DINASTI MACEDONIA – RENAISANS BAGI EMPAYAR BYZANTINE

 

Pautan ke artikel asal:
Riley Winters. (12 Jun 2015). The Forgotten Renaissance: The Successes of the Macedonian Dynasty. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/forgotten-renaissance-successes-macedonian-dynasty-003227

 

Penterjemah: Amir Zayyanid

 

Dinasti Macedonia secara relatifnya berdiri tidaklah lama jika dibandingkan dengan kebanyakan dinasti lain. Namun, pemerintahannya menyuguh kegemilangan buat Empayar Byzantine. Di bawah kekuasaan mereka, wilayah-wilayah yang dahulunya hilang berjaya direbut semula, empayar berupaya untuk menyebarkan pengaruhnya, dan pendidikan serta kesenian berpeluang untuk berkembang dengan pesat. Dinasti Macedonia bermula pada kurun ke-9 dan berakhir pada kurun ke-11. Ia dianggap sebagai salah sebuah dinasti yang paling efektif di Timur lantaran ia berhasil memacu Empayar Byzantine menjadi salah satu entiti politik zaman pertengahan yang paling kuat di dunia.

Dinasti Macedonia dimulakan dengan Basil I, seorang yang berlatar-belakang sederhana dan membina kerjaya di istana Michael III. Menjelang tahun 867 Masihi, Basil mengambil-alih takhta daripada Michael dan beliau kekal berkuasa sehingga meninggal dunia pada 886 Masihi. Di bawah dinasti yang dimulakan oleh Basil, Empayar Byzantine mendaki kemuncak kekuasaan dan prestij berikutan saiznya yang kecil justeru lebih mudah ditadbir dan dipertahan. Walaupun saiz wilayahnya kecil, populasi empayar meningkat dengan pesat pada era tersebut dan kota-kota utamanya membangun dengan mapan. Perbendaharaan emasnya juga meningkat semenjak zaman Theoktistos dan terus berkembang pada zaman Basil.

Dalam bidang akademik, Dinasti Macedonia menyaksikan kemekaran dalam aspek pendidikan dan pengetahuan memandangkan teks-teks purba dipelihara dengan baik dan kesenian juga mula diberikan tempat semula di dalam empayar. Pada era sebelum-sebelumnya, hasil seni dan seni bina yang mempunyai unsur-unsur keagamaan diharamkan, sehingga sejarahwan mengistilahkannya sebagai iconoclasm. Oleh kerana itu, imej-imej ketuhanan mula hilang, terutama ketika Leo III (726-729M) mewartakannya sebagai salah satu bentuk kemungkaran. Namun, sejurus sebelum bermulanya era Dinasti Macedonia, Ratu Theodoria menghentikan pengharaman tersebut. Apapun, raja-raja Macedonia tetap jua diberikan kredit sebagai pihak yang mengembalikan signifikasi kesenian dalam Empayar Byzantine. Rentetan itu, kesenian Byzantine mengalami kebangkitan.

Selain itu, Dinasti Macedonia juga dikenang sebagai era peperangan menentang bangsa Arab dan Bulgaria. Walaupun kota Thessaloniki runtuh di tangan bangsa Arab, menjelang lewat kurun ke-10, pasukan tentera Byzantine di bawah kepimpinan Maharaja Nikephoros II berhasil menembusi Syria dan menguasai wilayah-wilayah di rantau berkenaan, terutama Crete dan Cyprus. Penaklukan ini dianggap signifikan buat Dinasti Macedonia lantaran ia membuktikan kegagahan mereka berbanding dinasti-dinasti sebelumnya.

 

Maharaja Nikephoros II

 

Peperangan dengan Bulgaria lebih bersifat keagamaan memandangkan Empayar Timur mahu menguasai negara Kristian tersebut bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai Gereja Ortodoks terkuat di Timur sekaligus menyaingi kekuasaan paus di Rome.

Kievan Rus, Viking yang berpetualangan dari Scandinavia ke Empayar Timur, turut memainkan peranan signifikan dalam sejarah Dinasti Macedonia. Selepas terlibat dalam konflik panjang dengan Kievan Rus, Empayar Byzantine akhirnya memeterai perjanjian dengan mereka dan perdamaian ini membolehkan empayar mengakses laluan perdagangan yang penting. Tambahan pula, Vladimir I dari Rus dikahwinkan dengan Anna sip uteri Basil II sekaligus memulakan tradisi perkahwinan rentas budaya dalam kalangan kerabat Byzantine. Hal ini secara efektif menjamin keselamatan politik dan menghindari konflik ketenteraan dengan kuasa asing.

 

Pemahkotaan Basil II sebagai maharaja-bersama yang memerintah di samping Father Romanos II

 

Dinasti ini berakhir pada tahun 1057 Masihi dengan Michael VI, seorang bekas menteri ketenteraan dilantik sebagai pengganti takhta oleh Theodora. Beliau hanya sempat memerintah selama setahun (1056-1057), sebelum dipaksa turun takhta. Pemerintah-pemerintah yang menyusulinya dari tahun 1057 hingga 1081 masing-masing tidak cekap mentadbir sehingga hampir meranapkan Byzantium. Mujur, separuh daripada wilayah empayar ini masih bertahan semasa Alexios Komnenos menaiki takhta pada tahun 1081 Masihi.

 

SUMBER

  • Comnena, Anna. The Alexiad. Trans. E.R.A. Sweter. (Penguin Classics: New York, 1969).
  • Gibbon, Edward. The Decline and fall of the Roman Empire. Edited by Hans-Friedrich Mueller (Modern Library: New York, 2003).
  • Hussey, John Mervyn. Basil I: Byzantine Emperor. Encyclopedia Britannica.
  • Psellus, Michael. Fourteen Byzantine Rulers: The Chronographica of Michael Psellus. Trans. By E.R.A Sewter. (Penguin Classics: New York, 1979).
  • Skylitzes, John. Synopsis of Byzantine History, 811-1057: Translation and Notes. Trans. John Wortley (Cambridge University Press: Cambridge, 2012).
  • Vasiliev, A. The Macedonian Epoch (867-1081). History of the Byzantine Empire (324-1453). University of Wisconsin Press. 1952.