- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Mark Miller. (27 Oktober 2018). Timurid Empire’s Arts and Culture Influenced
Much of the Known World. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-important-events/timurid-empire-s-arts-and-culture-0010908
Penterjemah: Amir Zayyanid
Kebiasaannya, jika kita
membayangkan tentang pahlawan-pahlawan Monggol pada Zaman Pertengahan, apa yang
akan memenuhi layar minda kita adalah orang gasar yang liar lagi ganas,
berpetualangan di padang rumput Eurasia dengan menunggang kuda sambil membunuh
manusia dengan menggunakan busur panah, lembing, kapak perang, cokmar, dan
pedang. Sememangnya, bayangan sebegini benar. Namun, terdapat sebuah kerajaan
Monggol yang masyhur dengan keseniannya, iaitu Empayar Timurid yang berdiri
pada kurun ke-14 hingga kurun ke-15.
Walaupun warga Timurid
ini turut digeruni sebagai pahlawan yang gagah, mereka juga memelihara dan
mempengaruhi kebudayaan dan kesenian di kawasan-kawasan yang dikuasainya.
Wilayah naungan Timurid meliputi seluruh Parsi (kini Iran) dan kebanyakan
wilayah Asia Barat dan Asia Tengah. Jajahan empayar ini amat besar. Pun begitu,
keluasannya hanya meliputi sebahagian sahaja daripada empayar milik Genghis
Khan.
TIMURLANE – PENAKLUK
AGUNG TERAKHIR DARI MONGGOL
Khan pertama bagi
Empayar Timurid adalah Timur atau Temur. Beliau berasal-usul dari keturunan
Monggol-Turki, justeru beliau dianggap sebagai penakluk agung terakhir dari
bangsa Monggol. Nama ‘Timurid’ diambil secara langsung daripada namanya. Beliau
bertanggungjawab membentuk semula lanskap politik dan kebudayaan di
wilayah-wilayah kekuasaannya, iaitu dari Kaukasus hingga ke utara India. Dalam
pemerintahannya, Timur banyak meneladani Genghis Khan. Beliau malah turut
mendakwa dirinya berketurunan Khan Agung itu, walau hakikatnya, dakwaan itu
tidaklah benar. Nama timangan Tamurlane atau Timur the Lame mula meniti bibir
masyarakat Eropah semenjak beliau mengalami kecederaan pada bahagian kaki dalam
sebuah pertempuran, di mana kecederaan ini membuatkannya tempang.
Timur dilahirkan pada
tahun 1336. Beliau memulakan kariernya dengan menumpahkan kesetiaan kepada
Tughluq Timur, si khan bagi kerajaan Jagataid. Seiring peredaran masa, namanya
semakin masyhur. Ketika berusia 34 tahun, beliau berjaya menakluki Transoxiana
dan kemudian berhasil menguasai Iran, Mesopotamia, Georgia, dan Armenia pada
usia 48 tahun. Pada tahun 1389 hingga 1395, Timur memerangi Orda Emas (Golden
Horde) dan berjaya melemahkannya. Sebagai maklumat tambahan, Orda Emas yang
ditubuhkan oleh Batu Khan (cucu kepada Genghis Khan) menguasai Asia Selatan hingga
ke Eropah.
Memasuki tahun 1398,
Tamerlane menyerang India, menakluk Delhi dan membunuh warga kotanya. Beliau
melanjutkan kempen ketenteraannya pada tahun 1401 dengan merampas Syria dari
tangan Kesultanan Mamluk. Pada tahun berikutnya pula, beliau menundukkan Sultan
Beyazid I dari Uthmaniyah. Namun, itulah kempen terakhir buat penakluk agung
itu kerana tepat pada tanggal 18 Februari 1405, Timur mangkat di Kazakhstan
semasa sedang mengetuai kempen ketenteraan ke atas China.
![]() |
| Lukisan pada pertengahan 1490an oleh seorang pelukis ulung dari era Renaisans Timurid, Kamal-ud-Din Bihzad, yang menggambarkan suasana pembinaan kubu Kharnaq |
KONFLIK YANG MENYUSULI
KEMANGKATAN TIMUR
Zuriat keturunan Timur
kemudiannya bergelut dengan perebutan kuasa yang secara efektif memecahbelahkan
empayar. Pun begitu, Renaisans Timurid yang menaungi kebudayaan dan kesenian
empayar itu berjaya mengekalkan signifikasi Timurid sebagai salah satu empayar
paling maju di Eurasia pada era pra-moden.
Secara keseluruhan,
wilayah kekuasaan Empayar Timurid hanya meliputi bahagian barat Empayar Monggol
yang dibangunkan oleh Genghis Khan dan cucu-cicitnya. Empayar Timurid sempat
berdiri selama 150 tahun, namun pengaruhnya di India terus hidup sehingga kini.
RENAISANS TIMURID: KEMUNCAK
KESENIAN DAN KEBUDAYAAN ISLAM
Sejarahwan mengiktiraf kesenian Timurid sebagai salah satu kesenian paling agung dalam sejarah Islam. Kebudayaan, kesenian, dan sosiopolitik Empayar Timurid berupaya mempengaruhi negara-negara di sekelilingnya, dan sesudahnya. Ia meninggalkan pengaruh yang cukup mendalam pada Uthmaniyah di Anatolia, Safawiyah di Iran, dan Mughal di utara India. Di belahan bumi India misalnya, cicit kepada Timur yang bernama Zahir al-Din Muhammad Babur, bertanggungjawab menubuhkan Dinasti Mughal pada tahun 1526.
Walaupun Timur terkenal
dengan kekejamannya di medan perang dan perilaku tentera-tenteranya pula
menambahkan lagi garam atas luka tersebut, beliau tanpa dapat dinafikan
merupakan seorang pencinta ilmu dan kesenian. Empayar Timurid yang memerintah
Transoxiana dan Iran sehingga awal kurun ke-16 Masihi diperakui sebagai
pelindung kesusasteraan Turki dan Parsi. Cicit beliau yang bernama Husayn
Bayqara sebagai contoh, giat dalam mendanai Bizhad si pelukis dari Parsi, Jami
si penyair sufi, dan Alisher Nava-i si polimath masyhur. Malahan, Husayn
Bayqara sendiri merupakan seorang negarawan ulung.
![]() |
| Peta Empayar Timurid sekitar tahun 1400 |
Sememangnya Timur dan
keturunannya bukanlah keturunan Genghis Khan. Beliau sengaja membuat dakwaan
sedemikian demi meraih autoriti, prestij, dan keabsahan ke atas
pemerintahannya. Walaupun beliau seringkali melontarkan manifesto mahu
mengembalikan semula kegemilangan Khanate Agung, hakikatnya pemerintahannya
cuma meliputi sebahagian kecil sahaja daripada keluasan sebenar empayar Genghis
Khan. Pun begitu, dengan berakhirnya kekuasaan Empayar Timurid pada kurun ke-16
Masihi maka berakhirlah juga dominasi Monggol di rantau Eurasia. Sebagaimana
yang berlaku ke atas Daulah Umayyah di Andalusia di mana wilayah-wilayah pecahannya
menjadi taifah dan emiriyah, negara-negara kecil yang menggantikan Timurid
turut dikenali sebagai emiriyah-emiriyah Timurid.
SUMBER
- eHistory: Ohio State University, Tamerlane.
- N. Killic-Schubel, Timurid Empire, abstract of Encyclopedia of Empire.
- Waugh, D.C. A Timurid Chronology.
- Get link
- X
- Other Apps


