- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (8 Ogos 2020). Pits of Skulls Found in Shimao: China’s Neolithic
City of Mystery. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/shimao-0014097
Penterjemah: Amir Zayyanid
Shimao merupakan sebuah
kota purba China yang telah hilang sejak sekian lama. Namun pada tahun-tahun
kebelakangan, ia mendedahkan banyak rahsia yang disimpannya kepada ahli-ahli
arkeologi. Antara penemuan yang paling mengagumkan adalah sebuah piramid
bertingkat dan bukti amalan korban manusia. Penemuan-penemuan tersebut memberikan
kefahaman lanjut tentang sejarah awal tamadun China dan upacara korban manusia.
Di lembah Sungai
Kuning, wilayah Shaanxi, terdapat sebuah lembangan. Penduduk kampung di sana
menyedari kewujudan runtuhan tembok yang sangat besar di sebuah tapak yang
mereka sebut sebagai Shimao. Memandangkan kawasan itu merupakan sempadan antara
empayar China dan empayar nomad (Xiongnu misalnya), maka mereka hanya
menganggapnya sebagai sebahagian daripada runtuhan Tembok Besar.
KOTA NEOLITIK SHIMAO
Namun pada tempoh
kebelakangan, dijumpai kepingan-kepingan jed yang merupakan suatu barangan
berharga di zaman China purba. Batu permata berharga itu berasal dari kawasan
yang terletak 1000 batu (1609.34 km) jauh, justeru penemuan tersebut
menimbulkan persoalan tentang bagaimana jed-jed berkenaan boleh berada di
kawasan yang dianggap lengang dari manusia purba.
Maka pada tahun 2013,
sepasukan arkeologis China mengunjungi tapak berkenaan untuk menjalankan
penyelidikan dan mereka bukannya menjumpai runtuhan Tembok Besar, akan tetapi
sebuah kota yang telah lama hilang! Kota tersebut dikelilingi oleh tembok batu
sepanjang 6 batu (9.6 km) dan mempunyai sebuah piramid bertingkat di dalamnya.
Ujian pentarikhan-karbon mendapati kota berkenaan berusia 4300 tahun – jauh
lebih awal sebelum terbentuknya tamadun China, jika mengikut rekod rasmi.
Justeru dalam erti kata
lain, penemuan ini melibatkan sebuah kota Neolitik. Piramid bertingkat yang
dijumpai itu dianggap sebagai mercu kota Shimao dan didapati bahagian
platformnya dihuni oleh golongan elit yang hidup secara terpisah daripada
masyarakat umum. Aspek pertahanan Shimao juga amat mengagumkan – dan hal ini
agak munasabah memandangkan kota itu tentunya terdedah kepada serangan
warga-warga gasar dan nomad.
![]() |
| Pemandangan udara Gerbang Timur Shimao |
Besarnya kuantiti
sumber dan bahan-bahan yang diperlukan bagi membina kota sebegitu
mengisyaratkan kepada kita bahawa kumpulan masyarakat yang membangunkan Shimao
memiliki kemajuan dan sistem sosial berhierarki. Ketua ekskavasi di Shimao, Sun
Zhouyong dipetik oleh National Geographic, “Penemuan ini mendorong kam
untuk melihat sejarah perkembangan tamadun awal di China dengan kanta yang
berbeza.”
LUBANG-LUBANG YANG
DIPENUHI TENGKORAK
Semasa menjalankan
ekskavasi di ruangan dalam piramid yang setinggi 230 kaki (70.1m) itu, pasukan
arkeologis menemui beberapa buah artifak dan lukisan dinding. Untuk menyebut
secara khusus, mereka menemukan ’70 relif patung – meliputi ular, raksasa,
makhluk separa-manusia yang mana ia mirip dengan ikonografi Zaman Gangsa
China’. Turut ditemui di tapak berkenaan harp mulut terawal yang diketahui di
China, serta sejenis instrumen angin.
