- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (15 Julai 2020). The Fierce Warriors of the Steppes: Who Were
the Sarmatians? Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/sarmatians-0013985
Penterjemah: Amir Zayyanid
Dunia klasik sememangnya dipenuhi dengan pelbagai macam suku kaum, kebudayaan dan masyarakat yang berbilang bangsa, di mana setiap satunya terlibat dalam peristiwa-peristiwa penting yang membentuk dunia yang kita kenali pada hari ini. Budaya demi budaya baru muncul dan dibentuk menjadi suku mahupun bangsa-bangsa tertentu. Lalu, suku dan bangsa-bangsa ini lenyap sepantas mana ia muncul.
Pada hampir keseluruhan zaman klasik dan zaman-zaman yang lebih awal daripadanya, Steppe Eurasia merupakan tanah tumpah bagi sejumlah tamadun dominan. Salah satu daripadanya adalah tamadun Sarmatia; iaitu sebuah konfederasi kaum-kaum nomad yang lahir daripada kumpulan masyarakat Scythia yang lebih meluas.
Sebagai sebuah tamadun yang perkasa lagi mahir dalam aspek
peperangan, tamadun Sarmatia berupaya meluaskan sempadan wilayah mereka sekaligus
membayangi tamadun Scythia-lama. Pengaruh mereka benar-benar dirasai oleh
tamadun-tamadun kontemporar. Pada suatu tahap, mereka bahkan menjadi seteru
utama Rom dan Yunani. Namun, apakah takdir yang menimpa tamadun ini? Artikel
kali ini akan cuba memerihalkan serba-sedikit tentangnya.
![]() |
| Steppe Eurasia merupakan kampung halaman yang cukup subur untuk melahirkan kebudayaan, seperti Sarmatia yang berkembang masyhur |
SARMATIA DARI STEPPE
EURASIA
Tamadun Sarmatia
disepakati secara meluas muncul pada kurun ke-7 SM dan mengalami kepesatan di
rantau Steppe Eurasia. Padang rumput menghijau yang luas ini membentuk sebuah
koridor gigantik yang terbentang dari China hingga ke dataran Hungary. Apapun,
tamadun Sarmatia bukanlah sebuah bangsa tunggal. Sebaliknya, ia merupakan
sebuah konfederasi yang menyatukan sejumlah suku nomad yang berkongsi jalur
leluhur yang sama dan menuturkan bahasa atau dialek yang sama. Pada skala yang
lebih besar, tamadun Sarmatia boleh dianggap memiliki hubungan yang rapat
dengan tamadun Scythia.
Suku-suku nomad yang
secara kolektifnya disebut sebagai Sarmatia ini mengamalkan gaya hidup nomad,
dan bergerak ke barat secara berperingkat dengan membawa bersama kuda-kuda
ternakan mereka. Bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang
suku-suku nomad Sarmatia, Strabo menggolongkan suku-suku berikut sebagai antara
suku utama dalam tamadun Sarmatia:
Roxolani, Iazyges, Siraces, Aorsi dan Sauromatae. Ramai sejarahwan turut
mengandaikan suku Alan berkongsi rumpun yang sama dengan Sarmatia, namun tidak
mengkelompokkan mereka ke dalam konfederasi berkenaan.
Sama seperti tamadun
Scythia, Sarmatia menuturkan bahasa dari kelompok Irani dari bahasa
Indo-Eropah, sekaligus mempunyai kaitan dengan bahasa Parsi moden. Bahasa ini
sendiri merupakan kumpulan bahasa yang luas, dikenali sebagai kumpulan bahasa
Scythia-Sarmatia, yang dahulunya disebut sebagai bahasa Irani Lama. Seiring
peredaran waktu, dialek bahasa ini berkembang dan membentuk bahasa unik yang
terpisah, terutama apabila suku-suku tersebut mula mendiami kawasan yang
berbeza-beza. Dialek Sarmatia berkembang menajdi bahasa-bahasa Irani-Utara,
yang mana pada hari ini dianggap sebagai leluhur kepada bahasa Alania dan
Ossetia moden.
![]() |
| Sarmatia adalah sebuah konfederasi kesukuan yang perkasa dari kumpulan masyarakat Scythia. Patung pemanah Scythia ini diemui di kota purba Yunani, Panticapaeum yang kini terletak di Ukraine moden |
Sebagaimana yang telah
disebutkan di atas, tamadun Sarmatia muncul sekitar kurun ke-7SM dan mendiami
bahagian timur steppe Sungai Don dan bahagian selatan Pergunungan Ural. Mereka
mengamalkan gaya hidup yang hampir sepenuhnya nomad, dengan memusatkan kegiatan
mereka pada ternakan kuda yang daripadanya pelbagai barangan penting diperoleh:
bermula dari kegunaan sebagai tunggangan perang, susu yang diperah dari kuda
betina, sumber makanan, hinggalah ke kulit dan bulunya.
