- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Aleksa Vuckovic. (29 Jun 2020). Predynastic Egypt: Life Before the Pyramids.
Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/predynastic-egypt-0013917
Penterjemah: Amir Zayyanid
Sejarah Mesir Purba
meliputi ribuan tahun perjalanan dan ia dipenuhi dengan pelbagai macam
keajaiban dan pencapaian, yang kebanyakannya masih terus diselimuti misteri.
Dasawarsa temu dasawarsa, kerja-kerja ekskavasi arkeologi di Mesir tidak pernah
henti dari melakukan aneka rencam penemuan yang menggemparkan dunia mahupun
cendekia. Pun begitu, kita jarang sekali membawa diri untuk merenungi sejarah
Mesir pada zaman pra-dinasti dan zaman penubuhan tamadun berkenaan. Bermula
daripada manakah segala sejarah Mesir ini? Bagaimana boleh warga di Lembah Nil berkembang
dan membangun sehingga membentuk sebuah peradaban yang sedemikian maju?
MENINJAU SEJARAH MESIR
PADA ZAMAN PURBAKALA
Kawasan di sekitar
lembah subur Nil sememangnya merupakan kampung halaman bagi pembangunan manusia
di sana. Untuk memahami lebih lanjut tentang masyarakat Mesir pra-dinasti di
zaman awalnya, kita perlu meneroka jauh ke masa lampau. Sebahagian daripada
pembangunan terawal yang berlaku di Lembah Nil secara kasarnya bermula sekitar
tahun 12 000SM. Salah satu masyarakat yang terbangun pada waktu itu dikenali
sebagai Kebudayaan Achulea – yakni suatu peringkat pembangunan awal yang
cirinya dapat dikenali menerusi alatan batu berbentuk bujur. Sebaik sahaja homo
sapiens mendominasi homo erectus secara bertahap,
kebudayaan-kebudayaan berbeza pula yang mengambil alih dan membawa kemajuan
lanjut dalam teknologi-teknologi primitif.
Salah satu kebudayaan
unik yang terbangun dalam zaman prasejarah Mesir adalah Kebudayaan Khormoussan,
yang meraih namanya bersempena tapak Khor Musa yang terletak berhampiran dengan
tapak Wadi Haifa. Kebudayaan ini muncul pada tahun 45 00SM di sekitar Maghreb
dan rantau selatan Sahara. Ketika berbicara tentang kebudayaan ini, suatu
perkara penting yang harus dikemukakan adalah kegiatan mereka yang secara
bertahap meninggalkan daerah-daerah padang pasir dan berpindah ke kawasan yang
lebih hampir dengan lembah subur Nil. Mereka mengamalkan gaya hidup nomad,
berpindah seiring pergerakan haiwan-haiwan liar dan mendirikan khemah-khemah
sementara di lembah-lembah sungai.
![]() |
| Wadi Haifa, Gurun Nubia |
Wadi Haifa dianggap sebagai salah sebuah tapak tertua dalam rekod prasejarah Mesir, di mana sebahagian binaan purba yang ditemui mencecah usia 100 000SM. Di sekitar tapak inilah kelak tertubuhnya Kebudayaan Khormoussan. Identiti mereka dikenali menerusi pencapaian teknologi yang dicapai. Mereka mahir menggunakan alatan batu. Namun pada masa yang sama, mereka turut membangunkan penggunaan tulang dan hematit.
Kebudayaan ini bermula pada 42 000 hingga 32 000 tahun sebelum
sekarang (BP) dan berakhir sekitar tahun 16 000SM, di mana ia secara bertahap
disusuli oleh kemunculan sejumlah kebudayaan baru yang lebih maju. Salah satu
tamadun baru yang dimaksudkan ini ialah Kebudayaan Qadan. Kebudayaan ini
memasuki peringkat pembangunan Neolitik pada tahun 15 000 hingga 10 000SM dan
identitinya mencirikan beberapa buah kawasan dan petempatan, seperti Elkab di
Wadi Haifa, Faiyum, Deir el-Badari, Deir Tasa, dan El-Omari yang terletak
berhampiran Halwan.
