- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Wu Mingren. (3 Januari 2017). Agesilaus II, King of Sparta and Commander of
Warriors. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/agesilaus-ii-king-sparta-and-commander-warriors-007298
Penterjemah:
Amir Zayyanid
Agesilaus II merupakan
raja Sparta yang memerintah pada kurun ke-4 Sebelum Masehi. Beliau berasal dari
keluarga Eurypontid, salah satu dari dua dinasti diraja Sparta (selain Agiad).
Nama beliau masyhur berikutan kemenangannya ke atas Parsi di Anatolia, di
samping kejayaannya dalam Perang Corinthian. Namun, kekalahan Sparta di tangan
Thebes dalam Pertempuran Leuctra yang berlangsung pada tahun 371 Sebelum Masehi
secara efektif menamatkan dominasi Sparta di Peloponnese.
Menurut catatan
sejarah, Agesilaus adalah putera kedua Archidamus II, raja Sparta yang
memerintah dari tahun 477 hingga 426 SM bersama isteri keduanya, Eupolia sip
uteri Melesippidas. Berikutan kemangkatan Archidamus, takhta Sparta diberikan
kepada abang tiri Agesilaus yang bernama Agis II. Agis II memerintah sehingga
tahun 400 SM. Menurut tradisi Sparta, sebetulnya pewaris Agis adalah puteranya
yang bernama Leothychidas. Namun ketika itu, tersebar khabar angin kononnya
bapa sebenar Leothychidas adalah Alcibiades, seorang panglima dari Athen yang
hidup di Sparta sebagai orang buangan. Dengan sokongan seorang panglima Sparta
yang berpengaruh, iaitu Lysander (juga kekasih Agesilaus semasa muda),
Agesilaus ditabalkan sebagai raja Sparta yang baru.
![]() |
Lysander, panglima Sparta |
Dalam karya The Life
of Agesilaus oleh Plutarch, beliau digambarkan sebagai seorang raja yang
mesra dengan golongan ephor dan senator, iaitu dua kumpulan dalam sistem
politik Sparta yang lazimnya bertelagah dengan raja-raja kota itu. Sebagai
contoh, apabila seorang warga dijadikan sebagai anggota senat, Agesilaus akan
menghadiahkannya sehelai jubah dan seekor kerbau. Dengan cara yang demikian,
Agesilaus berhasil meningkatkan prestij dan pengaruhnya dalam kalangan rakyat
jelatanya.
AGESILAUS SEBAGAI
KOMANDER SPARTA
Sebagai seorang
komander tentera, Agesilaus memulakan kempen pertamanya memerangi Parsi di
Anatolia dengan matlamat membebaskan negara-negara kota Yunani di sana.
Pengisytiharan perang terhadap Parsi ini sebahagiannya berpunca daripada hasrat
Lysander yang mahu membantu rakan-rakannya yang sebelum ini terhutang budi
kepadanya dalam meraih kerusi kuasa. Memetik Plutarch, “Kala ini, Lysander
berasa teruja untuk dihantar ke Asia demi membantu rakan-rakannya di sana.
Sebelum ini, beliau membantu mereka mendapatkan jawatan gabenor dan raja kota.
Namun kini, disebabkan oleh kezaliman dan kekejaman mereka, mereka diusir oleh
warga kota dan bahkan ada pula yang dihukum bunuh. Oleh kerana itu, Lysander
memujuk Agesilaus supaya mengisytiharkan perang.”
KONFLIK DI TANAH AIR
Kempen ketenteraan
Agesilaus berjalan lancar dan beliau meraih kemenangan demi kemenangan ke atas
dua satrap Parsi, iaitu Pharnabazus dan Tissaphemes. Namun, beliau dipanggil
pulang ke Yunani pada musim bunga tahun 394SM berikutan berlaku sejumlah penentangan
terhadap hegemoni Sparta di sana, khususnya di Boeotia. Boeotia kemudian
ditewaskan di Coronea pada tanggal 14 Ogos 394SM. Menjelang waktu itu, Perang
Corinthia sudah pun bermula dan makanya, Agesilaus terpaksa kekal berada di
tanah besar Yunani untuk melindungi Sparta.
![]() |
Pertempuran antara Boeotia dan Sparta. Lukisan oleh J. Shumate |
Perang Corinthia
melibatkan Sparta dan negara-negara kota sekuru memerangi Corinthia, Boeotia,
dan Athens yang dibantu oleh Parsi, baik dari segi ketenteraan mahupun
kewangan. Pada tahun-tahun awal peperangan, Agesilaus tampil unggul. Pun
begitu, kedua-dua belah pihak tidak berupaya menewaskan lawan masing-masing
secara muktamad sekaligus membuatkan peperangan ini berlanjutan sehingga tahun
387SM. Pada tahun itu, perjanjian damai antara Sparta dan Parsi dimeterai.
Perjanjian ini bukan sahaja menamatkan Perang Corinthia, namun ia turut
menjamin dominasi Sparta ke atas negara-negara kota Yunani di tanah besar
Greece sambil negara-negara kota Yunani di tanah Asia pula diserahkan kepada
Parsi.
![]() |
Agesilaus II, pemerintah Sparta, bertemu dengan Pharnabazos si wakil Parsi |
Walau bagaimanapun,
hegemoni Sparta tidak bertahan lama terutama apabila berlaku ketidakpuasan hati
dalam kalangan warga negara-negara kota lain. Misalnya, Thebes memberontak pada
tahun 379SM dan berjaya menewaskan Sparta. Kejayaan-kejayaan ini seterusnya
membolehkan warga Athens meneguhkan kekuatan mereka sekaligus membentuk
Konfederasi Athens Kedua. Pada tahun 371SM, warga Thebes sekali lagi menewaskan
Sparta secara muktamad dalam Pertempuran Leuctra sekaligus menamatkan kekuasaan
Sparta di tanah besar Yunani.
Keadaan ini tidak
menjejaskan takhta Agesilaus. Pun begitu, beliau terpaksa menjadikan pasukan
Sparta sebagai tentear upahan pada tahun 367 SM, dengan harapan dapat
mencukupkan dana yang diperlukan bagi memerangi Thebes. Pada tahun itu, beliau
dan pasukannya diupah oleh Ariobarzanes, satrap yang memberontak terhadap
kekuasaan Parsi. Seterusnya, khidmat beliau dicurahkan kepada Teos si raja Mesir
yang berhasrat mahu memerangi Parsi di Syria. Namun, firaun ini digulingkan dan
Agesilaus terpaksa memihak firaun baru, iaitu Nectanebo II. Beliau dan pasukan
Sparta dihantar ke Mendes untuk menggulingkan raja palsu sebelum kemudiannya
dihantar pulang ke Sparta. Namun, ketika pasukannya tiba di Cyrene, Agesilaus
jatuh sakit dan meninggal dunia di situ.
SUMBER
- Lendering, J. 2015. Agesilaus II.
- Plutarch. Parallel Lives: Agesilaus. [Perrin, B. (trans). 1917. Plutarch’s Parallel Lives: Agesilaus].
- Rickard, J. 2015. Agesilaus II, king of Sparta, c. 444-360 BC.
- The Latin Library. 2017. Agesilaus II (c. 444-360 BC).
- Xenophon. Agesilaus. [Dakyns, H.G. (trans). 1897. Xenophon’s Agesilaus].
- Get link
- X
- Other Apps