan yang dilancarkan oleh Genghis
Khan dan para penggantinya. Penaklukan-penaklukan ini menyumbang kepada
kestabilan di wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Monggol, sekaligus membawa
kepada sebuah era yang aman.
SUASANA DI LALUAN
SUTERA SEBELUM PAX MONGOLICA
Empayar Monggol
ditubuhkan oleh Genghis Khan pada kurun ke-13 dan perluasan wilayahnya
dilanjutkan oleh para penggantinya. Empayar ini merupakan empayar daratan
paling besar yang pernah wujud dalam sejarah, dan pada zaman kemuncaknya,
wilayah naungannya terbentang dari China di sempadan timur hinggalah ke Eropah
Tengah di sempadan baratnya. Pada masa dahulu, kedua-dua penghujung benua itu
dihubungkan oleh Laluan Sutera. Kewujudan laluan ini membolehkan berlakunya
pertukaran barang dagangan, kebudayaan, dan juga teknologi antara dunia Timur
dan Barat.
Laluan Sutera sudah pun
wujud sebelum bermulanya era Pax Mongolica. Namun pada era pra-kebangkitan
bangsa Monggol, laluan ini tidak lagi selamat seperti dahulukala. Di Barat,
agama Kristian dan Islam saling berperang. Manakala kawasan steppe pula
dikuasai oleh suku-suku nomad yang gasar. Dalam kata-kata, suasana sebegini
menghadirkan kesusahan, atau bahkan ancaman bahaya, buat pengembara untuk
mengharungi Laluan Sutera.
![]() |
| Pandangan dekat Atlas Catalan yang menggambarkan Marco Polo berkelana ke Timur semasa era Pax Mongolica |
SUMBANGAN-SUMBANGAN PAX
MONGOLICA
Keadaan sedemikian berubah dengan bermulanya era Pax Mongolca. Sebaik sahaja Monggol menguasai seluruh kawasan di Laluan Sutera, mereka juga berupaya menebarkan pengaruh dan kekuasaan di sana. Bahkan, Genghis Khan dan para penggantinya sendiri menggalakkan penggunaan Laluan Sutera, dan mengambil sikap proaktif dalam mengekalkan keselamatan para pengembara.
Sebagai contoh, tentera-tentera
pengawal ditempatkan di sepanjang laluan utama, dan pengawalan yang meliputi
kawasan yang luas ini dipicukan lagi oleh kelebihan pasukan tentera Monggol
yang sememangnya efisien dari segi saiz dan mobiliti. Kualiti keselamatan di
Laluan Sutera pada era Pax Mongolica sering dimetaforakan kononnya seorang
gadis sunti yang membawa jongkong emas boleh merentasi empayar tanpa menghadapi
sebarang gangguan.
![]() |
| Para penunggang kuda Monggol membawa tawanan. Gambaran dari Gami’ at-Tawarikh karya Rashid ad-Din |
Perdagangan
antarabangsa juga mengalami kepesatan berkat Pax Mongolica, dan barangan mewah
dapat diangkut dari Timur ke Barat atau sebaliknya. Salah satu langkah yang
diambil oleh Monggol untuk menggalakkan lagi aktiviti perdagangan adalah dengan
menggubal satu sistem tariff dan percukaian yang seragam. Sebelum era kekuasaan
Monggol, setiap entiti politik yang menguasai Laluan Sutera mengenakan sistem
tariff dan percukaian yang tersendiri, sekaligus menyukarkan para pedagang.
Selain itu, Monggol juga menubuhkan sistem pos yang dikenali sebagai Yam.
Sistem ini membolehkan surat mahupun pesanan disampaikan dengan pantas,
sekaligus memudahkan lagi komunikasi jarak jauh.
![]() |
| Surat daripada pemerintah Monggol, Oljeitu kepada Raja Perancis, Philippe le Bel pada tahun 1305 |
Bukan pertukaran barang dagangan sahaja yang dimanfaatkan melalui Laluan Sutera, namun idea dan teknologi juga dapat dipindahkan dari satu kebudayaan ke satu kebudayaan lain dengan efisien. Catatan sejarah merekodkan betapa Laluan Sutera membolehkan Buddhisme bertapak di China pada era Dinasti Han. Begitu jualah yang berlaku pada era Pax Mongolica. Berkat keamanan yang dibawa oleh Monggol, Buddhisme-Tibet berjaya memasuki China dan Monggolia, Islam tersebar ke Eropah Timur, dan agama Kristian-Nestorian mengalami pertumbuhan di Eurasia.
Sebahagian khan Monggol
memeluk mana-mana kepercayaan yang datang ke wilayahnya, namun ada juga yang
mengekalkan agama tradisi yang dianuti. Apapun, penguasa Monggol secara relatif
sama sekali tidak memaksakan amalan keagamaan mereka ke atas rakyat jelata dan
kebebasan agama dinikmati oleh semua warga.
![]() |
| Miniatur Parsi yang menggambarkan pemerintah Ilkhanate, Ghazan memeluk agama Islam |
MALAP DAN SIRNANYA
CAHAYA PAX MONGOLICA
Kemekaran Laluan Sutera
kemudiannya mendorong kepada malapnya era Pax Mongolica. Pada kurun ke-14
Masihi, wabak bubonik menyerang. Berikutan penggunaan Laluan Sutera yang
intensif, wabak berkenaan dengan pantas menular ke setiap pelosok dunia.
Di Eropah, pandemik
dikenali sebagai Wabak Hitam. Dianggarkan sehingga 25% populasi Asia diserang
wabak tersebut. Eropah pula kehilangan 50-60% populasinya. Depopulasi yang
gawat ini merupakan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada tamatnya era
Pax Mongolica.
![]() |
| Pengebumian mangsa-mangsa wabak di Tournai. Perincian sebuah miniature dari ‘The Chronicles of Gilles Li Muisis’ (1272-1352) |
Selain itu, terdapat
satu lagi kemelut signifikan yang dialami oleh Monggol, iaitu perpecahan
empayar. Menjelang lewat kurun ke-13 Masihi, Empayar Monggol terbahagi kepada
empat buah khanate – iaitu Dinasti Yuan, Ilkhanate, Chagatai Khanate dan Golden
Horde. Selain Dinasti Yuan yang kemudiannya digantikan oleh Dinasti Ming,
khanate-khanate yang lain itu semuanya berpecah kepada kelompok-kelompok yang
lebih kecil. Dalam erti kata lain, suasana sebegini mengembalikan Laluan Sutera
kepada keadaan asalnya, yakni sebelum bangkitnya bangsa Monggol. Dengan
demikian, maka berakhirlah era Pax Mongolica.
SUMBER
- Gkpmnhd.weebly. 2018. The Pax Mongolica and Its Effects on the World.
- Historyworld. 2018. History of the Mongols.
- Szczepanski, K. 2017. What Was the Pax Mongolica?
- Waugh, D.C. 2000. The Pax Mongolica.
- Silk-road. 2018. Pax Mongolica.
- Get link
- X
- Other Apps