Kebudayaan Qadan menerapkan sejumlah pembaharuan dan ciri-ciri baru yang agak signifikan dalam proses kemunculan identiti proto Mesir secara bertahap. Merekalah kumpulan masyarakat pertama (di Mesir) yang mengambil langkah terawal dalam mengamalkan aktiviti pertanian secara sebenar. Mereka menyediakan dan memakan rumput-rumput liar dan bijirin serta mengerah tenaga dalam mengusahakan dan menuai tumbuhan tempatan. Mereka juga melibatkan diri dalam aktiviti perburuan dan penangkapan ikan, serta membangunkan banyak senjata dan alatan yang lebih canggih.
Dalam
tempoh beberapa ribu tahun awal perkembangannya, Kebudayaan Qadan mula
memanfaatkan seni penghasilan tembikar dan anyaman bakul, di samping
menyusun-atur amalan-amalan pengebumian unik yang melibatkan pembinaan
necropolis dan tapak-tapak pengebumian seumpamanya. Mereka juga membangunkan
alatan sabit dan batu penggiling. Secara bertahap, kebudayaan-kebudayaan baru
muncul dan mengambil alih posisi dan posesi Kebudayaan Qadan, di mana setiap
satunya memperkenalkan kemapanan-kemapanan yang tersendiri dan menyumbangkan
batu asas dalam pembentukan Tamadun Mesir di zaman kemudian.
![]() |
| Artifak-artifak Mesir dari zaman prasejarah, dari 4400 hingga 3100SM |
MUNCULNYA SEBUAH
IDENTITI TERSENDIRI – KEBUDAYAAN-KEBUDAYAAN NEOLITIK
Kebudayaan yang wujud di Lembah Nil pada zaman Neolitik dikenali sebagai Kebudayaan Faiyum. Sekitar tahun 6000SM, petempatan-petempatan yang memiliki ciri Neolitik mula muncul di sekitar Mesir. Beberapa penyelidikan yang dijalankan oleh ilmuwan meletakkan foundasi Neolitik di Mesir ini pada para imigran dari rantau Hilal Subur (di Timur Dekat) yang berpindah ke Mesir sambil membawa bersama amalan pertanian. Kebudayaan Faiyum berkembang pesat pada tahun 4400 hingga 3900SM, dan ia mungkin muncul lebih awal daripada itu.
Sejarah kebudayaan ini menandakan
sebuah era di mana warga rantau itu terpaksa berpindah berikutan perluasan
gurun yang berlanjutan. Kebudayaan ini muncul di pantai utara dan bahagian
timur laut tasik purba dan oasis Faiyum. Penghuni kawasan ini banyak bersandar
pada aktiviti perburuan dan penangkapan ikan sebagai mata pencarian.
Kebanyakannya mengamalkan gaya hidup nomad dan berpindah mengikut musim,
bersama haiwan-haiwan liar.
Kebudayaan Faiyum
mempunyai satu ciri menonjol, di mana mereka menggunakan alatan batu unik yang
bertakik dan bergerigi. Mereka juga memanfaatkan kegunaan mata panah dan bilah
batu bersoket. Bukti arkeologi mendapati bahawa mereka turut menghasilkan kain
linen kasar, begitu jua dengan bakul anyaman. Antara aspek menarik seputar
Kebudayaan Faiyum ini adalah mereka hidup dalam kumpulan kecil atau kumpulan
keluarga, yang diketuai oleh sejumlah pemimpin. Menerusi ciri yang satu ini,
kita dapat menyaksikan kemunculan komuniti-komuniti yang memiliki ketrampilan
yang jitu dalam kepimpinan di Mesir.
![]() |
| Kebudayaan-kebudayaan Neolitik awal mengamalkan gaya hidup nomad dan berpindah bersama ternakan mereka dari satu tempat ke satu tempat |
Kurun berganti kurun, Kebudayaan Faiyum digantikan oleh kumpulan masyarakat yang memiliki teknologi yang lebih maju, seperti Kebudayaan Badarian yang berkembang pesat pada tahun 4500 hingga 4000SM. Dalam kata-kata lain, kedua-dua kebudayaan wujud pada zaman yang sama. Hanyasaja Kebudayaan Badarian lebih mapan berbanding Faiyum. Warga kebudayaan ini menetap di Nil, el-Hamamiya, el-Matmar, el-Mostagedda dan seumpamanya.