Sejarahwan secara
meluas bersepakat mengatakan bahawa Sarmatia hidup bersama Scythia secara aman
sehingga kurun ke-3 SM, di mana pada kurun tersebut mereka mula melebarkan
sempadan wilayah dengan agak signifikan. Diodorus mencatatkan bahawa pada era
tersebut, Sarmatia mula merentasi Sungai Don dan memasuki steppe Pontic di
sebelah utara Laut Hitam. Di sana, mereka berkonflik dengan Scythia dan
mengusirnya dari tanah tersebut. Sarmatia kemudiannya mendominasi rantau
berkenaan selama lima kurun.
![]() |
| Pahlawan wanita Amazon, dipercayai hidup bersama Sarmatia |
PAHLAWAN WANITA AMAZON
DAN GASAR PERKASA DI TANAH JAUH
Sarmatia mempunyai satu ciri sosial yang unik, di mana ciri ini membangkitkan banyak mitos dalam dunia klasik. Salah satu mitos yang paling utama tidak lain dan tidak bukan adalah mitos Pahlawan Amazon. Bagi masyarakat Yunani, Pahlawan Amazon merupakan pahlawan-pahlawan wanita yang mendiami tanah yang jauh. Sememangnya, wujud kemungkinan wanita-wanita tersebut benar-benar hidup dalam kalangan tamadun Sarmatia.
Herodotus mencatatkan bahawa kaum wanita Sarmatia mahir menunggang
kuda dan bermain senjata sama seperti kaum lelaki; mereka lazim berburu, cekap
memanah sambil menunggang kuda dan mahir melontar lembing. Mereka turut memakai
pakaian pelindung yang sama dengan kaum lelaki. Namun sebaik sahaja kaum wanita
Sarmatia berkahwin, gaya hidup mereka mula berubah dan perhatian mereka lebih
tertumpu kepada pengurusan rumahtangga.
Beberapa orang penulis
Yunani lain yang hidup sezaman dengannya turut mencatatkan bahawa masyarakat
Sarmatia mengamalkan konsep matriarki dan kaum wanita diangkat sebagai
pemimpin. Walau bagaimanapun, butki arkeologi dan penyelidikan sejarah mendapati
bahawa pada beberapa kurun kemudian, kaum wanita mula meninggalkan medan perang
secara berperingkat. Rangka-rangka wanita dari era awal Sarmatia kebiasaannya
memiliki kaki yang melengkung ke luar. Keadaan ini mengisyaratkan kepada kita
bahawa kaum wanita meluangkan hampir
seluruh kehidupannya dengan menunggang kuda, sama seperti kaum lelaki.
![]() |
| Mozek Rom dari Daphne (di Turki moden) menunjukkan seorang pahlawan Amazon yang bertempur di atas kuda |
Apapun, hanya pada kurun pertama Masihi barulah Sarmatia memasuki panggung sejarah dengan agak menonjol. Pada masa-masa inilah catatan klasik mula merekodkan mereka sebagai bangsa gasar yang mencerobohi wilayah jiran dan mencetuskan peperangan. Bersama suku Alans, mereka merentasi Asia Kecil dengan bilangan yang agak ramai, lalu menyerang Parthia, Armenia dan Media dengan ganas. Mereka malah turut menembusi Danube, menggempur wilayah Moesia dan Pannonia milik Rom.
Sepanjang berada di
sana, Sarmatia mengukuhkan pengaruh mereka dengan cukup signifikan dan kekal
mendiami Dataran Hungary. Sebagai catatan sampingan, suku Sarmatia yang paling
berpengaruh di Danube ketika itu adalah Iazyges, di mana jejak tinggalan mereka
kekal sehingga ke hari ini, iaitu pada masyarakat Jasz di Hungary yang
menuturkan bahasa Jassi.
MENUJU KE BARAT DENGAN
MATA PEDANG
Lantaran menduduki
Danube yang hampir dengan Rom, Sarmatia serta-merta dianggap sebagai suatu
ancaman yang besar buat tamadun ulung itu. Tambahan lagi, pergerakan Sarmatia
agak sukar dijangka. Mereka kerap melakukan serangan walau tanpa sebarang
provokasi. Tamadun Sarmatia bukan sahaja gagah dan cekap bertempur di atas
kuda, malah mahir bermain busur dan lembing.
