- Get link
- X
- Other Apps
- Get link
- X
- Other Apps
Pautan ke artikel asal:
Ed Whelan. (16 Ogos 2020). 3500-Year-Old Pig Figurines Found in Ancient Polish
Stronghold. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/pig-figurines-0014130
Penterjemah: Amir Zayyanid
Ahli-ahli arkeologo
yang menjalankan kerja-kerja ekskavasi di sebuah petempatan prasejarah di
Poland telah menemukan dua buah patung khinzir bersaiz kecil dalam keadaan
sempurna, dipercayai berusia kira-kira 3500 tahun. Relik purba ini dijangka
dapat membantu pakar untuk memahami dengan lebih lanjut perihal masyarakat
prasejarah yang hidup di rantau itu pada pertengahan milenium kedua Sebelum
Masihi.
Patung-patung ini
ditemui di Maszkowice (Malopolska), tepatnya di sebuah gunung yang dikenali
sebagai ‘Gunung Zyndram’ yang terletak di Carpathians, wilayah tenggara Poland.
Menurut Heritage Daily, relik ini ditemui ketika pasukan arkeologi
berkenaan sedang memeriksa tembok batu di petempatan berbukit di Maszkowice,
yang diperkirakan sebagai salah sebuah monumen batu tertua di Eropah dan paling
tua di Poland.
![]() |
| Ahli-ahli arkeologi sedang menjalankan penyelidikan di ‘Gunung Zyndram’ yang terletak di Maszkowice, Poland |
KEBUDAYAAN DARI ZAMAN
GANGSA
Bukti arkeologi
mengisyaratkan bahawa tapak prasejarah itu dihuni buat kali pertama oleh
Otomani, sebuah kebudayaan pada zaman gangsa. Mereka mendominasi kebanyakan
tamadun Zaman Gangsa di Eropah Timur dan mempunyai pengaruh yang besar dalam
laluan perdagangan penting yang menghubungkan antara Laut Baltik dan
Mediterranean. Kebudayaan ini secara khusus masyhur dengan perdagangan batu
ambar, selain monumen-monumen batunya yang besar belaka.
Tapak ini dihuni pada
1750SM hingga 50SM, namun ia pernah ditinggalkan buat beberapa tempoh sekitar
tahun 1500SM. Kemudian, tapak tersebut dihuni semula dan kediaman baru yang
lebih besar dibina dan dikelilingi oleh tembok batu. Besar kemungkinan,
penghunian kali kedua ini melibatkan kumpulan masyarakat lain yang menggantikan
Otomani, iaitu La Tene.
Patung-patung khinzir
ini secara spesifiknya ditemui dalam runtuhan sebuah pondok yang berukuran 20
kaki (6 meter) panjang dan lebar, berusia kira-kira 3500 tahun. Dalam lapisan
tanah liat yang dahulunya berfungsi sebagai lantai pondok, ahli arkeologi
menemukan dua buah patung tanah liat bersaiz kecil yang berjarak 3 kaki (1
meter) antara satu sama lain.
![]() |
| Tapak arkeologi di Maszkowice |
PATUNG-PATUNG KHINZIR
PRASEJARAH
Memetik Dr Marcin S.
Przybyla dari Universiti Jagiellonian, “Ini merupakan penemuan patung zoomorfik
pertama yang benar-benar mirip seperti bentuk haiwan sebenar.” Panjang patung
ini anya seinci lebih sahaja, namun ukirannya sangat realistik. Walaupun
saiznya kecil, perincian seperti puting dan jongornya dihasilkan dengan penuh
teliti. Ketelitian dalam penghasilan patung ini mengisyaratkan bahawa penghuni
kawasan tersebut merupakan artisan yang mahir, atau setidak-tidaknya, mereka
berinteraksi dengan sebuah komuniti yang cukup mahir.
Persoalan seterusnya
yang cuba dirungkai oleh ahli arkeologi adalah sama ada patung khinzir itu
merujuk kepada khinzir jinak ataupun khinzir liar. Patung ini mempunyai tanda
di bahagian belakang badannya yang mirip seperti khinzir liar. Namun, Dr
Przybylia menyatakan bahawa, “Khinzir pada masa itu lebih cenderung seperti
khinzir liar berbanding khinzir jinak di zaman moden.”
Seni ukiran pada
kedua-dua patung ini juga kelihatan berbeza, justeru pakar mengandaikan bahawa
ia dihasilkan oleh dua orang yang berbeza.
![]() |
| Sebahagian daripada tembok batu di perkubuan Maszkowice |
PERSOALAN YANG BELUM
TERUNGKAI
“Jawapan kepada
persoalan tentang kefungsian patung ini sukar untuk mencapai kata muktamad,”
tulis laman sesawang Nauwka Polsce. Kebiasaannya, patung-patung sebegini
dianggap sebagai mainan kanak-kanak ataupun barang keagamaan. Namun dalam
penemuan kali ini, tiada petunjuk yang boleh memastikannya. Apa yang nyata,
relik ini ditemui di dalam sebuah pondoj yang turut menyimpan banyak tulang
haiwan, termasuklah tulang khinzir. Patung khinzir bersaiz kecil dan
tulang-belulang haiwan itu menunjukkan betapa signifikannya ia bagi masyarakat
yang hidup di situ.
Kerja-kerja pemulihan
di tapak berkenaan terus dilanjutkan. Pada tempoh kebelakangan, semakin banyak
penemuan dilakukan di tapak ini. Memetik Dr. Marcin, “Dapat dilihat dengan
jelas betapa petempatan berkubu ini dibina dengan sangat terancang dan
jurubinanya pula mempunyai kemahiran yang begitu tinggi.” Tambahnya lagi,
berkemungkinan kemahiran tersebut diperolehi daripada imigran yang datang dari
daerah Adriatik atau wilayah-wilayah yang lebih jauh di selatan. Walau
bagaimanapun, apa yang pasti, penemuan patung ini membuktikan kemajuan tamadun
yang hidup di situ pada 3500 tahun yang lalu.
- Get link
- X
- Other Apps