Sedikit berbeza dengan kebudayaan-kebudayaan lain, warga Badarian
hidup di dalam khemah yang diperbuat daripada kulit haiwan atau pondok yang
dihasilkan daripada rumput lalang. Lebih daripada itu, mereka turut
mengusahakan gandum dan barli, serta memetik buah-buahan dan herba dari
belantara. Mereka juga dipercayai memanfaatkan kegunaan biji kastor sebagai
minyak. Rangka haiwan jinak merupakan antara ciri yang ketara dalam setiap
jumpaan arkeologi di tapak-tapak Kebudayaan Badarian.
Di samping itu,
Kebudayaan Badarian jua memperlihatkan kepada kita amalan pengebumian yang agak
kompleks, di mana kubur-kubur berbumbung bujur dibina sebagai tempat
bersemadinya si mati. Turut disemadikan di dalamnya alat-alat pengebumian yang
diperbuat daripada gading dan batu, selain hidangan makanan. Dua buah kubur
sebegini pernah diemui; satunya di penghujung daerah bergurun dan satu lagi di
sebelah timur Nil atau tepatnya, di antara el-Matmar dan el-Etmantieh.
Kebudayaan Faiyum dan
Badarian merupakan bahagian penting yang menyumbang kepada perkembangan Tamadun
Mesir yang kita kenali pada hari ini.
![]() |
| Patung berukir dari kebudayaan Badarian, 4000SM |
NAQADA – WAJAH TERAWAL TAMADUN
MESIR PURBA
Walau bagaimanapun,
antara kesemua kebudayaan yang ada, kebudayaan yang paling rapi diselidiki dan
paling penting dalam kisah sejarah Mesir Pra-Dinasti adalah Kebudayaan Naqada.
Bentuk terawal kebudayaan ini muncul sekitar tahun 4000SM. Ia turut dikenali
sebagai Kebudayaan Amratia, atau Naqada I. Terdapat sejumlah perkara yang
mencirikan kebudayaan ini. Seni penghasilan tembikar semakin mapan, dan
aktiviti perdagangan antara Mesir Hulu dan Mesir Hilir dipergiatkan. Begitu
juga perdagangan dua hala dengan wilayah-wilayah Nubia, di mana obsidian dan
emas diimport.
Peringkat berikutnya
dalam sejarah Kebudayaan Naqada adalah peringkat II, atau turut dikenali
sebagai Kebudayaan Gerzeh. Naqada II mengalami perkembangan pada tahun 3500
hingga 3200SM dan berpusat di sekitar Gerzeh. Era ini cukup penting dalam
pembangunan asas-asas Tamadun Mesir.
Naqada II merupakan perkembangan secara bertahap daripada Naqada I, di mana ia muncul di delta Nil dan kemudian tersebar ke selatan melangkaui Mesir Hulu. Terdapat juga kemungkinan bahawa Naqada II terbentuk sebelum tahun 3500M lagi, seiring edngan Kebudayaan Omari B yang saiznya lebih kecil. Bukti arkeologi seputar kebudayaan ini mengisyaratkan berlakunya perkembangan lanjut dalam penghasilan barangan seramik yang diperindah dengan gaya unik, motif ikonik dan imej alami.
Kebudayaan ini menerapkan segala elemen yang kelak diserap oleh tamadun
proto-Mesir – bermula daripada amalan pengebumian yang rapi terperinci,
pembinaan necropolis, istiadat barangan pengebumian, dan banyak elemen lain
lagi. Pada era ini, perdagangan rentas sempadan Mesir bergiat secara aktif.
Bukti hubungan perdagangan dengan Sinai dan Palestin sudah pun dijumpai, dan
seterusnya, sebuah kuasa berpusat pun muncul.