![]() |
| Patung relif pada Tiang Trajan di Rome (Itali) yang menggambarkan sebuah pertempuran kavalri melibatkan Sarmatia |
Sarmatia membangunkan sejumlah kaedah peperangan yang unik, di mana ianya kemudian mempengaruhi kesemua tamadun yang berinteraksi dengan mereka. Seandainya bekalan besi tidak didapati, Sarmatia mencipta alatan senjata dengan menggunakan bahan-bahan lain; misalnya mata anak panah dan bilah lembing diperbuat daripada tulang-belulang, manakala kayu kornel digunakan bagi menghasilkan pemegang lembing dan busur panah. Mereka juga masyhur mengenakan pelitup dada bersisik, di mana pada era awal, ianya diperbuat daripada telapuk kuda ataupun tulang-belulang.
Di samping
itu, Sarmatia juga terkenal dengan penggunaan laso (tanjul) yang
dilontar pada musuh yang berada di atas kuda, di mana musuh tersebut
kemudiannya akan diheret lalu dikerjakan beramai-ramai. Kegagahan pasukan
kavalri Sarmatia tiada tolok bandingan, di mana ia secara langsung memberikan
pengaruh yang besar kepada pemantapan unit kavalri Rom.
Sejak bermulanya interaksi pertama mereka dengan tamadun Rom di Danube, suku-suku Sarmatia sentiasa terlibat dalam peperangan. Suku Sarmatia yang paling besar di Danube ialah Iazyges, yang bergabung dengan suku-suku Jerman pada tahun 167-180 semasa berlakunya Perang Marcommanic, menentang Rom. Pada tahun 173-174M pula, Iazyges cuba menyerang Pannonia secara sendirian, namun kalah di tangan Marcus Aurelius.
Kekalahan tersebut memaksa mereka memeterai perjanjian damai dengan
Rom pada tahun berikutnya, iaitu 175M. Melalui perjanjian ini, Iazyges dituntut
membekalkan Rom dengan pasukan tentera yang agak besar, sekitar 8000 orang
tentera kerahan. Daripada keseluruhan jumlah itu, kira-kira 5000 orang
daripadanya berkhidmat di Britannia.
![]() |
| Panel hadapan Sarcophagus Rom yang menggambarkan penyerahan-kalah Sarmatia |
Pada dekad-dekad
berikutnya, Sarmatia-Iazyges terus-menerus mengganggu gugat keamanan Rom.
Justeru, Rom kerapkali melancarkan ekspedisi ketenteraan bagi menangani mereka.
Sarmatia sekali lagi memasuki panggung sejarah sekitar tahun 236M, iaitu ketika
Maharaja Maximinus Thrax memimpin pasukannya memerangi Iazyges sekaligus
meraihkannya gelaran ‘Sarmaticus Maximus’. Selepas Iazyges ditewaskan sekali
lagi pada tahun 282M oleh Maharaja Carus, mereka mula muncul dalam sejarah
sebagai tentera kerahan di tengah-tengah barisan tentera Rom.
SUKU-SUKU SARMATIA:
SIRACES, AORSI, ROXOLANI, DAN IAZYGES
Siraces mungkin
merupakan suku Sarmatia yang paling kecil. Pun begitu, kekuatannya masih tetap
dirasai sehingga mereka digeruni oleh seteru-seteru mereka. Sekitar penghujung
kurun ke-5SM, Siraces berpindah secara besar-besaran dari Kazakhstan moden
menuju ke barat dan pada kurun ke-4SM, mula mendiami kawasan sekitar
pergunungan Kaukasus dan Sungai Don. Di sinilah Siraces memulakan interaksi
awal dengan tamadun Yunani, khususnya menerusi koloni-koloni mereka yang
bertempat di Laut Hitam.
![]() |
| Sarmatia adalah sebuah masyarakat nomad gasar yang mahir bertempur di atas kuda |
Pada dekad-dekad
berikutnya, Siraces mula berkembang secara bertahap dari gaya hidup nomad yang
diwarisi secara turun-temurun. Hanya golongan bangsawan sahaja yang masih
mengekalkan tradisi nomad, sementara golongan lain mula hidup secara menetap.
Walaupun saiz mereka lebih kecil berbanding suku-suku lain, Siraces masih
berupaya menggalang tentera yang agak ramai. Strabo mencatatkan bahawa Raja
Siraces, iaitu Abeacus (yang memerintah sezaman dengan Pharnakes si raja
Bosporan pada 63-74SM) mampu menghimpunkan kira-kira 20 000 orang tentera
berkuda. Siraces menerapkan banyak unsur Hellenistik dalam kehidupan mereka,
namun identiti Sarmatia masih tetap dikekalkan.
