- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (10 Mei 2018). Warring States Period: More than 200 Years of
Blood-fueled Chinese History. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/warring-states-period-more-200-years-blood-fueled-chinese-history-0010027
Penterjemah: Amir Zayyanid
Zaman Negara-Negara
Berperang merupakan sebuah zaman di mana kuasa berpusat pada tujuh buah negara
utama. Ia merupakan sebuah zaman berdarah dalam sejarah China. Peperangan yang
berterusan berlaku mengakibatkan korban nyawa yang tidak terhitung banyaknya.
Ia juga merupakan zaman di mana berlakunya perkembangan signifikan dalam aspek
ketenteraan.
Zaman Negara-Negara
Berperang berlangsung pada kurun ke-5 dan ke-3SM. Pada hampir keseluruhan zaman
ini, China berada di bawah pemerintahan Zhou Timur, iaitu fasa kedua bagi
Dinasti Zhou. Walau bagaimanapun, autoriti para penguasa Zhou pada Zaman
Negara-Negara Berperang sudah begitu malap hinggakan mereka tidak lagi berupaya
menebarkan kuasa diraja yang sebenar. Zaman Negara-Negara Berperang berakhir
apabila negara Qin berjaya menakluki kesemua negara seteru lain, sekaligus
menyatukan China di bawah dinasti diraja pertamanya, Dinasti Qin.
![]() |
| Topi pelindung gangsa milik tentera China dari negara Yan, bertarikh dari Zaman Negara-Negara Berperang |
BILAKAH BERMULANYA
ZAMAN NEGARA-NEGARA BERPERANG?
Zaman Negara-Negara
Berperang secara umum dianggap bermula pada tahun 475SM. Peletakan tarikh ini
didasarkan pada karya Sima Qian yang berjudul Catatan-Catatan Sejarahwan
Ulung. Pada tahun sama, Raja Yuan dari Dinasti Zhou menaiki takhta. Pun
begitu, terdapat juga sebahagian sejarahwan yang mengemukakan tahun 481SM dan
403SM sebagai titik mula Zaman Negara-Negara Berperang.
Peletakan tahun 403SM
adalah didasarkan pada hakikat terhapusnya Hikayat Musim Bunga dan Musim
Luruh pada tahun itu. Sementara tahun 481SM pula merupakan tahun
berpecahnya negara Jin. Perpecahan Jin ini merupakan titik penting dalam
sejarah Zaman Negara-Negara Berperang, kerana ia melibatkan kejatuhan negara
Jin yang memegang pengaruh besar ketika itu, di samping bangkitnya beberapa
buah negara lain seperti Han, Wei dan Zhao.
Zaman Negara-Negara
Berperang memperlihatkan kemunculan Han, Wei dan Zhao mendominasi China, sambil
Qin, Qi, Chu dan Yan melengkapkan bilangan tujuh buah negara. Sebagai maklumat
tambahan, terdapat juga beberapa buah negara kecil yang lain, antaranya seperti
wilayah diraja Zhou, negara Yue, negara Shu, dan negara Song. Walau
bagaimanapun, negara-negara kecil ini secara bertahap tetapi pasti ditakluki
oleh negara-negara lain yang lebih berkuasa. Misalnya, riwayat Dinasti Zhou
tamat pada tahun 256SM, apabila ibu kotanya dikuasai oleh Qin dan pemerintah
terakhirnya pula dibunuh.
FAKTOR YANG MEMBAWA
KEPADA ZAMAN NEGARA-NEGARA BERPERANG
Bagi negara-negara yang
besar lagi berkuasa, perjalanan mereka mengalami naik-turun sepanjang
berlalunya Zaman Negara-Negara Berperang, dengan tiada satu pun negara yang
menyandang kelebihan ketara ke atas negara lain hinggalah dekad-dekad terakhir
kurun ke-3SM. Pada tahun 247SM, seorang remaja berusia 13 tahun yang bernama
Ying Zheng diangkat sebagai pemerintah baru negara Qin. Pada tahun 238SM, Ying
Zheng mengambil-alih kuasa mutlak setelah berhasil menghapuskan seteru
politiknya, Lu Buwei dan Laoi Ai. Lapan tahun kemudian, raja Qin itu berangkat
bagi melaksanakan sebuah kempen agung yang bakal menyatukan China.
![]() |
| Patung pahlawan berkuda (475-221SM) |
Bertindak sesuai dengan
usul cadangan penasihatnya, Li Si, Ying Zheng menjalankan kempen penaklukannya
dengan mengikut turutan darjah kesukaran. Negara Han merupakan negara pertama
yang tumbang, iaitu pada tahun 230SM. Sebahagian negara Zhao dan Yan juga
dikuasai, masing-masing pada 228SM dan 226SM, sebelum akhirnya ditakluki secara
total pada tahun 222SM. Negara Wei pula dikuasai pada tahun 225SM, manakala
seteru terkuat Qin, iaitu negara Chu, ditewaskan pada 223SM. Qi merupakan
negara terakhir yang tumbang ke tangan Qin, iaitu pada tahun 221SM. Maka, dalam
masa hanya sedekad, Ying Zheng si Raja Qin berhasil menyatukan China,
mendirikan hegemoni Dinasti Qin dan menyandang gelaran ‘Qin Shi Huang’.
![]() |
| Qin Shi Huang, maharaja pertama China |
Sebagai kesimpulan,
Zaman Negara-Negara Berperang sememangnya merupakan suatu era berdarah dalam
sejarah China. Peperangan demi peperangan yang berterusan berlaku mengakibatkan
banyak kematian. Susulan daripada era konflik ini jugalah banyak kemajuan dalam
bidang teknologi dan peperangan dapat dicapai. Misalnya, pada era inilah
senjata besi dan busur silang mula diperkenalkan.
Begitu juga dengan
baju-baju pelindung yang dipertingkatkan mutunya dari semasa ke semasa.
Strategi ketenteraan turut berkembang dengan mekar pada zaman ini, khususnya
dengan munculnya karya-karya seperti Art of War oleh Sun Tzu dan Wuzi
oleh Wu Qi (kedua-duanya dianggap sebagai antara Tujuh Karya Ketenteraan
Klasik China).
SUMBER
- Deason, R. 2017. A Brief History of China: Warring States.
- Dhwty. 2016. The Ruthless Chinese Emperor Qin Shi Huang: How He Unified and Tyrannized His Subjects.
- Fercility. 2018. The Warring States Period – From 14 Kingdoms to 7 to 1.
- Gill, N. 2017. The Warring States Period of Ancient China.
- New World Encyclopedia. 2008. Warring States Period.
- Shibumi. 2017. The King Who Made War Illegal! Challenging the Official History of the Art of War and the First Emperor – Part 1.
- The Editors of Encyclopaedia Britannica. 2014. Warring States.
- Get link
- X
- Other Apps



