- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel
asal:
M R Reese. (8 Jun 2018). The Powerful Past of the Former Siamese Capital
Revealed in the Splendor of 400 Temples. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/powerful-past-former-siamese-capital-revealed-splendor-400-temples-002686
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Lama masa dahulu, kota
Phra Nakhon Si Ayutthaya terkenal sebagai sebuah pusat ekonomi dan perdagangan
antarabangsa. Hanya beberapa kurun sesudah penubuhannya, kota ini berkembang
pesat sehingga mampu menampung sehingga sejuta orang warga, dengan
binaan-binaannya yang megah, termasuklah ratusan kuil yang mengagumkan seni
binanya.
Walau bagaimanapun,
kota Phra Nakhon Si Ayutthaya pada akhirnya tunduk jua kepada sepasukan tentera
dari Burma. Kesemua warga kota keluar melarikan diri tanpa kembali lagi. Pada
hari ini, runtuhan kota tersebut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
di bawah nama Taman Bersejarah Ayutthaya dan ia boleh dikunjungi oleh
masyarakat tempatan mahupun luar negara. Tinggalan-tinggalan yang masih tersisa
di tapak bersejarah ini cukup untuk memberikan gambaran tentang kegemilangan
ibu kota yang dahulunya didiami oleh 35 orang raja Siam, masing-masing
memerintah sebagai sebuah adikuasa.
![]() |
Pemandangan matahari terbenam di kuil Wat Phra Si Sanphet |
Kota Phra Nakhon Si
Ayutthaya ditubuhkan oleh Raja U Thong pada tahun 1350 sebagai ibu kota
Kerajaan Siam. Kota ini terletak di sebuah pulau yang dikelilingi oleh tiga
batang sungai. Pada suatu ketika, kota ini dianggap sebagai salah sebuah kota
urban terbesar di dunia, dengan anggaran populasinya mencecah 300 000 orang
menjelang tahun 1600 dan 1 000 000 orang pada tahun 1700. Lokasi pulau ini
dipilih atas tujuan strategik, di mana ia berupaya melindungi kota dari badai
banjir dan gempuran musuh. Kota ini kadangkala dipanggil sebagai ‘Venice
Timur’.
Berikutan lokasinya
yang terletak di antara China dan India, serta faktor geografinya yang
melindungi Phra Nakhon SI Ayutthaya dari kuasa-kuasa Arab dan Eropah, ibu kota
Siam ini berupaya membangun sebagai sebuah pusat ekonomi dan perdagangan
antarabangsa – menghubungkan Timur dan Barat.
Peta-peta yang
dihasilkan pada waktu itu menunjukkan bahawa kota Phra Nakhon Si Ayutthaya
direka secara sistematik, dilengkapi dengan parit, rangkaian jalan dan terusan
yang mengelilingi segala bangunan yang ada. Kota ini juga mempunyai sistem
pengurusan air secara hidraulik yang diperkirakan agak terkehadapan untuk zaman
itu.
Jurubina yang berpangkalan di kota itu juga terkenal sebagai bijakpandai pertukangan, khususnya apabila kemahiran mereka diabadikan pada kuil-kuil dan biara-biara yang sebahagiannya wujud sehingga kini. Setiap bangunan diukir dengan terperinci, lengkap dengan mural dan kraf. Sepanjang berdirinya kota Phra Nakhon Si Ayutthaya, seramai 35 orang raja bertakhta dengan megah. Pun begitu, segala ciri pertahanan yang dimiliki oleh ibu kota Siam tidak mampu menahan serangan yang membadainya.
Pada tahun
1767, pasukan tentera Burma menggempur Phra Nakhon Si Ayutthaya dengan amat
dahsyat sehingga kota agung itu dibumihanguskan. Warga yang terselamat pula
meninggalkan kota tanpa pernah menoleh lagi. Semenjak tersungkur ke bumi dek
serangan tersebut, Pra Nakhon Si Ayutthaya tidak lagi berupaya untuk berdiri
semula.
Pada hari ini, Taman Bersejarah Ayutthaya diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Tapak ini meliputi pelbagai macam tarikan pelancong, di mana sebahagian besar daripadanya merupakan runtuhan kuil. Cuma malangnya, tahun 2018 menyaksikan nasib malang berkali-kali menimpa tapak berkenaan. Misalnya pada bulan Februari, tiga buah bangunan kayu Thai yang berusia lebih seratus tahun mengalami kerosakan dek dibadai kebakaran akibat lintar pintas.
Mujur, kemalangan ini tidak
mencederakan sesiapa memandangkan pada masa kejadian, kebanyakan sami yang
menjaga kuil tersebut sedang keluar membuat kutipan). Beberapa hari kemudian, Bangkok
Post melaporkan bahawa lima orang pelancong didenda sebanyak 10 000 baht
(lebih 300 USD) dan/atau hukuman penjara selama sebulan kerana memuat naik
gambar di dalam Facebook yang menunjukkan mereka duduk dan memanjat Wat
Mahathat.