Selain itu, tamadun
Sarmatia juga terdiri daripada suku Aorsi yang lebih signifikan. Mereka menetap
bahagian utara Siraces, tepatnya di belakang Sungai Don. Aorsi menempati
kawasan ini selepas berpindah dari Timur dan mereka lebih berupaya menggalang
tentera yang besar, kira-kira 200 000 orang berkuda. Dicatatkan bahawa Aorsi
merupakan penguasa di rantau Caspian. Sekitar tahun 50 Masihi, mereka mula
berkonflik dengan Siraces di mana Aorsi memilih untuk menyokong faksi yang
pro-Rom dalam Perang Bosporan. Kekuatan Siraces musnah sepenuhnya sesudah
peperangan ini dan mereka hilang dari rekod sejarah sekitar tahun 193M.
Satu lagi suku Sarmatia
yang signifikan ialah Roxolani, yang berkelana jauh ke barat bersama Iazyges.
Secara lebih mengkhusus, mereka mendiami kawasan sekitar Laut Azov yang
bertempat di Ukraine selatan. Roxolani kali pertama memasuki rekod sejarah
sekitar tahun 107SM. Pada waktu itu, mereka berkonflik dengan Raja Mithridates
VI dan kekuatan mereka yang berjumlah 50 000 orang kavalri ditumpaskan. Selepas
mengalami kekalahan tersebut, Roxolani dikerah untuk berkhidmat di bawah
Mithridates dan memerangi Rom.
Tanpa dapat diragukan
lagi, suku Sarmatia yang paling menghadirkan ancaman buat Rom ialah Iazyges,
lebih-lebih lagi lantaran kedudukan mereka yang lebih jauh ke barat berbanding
suku-suku Sarmatia yang lain. Sikap mereka terhadap Rom dan Roxolani sentiasa
berubah seiring peredaran masa, di mana kadangkala Iazyges bersekutu dan ada
masa berseteru pula dengan mereka. Apa yang jelas, Iazyges menghadirkan ancaman
yang besar buat Rom selama tempoh beberapa kurun.
Sekitar kurun ke-4
Masihi, suku-suku Sarmatia mengharungi tempoh keruduman apabila Goth-Jerman
mula memasuki panggung sejarah dan mengganggu gugat kedudukan Sarmatia di
Danube. Kemudian pada lewat kurun ke-4 dan awal kurun ke-5 Masihi, Sarmatia
dibayangi pula oleh Hun yang meluaskan kuasa mereka secara drastik. Sarmatia
terpaksa tunduk kepada Attilia dan seterusnya, saki-baki Sarmatia yang masih
terselamat berasimilasi pula dengan suku-suku Slavik pada 600M. Saudara jauh
mereka, iaitu suku Alan, berupaya bertahan dengan lebih lama dan sempat
memasuki Zaman Pertengahan Awal. DNA mereka hidup sehingga kini dalam pembuluh
darah etnik Ossetia moden.
![]() |
| Gambaran pertempuran antara Rom, Sarmatia dan Jerman yang diukir pada sarchopagus marmar di Rome |
HILANGNYA SARMATIA DARI
PANGGUNG SEJARAH
Takdir buat tamadun
purba sentiasa berputar dalam roda yang sama; kurun demi kurun berlalu
melahirkan sejumlah generasi. Lalu, peperangan demi peperangan dan perpindahan
demi perpindahan bersilih-ganti di mana ia secara efektif melenyapkan seluruh
kebudayaan dan tamadun. Nasib yang serupa menimpa tamadun Sarmatia. Pada suatu
sudut, mereka dengan perkasa memperagakan kekuatan dan melebarkan pengaruh
terhadap setiap musuh yang menghalangi perjalanan mereka. Namun, kejayaan yang
sama inilah seterusnya mendorong kepada perpecahan dan permusuhan sesama suku
Sarmatia itu sendiri. Setiap suku menjadi tentera upahan bagi pihak yang
berlawanan, sekaligus membuatkan mereka saling berseteru. Dengan demikian,
takdir buruk Sarmatia tidak lagi dapat dielakkan.
SUMBER
- Brzezinski, R. and Mielczarek, M. 2002. The Sarmatians 600 BC – 450 AD. Osprey Publishing.
- Hinds, K. 2010. Scythians and Sarmatians. Marshall Cavendish.
- Kravtsiv, B. and Zhukovsky, A. 1993. “Sarmatians”. The Internet Encyclopedia of Ukraine.
- Get link
- X
- Other Apps








