- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ashley Cowie. (10 Ogos 2020). August 10 612 BC: Nineveh, the Largest City in
the World, Fell. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/fall-nineveh-0014103
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Kira-kira 2632 tahun
lalu, metropolis purba Nineveh tumbang. ‘ABC 3’ merupakan sebuah teks
historiografi dari Babylonia yang mencatatkan tanggal 10 Ogos 612SM sebagai
tarikh berlakunya peristiwa bersejarah ini. Ketika itu, Nineveh merupakan kota
terbesar di dunia dan ia berfungsi sebagai ibu kota Assyria. Kesemua
kegemilangannya itu berakhir secara mendadak apabila Nabopolassar si raja
Babylonia dari Kaldan dan seorang figura utama dalam kejatuhan Empayar
Neo-Assyria, bertindak menakluki Nineveh. Kejatuhan Nineveh ini disebutkan oleh
sejarahwan sebagai salah sebuah peristiwa paling menggemparkan dunia purba:
Kejatuhan ‘Pertama’ Nineveh. Kejatuhannya yang kedua berlaku pada tahun 2015,
dengan kerosakan yang lebih dahsyat menimpa dek ulah militan ISIS.
NINEVEH: PENEMUAN
ARKEOLOGI YANG TIADA TOLOK BANDINGAN
Mesopotamia di zaman
purba merupakan tempat lahirnya tamadun di Hilal Subur, yang pada hari ini
meliputi Iraq, Kuwait, timur Syria, tenggara Turki dan kawasan di sempadan
Turki-Syria dan Iran-Iraq. Pada tahun 1839, Paul-Emile Botta dari Perancis
menjalankan ekskavasi di gundukan-gundukan yang terdapat di gurun Iraq, dan
ianya membawa kepada penemuan Nineveh, kota Assyria purba yang terletak di
pinggir bandar Mosul, Iraq.
Penemuan tersebut amat
signifikan memandangkan ia memberi maksud sebuah kota dan tamadun purba yang
disebutkan di dalam Bible (bagi penganut Kristian, dan hadis baginda Nabi bagi
Muslim) dapat ditunjukkan bukti kewujudannya. Bagi penganut Kristian, penemuan
ini memberi nafas baru buat mereka lantaran zaman tersebut dicirikan oleh
golongan saintis yang lazim menuntut bukti empirikal tentang sebarang doktrin
agama, di mana tradisi sebegini secara efektif menggantikan ajaran-ajaran agama
dengan logika dan nalar. Justeru, penemuan kota Nineveh mengubah segalanya.
KOTA DIRAJA NINEVEH
Empayar Assyria mula
goyah selepas kemangkatan Raja Assurbanipal pada tahun 631SM, tahun di mana
warga Babylon memerdekakan diri. Sekitar tahun 627SM, Nabopolassar dari Babylon
menewaskan Assyria dalam sebuah pertempuran yang meletus berhampiran Babylon
lalu diangkat sebagai raja. Peristiwa ini menandakan bermulanya sejarah Empayar
Babylon yang berpanjangan hingga ke tahun ketumbangan Nineveh di tangan Cyrus
Agung dari Parsi pada Oktober 539SM.

Kempen ketenteraan Assyria di Mesopotamia selatan, 640-620SM, dari relif yang terletak di Istana Barat Daya Nineveh
Walaupun beliau sudah pun berjaya memerdekakan warga Babylon, Nabopolassar tetap jua bertekad mahu menghapuskan kota-kota penting seterunya, termasuklah pusat keagamaannya di Assur dan pusat pentadbirannya di Nineveh. Bagi menghindarkan perkara tersebut berlaku lantaran ia bakal mengakibatkan perubahan kuasa secara ketara di Timur Dekat, maka Mesir menawarkan bantuan ketenteraan kepada Assyria.
Kronikel
Kejatuhan Nineveh mencatatkan bahawa pada 25 Julai 616SM, Nabopolassar
menewaskan pasukan Assyria di tebing Sungai Furat di selatan Harran. Namun
tidak lama kemudian, beliau mengundurkan pasukannya sebaik sahaja pasukan Mesir
kian menghampiri kedudukannya. Menjelang lewat tahun berikutnya, Medes, iaitu
sebuah federasi kesukuan yang menetap di Iran moden, memanfaatkan kesempatan
atas segala kekacauan tersebut untuk menguasai Nineveh.

Imej ini diambil pada April 2017 semasa berlangsungnya sebuah misi UNESCO ke Nineveh yang sudah pun hancur teruk dan dijarah oleh ISIS pada 2015
Nabopolassar dengan bijaksana memeterai sebuah perjanjian dengan raja Medes, Umakistar (Cyaxares). Putera mahkota Babylon, iaitu Nabu-kudurru-usur (Nebuchadnezzar) dikahwinkan dengan Amytis, yang diandaikan oleh sejarahwan sebagai puteri kepada Cyaxares dari Astyages. Pasukan gabungan Medes-Babylon lalu menyerang Nineveh pada Mei 612SM dan kota tersebut tumbang pada bulan Julai.
Menurut sebuah artikel yang
disiarkan di Livius, selepas Raja Sin sar-Iskun terbunuh, “penjarahan Nineveh
berlanjutan hingga ke tanggal 10 Ogos, di mana Medes akhirnya pulang jua pada
hari tersebut”. Tambahnya lagi, ketumbangan Nineveh “benar-benar menggemparkan
dunia purba”. Di Yunani yang jauh sekalipun, seorang penyair yang bernama
Phocylides dari Miletus menghikayatkan kehancuran kota purba itu dalam
karyanya.

Tentera ISIS di dalam Muzium Mosul sedang menghancurkan artifak-artifak purba Nineveh pada 2015
2015: KEJATUHAN NINEVEH
KALI KEDUA DI TANGAN ISIS
Tidak cukup hancur pada
2500 tahun yang lalu, Nineveh sekali lagi ditimpa malang pada tahun 2015
apabila sebuah patung kerbau bersayap Assyria dihancurkan oleh ISIS. Sebuah
artikel di The Guardian menyifatkan kehancuran warisan budaya di Iraq
itu sebagai ‘jenayah perang’. Pada waktu yang sama, kumpulan pengganas tersebut
dengan muka temboknya melakukan cubaan untuk mendapatkan rekrut baru di sana.
Sebuah video Aljazeera
yang dikeluarkan pada tahun 2015 memaparkan bagaimana sejumlah artifak Nineveh
dari kurun ke-7SM dihancurkan pada tanggal 26 Februari 2015 dalam sebuah
serangan ISIS ke atas Muzium Mosul. Banyak juga artifak yang dicuri dan dijual
dalam pasaran asing. Namun pada tahun 2019, BBC mengumumkan bahawa setelah
tentera Iraq berhasil merebut semula Mosul pada 2017, sebahagian Muzium Mosul
dibaikpulih dan dibuka semula untuk mempamerkan hasil-hasil seni kontemporari.
Sambil itu, bahagian-bahagian yang lain terus ditutup bagi ‘melindungi artifak
yang masih tersisa’. Sekiranya kejatuhan pertama Nineveh disifatkan oleh rekod
sejarah sebagai suatu peristiwa yang menggemparkan dunia purba, kejatuhan
keduanya pula diratapi oleh setiap pelusuk buana.
- Get link
- X
- Other Apps