Seiring perubahan
keadaan gurun yang semakin mengancam, warga kebudayaan ini semakin meletakkan
pergantungan pada Lembah Nil sebagai sumber makanan dan aktiviti pertanian.
Peningkatan simpanan makanan ini kemudiannya mendorong kepada berubahnya gaya
hidup mereka, yakni daripada nomad kepada sedentri total. Lantas, masyarakat
Mesir pun membangunkan kota yang sebahagiannya berupaya menampung sehingga 5000
orang ramainya.
Pada era Naqada II,
tembaga sudah pun digunakan secara meluas. Walaupun senjata batu berkualiti
tinggi masih dimanfaatkan, tembaga juga meraih kedudukan yang dominan. Salah
satu contoh paling menonjol tentang persenjataan batu pradinasti yang datang
dari era ini dikenali sebagai pisau Gebel el-Arak. Sebagai sebilah pisau yang
memegang kefungsian signifikan dalam mana-mana upacara penting, Gebel el-Arak
ditempa dengan pengaruh Mesopotamia yang agak kuat. Pemegangnya yang diperbuat
daripada gading diukir dengan teliti, begitu juga bilah batunya yang diperhias
indah. Pisau ini merupakan satu contoh utama bagi membuktikan hubungan awal
antara Mesir dan Mesopotamia.
![]() |
| Pisau Gebel el-Arak |
Pengaruh-pengaruh
Mesopotamia yang terdapat pada Gebel el-Arak inilah yang menjadi faktor
lahirnya teori yang mengandaikan bahawa Mesir pada era itu diperintah oleh
seorang penguasa dari Mesopotamia. Pun begitu, teori ini tidak lagi didokong
oleh ilmuwan.
Peringkat terakhir bagi era pradinasti Mesir yang sekaligus merupakan bahagian penting dalam pembentukan Tamadun Mesir dikenali sebagai era Naqada III. Dalam keadaan lain, ia turut disebut sebagai Dinasti 0 atau Zaman Proto-Dinasti. Sebagai era yang mencirikan perkembangan lanjut terhadap Naqada II, ia berpanjangan dari tahun 3200 hingga 3000SM. Era Naqada III memperagakan kepada kita kemuncak usaha warga pradinasti Mesir ke arah penyatuan politik dan pembentukan sebuah negara.
Era ini juga menghadirkan sebutan pertama tentang raja-raja dari entiti politik
kedaerahan yang dikenali sebagai polities. Pada era Naqada III, kita
dapat melihat dengan ketara pembentukan-pembentukan awal Tamadun Mesir. Polities-polities
berpengaruh yang muncul di Lembah Nil merupakan negara-negara kota, di mana
tiga polities yang paling berkuasa pada masa itu ialah Thinis, Nekhen,
dan Naqada. Negara-kota yang mengungguli carta tiga teratas ini adalah Thinis.
Thinis merupakan sebuah
negara-kota yang kewujudannya telah pun disahkan dalam banyak sumber sejarah
purba, merentas masa. Namun begitu, jejak tinggalannya tidak pernah dijumpai
sehingga ke hari ini. Segala sumber dan bukti yang ada mengisyaratkan pada satu
lokasi berhampiran Abydos, iaitu sebuah lagi kota penting Mesir.
![]() |
| Palet Kerbau, kepingan artifak masyhur yang dikaitkan dengan era Naqada III |
PENYATUAN DUA MAHKOTA
MESIR
Thinis kemudiannya menjadi pusat Konfederasi Thinis, iaitu suatu kesatuan suku yang secara efektif menjadi suatu langkah yang kelak membawa kepada penyatuan Mesir Hulu. Thinis berupaya menakluki Naqada dan menyatukan Mesir Hulu. Ia kemudian bergabung dengan Nekhen hampir tanpa melibatkan sebarang konflik, dan seterusnya menakluki Mesir Hilir. Para pemerintah dari era pradinasti ini sering dikelompokkan sebagai ‘Dinasti 0’.
Walau bagaimanapun, nama firaun yang
bertanggungjawab menyatukan Mesir Hulu dan Mesir Hilir pada era proto-dinasti
ini tidak diketahui secara pasti. Rekod-rekod Mesir purba menyebutnya sebagai
Menes, iaitu seorang pemerintah yang kewujudannya belum dapat dibuktikan.