Selain Wat Mahathat,
antara tarikan pelancong yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya adalah Wat
Naphramane, Wat Lokayasutharam, Wat Phanan Choeng, Wat Mongkhol Bophit, Wat
Phra Sisanphet, Wat Chai Watthanaram, dan Wat Rat Burana. Taman Bersejarah
Ayutthaya meraih kemasyhuran yang tersendiri menerusi menara-menaranya yang
tinggi (prang) dan biara-biara Buddha yang besar.
Antara kuil Buddha yang
terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya adalah Wat Chaiwatthanaram. Pembinaan
kuil ini dilakukan oleh Raja Prasat Thong. Nama Wat Chaiwatthanaram membawa
maksud ‘Kuil Pemerintahan Panjang dan Era Gemilang’. Prang utama di kuil
ini memiliki ketinggian yang mencecah 35 meter, manakala empat buah prang
yang lebih kecil masing-masing dibina di atas sebuah platform berbentuk segi
empat tepat. Wat Chaiwatthanaram merupakan kuil diraja, tempat di mana
upacara-upacara keagamaan dan mayat kerabat diraja dibakar. Kuil ini dibina
dengan penuh simbol Buddhisme. Prang utama kuil ini mewakili Gunung
Meru, sementara prang-prang yang lebih kecil mewakili empat buah benua
di empat penjuru dunia.
![]() |
Wat Chaiwatthanaram, kuil Buddha yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthaya |
Wat Kudi Dao juga
merupakan salah sebuah kuil yang terdapat di Taman Bersejarah Ayutthata. Kuil
ini dibina atas perintah Raja Narai dan ia dibaiki oleh Raja Thai Sa pada tahun
1711. Kuil ini juga didiami oleh seorang sami kanan bagi Putera Mahkota
Boromakot, iaitu Phra Then Muni. Kompleks Wat Kudi Dao merangkumi beberapa buah
bangunan, seperti Ubosot (dewan pentahbisan), Viharm (dewan patung), Chedi yang
berbentuk seperti loceng, dan sebuah bangunan bernama Tumnak Kummalaen. Wat
Judi Dao berjaya dibaik-pulih ke bentuk asalnya, persis seperti keadaannya yang
sediakala.
![]() |
Kuil Wat Kudi Dao, Thailand |
Satu lagi kuil di Taman
Bersejarah Ayutthaya yang dikira sesuai untuk dinotakan di sini adalah Wat
Phanan Choeng. Kuil ini dibina pada tahun 1326, yakni 26 tahun sebelum kota
Phra Nakhon Si Ayutthaya ditubuhkan secara rasmi. Dalam bangunan terbesar di
kompleks kuil ini terdapat sebuah patung Buddha dari tahun 1334M yang setinggi
19 meter. Patung yang dipanggil sebagai Luang Pho Tong atau Sam Pao Kong ini
dianggap sebagai pelindung warga di tepi laut. Kononnya sebelum kota Phra
Nakhon Si Ayutthaya dihancurkan, air mata bercucuran dari mata jatuh ke pusat
patung tersebut.
![]() |
Wat Phanan Choeng, dari 1324M, menempatkan sebuah patung Buddha |
Ayutthaya juga masyhur
dengan patung kepala Buddha yang terlilit dalam akar pokok Banyan di Wat
Mahathat. Ia kemudiannya menjadi salah satu imej paling ikonik di Thailand.
Kuil tersebut dimusnahkan semasa Burma menyerang, dan banyak patung Buddha di Ayutthaya
dirosakkan dan kepalanya dipenggal. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang
mengetahui bagaimana patung kepala Buddha itu boleh dililit oleh akar pokok.
Sebilangan pihak mengandaikan bahawa pokok berkenaan tumbuh membesar
berhampiran patung itu sepanjang tempoh kuil tersebut ditinggalkan. Pendapat
lain pula mengatakan bahawa terdapat seorang pencuri artifak yang memindahkan
patung kepala itu dari kuil utama lalu menyembunyikannya dalam belukar, namun
tidak berpeluang untuk mengambilnya semula.
![]() |
Patung kepala Buddha yang dililit akar pokok di kompleks kuil Wat Mahathat |
Pengiktirafan Taman
Bersejarah Ayutthaya sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia memerikan kepentingan
sejarah di sebalik puing-puing runtuhannya. Pada masa dahulu, khususnya
sepanjang tempoh 1350 hingga 1767, keampuhan kota Phra Nakhon Si Ayutthaya
membuatkan penghuninya meyakini bahawa ia tidak akan mampu ditembusi. Justeru
ketika Burma menyerang kota tersebut, sejarahwan mengandaikan bahawa mereka
membawa pasukan tentera yang gergasi lagi gagah sehingga berupaya menghancurkan
kota agung itu.
Mujur, kebanyakan kuil
yang terdapat di tapak berkenaan dapat dibaik pulih seperti sediakala sekaligus
mencerminkan kemegahannya di masa lampau. Taman Bersejarah Ayutthaya juga
dibuka untuk kunjungan awam yang mahu mengenang sejarah silam Siam.
SUMBER
- Historic City of Ayutthaya – UNESCO.
- Temples & Ruins – History of Ayutthaya.
- Buddha Head in Tree Roots, Wat Mahathat, Ayuttahay – Thaizor.com.
- Get link
- X
- Other Apps