![]() |
| 5: Barangan jed yang ditemui di Gerbang Timur; 7: Gelang jed dan logam bersama tulang lengan manusia; 8: patung kepala daripada batu; 9: seramik Shimao |
Di bawah salah sebuah
tembok itu pula terdapat enam buah lubang yang dipenuhi dengan 80 tengkorak
manusia. Rapinya keadaan tengkorak-tengkorak itu disemadikan seolah-olah
mengisyaratkan kepada kita yang ianya merupakan korban ritual. Sun Zhouyong
juga menyebutkan bahawa “tengkorak-tengkorak tersebut memiliki tanda-tanda yang
ianya dipukul dan dibakar”. Diandaikan bahawa kesemua tengkorak itu adalah
milik tawanan perang, yang berkemungkinan musuh Shimao.
Penyelidikan yang
dijalankan kemudiannya mendapati tengkorak-tengkorak itu semua adalah milik
gadis muda, yang berkemungkinan merupakan puteri mahupun bangsawan dari musuh
Shimao. Walau bagaimanapun, tiada rangka yang dijumpai – tengkorak semata-mata.
Li Min, seorang penyelidik dari Universiti California memaklumkan kepada National
Geographic bahawa ‘darjah keganasan ritual yang dilakukan di Shimao tidak
pernah disaksikan dalam sejarah awal China.”
![]() |
| Lubang yang menguburkan sejumlah tengkorak di Shimao |
RUANG KERAMAT
Di atas lubang-lubang
ini terdapat monumen-monumen batu yang mempunyai rekaan yang sama seperti mata.
Batu-batu ini dihiasi dengan ribuan kepingan jed. Kawasan ini, berserta dengan
segala lubang tengkorak yang disebutkan tadi, merupakan sebuah kawasan keramat
yang mungkin digunakan bagi memperagakan pengaruh dan kekuasaan elit Shimao
yang hidup di puncak piramid.
![]() |
| Blok batu yang berukir dewa berupa manusia |
Amalan mengorbankan
kaum wanita mungkin merupakan sebahagian daripada ritual yang bertujuan untuk
menjadikan kota itu unik, di samping meraih ‘keberkatan’ para dewa. Namun,
terdapat juga kemungkinan bahawa amalan korban itu mempunyai kaitan dengan
sejarah penubuhan kota Shimao.
Penemuan-penemuan
terkini mengukuhkan lagi pendapat bahawa daerah Shaanxi memainkan peranan
signifikan dalam pembentukan tamadun awal di China. Shimao hanyalah salah
sebuah dari 70 buah petempatan Zaman Batu yang ada di wilayah tersebut, setakat
yang telah ditemui.
Petempatan-petempatan
lain yang ada semuanya hanyalah petempatan yang mengiringi Shimao, sekaligus
mengisyaratkan bahawa kota itu merupakan kota utama bagi sebuah negara.
Menerusi jumpaan jed dan barangan lain, jelas pada kita bahawa Shimao turut
berinteraksi dengan kebudayaan-kebudayaan lain.
![]() |
| Piramid bertingkat Shimao |
AMALAN KORBAN YANG
BERLANJUTAN
Tamadun yang terbangun
di Shimao berkemungkinan memberi pengaruh yang kuat pada tamadun-tamadun China
pada zaman terkemudian, sebagaimana yang dapat dibuktikan menerusi amalan
mengorbankan manusia. Amalan sebegini mendahului amalan korban secara
besar-besaran “yang mencirikan tamadun Shang beberapa kurun kemudian (sekitar
1600-1046SM), sebelum dinasti-dinasti selanjutnya membasmi amalan tersebut.”
Sebagai maklumat
tambahan, menurut Encyclopedia Britannica, Dinasti Shang
merupakan “Dinasti China pertama yang kewujudannya terbukti dalam rekod dokumen
dan arkeologi”. Dinasti tersebut memainkan peranan yang sangat besar dalam
perkembangan tamadun China purba.
Amalan mengorbankan
manusia yang dipraktikkan oleh mereka mengisyaratkan bahawa Shang turut
dipengaruhi oleh kebudayaan di Shimao. Maklumat ini berupaya membantu
sejarahwan untuk menulis semula sejarah tentang amalan mengorbankan manusia di
China. Ramai penyelidik memanjatkan harapan agar tapak berkenaan terus
membekalkan mereka dengan maklumat lanjut berkenaan pertumbuhan tamadun awal di
China.
- Get link
- X
- Other Apps