Lantaran itu, sejarahwan lebih meyakini penyatu Mesir adalah Narmer. Narmer
secara sepintas lalu bolehlah dianggap sebagai pemerintah ketiga Mesir yang
namanya sudah pun disahkan dan dibuktikan oleh rekod arkeologi, sesudah Iry-Hor
dan Ka.
Bukti paling penting
bagi mendokong teori yang mengandaikan Narmer sebagai penyatu Mesir adalah
‘Palet Narmer’, iaitu salah sebuah penemuan arkeologi paling penting dari
Mesir. Palet batu ini mengandungi beberapa inskripsi hieroglif dan gambaran
seorang raja Mesir terawal yang diketahui. Pada palet ini diukirkan babak-babak
yang menggambarkan seorang pemerintah berkuasa (ramai yang memperkirakannya
sebagai Narmer) yang berdiri sambil menggayakan postur dominan dan memegang
cokmar di atas kepalanya – bersiaga mahu menghayunkannya pada seorang tawanan
yang sedang melutut. Pada sisi palet sebelah sini, si pemerintah itu digambarkan
memakai hedjet – iaitu Mahkota Putih Mesir Hulu.
Pada sisi palet sebelah
lain pula, diukirkan beberapa babak yang agak kompleks. Di mana, babak yang
memakan ruang paling besar mempamerkan sebuah babak perarakan kemenangan. Pada
sisi ini, si pemerintah itu tadi digambarkan memakai deshret, iaitu
Mahkota Merah Mesir Hilir, di samping memegang sebatang cokmar dan tongkat yang
merupakan simbol tradisi kemahrajaan dalam kesenian Mesir. Menerusi palet ini,
kita dapat melihat betapa raja berkenaan memakai kedua-dua mahkota Mesir, di
mana gabungan keduanya itu kemudian membentuk sekhemti, iaitu mahkota
berkembar diraja Mesir.
Selain itu, pada palet
ini juga terdapat ukiran serekh, iaitu suatu lambang kebangsawanan yang
mengandungi kodeks dalam bentuk seekor ikan keli dan pahat. Kodeks tersebut
pada hakikatnya memikul nama seorang individu – ikan keli dalam bahasa Mesir
Purba ialah n’r, manakala pahat pula mr. Apabila keduanya
digabungkan, ia membentuk fonetik bagi nama Narmer.
TERBANGUNNYA PERADABAN
DI MESIR
Dengan berlakunya
penyatuan Mesir serta penubuhan kerajaan dan dinasti awal dalam sejarahnya,
garis masa rasmi Mesir Purba pun bermula sebagaimana yang umum maklum. Zaman
pradinasti berperanan dalam membekalkan kepada kita pengetahuan tentang proses
pembangunan sesebuah tamadun yang agak rumit – suatu proses yang memakan masa
ribuan tahun. Ia juga menghidangkan kepada kita kisah kemunculan pelbagai macam
kumpulan masyarakat yang berbeza, serta bagaimana mereka sirna dimamah zaman. Kita
juga disuakan dengan gambaran bagaimana tiap kali kurun temu kurun, milenium
temu milenium, manusia melangkah setapak ke hadapan dengan perkembangan
teknologi dan alatan baharu.
Selangkah demi
selangkah, kumpulan masyarakat yang menghuni rantau Mesir dan lembah subur Nil
membangunkan sebuah tatanan kepercayaan dan mitos yang kompleks, di samping
mengembangkan teknologi demi teknologi yang kemudiannya menghidupkan salah
sebuah tamadun teragung dalam sejarah kemanusiaan.
SUMBER
- Bunson, M. Encyclopedia of Ancient Egypt. Infobase Publishing.
- Kemp, B. 2007. Ancient Egypt: Anatomy of a Civilisation. Routlegde.
- Kemp, B, and Trigger, B, and Lloyd, A, and O’Connor, D. 1983. Ancient Egypt: A Social History. Cambridge University Press.
- Get link
- X
- Other Apps






